Prof. Madya Mohamed Isa Abd. Majid
Pusat Racun Negara
Pusat Racun Negara
Buasir merupakan penyakit yang terjadi pada bahagian
dubur. Ia dapat dikesan dengan adanya pembengkakan pada saluran
dubur. Selalunya, pesakit buasir akan mengalami kesakitan akibat
daripada tekanan otot dubur ke atas bengkak tersebut sehingga menyebabkan
proses pembuangan air besar menjadi amat perit. Bengkak yang terjadi
adalah disebabkan oleh pengembangan saluran darah pada bahagian
dubur atau ketumbuhan sel-sel yang melapisi saluran dubur. Selain
bengkak pada saluran dubur, pendarahan semasa membuang air besar
juga terjadi disebabkan oleh luka yang terjadi apabila najis keras
bergesel dengan buasir.
Terdapat dua jenis buasir iaitu buasir dalaman yang
merujuk kepada bengkak buasir yang tertumpu pada bahagian dalam
saluran dubur. Jenis kedua ialah buasir luaran di mana bengkak terjulur
keluar dari bahagian dubur. Kedua-dua jenis buasir ini boleh berlaku
secara berasingan atau serentak.
Dianggarkan sebanyak 50 peratus daripada penduduk
di negara-negara Barat akan mendapat buasir selepas mencapai umur
50 tahun. Buasir juga sering terjadi di kalangan ibu-ibu mengandung
disebabkan oleh janin yang membesar di dalam rahim ibu menekan saluran
darah pada kawasan dubur sehingga menyebabkan berlakunya buasir.
Ciri-ciri penyakit buasir
Selain daripada bengkak yang amat ketara ketika mengalami
buasir, tanda-tanda lain termasuklah rasa gatal pada lubang dubur,
rasa kepanasan pada kawasan dubur selepas membuang air besar, rasa
sakit yang berdenyut-denyut, sukar untuk membuang air besar dan
rasa tidak selesa pada bahagian dubur apabila berdiri lama atau
bertinggung. Kesakitan pada bahagian dubur menyebabkan pesakit akan
mengalami perubahan di dalam corak membuang air besar.
Rawatan pengubatan sendiri
Jika ada tanda-tanda penyakit buasir seperti yang
dinyatakan, pesakit perlu memahami keadaan penyakit jika ingin mendapatkan
ubat bagi merawat buasir. Namun demikian, sekiranya terdapat tanda-tanda
tambahan seperti pendarahan, najis atau cairan terkeluar dengan
sendirinya tanpa disedari, penyakit buasir yang terjadi berulangkali
atau buasir yang tidak sembuh melalui pengubatan sendiri selepas
seminggu, maka pesakit perlulah mendapatkan rawatan lanjut daripada
doktor pakar. Ini kerana kemungkinan terdapat penyakit-penyakit
yang lebih serius yang diakibatkan oleh buasir tersebut termasuklah:
- Nanah di kawasan dubur yang disebabkan oleh jangkitan bakteria.
- Luka pada saluran dubur yang disebabkan oleh nanah yang bocor.
- Kanser pada bahagian dubur yang dicirikan juga dengan sembelit, pendarahan dan kesakitan pada kawasan dubur.
- Ketumbuhan pada kawasan dubur.
Ubat
untuk meredakan buasir
Untuk melegakan kesakitan ketika diserang buasir,
pesakit disyorkan agar kerap membuang air besar dan memastikan najis
tidak keras serta menjaga kebersihan diri terutama sekali di kawasan
dubur dan menggunakan ubat buasir.
Untuk mengatasi sembelit dan memastikan najis berkeadaan
lembut, pesakit disyorkan meminum banyak air dan mengambil lebih
sayur-sayuran dan buah-buahan. Jika langkah ini tidak juga berkesan
pesakit boleh mendapatkan ubat yang melembutkan najis seperti Metamucil
ataupun julap yang menggalakkan pembuangan air besar yang lebih
kerap seperti Milk of Magnesia.
Untuk menjaga kebersihan pada kawasan dubur, pesakit
digalakkan untuk mencuci kawasan tersebut dengan lebih kerap dengan
menggunakan sabun dan air selepas membuang air besar. Selain itu
pesakit juga boleh merendamkan diri dalam air suam dua atau tiga
kali sehari untuk selama 15 minit. Garam mandian juga boleh digunakan
kerana ia berupaya untuk mengecutkan kawasan dubur yang bengkak.
Pilihan ubat buasir
Antara ubat yang boleh digunakan:
- Agen Anestetik setempat
- Pengecut saluran darah setempat
- Pengurangan kerengsaan atau kegatalan
- Astringen yang mengurangkan insipadu sel-sel
- Pengurangan kesakitan dan kegatalan
Disebabkan ubat-ubatan ini digunakan secara setempat
pada kawasan dubur, maka penyampaian ubat kepada buasir secara langsung
adalah amat penting untuk mendapatkan kesan ubat tersebut. Dalam
hal ini, ubat akan disapukan ke atas bengkak buasir luaran manakala
untuk buasir dalaman, ubat disediakan dalam bentuk supositori atau
paip bagi memudahkan penyampaian ubat ke kawasan dalaman dubur.
Agen Anestetik setempat
Agen anestetik atau bius setempat bertindak merngurangkan
rasa sakit, gatal, pedih dan kerengsaan pada bengkak buasir melalui
halangan kepada penyampaian isyarat sakit yang disampaikan oleh
sistem saraf. Kebiasaannya penggunaan agen ini akan menyebabkan
timbulnya rasa kebas pada bahagian yang sakit. Agen ini hanya digunakan
pada buasir luaran kerana deria saraf hanya tertumpu pada bahagian
luar dubur sedangkan saraf yang sama tidak terdapat pada bahagian
dalaman dubur. Contoh ubat yang mempunyai tindakan menghilangkan
rasa sakit adalah benzokain yang diletakkan pada buasir.
Pengecutan saluran darah setempat
Pengecutan saluran darah akan menyebabkan saluran
darah yang terdapat pada kawasan dubur mengecut dan seterusnya menyebabkan
bengkak buasir turut mengecut. Pemahaman mengenai tindakan ubat
ini mudah difahami dengan mengambil contoh pengurangan air sungai
yang dikawal oleh sebuah empangan. Sekiranya air sungai yang disekat
mengalir, maka paras air sungai akan menurun sama seperti bengkak
buasir yang reda akibat pengurangan bendalir yang masuk ke kawasan
tersebut. Contoh ubat yang dikategorikan sebagai pengecut saluran
darah adalah noradrenalin pada kepekatan 0.005 hingga 0.001 peratus
yang disapukan pada bengkak buasir. Di samping itu, ubat ini juga
meredakan rasa gatal pada bengkak buasir melalui kesan bius yang
lemah.
Pengurangan kerengsaan atau kegatalan
Pengurangan kegatalan dengan cara menahan kehilangan
air serta lembapan kulit menyebabkan timbulnya rasa gatal akibat
kulit yang kering. Apabila darjah lembapan meningkat, bengkak menjadi
lembut yang seterusnya mengurangkan kesakitan disebabkan tekanan
yang terbentuk di atas bengkak buasir. Contoh bahan yang dapat menahan
kehilangan air ini adalah seperti gliserin atau salap petrolatum
yang membentuk lapisan berminyak di atas permukaan bengkak buasir.
Astrigen
Astringen bertindak melalui halangan ke atas kehilangan
air atau lembapan daripada permukaan bengkak buasir. Juga, astringen
mempunyai kesan tambahan ke atas sel-sel bengkak dengan memendakkan
protein yang terdapat pada sel-sel tersebut. Contoh ubat yang mempunyai
kesan astringen adalah krim zink oksida atau losyen kalamin yang
apabila disapu pada permukaan kulit akan meninggalkan rasa sejuk
pada permukaan kulit. Dengan kesan tersebut, rasa panas atau pedih
pada bengkak buasir dapat diredakan.
Pengurang kesakitan dan kegatalan
Ubat jenis ini akan bertindak pada sel-sel bengkak
ataupun juga dikenali sebagai sel radang dengan mengurangkan proses
tindakbalas yang menyebabkan timbulnya sel-sel bengkak. Apabila
tindak balas keradangan dikurangkan, maka proses pengecutan sel
boleh terjadi dan buasir dapat diredakan. Contoh ubat yang mempunyai
aktiviti seperti ini adalah krim hidrokortison pada kepekatan 0.5
peratus yang disapu ke atas buasir.
Sekiranya seseorang mengalami penyakit buasir,
penjagaan kebersihan kawasan dubur amatlah penting untuk mencegah
buasir. Langkah pencucian telah diterangkan dan paling penting adalah
mengamalkan tabiat pembuangan air besar yang baik pada setiap hari.
Pesakit selalunya akan dinasihatkan oleh para pengamal kesihatan
untuk mengambil air yang banyak dan mengekalkan pemakanan yang seimbang
dengan kandungan fiber yang tinggi untuk mencegah terjadinya buasir.
Jika buasir terjadi berulangkali atau tidak reda selepas seminggu
walaupun dengan menggunakan ubat buasir, maka segeralah berjumpa
dengan doktor untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan