Isnin, 26 Oktober 2015

OMBAK MEMUJUK PANTAI MENANGIS II

Sambungan Puisi semalam puisi lama ini buat aku terkenang zaman pantai belum dibuat tembok dan sekatan:


Berlumba-lumba ia datang
Cantik memukau mata yang memandang
Terpaku menikmati keindahan yang terhias
Rentak yang amat menghairahkan
Perasaan yang sepi menjadi riang
Dari jauh ia datang
Angkara angin buat durjana
Namun ….
Ia tetap setia melawan

Anehnya seketika perasaanku
Melihat ia membesar
Melambung ke udara tinggi
Ajaibnya, mengapa ia boleh jadi begitu?
Tiba-tiba…
Ada debaran ketakutan
Menguasai ruang pemikiran
Andainya ia datang menghempas
Ibarat badai tanpa haluan
Mampukah aku lari jauh darinya?
Rupanya ia hanya datang
Memujuk pantai yang sedang menangis
Kini
Aku tidak lagi keseorangan pagi ini
Aku sedang ditemani
Dari kejauhan susunan bangku
Seorang pengawal anjung dan seorang pakcik
Sedang berbual…
Selang semeja dari tempatku berada
Tempat seawal pagi ini yang tidak berganjak sedikit pun
Seorang lelaki sepi sedang merenung ombak
Mencari kedamaian MERDEKA mungkin?
Pada laut yang luas bersama tangisan pantai
Seirama dengan perasaannya
Renungan lelaki sepi itu yang memberitahuku
begitu
Selepas itu…
Dua remaja datang menghampiri pantai
Bersama plastik minuman di tangan
Yang pastinya akan menjadi
“Khazanah” pantai seketika nanti
Mereka duduk di depan lelaki sepi itu
Selang tiga meja dari tempatku
Mereka duduk melihat laut pagi ini
Namun, aku pasti …
Mereka datang hanya untuk duduk santai
Berbual tanpa peduli keadaan lara ini
Seketika aku mendongak semula
Merenung sikap remaja itu
Lantas teringat sesuatu
Lelaki sepi itu telah menghilang?
Aku berpaling mencarinya
Nun jauh di jalan batu bata
Dia telah berlalu
Mungkinkah hatinya telah terhibur
Atau masih lagi belum BEBAS?
MERDEKA? Mengapa?
Jauh terlihat
Kapal-kapal di tengah laut belayar
Pelabuhan utama Bandaraya
Bangunan-bangunan tinggi
Yayasan Sabah, SMC,
Masjid Bandaraya dan
Kehijauan yang masih terasa
Bayu berpuput yang masih sama
Pulau-pulau berdekatan
Di sekelilingku bersama-sama
Menyaksikan pagi ini
‘Ah! Terpercik air laut’
Aku terkejut dengan kedatangan ombak
Tempias hempasannya pada pantai kali ini
Menyimbah tempatku.
Lantas aku terlupa apa yang sedang
Berlegar di mindaku
Ada bunyi aneh di tengah laut, mataku meliar
Mencari, melihat sebuah bot laju bergaya di tengah laut
Datang dari Pulau Gaya, berpusing
Lantas terlihat rumah-rumah setinggan
Nun jauh di tepi laut sana
Aku memandang arah kiriku
Jalanraya Bandar MERDEKA!
Tiap masa kenderaan lalu lalang
Tidak berhenti, tidak mengerti
Ada yang sedang berlangsung di sini
Ombak memujuk
Pantai menangis
Ditulis pada : Anjung Selera – 22/07/2006 – 08.08 Pagi
p/s : tunggu sambungan esok. trilogi pusi ini ketika menanti pagi menjelma di pantai tanjung lipat Likas, Sabah.

Tiada ulasan: