Assalammualaikum w.b.t.
Dan
(ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada temannya: Aku
tidak akan berhenti berjalan sehingga aku sampai di tempat pertemuan dua
laut itu atau aku berjalan terus bertahun-tahun. (60) Maka
apabila mereka berdua sampai ke tempat pertemuan dua laut itu, lupalah
mereka akan hal ikan mereka, lalu ikan itu menggelongsor menempuh
jalannya di laut, yang merupakan lorong di bawah tanah. (61) Setelah
mereka melampaui (tempat itu), berkatalah Nabi Musa kepada temannya:
Bawalah makan tengah hari kita sebenarnya kita telah mengalami penat
lelah dalam perjalanan kita ini. (62) Temannya
berkata: Tahukah apa yang telah terjadi ketika kita berehat di batu
besar itu? Sebenarnya aku lupakan hal ikan itu dan tiadalah yang
menyebabkan aku lupa daripada menyebutkan halnya kepadamu melainkan
Syaitan dan ikan itu telah menggelongsor menempuh jalannya di laut,
dengan cara yang menakjubkan. (63) Nabi Musa berkata: Itulah yang kita kehendaki; merekapun balik semula ke situ, dengan menurut jejak mereka. (64) Lalu
mereka dapati seorang dari hamba-hamba Kami yang telah kami kurniakan
kepadanya rahmat dari Kami dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu; dari
sisi Kami. (65) Nabi
Musa berkata kepadanya: Bolehkah aku mengikutmu, dengan syarat engkau
mengajarku dari apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadamu, ilmu yang
menjadi petunjuk bagiku? (66) Dia menjawab: Sesungguhnya engkau (wahai Musa), tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku. (67) Dan bagaimana engkau akan sabar terhadap perkara yang engkau tidak mengetahuinya secara meliputi? (68) Nabi
Musa berkata: Engkau akan dapati aku, Insya Allah: Orang yang sabar;
dan aku tidak akan membantah sebarang perintahmu. (69) Dia
menjawab: Sekiranya engkau mengikutku, maka janganlah engkau bertanya
kepadaku akan sesuatupun sehingga aku ceritakan halnya kepadamu. (70) Lalu
berjalanlah keduanya sehingga apabila mereka naik ke sebuah perahu, dia
membocorkannya. Nabi Musa berkata: Patutkah engkau membocorkannya
sedang akibat perbuatan itu menenggelamkan penumpang-penumpangnya?
Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perkara yang besar. (71) Dia menjawab: Bukankah aku telah katakan, bahawa engkau tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku? (72) Nabi
Musa berkata: Janganlah engkau marah akan daku disebabkan aku lupa
(akan syaratmu) dan janganlah engkau memberati daku dengan sebarang
kesukaran dalam urusanku (menuntut ilmu). (73) Kemudian
keduanya berjalan lagi sehingga apabila mereka bertemu dengan seorang
pemuda lalu dia membunuhnya. Nabi Musa berkata Patutkah engkau membunuh
satu jiwa yang bersih, yang tidak berdosa membunuh orang? Sesungguhnya
engkau telah melakukan satu perbuatan yang mungkar! (74) Dia menjawab: Bukankah, aku telah katakan kepadamu, bahawa engkau tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku? (75) Nabi
Musa berkata: Jika aku bertanya kepadamu tentang sebarang perkara
sesudah ini, maka janganlah engkau jadikan daku sahabatmu lagi;
sesungguhnya engkau telah cukup mendapat alasan-alasan berbuat demikian
disebabkan pertanyaan-pertanyaan dan bantahanku. (76) Kemudian
keduanya berjalan lagi, sehingga apabila mereka sampai kepada penduduk
sebuah bandar, mereka meminta makan kepada orang-orang di situ, lalu
orang-orang itu enggan menjamu mereka. Kemudian mereka dapati di situ
sebuah tembok yang hendak runtuh, lalu dia membinanya. Nabi Musa
berkata: Jika engkau mahu, tentulah engkau berhak mengambil upah
mengenainya! (77) Dia
menjawab: Inilah masanya perpisahan antaraku denganmu, aku akan
terangkan kepadamu maksud (kejadian-kejadian yang dimusykilkan) yang
engkau tidak dapat bersabar mengenainya. (78) Adapun
perahu itu adalah ia dipunyai oleh orang-orang miskin yang bekerja di
laut; oleh itu, aku bocorkan dengan tujuan hendak mencacatkannya, kerana
di belakang mereka nanti ada seorang raja yang merampas tiap-tiap
sebuah perahu yang tidak cacat. (79) Adapun
pemuda itu, kedua ibu bapanya adalah orang-orang yang beriman, maka
kami bimbang bahawa dia akan mendesak mereka melakukan perbuatan yang
zalim dan kufur. (80) Oleh
itu, kami ingin dan berharap, supaya Tuhan mereka gantikan bagi mereka
anak yang lebih baik daripadanya tentang kebersihan jiwa dan lebih mesra
kasih sayangnya. (81) Adapun
tembok itu pula, adalah ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar
itu dan di bawahnya ada harta terpendam kepuyaan mereka dan bapa mereka
pula adalah orang yang soleh. Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka
cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu,
sebagai satu rahmat dari Tuhanmu (kepada mereka) dan (ingatlah) aku
tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan
tentang maksud dan tujuan perkara-perkara yang engkau tidak dapat
bersabar mengenainya. (82)
Intisari ayat 60-82 :
(a) Nabi Musa a.s. telah mengembara dengan Nabi Khaidir kerana baginda mahu menambahkan ilmu pengetahuan.
(b) Semasa pengembaraan tersebut, Nabi Musa a.s. telah memahami sebab-sebab tindakan Nabi Khaidir dalam beberapa kejadian.
(c) Pengembaraan Nabi Musa a.s. dengan Nabi Khaidir sentiasa dipenuhi dengan pelbagai halangan dan kesukaran.
Menuntut ilmu merupakan satu usaha yang sangat mulia di sisi agama. Malah orang yang menuntut ilmu akan mendapat kejayaan hidup di dunia dan di akhirat.
Dengan ilmu pengetahuan yang luas seseorang itu akan tabah untuk menghadapi ujian ALLAH SWT.
Pengajaran ayat 60-82:
(a) Setiap umat Islam, sama ada lelaki atau perempuan, harus menuntut ilmu.
(b) Sifat sabar, gigih dan berusaha harus ada pada seorang penuntut.
(c) Orang yang sabar akan mencapai kejayaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan