Khamis, 29 Oktober 2015

Cerpen : Kyle Benjamin

Dia terganggu sekali lagi, tugasnya tergendala, sesaat, seketika dan akhirnya berminit-minit berlalu bersama peta fikirannya. Bertebaran terbang bersama segenap lapisan deria pertanyaan pada segala persoalan yang sedang dialaminya kini. Hati berdetap-detup, bergerak dan berdengup kencang seakan berada dalam situasi merunsingkan. Dia tertanya-tanya satu persoalan namun buntuh jawapan. Kenapa? Fikiran tetap bergerak mengikut arus persoalan, tanpa henti. Akhirnya dia menarik nafas lagi, tugasnya dihentikan seketika. Semakin dirinya mencuba untuk lari dari memikirkan perkara itu semakin sukar untuknya membuang segala genap lapisan deria perasaannya. Semakin juga perkara itu menyesak masuk, menghimpit pemikiran yang tidak mampu untuknya menahan kesan dan akibat penangannya kini. Apakah yang terjadi dulu adalah salahnya jugak? Tidak dapat diterima oleh akalnya atau oleh sesiapapun. Salah siapa sebenarnya? Rupanya dalam zaman siber sebegini, masih ada juga manusia yang begitu. Menilai seseorang kerana luaran iaitu rupa bentuk fizikal yang diwarisi dari nenek moyang.
Dia meraup mukanya kali ini, wajah yang menjadi sebab kebencian. Berkali-kali diingatkan dirinya tujuan dan maksud kedatangannya ke sini. Dia cuba melupakan apa yang berlaku, cuba menghentikan perasaannya yang sering terganggu akhir-akhir ini bila masa semakin suntuk untuknya sebelum pergi. Dia tidak mahu terbawa-bawa oleh perasaannya apabila telah jelas, betapa jauh perbezaan antara mereka. Tetapi mengapa hatinya masih jugak tidak mahu faham-faham? Akhirnya lamunan masih menganggu tumpuannya pada tugas.
Kecewa? Siapa yang tidak kecewa jika begini jadinya? Kenapa begini perlu dia lalui sedangkan lain yang dirancang untuk hidup masa depannya. Dia tidak pernah menjangkakan akan jadi begini. Sebelum ini memang dia takut menghadapi kemungkinan untuk hidup di Bumi Malaysia dan ketakutan itu tidak seteruk dan separah perasaannya ketika luka ini masih mengalir darahnya. Wajah itu tetap ada di mana-mana. Segera dia mendail, dia inginkan pertemuan akhir sebelum membuat keputusan, walaupun dia tahu keberhasilan pujukannya tidak akan menjadi.
“Apa salahku?” soal Benjamin melihat wajah yang menjadi igauan hariannya kini. Sejak bertemu tadi mereka saling membisu, dia mengambil langkah membuka bicara. Pertemuan ini sengaja dirancangkan agar persoalan segera terjawab. Masa untuknya suntuk, dia akan pergi dari sini bersama satu cerita yang tidak sesiapapun mengerti.
“Aku tak tahu.” Gadis itu menjawab perlahan sambil menggeleng. Terlalu malu untuk menatap wajah lelaki di depannya. Malu dengan perbuatan dan layanan sinis abangnya yang diterima oleh lelaki asing ini kerana dirinya.
“Adakah aku bukan dari kalangan bangsa kau?” Benjamin masih perlukan jawapan. Sikap gadis itu membuat hatinya meronta pilu. Seakan perjuangannya terus menjadi abu sekali hapus, tanpa sokongan. Lenyap apabila ditiup ribut taufan.
“Aku tak tahu.” Gadis itu masih jugak memberi perkataan yang sama sebagai jawapan. Semakin menambah rekahan luka di hati Benjamin. Masih jugak berpegang kepada jawapan yang sama setiap kali soalan dilontarkannya. Dia tidak faham adakah gadis ini adalah gadis yang sama yang menerima huluran cintanya sebulan yang lalu atau gadis yang berbeza.
“Atau kerana aku bukan berasal dari daerah yang sama dengan tempat lahir kau? Jangan beri jawapan yang sama, terangkan padaku…” Benjamin memberi amaran tidak mahu mendengar lagi jawapan yang sama dari mulut gadis itu. Sejak hari perselisihan gadis itu tidak banyak cakap, lebih suka menjawab sepatah saja, tidakpun mengambil sikap berdiam diri sebagai jawapan. Dia bingung dengan tingkah baru itu. Gadis itu diam lagi, ada mendung di wajah itu. Benjamin faham perasaannya jugak sama terseksa dengan situasi yang sedang berlaku. Namun dia perlukan jawapan pasti bukannya kebisuan suasana.
“Mengapa kau tidak menjawab? Kau juga memikirkan kemungkinan yang sama, aku akan pergi juga akhirnya?” sengaja ditekannya sedikit perkataan pergi. Ada genangan airmata pada tubir mata gadis itu. Benjamin menyambung bila tiada suara jawapan terdengar.
“Kau tidak pernah bertanya malah tidak pernah menghalang aku walau sekalipun. Kau cuma mendengar kata-kata orang lain. Cuba bicara denganku, aku mahu mendengar sendiri dari mulut kau. Aku mahu tahu kepastian dari kau sendiri, apa keinginan kau padaku?” desak Benjamin, bukan kerana kesuntukan masanya tetapi kerana kerasnya hati gadis itu. Betapa susah untuk mendengar suara jawapan gemersik gadis itu sekarang.
“Kalau kau tidak mahu bicara, aku mahu balik pejabat, ada perlu ku kemaskan. Esok aku akan bertolak. Itu saja yang mahu aku katakan, kau masih enggan bercakap. Jika begini sikap kau, sampai bila-bilapun aku takkan tahu dan kita akan sama-sama kecewa. Jangan biar aku terseksa, beri jawapan agar aku dapat buat keputusan dari menerima kebisuan kau...” tanpa menunggu lebih lama gadis itu lebih dulu berdiri dan berlalu tanpa suara seperti hari-hari yang lalu sejak berlaku hari perselisihan.
Benjamin meneruskan niat ke pejabat mengemas fail-fail yang perlu di bawanya untuk berpindah. Dia duduk semula di kerusi yang sama. Tidak pula terasa meneruskan tugasnya, fail-fail yang perlu disiapkannya bertimbun di depan mata tidak bersentuh. Kepincangan hatinya hanya dia yang tahu peritnya. “Hello, good afternoon! Can you bring me to this address?” Benjamin mengunjuk alamat yang sedang dipegangnya kepada pemandu teksi tersebut. Dia mengimbas kembali kisah lalu, jika tidak kerana tugas pasti dia tidak akan berada di bumi yang amat berbeza dari tempat asalnya. Dan dirinya, mereka gelarkan ‘orang asing’ sedangkan ketika itu dia langsung tidak fasih berbahasa melayu hanya beberapa patah perkataan seperti ‘terima kasih’, ‘selamat pagi’ dan ‘sama-sama’. Hanya kerana perkhidmatan, dia diterbangkan khas dari benua yang jauhnya beribu batu dari sini, melalui lautan, merentasi gunung ganang, langit biru, bertukar cuaca dan hidup dalam masyarakat yang berlainan agama dan bangsa. Orang melayu memang peramah dan baik hati, cuma sikap dan pemikiran mereka masih di takuk lama. Masih mempertahankan adat budaya bangsa.
Dia yakin mampu mengubah sesuatu di sini. Akhirnya dia berjaya mengubah kehidupan mereka tetapi dia terlupa pada pemikiran setiap manusia. Dia mendapat pujian kerana kecemerlangan tugasnya. Dia cuma gagal dalam satu perkara penting melibatkan hidupnya. Kenapa? Saat dia ingin berlalu, kenapa mesti ada pertemuan antara mereka? Mengapa sukarnya dia melepaskan sedangkan adanya tentangan yang memudahkan untuk memberi alasan yang paling praktikal. Apa hebatnya gadis melayu sehingga menjadikan dirinya begini? Mengapa tidak saja dia terus berlalu, kenapa perlu ada bebanan dalam hati ini untuk meninggalkan bumi bertuah ini.
Kini, dia sudah faham sikap dan cara pemikiran orang melayu. Sememangnya jauh berbeza dengan cara hidup bangsanya yang lebih bebas dan terbuka. Setelah lama hidup bersama-sama dengan orang melayu, bercakap bahasa melayu, bergaul dan menjalani kehidupan di Malaysia, dia akan merindui segala-galanya di sini. Mengapa dia sanggup membawa diri jauh dari sini hanya kerana seorang gadis melayu?
Ada ketukan halus di pintu bilik, menyedarkan Benjamin ke dunia nyata.
“Mr. Ben, dah siap berkemas?” soal Lydia. Benjamin tersedar, segera tersenyum.
“Apa dia Lydia?” soalnya dalam bahasa melayu yang semakin baik. Berada di bumi Malaysia membuatnya lebih suka bertutur dalam bahasa itu. Setiausahanya itu suka mengusik.
“Saya tanya dah siap berkemas. Jika perlukan pertolongan saya sudi membantu.”
“Oh! Terima kasih Lydia kerana ingatkan saya. Tak banyak sangat barang-barang nak di kemas. Beritahu Mr. Haikal, fail-fail di meja saya ini cuma perlu di semak dan saya tak sempat buat hari ini.” Dia menyedari kealpaannya. Memberi isyarat supaya Lydia duduk. Ingin berbual-bual sebelum keberangkatannya esok. Mr. Haikal adalah orang yang diamanahkan untuk menggantikan tugasnya di sini.
“Esok, Mr. Ben berlepas jam berapa?” Lydia meneliti bosnya yang baik hati itu. Kenapa perlu ada perpisahan dengan bos sebaik Mr. Benjamin.
“Pukul sebelas pagi. Kenapa nak hantar saya? Tak apalah Lydia. Terima kasih banyak kerana selama saya berada di sini awak memberi kerjasama yang cemerlang.” Benjamin tersenyum, menyembunyikan rasa yang menyerang jiwanya kala ini. Api rindu di dadanya semakin menyala bila memikirkan perpisahan yang bakal terjadi.
“Dah tugas saya Mr. Ben, entah bila lagi kita akan dapat berjumpa. Mr. Ben semakin jauh ke Berlin.” Lydia tahu sedikit sebanyak sebab perpindahan Mr. Ben berhubung kait dengan peristiwa bulan lalu. Seingatnya, ada enam bulan lagi masa tambahan bagi menyiapkan tugas Mr. Ben bermakna pertengahan tahun depan perpindahannya. Namun surat arahan terbaru menyatakan hujung tahun ini. Ada kemusykilan melihatkan menungan Mr. Ben sejak tadi dari luar biliknya.
“Berlin? Tak jauh dan tak mustahil untuk Lydia ke sana suatu hari nanti jika amalkan sikap bekerja begini. Jangan hanya kerana saya berkhidmat saja Lydia menunjukkan prestasi baik, saya mahu Lydia teruskan amalan yang sama semasa saya berada di sini.” Pesannya.
“Saya akan berusaha untuk maju. Saya harap Mr. Ben rindukan suasana di sini.”
“Tentu saya akan rindu, terutama orang-orang di sini. Saya tunggu kedatangan Lydia di Berlin.” Benjamin memberi semangat.
“Lydia tolong carikan saya kotak.” Arahnya dan mereka mengakhiri perbualan apabila deringan telepon melalui talian peribadi di meja Benjamin meminta perhatian. Lydia segera berlalu tidak mahu menganggu.
“Hello? Yes.” Ucap Benjamin menjawab talian.
“Yes sure. Okay. Tomorrow, at 11.00 a.m.”
“No thank you. Its okay! I can make it.”
“Oh… Sorry? Yes, I know. Thank you.”
“Okay, bye.” Benjamin meletakkan ganggang. Perbualan dengan ketua pengarah syarikat di Oversea. Masa terasa cepat berlalu, bermakna semakin menghampiri perpisahan dengan gadis itu. Setelah menerima kotak dari Lydia dia cepat mengemaskan apa yang patut. Lydia jugak mengingatkannya tentang majlis perpisahan yang akan diadakan pukul 4 petang ini sempena pemergiannya ke Berlin. Mengikut rancangannya esok, dia dari rumah terus ke lapangan terbang.
“Terima kasih!” ucap Benjamin setelah tamat majlis perpisahan yang sengaja mereka adakan petang ini. Hanya itu ucapan yang mampu diucapkan dalam pelbagai rasa yang bersarang dalam jiwanya kini. Dia berlalu bersama sebuah kotak berisi barang-barang yang dibawanya ketika mula-mula memasuki syarikat ini dulu. Segera punat lif di tekan tiba-tiba ada tangan menghalang pintu lif tertutup. Benjamin melemparkan senyum bila melihat wajah yang tidak diduga muncul mendadak di pintu lif. Satu ekspresi spontan darinya.
“Kyle!” panggil Haikal memasuki lif. Pintu lif tertutup semula dan bergerak ke bawah. Kelihatan Haikal menarik nafas kepenatan berlari kerana menghalangnya.
“Yes, Haikal. Ada apa-apa.” Benjamin terkejut, tiada sesiapa selama ini menggunakan nama pangkalnya. Semua teman sepejabat tahu dia lebih suka di panggil sebagai Mr. Ben atau Benjamin sahaja atas permintaannya. Haikal masih menstabilkan dirinya sebelum membuka mulut.
“Oh… tentang tugas, Haikal boleh tanya Lydia. Saya dah bagi Lydia segala butir berkaitan tugas dan tanggungjawab yang perlu Haikal pikul nanti. Dan, terima kasih kerana selama saya berada di sini Haikal memberi kerjasama yang baik.” Terang Benjamin tersenyum.
“Maafkan saya!” dua patah perkataan yang susah sangat dia dengar dari mulut Haikal selama di sini. Setelah berlaku perselisihan dulu, mereka hanya berkerjasama kerana tugas. Bertahun dia bertugas, barulah dia tahu kenapa Haikal dari awal tidak menyukainya. Segera terpampang kisah lampau yang menjadi inti pada segalanya…

Pertukaran Kyle Benjamin sebagai Duta Syarikat Komputer Gergasi ke Malaysia menjadi satu topik hangat dalam perbincangan keluarga. Negara Malaysia yang tidak wujud dalam peta minda masyarakat London apatah lagi dalam keluarga bangsawannya. Suatu tempat yang tidak terkenal dan seakan kewujudannya tidak diketahui. Bumi Malaysia yang kecil terletak dalam benua Asia Tenggara memerlukan kemasukan pihak pelabur dari luar dalam bidang perkomputeran. Syarikat tempatnya berkerja terpilih dan dia dihantar kerana prestasi yang ditunjukkan amat menggalakkan. Sebaik sahaja dia menjejakkan kakinya di bumi Malaysia, dia kagum dengan suasana yang terpampang di depan mata, alam kehijauan luas terbentang sejajar dengan arus pembangunan, kehidupan masyarakat Malaysia berbeza jauh dengan cara hidup masyarakat London. Masyarakat yang masih berpegang kuat pada ajaran agama dan budaya masing-masing. Mereka boleh bertutur dan bergaul antara satu sama lain. Pertama kali keluar dia sedar masih ada batas-batas antara dirinya dan orang-orang sekeliling bila dia berjalan-jalan sendirian. Ada suara-suara sumbang memanggil dirinya ‘orang asing’ bersama satu pandangan. Dia tidak ambil pusing semua itu. Baginya misi perlu selesai dengan baik, dan membuahkan hasil dan menyenangkan pihak ibu pejabatnya.
Sehari, seminggu, sebulan dan akhirnya bertahun berlalu. Dia banyak mengetahui mengenai Malaysia dari Lydia dan bahan bacaan yang dibelinya. Dia banyak menghabiskan masa cutinya di kawasan peranginan Malaysia. Dia juga melihat perkembangan Malaysia selari dengan perkembangan tugasnya di sini. Lydia, setiausahanya yang dilantik sebaik sahaja dia menjawat jawatan itu di sini. Kadang kala Lydia mengusiknya dalam bahasa melayu, namun dia harus berterima kasih kepada Lydia kerana serba sedikit kefasihannya bercakap melayu adalah hasil tunjuk ajar Lydia. Dalam tahun-tahun yang berlalu tugasnya dijalankan dengan baik walaupun pada awalnya dia ada masalah komunikasi dengan para pekerja. Dan masalah peribadi dengan seseorang iaitu Haikal. Lelaki itu sejak awal sememangnya telah memulaukan kedatangannya. Entah kenapa?
“Kalau kau masih mahu hidup lagi di sini, jaga diri kau baik-baik!” amaran keras dari Haikal.
“Haikal, saya tak tahu apa salah saya?” soalnya ingin tahu, tiba-tiba diserang dalam lif dan menerima amaran keras. Walaupun dia tahu sebelum ini Haikal selalu menyinggungnya ketika mesyuarat pengurusan.
“Hei! Kau tak dengar apa aku cakap. Aku tak suka kau masuk campur dalam urusan aku.” Haikal membentak marah. Apa salahnya sehingga membuatkan Haikal bersikap begitu padanya.
“Saya tak ada masuk campur.” Lembut dan baik-baik dia menjawab masih dalam longat keinggerisannya.
“Benci aku mendengar kau bercakap melayu. Kau tak layak untuk berada di sini. Kerana bangsa orang macam kau adalah perosak.” Keras dan sinis kata-kata Haikal.
“Itu tuduhan tak berasas Haikal.” Benjamin masih berlembut walaupun terhina sedikit. Pintu lif terhenti dan perbalahan mereka senyap kerana ada orang lain masuk sama ketika itu. Walaupun tidak berapa fasih berbahasa melayu sangat, dia cuba juga bercakap dalam bahasa itu. Dia mahu membuktikan tidak semua bangsanya seperti dulu. Perselisihan tercetus kerana dendam masa lampau. Makcik Haikal yang berkahwin dengan pemuda inggeris tetapi akhirnya ditinggal di sini tanpa khabar berita sehingga wanita tersebut menderita dan gila. Dia tidak terlalu runsingkan kenyataan itu. Namun, panas disangka hingga ke petang, rupa-rupanya hujan di tengahari. Hidupnya mula tidak menentu apabila 2 bulan yang lalu tanpa sengaja dia terserempak dengan seorang gadis di sini. Dan, gadis itu datang bertemu dengan Haikal, seterunya selama ini. Melalui Lydia dia mengetahui gadis itu bernama Haiza, adik kepada Haikal dan baru sahaja menamatkan pengajiannya di Universiti Tempatan. Haiza akan menyambung pengajiannya ke peringkat Master tidak lama lagi.
Pertama kali terserempak, mata bertentangan saling berbalas senyuman. Benjamin sudah merasakan dengupan jantungnya kencang. Betapa manis dan cantiknya gadis melayu bertudung itu di matanya. Masa berlalu, dia membiarkan sahaja perasaannya tidak mahu dibuai perasaan apabila melihat Haikal abang Haiza memberi tentangan. Haikal memang seorang yang pendendam. Tapi, semakin di cuba untuk melupakan wajah itu semakin menjadi satu ingauan tidur malamnya. Akhirnya dia menerima pertukarannya ke Berlin, 6 bulan lebih awal dari surat sambungan kontraknya. Bermakna dia hanya berada di Bumi Malaysia selama 7 tahun 6 bulan sahaja. Biarlah dia rugi kerana melanggar perjanjian dari terus berdepan dengan sesuatu yang menggetarkan kalbunya. Bukan bermaksud dia penakut tetapi kerana dia tahu tidak ada gunanya merayu pada yang nyata menolaknya.
Kebisingan suasana Lapangan Terbang Antarabangsa ini sudah menjadi satu keadaan yang biasa. Benjamin sudah datang sejak sejam yang lalu lebih awal dari masa penerbangan. Sepanjang pagi tadi dia habiskan masa dengan menungan dan berfikir. Akhirnya dia tetap mengambil keputusan untuk ke Berlin. Dia cuma duduk diam membaca di ruang legar menunggu. Pengumuman kedengaran mengarahkan penumpang agar memasuki pesawat. Segera Benjamin mengambil tempat duduk di tepi tingkap pesawat. Tiba masa berangkat, dia sudah bersedia untuk berlepas dan menyimpan semua yang berlaku di Malaysia sebagai satu ingatan. Suatu masa nanti dia akan kembali lagi, walaupun kali ini dia pergi membawa bersama lara hatinya. Dia sudah tidak ambil pusing pada sekelilingnya. Leka melihat pemandangan udara bumi Malaysia untuk kali terakhir.
“Kyle!” Benjamin berpaling melihat gerangan suara yang menyapanya itu. Memberi senyuman, kemudian berpaling kembali melihat pemandangan yang seakan memukaunya di luar tingkap. Kenapa hari ini ada nama pangkalnya diguna orang? Melihat ketampanannya, mungkin ada pramugari yang terpikat lagipun dia masih muda dan bujang baru memasuki awal 30an tak hairan jika ada yang menyapa. Namun, dengan pantas dia menyedari sesuatu, kembali melihat wajah disebelah yang memanggilnya dengan satu senyuman berbunga.
You?” soalnya menyedari keadaan mereka.
Yes…” jawab Haiza tersenyum riang.
How long have you been here?” soal Benjamin.
I have been here since 2 months ago,” gurau Haiza menunjuk hatinya sendiri.
You are kidding me,”  tingkah Benjamin tidak percaya, siapa di depan matanya.
What? You don’t believe me?” maksud Haiza, kemunculannya dalam hidup Benjamin. Sejak mereka bersua dan bertentang mata hatinya sudah diikat. Benjamin faham…
No. Not that…” penafian segera diberi agar salah faham tidak berlanjutan.
What?” Haiza sengaja mendera bersama tawa perlahannya.
You amaze me with this surprise. So, can you explain?” pinta Benjamin.
I’ll continue my master in Berlin.”
Oh! So, that’s the true story.” Akhirnya Benjamin mengerti ucapan maaf dari Haikal.
“Ya… Apa yang menarik di luar sana tu?” soal Haiza melihat reaksi awal Kyle tadi.
“Sesuatu untuk disimpan dalam hati tapi nampaknya…” Haiza tersenyum penuh erti.
“Nampaknya?” segera Haiza melontarkan persoalan.
“Haiza mahu jawapan, Haiza tahu jawapannya. Nampaknya tak perlu kerana ‘kau sudah ada di sisiku akhirnya’...” Kyle Benjamin Sean William peta berbicara melayu, gembira tidak terkata dengan kehadiran Haiza di sisinya. Gadis melayu yang mengikat hatinya, yang pasti dia tidak akan melepaskan Haiza dengan mudah.
Selamat menyambut tahun baru!  Selamat mendapat teman hidup.  Senyum mekar di bibir mereka.

Rabu, 28 Oktober 2015

OMBAK MEMUJUK PANTAI MENANGIS III

Janji semalam ku tunai hari ini. Mari hayati puisi trilogi (OMBAK MEMUJUK PANTAI MENANGIS) hakikatnya memang kerinduaan pada sang ombak menggunung tinggi jauh merentasi Laut China Selatan tempatnya.

p/s : maaf terlewat post, bukan terlupa tapi terlena.

Ombak Memujuk Pantai Menangis III

‘Rindu Selalu’…
Ungkapan yang ingin aku luahkan pada mu.
Percayalah pada hatiku
Kenapa mempertikaikan perasaanku ini?
Soalan yang ingin aku tanyakan padamu.
Aku tak pasti di mana silapku
Aku tak tahu apa di hatimu
Kau tak pernah memberi keyakinan
Malah kau meragut kepercayaan
Aku tak mengerti mengapa
Aku masih mahu setia padamu
Masih mahu merinduimu
Masih mahu terus menunggu
Menantikan kedatanganmu
Bersama-sama menyaksikan
Menikmati keindahan pagi ini
Sedangkan aku tahu
Kau sekadar datang dan
Kemudian pergi sesuka hatimu
Kerana itu adalah Takdir untukmu
Aku tersenyum….
Aku sudah mula merasai
Kedatanganmu
Desiran bayu yang lembut menyapa
Rasa laut yang mengasyikkan
Bergulung kau datang
Tidak sabar untuk menyatakan
Kau juga rindu padaku
Ombak!
Kau sama sepertiku
Teman setiaku,
Kau mengerti perasaanku
Kemudian kau datang menemuiku
Mencantikkan suasana dengan buih-buihmu
Menghiburkan aku dengan iramamu
Kau sentiasa ada merinduiku
Memberitahuku keinginanmu
Bersama-sama melayari keindahan pagi ini
Menyanyikan aku lagu puisimu
Kerana kau tahu aku sedang menangisi
TAMAN MERDEKA KINI.

Dicatat di : Anjung Selera pada : 22/07/2006 masa : 08.23 Pagi

Terkini :
ada kisah disebalik ombak dan pantai, dan aku rindu suasana pagi itu yang damai, pantai yang sudah tiada tempat terbuka penuh dengan konkrit dan batu bata... jauh bezanya dulu dan kini. Semoga puisi ini mencatat kenangan pantai Tanjung Lipat, Kota Kinabalu Sabah.

Catatan ini dibuat melalui FB Novelis Rini Syanira.

Selasa, 27 Oktober 2015

AKU MAHU JALAN YANG LURUS

sepi terasa hidup ini
sendirian rasa di bumi asing
kerinduan beraja di jiwa
airmata teman setia
kalaulah
masa bolehku undur semula
pasti aku tidak akan pilih
jalan ini
aku mahu jalan yang lurus
yang tidak sesukar begini
yang tidak tinggal bekas luka begini
andainya
tapi siapalah aku
hanya seorang hamba
penuh dugaan dan duka
untuk mematangkan hidup
sehingga tiba masa lenaku
aku akan kembali jua akhirnya
pada DIA
tak kira bagaimana bentuk
jalan yang telah aku lalui
yang pasti aku mahukan Jannah.
amin.


p/s : 27/10/2015 - 7.23pm - done.

KERANA KATA-KATA

kadang kala kita bukan sengaja
mengeluarkan kata-kata
yang mengguris rasa dia
kadang kala kita bukan bermaksud
kata-kata yang kita lontarkan itu
kadang kala kita rasa tersentap
bila kata-kata itu jadi lain tafsiran
pada dia
begitulah lumrah kehidupan
sekejap rasa bahagia
sesaat pula dugaan melanda
ia tak kira bila
hanya kerana sebuah kata-kata
berfikirlah sebelum berkata
beringat sebelum kena


p/s : 27/10/2015 - 7.18pm - done.

TRAGEDI JEREBU

Langit dan Jerebu
Tidak dinafikan
kita kerinduan
melihat biru langit di atas sana
Tidak dinafikan
kita mendoakan
jerebu pergi bersama hujan
Tidak dinafikan
kita mengharapkan
sang angin meniup jerebu
melenyapkan kegelisahan
segelintir manusia
yang hidup dalam tertekan
Tidak dinafikan
kita keresahan
menanti bila akan berakhir
tragedi jerebu
di bulan Oktober
Semoga kita semua tabah


p/s: 27/10/2015 - 6.13pm - done.

Isnin, 26 Oktober 2015

KENANGAN ALAT MAINAN ZAMAN LALU

Biar gambar berbicara 2 :





OMBAK MEMUJUK PANTAI MENANGIS II

Sambungan Puisi semalam puisi lama ini buat aku terkenang zaman pantai belum dibuat tembok dan sekatan:


Berlumba-lumba ia datang
Cantik memukau mata yang memandang
Terpaku menikmati keindahan yang terhias
Rentak yang amat menghairahkan
Perasaan yang sepi menjadi riang
Dari jauh ia datang
Angkara angin buat durjana
Namun ….
Ia tetap setia melawan

Anehnya seketika perasaanku
Melihat ia membesar
Melambung ke udara tinggi
Ajaibnya, mengapa ia boleh jadi begitu?
Tiba-tiba…
Ada debaran ketakutan
Menguasai ruang pemikiran
Andainya ia datang menghempas
Ibarat badai tanpa haluan
Mampukah aku lari jauh darinya?
Rupanya ia hanya datang
Memujuk pantai yang sedang menangis
Kini
Aku tidak lagi keseorangan pagi ini
Aku sedang ditemani
Dari kejauhan susunan bangku
Seorang pengawal anjung dan seorang pakcik
Sedang berbual…
Selang semeja dari tempatku berada
Tempat seawal pagi ini yang tidak berganjak sedikit pun
Seorang lelaki sepi sedang merenung ombak
Mencari kedamaian MERDEKA mungkin?
Pada laut yang luas bersama tangisan pantai
Seirama dengan perasaannya
Renungan lelaki sepi itu yang memberitahuku
begitu
Selepas itu…
Dua remaja datang menghampiri pantai
Bersama plastik minuman di tangan
Yang pastinya akan menjadi
“Khazanah” pantai seketika nanti
Mereka duduk di depan lelaki sepi itu
Selang tiga meja dari tempatku
Mereka duduk melihat laut pagi ini
Namun, aku pasti …
Mereka datang hanya untuk duduk santai
Berbual tanpa peduli keadaan lara ini
Seketika aku mendongak semula
Merenung sikap remaja itu
Lantas teringat sesuatu
Lelaki sepi itu telah menghilang?
Aku berpaling mencarinya
Nun jauh di jalan batu bata
Dia telah berlalu
Mungkinkah hatinya telah terhibur
Atau masih lagi belum BEBAS?
MERDEKA? Mengapa?
Jauh terlihat
Kapal-kapal di tengah laut belayar
Pelabuhan utama Bandaraya
Bangunan-bangunan tinggi
Yayasan Sabah, SMC,
Masjid Bandaraya dan
Kehijauan yang masih terasa
Bayu berpuput yang masih sama
Pulau-pulau berdekatan
Di sekelilingku bersama-sama
Menyaksikan pagi ini
‘Ah! Terpercik air laut’
Aku terkejut dengan kedatangan ombak
Tempias hempasannya pada pantai kali ini
Menyimbah tempatku.
Lantas aku terlupa apa yang sedang
Berlegar di mindaku
Ada bunyi aneh di tengah laut, mataku meliar
Mencari, melihat sebuah bot laju bergaya di tengah laut
Datang dari Pulau Gaya, berpusing
Lantas terlihat rumah-rumah setinggan
Nun jauh di tepi laut sana
Aku memandang arah kiriku
Jalanraya Bandar MERDEKA!
Tiap masa kenderaan lalu lalang
Tidak berhenti, tidak mengerti
Ada yang sedang berlangsung di sini
Ombak memujuk
Pantai menangis
Ditulis pada : Anjung Selera – 22/07/2006 – 08.08 Pagi
p/s : tunggu sambungan esok. trilogi pusi ini ketika menanti pagi menjelma di pantai tanjung lipat Likas, Sabah.

Ahad, 25 Oktober 2015

OMBAK MEMUJUK PANTAI MENANGIS I


Deburan ombak menghempas pantai
Tidak pernah berhenti, tidak mengenal penat
Buih-buih putih tetap setia berkocak
Pada batu sekeras waja

Aku sendirian menyaksikannya
Sambil merenung fitrah alam yang lain
Mendengar desiran ombak yang seakan sama
Iramanya pagi ini dengan perasaanku
Laut yang luas terbentang
Memberi ilham pada setiap saat
Pada yang ada keinginannya
Pada yang ada di dasarnya
Pada yang ada di permukaannya
Pada yang ada di dekatnya
Pada yang ada di mana-mana
Sesekali tempatku berada di sini
Bergoncang, deburan ombak menghempas ganas
Bayu lembut yang bertiup bersama rentak
Alam terasa nyaman dan damai
Kemudian menyatu dengan jiwa yang sepi
Menjadi satu wadah pertemuan pertama
Perasaan tenang, andai diri sedang mencari
Kebenaran kerana terasing di bumi ini
Indahnya nikmat Ilahi pagi ini
Adakah mereka sama merasai
Apa yang sedang aku alami
Mungkin iya, mungkin tidak
Kerana aku sedang sendirian di sisi
Pantai ini mendengar alunan
Irama yang amat mengasyikkan kalbu
Hamparan tak seindah di dada ombak
Dari dasar dan permukaannya
Pelbagai wacanah rupa bentuk
Warna air yang keruh
Menyedihkan…
Suasana pagi yang nyaman ini
Mengingatkan aku tentang MERDEKA?
Kemudian menyusul pertanyaan di benak
Alangkah baik sekiranya aku dapat lagi
Menikmati keunikan ini di pagi lain,
Dapatkah juga generasiku menikmati?
Anugerah Ilahi, jika ketika ini
Ombak memujuk
Pantai menangis
Dihasilkan pada : Anjung Selera - 22/07/2006, 07.44Pagi
p/s : mengimbau kenangan lama.

Rabu, 21 Oktober 2015

SI PEMBURU HANGAT BAB 13

Bab 13


“MANIS sekali,” kalaulah ucapan itu tidak membuai perasaan Areej sudah pasti tidak berulang di ruang fikiran alam sedarnya.  Hakikatnya ucapan itu sering terlintas di benaknya, mengingatkannya tentang Emran.  Rindukah itu?
“Areej,”  Sarah menyikunya.
“Nama kau dah dipanggil!”   Nora pula mencuit Areej.
            Terkesima seketika Areej, pantas kakinya diangkat.
            “Saya nak cepat, Sarah dan Nora saya temuduga sekaligus,” Supervisor bernama Aakif di hadapan mereka sedang memandang dan menunggu reaksi mereka.  Hilang terus ayat pujian Emran dari minda Areej akibat terkejut.
            Mereka bertiga duduk menghadap Aakif.  Secara ringkas Aakif menerangkan skop tugas oleh sebab mereka bertiga adalah pelajar, Aakif memberi kelonggaran atas budi bicara masa bekerja mereka adalah minimum 4 jam dan maksimum 6 jam sahaja.  6 jam diberikan pada waktu bukan hari kuliah.  Selesai mengisi borang dan temuduga mereka diberikan topi dan baju seragam.  Tugas mereka akan bermula esok petang.
            “Bestnya dapat kerja,”  wajah Areej gembira tak terkata.
            Dia benar-benar bersyukur kerana dapat meringankan beban kos pelajarannya.  Kerja sambilan memang diperlukannya saat ini.  Banyak keperluan mahu ditukarnya.
            “Terima kasih pada Khalida, Nora,”  Areej menyampaikan ucapan terima kasihnya.  Mereka pelajar berlainan kelas.  Pasti jarang bertemu.
            “Esok dah boleh mula,”  Nora senyum sambil mengangguk.  Khalida satu bilik dengan Nora.
            “Tak sabar rasanya tunggu esok,”   Sarah memeluk erat topi dan baju yang baru diberi tadi.
            “Baiknya Aakif, beri kita masa berkerja mula enam petang hingga sepuluh malam sahaja,”  Nora memandang Areej dan Sarah silih berganti dengan wajah sayu.
            “Tentulah dia faham kita kan pelajar,”   Sarah menepuk bahu Nora.
            “Walaupun gaji ikut jam tiga ringgit sejam sebagai trainee tapi berbaloi kerana van sewa tak perlu dibayar, kita juga dapat timba pengalaman,”   Areej sedang berkira-kira dalam fikirannya.
            Nora pula sedang mengira pendapatan bulanan yang akan diperolehinya berdasarkan hari dan jam bekerja penuh dalam sebulan.
            “Aku kira boleh dapat pendapatan dalam tiga ratus sebulan tu dah boleh beli macam-macam,”  teruja Nora memberitahu hasil pengiraannya.
Cuma penat bekerja sambil belajar ni.
            “Orang jimat seperti kita tetap akan tahu nilai tiga ratus tu banyak,” sokong Sarah.
            “Yang pasti kena berjimat cermat,” ucap Areej.
            “Seringgit pun banyak bagi yang tahu menilai,” sambung Areej.  Dia terasa perit bila bercerita tentang seringgit.  Ada cerita disebaliknya.  Kisah masa silamnya.
            “Ha-ah betul kata kau Areej,” sokong Nora.


AREEJ rasa hari-hari yang dilaluinya begitu bermakna sekali.  Setiap detik dan harapan agar Emran tidak akan mencarinya adalah palsu belaka, hakikatnya dia merindui mamat sewel itu.  Namun usahkan berharap saja.  Muncul akhirnya wajah Emran di hentian bas selepas mereka selesai kuliah hari ini.
            “Assalammualaikum, Areej,” salam dihulur bersama senyuman manis Emran.
            Berdengup sang hati.
            “Eh, Wa’alaikumussalam,”  Areej menegur sambil mengerling jam tangan tepat jam 4 petang.
            Emran tersenyum.  Tangan yang disorok di belakang dibawa ke depan dan sebuah beg kertas saiz kecil dihulurkan kepada Areej.  Teruja pula Emran bila melihat keceriaan Areej menyambut kali ini. 
            “Ole-ole dari Johor untuk Areej,” ujar Emran menyerahkan beg kertas tersebut.  Matanya tunak memandang si cantik manis yang berbaju kurung merah cerah.
            “Wah!  Pergi Johor… patut pun lama tak nampak,”  mesra saja kali ini bicara Areej.  Dia sudah nekad mahu memberi layanan sewajarnya kepada Emran.  Bersikap teruja mengintai isi kandungan di dalam beg kertas itu.  Hakikatnya dia terasa hati dengan pemberian Emran itu.  Macamlah dia miskin sangat dan meminta simpati pada Emran.  Dia juga tak pernah meminta Emran mengejar dirinya.  Semua ini agenda Emran seorang.
            “Ya, awak suka?” tanya Emran mesra.  Dia berasa hairan dengan sikap dan layanan Areej kali ini tidak seperti hari-hari sebelum ini.
            Angin perubahan apakah yang menyampuk Areej kali ini?
Hairan di benak Emran bermukim.
“Suka, terima kasih,”  Areej menyembunyikan rasa kurang senang dalam hati.
Emran memberinya kasut dan jam tangan.  Areej senyum mendapat hadiah yang dijangka harganya tak mampu untuknya miliki walaupun sudah bekerja nanti.
Kasut jenama Bonia, dan jam tangan jenama Rolex.
“Kenapa susah-susah,” sambung Areej.
Nilai barangan itu mencerminkan jurang antara mereka sangat jauh.  Kesusahan hidup Areej benar-benar tidak setanding dengan kemewahan fizikal yang dimiliki Emran.  Emran boleh berbuat apa sahaja mengikut kemahuannya.  Sedangkan dirinya perlu benar-benar teliti berjimat cermat.
“Saya nak pandang wajah Areej puas-puas dulu, boleh kan, baru Areej balik,” ujar Emran mengharap pengertian Areej.  Dia benar-benar lupa beri hadiah itu sebelum ini.
            “Maaf ya Areej nak cepat, kejap lagi ada hal dengan kawan-kawan,” langkah diundur dengan hati-hati, tekadnya dalam hati mahu melayani Emran secara bersopan walaupun nalurinya memberontak.
“Emran datang ni sebab rindukan Areej, tolonglah beri ruang,” halang Emran dari Areej terus melangkah menaiki bas.
“Lain kali ya kita sembang, Areej nak cepat ni,”  Areej meminta diri secara bersopan.
Telepon Emran berdering, Emran bergerak ke depan menjauhi Areej menghadap keretanya sambil menekapkan telepon ke telinga.  Berbual tanpa sedar pemergian Areej.
Saat itulah Areej ambil kesempatan untuk meloloskan diri naik ke dalam perut bas Universiti.  Entah kenapa hatinya rasa kurang selesa menerima pemberian semahal itu dari Emran.  Terasa dirinya tiada berbeza seperti gadis-gadis materialistik lain.  Satu penghinaan pada gadis miskin sepertinya.  Itu yang sedang menyakiti hatinya saat ini.  Langkah terus diatur menaiki tangga bas.
Hakikatnya Areej mahu menolak pemberian Emran itu, namun memikirkan masanya terhad untuk bergegas ke tempat kerja dia telah mengubah pendirian dengan melayan Emran secara mesra dan menerima hadiah Emran.  Entah apakah reaksi dan perasaan Emran terhadap penerimaannya.  Itu suatu perubahan yang mendadak.
Sebaik berpusing, Emran melihat jalan kosong.  Areej sudah menghilang di depan mata.  Yang tinggal hanya asap kenderaan berlalu pergi.  Pelajar yang ramai tadinya bertenggek di hentian bas itu sudah tiada.  Rasanya baru sekejap dia berbual di telepon. 
Areej, sampai hati awak tak tunggu saya!


AREEJ tarik nafas.  Dia seperti tidak ingin percaya takdir yang manis ini.  Nora dan Sarah sibuk bertanya dan begitu teruja mengetahui dia menerima pemberian hadiah kasut dan jam tangan dari Emran.  Itu satu kejutan bagi kedua sahabatnya ini.  Ketika ini mereka sedang berada di dalam van sewa menuju ke tempat kerja.  Hari ini dalam sejarah mereka akan bersama-sama memulakan hari pertama bekerja.  Seronok dan teruja bercampur aduk dalam emosinya bila baru saja bertemu Emran sebentar tadi dengan ucapan perkataan rindu.
            Sewel!
            Areej senyum.
            “Apa Emran kata lagi Areej?”  Nora memandang penuh makna.  Meneliti wajah Areej.
            Haruman semerbak Emran tadi masuk ke rongga hidungnya dan masih kekal terasa.  Membuatkan Areej terkenang-kenang pada Emran.  Kacak Emran mengenakan kemeja berwarna hijau lembut, warna kegemarannya.  Emran memakai kemeja itu buatkan Areej tergoda seketika tadi.  Kalaulah Emran tahu warna kegemarannya hijau lembut mahu hari-hari lelaki itu menggoda. Gatal.
            “Areej… aku tanya kau ni, khayal pula dia,” bebel Nora memukul bahu Areej.
            “Dia nak tenung aku sebelum dia balik,” meluncur jawapan tanpa sedar dari mulut Areej.
            “Hah!!!”
            Sarah dan Nora tercengang mendengar jawapan Areej.
“Gila ke apa?”  ucap Sarah.
“Percaya atau tidak itu aje katanya,” dengan berani Areej ambil risiko.  Melihat kedua sahabatnya yang lebih teruja dari dirinya.  Jangan terkesan oleh mereka dia sudah mula buka hati pada Emran.
“Mahal jam Rolex dan kasut Bonia ni,” Nora masih sibuk meneliti hadiah pemberian Emran.  Dia faham mereka dari kalangan keluarga miskin dan tak mampu barang-barang begitu cuma satu impian.
“Tak tahu pula aku.  Kau tahu tahap aku dalam barang-barang macam ni kan.  Kemiskinan buatkan aku tak perlukan barang-barang berjenama, cukup asal ada boleh guna dari tak ada langsung,” secara jujur Areej melepaskan apa yang terbuku di hatinya.  Kedua sahabatnya masing-masing maklum mereka sama-sama hidup dalam kesusahan.
“Jam ni sahaja tentu dalam ribu ringgit, kasut pun.  Aku agak kosnya dalam ribu juga,”  kira Nora.
“Macam mana dia tahu saiz kasut kau?  Muat ni…”
Areej cuma sengih angkat bahu.  Takkan Emran tak tahu kalau dah hari-hari stalker aku.
Nora memang suka ambil tahu tentang barang-barang seperti itu.  Jika mereka berada di dalam cafĂ© internet Nora suka google perkara tersebut dan memang minat Nora begitu.  Tidak hairan jika Nora tahu nilai barangan tersebut daripada Areej dan Sarah.
“Nanti kita jalan-jalan tengok kat kedai nak?” cadang Sarah.
Nora angguk-angguk.
Areej mencongak dalam hati.  Memikirkan bicara Nora dan kira-kiranya, niat di hati ingin memulangkan barang yang diberi Emran tersebut.  Tak sedap rasa hatinya kerana pemberian itu membuat ada jurang perbezaan antara Nora dan Sarah dengan dirinya.  Dia tidak tahu siapa yang cemburu, siapa yang ikhlas.  Namun, semua itu buat apa untuk difikirkan?  Pening sahaja jadinya.
“Aku kira mahu pulangkan.  Tak layak rasanya terima pemberian Emran yang semahal ini!” mulut Areej diketap.
“Gila kau!  Orang dah beri percuma simpan dan pakai ajelah.  Kalau aku dapat lelaki begitu, sumpah aku tak lepas,”  Nora seperti selalu tetap melebih-lebih.
“Jangan main sumpah-sumpah dengan aku, nanti betul-betul kau jadi sesumpah baru padan muka kau,”  Areej menegah kata-kata Nora.
“Hahaha…” Sarah gelak.
Areej dan Nora memandang pelik ke arah Sarah.  Tak ada angin tak ada ribut tetiba gelakkan mereka.  Dari tadi tak ada suara.
“Engkau pula ni kenapa?”  Areej hairan kerut kening.
“Ya, tiba-tiba ketawa?”  Nora akui.
“Salahkah aku gelak, aku rasa kelakar aku gelaklah,”  Sarah habiskan sisa tawa.
“Apa yang kelakar sangat tu?”  Nora berasa hati tentu dirinya yang digelakkan Sarah.
“Tak ada apalah,” putus Sarah tidak mahu mengeruhkan suasana.
Sebaik selesai bicara, van yang mereka naiki berhenti di MC Donald.
“Kalau nak lepas pun bila dah dapat kikis sedikit habuan darinya,”  Nora masih minat menyambung bicara soal Emran ingatkan dah tutup topik pasal Emran.
“Aku tak macam tu,”  Areej memandang tepat wajah Nora tanda protes.
“Adakah patut cakap macam tu,”  bidas Sarah pula bereaksi yang sama.
Menduga Nora.
“Ada sebab aku cakap macam tu, bukan aku suka-suka beri idea, lagipun bila lagi kau nak rasa hidup mewah, sementara orang masih suka boleh kau minta macam-macam, nanti dah terlepas putih matalah jawabnya.”
“Eh!  Engkau ni Nora, betul-betul gadis materialistik!”  marah Sarah.
“Kau jangan sedap-sedap cop aku materialistik, salahkah cakap aku Areej?”   Nora tolak tubuh Sarah.
Areej senyap.
“Apa yang tak kena dengan kau ni Nora?”  Sarah tidak puas hati dengan kelakuan Nora sebentar tadi padanya.  Dia menepis tangan Nora.
“Itu pendapat aku aje, tak nak terima sudah.  Janganlah marah-marah pula macam kau pula yang lebih-lebih, Areej diam aje aku tengok… tak rugi pun kan cadangan aku tu,”   Nora masih tidak mahu mengalah.  Mereka sedang beriringan menuju ke Restoran Mc Donald.

“Dahlah, kita dah sampai dah ni.  Selamat bekerja.”  Areej menamatkan perbualan mereka.

Selasa, 20 Oktober 2015

SI PEMBURU HANGAT BAB 12


Bab 12 

LANGKAH diatur masuk ke dalam bilik.  Badan direbahkan ke atas tilam.  Lengan diletak di bawah tengkuk.  Apa sebenarnya yang sedang berlaku kepada dirinya?  Sejak bertemu Areej buatkan dia jadi macam orang angau.  Sedangkan sebelum ini dia pernah bercinta, putus kasih, kecewa, derita.  Tapi kini cinta kasih dan sayang yang bercambah tumbuh mekar di kalbunya buatkan jiwanya terbuai.  Dia rasa bahagia sangat walaupun Areej masih belum memberi jawapan positif.  Semua ini berlaku lebih parah dari dulu.  
            Areej ada di mana-mana ruang pandangannya.
Ketukan dari luar biliknya membuat Emran membuka matanya.
            “Ya!” sahut Emran.
            “Boleh umi masuk?”
            Segera lampu dipasang dan pintu pantas dibuka.  Rasa bersalah kepada umi melebihi segalanya.
            “Ada apa umi?”
            “Emran masih tak sihat ke?”
            Emran hela nafas panjang.
            “Emran tak ada apa-apa umi cuma… Emran nak mohon maaf buat umi susah hati, telepon umi pun tak,”  ucap Emran.
            “Emran dah pulang ni lega hati umi,”
            Senyap seketika.
            “Umi... Emran rasa Emran dah sedia nak kahwin!”  tanpa kata berbunga-bunga  hasratnya dilontarkan sepantas pacutan jantungnya saat ini.
            Umi tersenyum penuh erti.
            “Kahwin dengan siapa?” nada gembira dalam suara uminya dapat dikesan.
            “Kahwin dengan siapa lagi umi, Areej…”  Emran mengingatkan nama itu.
            “Umi dah ada calon lain untuk Emran,” 
            Mulut Emran terlopong mendengar ayat Zahira.  Jadi benarlah kata-kata umi pada Areej, dia akan ditunangkan dengan pilihan uminya.
            “Biar betul umi ni?  Bila umi cari?”  Emran terkejut dengan kenyataan Zahira.
            “Dah umi sering dengar pasal Emran ke hulu ke hilir usung anak gadis orang, Umi dah carikan calon cuma tak sempat beritahu, Emran dah kenalkan pada Areej.  Terkejut umi.  Gadis itu tetamu, Umi tak mahu kecewakan Emran sebab itu beri layanan terbaik pada tetamu…”  begitulah umi tetap mahukan yang terbaik pada anak-anaknya.  Adakah semua ini silapnya sendiri?
            Sudah tentu ceritanya abah yang laporkan pada umi, jika tak takkan umi dapat tahu.
            “Jadi macam mana dengan Areej?”  soal Emran bingung seketika kerana rancangannya tergendala.  Sangkanya umi akan bersetuju dengan pilihan hatinya rupanya tidak begitu.
            “Emran tak jumpa lagi calon umi.  Kenapa Emran nak umi pilih Areej, calon umi mungkin terbaik untuk Emran,”  usik Zahira.
            Emran serba tak kena.
            Menolak susah menerima lagi parah.
            “Nanti Emran fikirkan umi,”
            Zahira senyum lebar sebelum keluar. 
            Emran termenung seorang diri.  Hasrat hati lagikan rumit, kini usul uminya memenuhi ruang fikirannya selain hasrat hatinya mahu menyunting Areej.  Rupanya tidak semudah yang difikirkannya.  Adakah dia benar-benar terlewat berkenalan dengan Areej?

            Umi tak beri satu apa pun nasihat untuk meleraikan kekusutan fikirannya.  Itulah kelebihan umi.  Tidak melenting.  Beri masa padanya untuk memilih pilihan hatinya atau calon umi.