Khamis, 29 Oktober 2015

Cerpen : Kyle Benjamin

Dia terganggu sekali lagi, tugasnya tergendala, sesaat, seketika dan akhirnya berminit-minit berlalu bersama peta fikirannya. Bertebaran terbang bersama segenap lapisan deria pertanyaan pada segala persoalan yang sedang dialaminya kini. Hati berdetap-detup, bergerak dan berdengup kencang seakan berada dalam situasi merunsingkan. Dia tertanya-tanya satu persoalan namun buntuh jawapan. Kenapa? Fikiran tetap bergerak mengikut arus persoalan, tanpa henti. Akhirnya dia menarik nafas lagi, tugasnya dihentikan seketika. Semakin dirinya mencuba untuk lari dari memikirkan perkara itu semakin sukar untuknya membuang segala genap lapisan deria perasaannya. Semakin juga perkara itu menyesak masuk, menghimpit pemikiran yang tidak mampu untuknya menahan kesan dan akibat penangannya kini. Apakah yang terjadi dulu adalah salahnya jugak? Tidak dapat diterima oleh akalnya atau oleh sesiapapun. Salah siapa sebenarnya? Rupanya dalam zaman siber sebegini, masih ada juga manusia yang begitu. Menilai seseorang kerana luaran iaitu rupa bentuk fizikal yang diwarisi dari nenek moyang.
Dia meraup mukanya kali ini, wajah yang menjadi sebab kebencian. Berkali-kali diingatkan dirinya tujuan dan maksud kedatangannya ke sini. Dia cuba melupakan apa yang berlaku, cuba menghentikan perasaannya yang sering terganggu akhir-akhir ini bila masa semakin suntuk untuknya sebelum pergi. Dia tidak mahu terbawa-bawa oleh perasaannya apabila telah jelas, betapa jauh perbezaan antara mereka. Tetapi mengapa hatinya masih jugak tidak mahu faham-faham? Akhirnya lamunan masih menganggu tumpuannya pada tugas.
Kecewa? Siapa yang tidak kecewa jika begini jadinya? Kenapa begini perlu dia lalui sedangkan lain yang dirancang untuk hidup masa depannya. Dia tidak pernah menjangkakan akan jadi begini. Sebelum ini memang dia takut menghadapi kemungkinan untuk hidup di Bumi Malaysia dan ketakutan itu tidak seteruk dan separah perasaannya ketika luka ini masih mengalir darahnya. Wajah itu tetap ada di mana-mana. Segera dia mendail, dia inginkan pertemuan akhir sebelum membuat keputusan, walaupun dia tahu keberhasilan pujukannya tidak akan menjadi.
“Apa salahku?” soal Benjamin melihat wajah yang menjadi igauan hariannya kini. Sejak bertemu tadi mereka saling membisu, dia mengambil langkah membuka bicara. Pertemuan ini sengaja dirancangkan agar persoalan segera terjawab. Masa untuknya suntuk, dia akan pergi dari sini bersama satu cerita yang tidak sesiapapun mengerti.
“Aku tak tahu.” Gadis itu menjawab perlahan sambil menggeleng. Terlalu malu untuk menatap wajah lelaki di depannya. Malu dengan perbuatan dan layanan sinis abangnya yang diterima oleh lelaki asing ini kerana dirinya.
“Adakah aku bukan dari kalangan bangsa kau?” Benjamin masih perlukan jawapan. Sikap gadis itu membuat hatinya meronta pilu. Seakan perjuangannya terus menjadi abu sekali hapus, tanpa sokongan. Lenyap apabila ditiup ribut taufan.
“Aku tak tahu.” Gadis itu masih jugak memberi perkataan yang sama sebagai jawapan. Semakin menambah rekahan luka di hati Benjamin. Masih jugak berpegang kepada jawapan yang sama setiap kali soalan dilontarkannya. Dia tidak faham adakah gadis ini adalah gadis yang sama yang menerima huluran cintanya sebulan yang lalu atau gadis yang berbeza.
“Atau kerana aku bukan berasal dari daerah yang sama dengan tempat lahir kau? Jangan beri jawapan yang sama, terangkan padaku…” Benjamin memberi amaran tidak mahu mendengar lagi jawapan yang sama dari mulut gadis itu. Sejak hari perselisihan gadis itu tidak banyak cakap, lebih suka menjawab sepatah saja, tidakpun mengambil sikap berdiam diri sebagai jawapan. Dia bingung dengan tingkah baru itu. Gadis itu diam lagi, ada mendung di wajah itu. Benjamin faham perasaannya jugak sama terseksa dengan situasi yang sedang berlaku. Namun dia perlukan jawapan pasti bukannya kebisuan suasana.
“Mengapa kau tidak menjawab? Kau juga memikirkan kemungkinan yang sama, aku akan pergi juga akhirnya?” sengaja ditekannya sedikit perkataan pergi. Ada genangan airmata pada tubir mata gadis itu. Benjamin menyambung bila tiada suara jawapan terdengar.
“Kau tidak pernah bertanya malah tidak pernah menghalang aku walau sekalipun. Kau cuma mendengar kata-kata orang lain. Cuba bicara denganku, aku mahu mendengar sendiri dari mulut kau. Aku mahu tahu kepastian dari kau sendiri, apa keinginan kau padaku?” desak Benjamin, bukan kerana kesuntukan masanya tetapi kerana kerasnya hati gadis itu. Betapa susah untuk mendengar suara jawapan gemersik gadis itu sekarang.
“Kalau kau tidak mahu bicara, aku mahu balik pejabat, ada perlu ku kemaskan. Esok aku akan bertolak. Itu saja yang mahu aku katakan, kau masih enggan bercakap. Jika begini sikap kau, sampai bila-bilapun aku takkan tahu dan kita akan sama-sama kecewa. Jangan biar aku terseksa, beri jawapan agar aku dapat buat keputusan dari menerima kebisuan kau...” tanpa menunggu lebih lama gadis itu lebih dulu berdiri dan berlalu tanpa suara seperti hari-hari yang lalu sejak berlaku hari perselisihan.
Benjamin meneruskan niat ke pejabat mengemas fail-fail yang perlu di bawanya untuk berpindah. Dia duduk semula di kerusi yang sama. Tidak pula terasa meneruskan tugasnya, fail-fail yang perlu disiapkannya bertimbun di depan mata tidak bersentuh. Kepincangan hatinya hanya dia yang tahu peritnya. “Hello, good afternoon! Can you bring me to this address?” Benjamin mengunjuk alamat yang sedang dipegangnya kepada pemandu teksi tersebut. Dia mengimbas kembali kisah lalu, jika tidak kerana tugas pasti dia tidak akan berada di bumi yang amat berbeza dari tempat asalnya. Dan dirinya, mereka gelarkan ‘orang asing’ sedangkan ketika itu dia langsung tidak fasih berbahasa melayu hanya beberapa patah perkataan seperti ‘terima kasih’, ‘selamat pagi’ dan ‘sama-sama’. Hanya kerana perkhidmatan, dia diterbangkan khas dari benua yang jauhnya beribu batu dari sini, melalui lautan, merentasi gunung ganang, langit biru, bertukar cuaca dan hidup dalam masyarakat yang berlainan agama dan bangsa. Orang melayu memang peramah dan baik hati, cuma sikap dan pemikiran mereka masih di takuk lama. Masih mempertahankan adat budaya bangsa.
Dia yakin mampu mengubah sesuatu di sini. Akhirnya dia berjaya mengubah kehidupan mereka tetapi dia terlupa pada pemikiran setiap manusia. Dia mendapat pujian kerana kecemerlangan tugasnya. Dia cuma gagal dalam satu perkara penting melibatkan hidupnya. Kenapa? Saat dia ingin berlalu, kenapa mesti ada pertemuan antara mereka? Mengapa sukarnya dia melepaskan sedangkan adanya tentangan yang memudahkan untuk memberi alasan yang paling praktikal. Apa hebatnya gadis melayu sehingga menjadikan dirinya begini? Mengapa tidak saja dia terus berlalu, kenapa perlu ada bebanan dalam hati ini untuk meninggalkan bumi bertuah ini.
Kini, dia sudah faham sikap dan cara pemikiran orang melayu. Sememangnya jauh berbeza dengan cara hidup bangsanya yang lebih bebas dan terbuka. Setelah lama hidup bersama-sama dengan orang melayu, bercakap bahasa melayu, bergaul dan menjalani kehidupan di Malaysia, dia akan merindui segala-galanya di sini. Mengapa dia sanggup membawa diri jauh dari sini hanya kerana seorang gadis melayu?
Ada ketukan halus di pintu bilik, menyedarkan Benjamin ke dunia nyata.
“Mr. Ben, dah siap berkemas?” soal Lydia. Benjamin tersedar, segera tersenyum.
“Apa dia Lydia?” soalnya dalam bahasa melayu yang semakin baik. Berada di bumi Malaysia membuatnya lebih suka bertutur dalam bahasa itu. Setiausahanya itu suka mengusik.
“Saya tanya dah siap berkemas. Jika perlukan pertolongan saya sudi membantu.”
“Oh! Terima kasih Lydia kerana ingatkan saya. Tak banyak sangat barang-barang nak di kemas. Beritahu Mr. Haikal, fail-fail di meja saya ini cuma perlu di semak dan saya tak sempat buat hari ini.” Dia menyedari kealpaannya. Memberi isyarat supaya Lydia duduk. Ingin berbual-bual sebelum keberangkatannya esok. Mr. Haikal adalah orang yang diamanahkan untuk menggantikan tugasnya di sini.
“Esok, Mr. Ben berlepas jam berapa?” Lydia meneliti bosnya yang baik hati itu. Kenapa perlu ada perpisahan dengan bos sebaik Mr. Benjamin.
“Pukul sebelas pagi. Kenapa nak hantar saya? Tak apalah Lydia. Terima kasih banyak kerana selama saya berada di sini awak memberi kerjasama yang cemerlang.” Benjamin tersenyum, menyembunyikan rasa yang menyerang jiwanya kala ini. Api rindu di dadanya semakin menyala bila memikirkan perpisahan yang bakal terjadi.
“Dah tugas saya Mr. Ben, entah bila lagi kita akan dapat berjumpa. Mr. Ben semakin jauh ke Berlin.” Lydia tahu sedikit sebanyak sebab perpindahan Mr. Ben berhubung kait dengan peristiwa bulan lalu. Seingatnya, ada enam bulan lagi masa tambahan bagi menyiapkan tugas Mr. Ben bermakna pertengahan tahun depan perpindahannya. Namun surat arahan terbaru menyatakan hujung tahun ini. Ada kemusykilan melihatkan menungan Mr. Ben sejak tadi dari luar biliknya.
“Berlin? Tak jauh dan tak mustahil untuk Lydia ke sana suatu hari nanti jika amalkan sikap bekerja begini. Jangan hanya kerana saya berkhidmat saja Lydia menunjukkan prestasi baik, saya mahu Lydia teruskan amalan yang sama semasa saya berada di sini.” Pesannya.
“Saya akan berusaha untuk maju. Saya harap Mr. Ben rindukan suasana di sini.”
“Tentu saya akan rindu, terutama orang-orang di sini. Saya tunggu kedatangan Lydia di Berlin.” Benjamin memberi semangat.
“Lydia tolong carikan saya kotak.” Arahnya dan mereka mengakhiri perbualan apabila deringan telepon melalui talian peribadi di meja Benjamin meminta perhatian. Lydia segera berlalu tidak mahu menganggu.
“Hello? Yes.” Ucap Benjamin menjawab talian.
“Yes sure. Okay. Tomorrow, at 11.00 a.m.”
“No thank you. Its okay! I can make it.”
“Oh… Sorry? Yes, I know. Thank you.”
“Okay, bye.” Benjamin meletakkan ganggang. Perbualan dengan ketua pengarah syarikat di Oversea. Masa terasa cepat berlalu, bermakna semakin menghampiri perpisahan dengan gadis itu. Setelah menerima kotak dari Lydia dia cepat mengemaskan apa yang patut. Lydia jugak mengingatkannya tentang majlis perpisahan yang akan diadakan pukul 4 petang ini sempena pemergiannya ke Berlin. Mengikut rancangannya esok, dia dari rumah terus ke lapangan terbang.
“Terima kasih!” ucap Benjamin setelah tamat majlis perpisahan yang sengaja mereka adakan petang ini. Hanya itu ucapan yang mampu diucapkan dalam pelbagai rasa yang bersarang dalam jiwanya kini. Dia berlalu bersama sebuah kotak berisi barang-barang yang dibawanya ketika mula-mula memasuki syarikat ini dulu. Segera punat lif di tekan tiba-tiba ada tangan menghalang pintu lif tertutup. Benjamin melemparkan senyum bila melihat wajah yang tidak diduga muncul mendadak di pintu lif. Satu ekspresi spontan darinya.
“Kyle!” panggil Haikal memasuki lif. Pintu lif tertutup semula dan bergerak ke bawah. Kelihatan Haikal menarik nafas kepenatan berlari kerana menghalangnya.
“Yes, Haikal. Ada apa-apa.” Benjamin terkejut, tiada sesiapa selama ini menggunakan nama pangkalnya. Semua teman sepejabat tahu dia lebih suka di panggil sebagai Mr. Ben atau Benjamin sahaja atas permintaannya. Haikal masih menstabilkan dirinya sebelum membuka mulut.
“Oh… tentang tugas, Haikal boleh tanya Lydia. Saya dah bagi Lydia segala butir berkaitan tugas dan tanggungjawab yang perlu Haikal pikul nanti. Dan, terima kasih kerana selama saya berada di sini Haikal memberi kerjasama yang baik.” Terang Benjamin tersenyum.
“Maafkan saya!” dua patah perkataan yang susah sangat dia dengar dari mulut Haikal selama di sini. Setelah berlaku perselisihan dulu, mereka hanya berkerjasama kerana tugas. Bertahun dia bertugas, barulah dia tahu kenapa Haikal dari awal tidak menyukainya. Segera terpampang kisah lampau yang menjadi inti pada segalanya…

Pertukaran Kyle Benjamin sebagai Duta Syarikat Komputer Gergasi ke Malaysia menjadi satu topik hangat dalam perbincangan keluarga. Negara Malaysia yang tidak wujud dalam peta minda masyarakat London apatah lagi dalam keluarga bangsawannya. Suatu tempat yang tidak terkenal dan seakan kewujudannya tidak diketahui. Bumi Malaysia yang kecil terletak dalam benua Asia Tenggara memerlukan kemasukan pihak pelabur dari luar dalam bidang perkomputeran. Syarikat tempatnya berkerja terpilih dan dia dihantar kerana prestasi yang ditunjukkan amat menggalakkan. Sebaik sahaja dia menjejakkan kakinya di bumi Malaysia, dia kagum dengan suasana yang terpampang di depan mata, alam kehijauan luas terbentang sejajar dengan arus pembangunan, kehidupan masyarakat Malaysia berbeza jauh dengan cara hidup masyarakat London. Masyarakat yang masih berpegang kuat pada ajaran agama dan budaya masing-masing. Mereka boleh bertutur dan bergaul antara satu sama lain. Pertama kali keluar dia sedar masih ada batas-batas antara dirinya dan orang-orang sekeliling bila dia berjalan-jalan sendirian. Ada suara-suara sumbang memanggil dirinya ‘orang asing’ bersama satu pandangan. Dia tidak ambil pusing semua itu. Baginya misi perlu selesai dengan baik, dan membuahkan hasil dan menyenangkan pihak ibu pejabatnya.
Sehari, seminggu, sebulan dan akhirnya bertahun berlalu. Dia banyak mengetahui mengenai Malaysia dari Lydia dan bahan bacaan yang dibelinya. Dia banyak menghabiskan masa cutinya di kawasan peranginan Malaysia. Dia juga melihat perkembangan Malaysia selari dengan perkembangan tugasnya di sini. Lydia, setiausahanya yang dilantik sebaik sahaja dia menjawat jawatan itu di sini. Kadang kala Lydia mengusiknya dalam bahasa melayu, namun dia harus berterima kasih kepada Lydia kerana serba sedikit kefasihannya bercakap melayu adalah hasil tunjuk ajar Lydia. Dalam tahun-tahun yang berlalu tugasnya dijalankan dengan baik walaupun pada awalnya dia ada masalah komunikasi dengan para pekerja. Dan masalah peribadi dengan seseorang iaitu Haikal. Lelaki itu sejak awal sememangnya telah memulaukan kedatangannya. Entah kenapa?
“Kalau kau masih mahu hidup lagi di sini, jaga diri kau baik-baik!” amaran keras dari Haikal.
“Haikal, saya tak tahu apa salah saya?” soalnya ingin tahu, tiba-tiba diserang dalam lif dan menerima amaran keras. Walaupun dia tahu sebelum ini Haikal selalu menyinggungnya ketika mesyuarat pengurusan.
“Hei! Kau tak dengar apa aku cakap. Aku tak suka kau masuk campur dalam urusan aku.” Haikal membentak marah. Apa salahnya sehingga membuatkan Haikal bersikap begitu padanya.
“Saya tak ada masuk campur.” Lembut dan baik-baik dia menjawab masih dalam longat keinggerisannya.
“Benci aku mendengar kau bercakap melayu. Kau tak layak untuk berada di sini. Kerana bangsa orang macam kau adalah perosak.” Keras dan sinis kata-kata Haikal.
“Itu tuduhan tak berasas Haikal.” Benjamin masih berlembut walaupun terhina sedikit. Pintu lif terhenti dan perbalahan mereka senyap kerana ada orang lain masuk sama ketika itu. Walaupun tidak berapa fasih berbahasa melayu sangat, dia cuba juga bercakap dalam bahasa itu. Dia mahu membuktikan tidak semua bangsanya seperti dulu. Perselisihan tercetus kerana dendam masa lampau. Makcik Haikal yang berkahwin dengan pemuda inggeris tetapi akhirnya ditinggal di sini tanpa khabar berita sehingga wanita tersebut menderita dan gila. Dia tidak terlalu runsingkan kenyataan itu. Namun, panas disangka hingga ke petang, rupa-rupanya hujan di tengahari. Hidupnya mula tidak menentu apabila 2 bulan yang lalu tanpa sengaja dia terserempak dengan seorang gadis di sini. Dan, gadis itu datang bertemu dengan Haikal, seterunya selama ini. Melalui Lydia dia mengetahui gadis itu bernama Haiza, adik kepada Haikal dan baru sahaja menamatkan pengajiannya di Universiti Tempatan. Haiza akan menyambung pengajiannya ke peringkat Master tidak lama lagi.
Pertama kali terserempak, mata bertentangan saling berbalas senyuman. Benjamin sudah merasakan dengupan jantungnya kencang. Betapa manis dan cantiknya gadis melayu bertudung itu di matanya. Masa berlalu, dia membiarkan sahaja perasaannya tidak mahu dibuai perasaan apabila melihat Haikal abang Haiza memberi tentangan. Haikal memang seorang yang pendendam. Tapi, semakin di cuba untuk melupakan wajah itu semakin menjadi satu ingauan tidur malamnya. Akhirnya dia menerima pertukarannya ke Berlin, 6 bulan lebih awal dari surat sambungan kontraknya. Bermakna dia hanya berada di Bumi Malaysia selama 7 tahun 6 bulan sahaja. Biarlah dia rugi kerana melanggar perjanjian dari terus berdepan dengan sesuatu yang menggetarkan kalbunya. Bukan bermaksud dia penakut tetapi kerana dia tahu tidak ada gunanya merayu pada yang nyata menolaknya.
Kebisingan suasana Lapangan Terbang Antarabangsa ini sudah menjadi satu keadaan yang biasa. Benjamin sudah datang sejak sejam yang lalu lebih awal dari masa penerbangan. Sepanjang pagi tadi dia habiskan masa dengan menungan dan berfikir. Akhirnya dia tetap mengambil keputusan untuk ke Berlin. Dia cuma duduk diam membaca di ruang legar menunggu. Pengumuman kedengaran mengarahkan penumpang agar memasuki pesawat. Segera Benjamin mengambil tempat duduk di tepi tingkap pesawat. Tiba masa berangkat, dia sudah bersedia untuk berlepas dan menyimpan semua yang berlaku di Malaysia sebagai satu ingatan. Suatu masa nanti dia akan kembali lagi, walaupun kali ini dia pergi membawa bersama lara hatinya. Dia sudah tidak ambil pusing pada sekelilingnya. Leka melihat pemandangan udara bumi Malaysia untuk kali terakhir.
“Kyle!” Benjamin berpaling melihat gerangan suara yang menyapanya itu. Memberi senyuman, kemudian berpaling kembali melihat pemandangan yang seakan memukaunya di luar tingkap. Kenapa hari ini ada nama pangkalnya diguna orang? Melihat ketampanannya, mungkin ada pramugari yang terpikat lagipun dia masih muda dan bujang baru memasuki awal 30an tak hairan jika ada yang menyapa. Namun, dengan pantas dia menyedari sesuatu, kembali melihat wajah disebelah yang memanggilnya dengan satu senyuman berbunga.
You?” soalnya menyedari keadaan mereka.
Yes…” jawab Haiza tersenyum riang.
How long have you been here?” soal Benjamin.
I have been here since 2 months ago,” gurau Haiza menunjuk hatinya sendiri.
You are kidding me,”  tingkah Benjamin tidak percaya, siapa di depan matanya.
What? You don’t believe me?” maksud Haiza, kemunculannya dalam hidup Benjamin. Sejak mereka bersua dan bertentang mata hatinya sudah diikat. Benjamin faham…
No. Not that…” penafian segera diberi agar salah faham tidak berlanjutan.
What?” Haiza sengaja mendera bersama tawa perlahannya.
You amaze me with this surprise. So, can you explain?” pinta Benjamin.
I’ll continue my master in Berlin.”
Oh! So, that’s the true story.” Akhirnya Benjamin mengerti ucapan maaf dari Haikal.
“Ya… Apa yang menarik di luar sana tu?” soal Haiza melihat reaksi awal Kyle tadi.
“Sesuatu untuk disimpan dalam hati tapi nampaknya…” Haiza tersenyum penuh erti.
“Nampaknya?” segera Haiza melontarkan persoalan.
“Haiza mahu jawapan, Haiza tahu jawapannya. Nampaknya tak perlu kerana ‘kau sudah ada di sisiku akhirnya’...” Kyle Benjamin Sean William peta berbicara melayu, gembira tidak terkata dengan kehadiran Haiza di sisinya. Gadis melayu yang mengikat hatinya, yang pasti dia tidak akan melepaskan Haiza dengan mudah.
Selamat menyambut tahun baru!  Selamat mendapat teman hidup.  Senyum mekar di bibir mereka.

Tiada ulasan: