Isnin, 5 Ogos 2019

TIPS HADKAN MENONTON TV

1. TEMPATKAN TV DITEMPAT KHAS YANG UTAMA DIDALAM RUMAH SEPERTI RUANG TAMU.
Jika TV berada di ruang yang terbatas dari penglihatan kita, anak-anak mungkin menonton TV tanpa pengetahuan kita.

Pastikan TV dikelilingi dengan barangan lain seperti buku-buku, atau rak-rak yang  menyimpan barangan lain seperti permainan kanak-kanak.

Ini dapat mengalih tumpuan anak-anak dari melihat hanya TV adalah hiburan utama (malah satu-satunya) didalam rumah.



2. TETAPKAN PERATURAN KHAS MENONTON TV.
Menonton TV adalah dilarang semasa menyiapkan kerja rumah, masa makan bersama keluarga, dan apabila anak-anak melakukan kerja mengemas rumah atau kerja penting yang lain.

Benarkan anak-anak menonton TV pada waktu yang telah ditetapkan beberapa jam sehari, dan kuatkuasakan peraturan dengan menutup TV setelah waktu yang telah ditetapkan tamat.



3. LANGGAN PAKEJ ASTRO YANG PALING MINIMUM ATAU TIDAK MELANGGAN ASTRO LANGSUNG.
Anak-anak akan lebih cenderung untuk bergantung kepada TV sebagai hiburan mereka jika mempunyai ratusan saluran yang boleh dipilih.

Disyorkan supaya anak-anak hanya dibenarkan menonton tv tidak lebih dari 3 jam sehari. Biarkan anak-anak banyak menghabiskan masa dengan aktiviti lain.

Jika astro anda ada fungsi PVR, gunakan kelebihan itu untuk merekod supaya anak-anak tidak terlepas rancangan kegemaran mereka, tetapi dalam masa yang sama kita boleh memastikan mereka tidak menonton TV sebelum menyiapkan kerja lain.



4. GALAKKAN ANAK-ANAK MENYERTAI AKTIVITI REKREASI SEBAGAI ALTERNATIF.
Daftarkan anak kita untuk menyertai aktiviti yang menyihatkan dan memberi faedah bagi mengisi masa mereka seperti kelas taekwando, silat, kelas seni dan muzik, dan kelas agama – yang membawa mereka keluar daripada rumah.

Jika ini bukan suatu pilihan bagi anda atas sebab tertentu, maka kita perlu berusaha untuk meluangkan sedikit masa dengan anak-anak kita supaya mereka tidak menonton TV.

Contoh aktiviti yang boleh dilakukan bersama adalah bermain catur, joging dan berenang, atau meluang masa di taman rekreasi bersama keluarga beberapa jam dalam seminggu.

5. BERI CONTOH YANG BAIK DARIPADA DIRI KITA SENDIRI.
Anak-anak akan mengikut cara apa yang dilihat pada ibu bapa mereka. Oleh itu, kita sendiri harus menghadkan masa menonton TV dan lebihkan masa dengan melakukan aktiviti lain.

Membaca buku beramai-ramai bersama keluarga adalah satu aktiviti yang baik.

Jika ada kelapangan masa yang panjang seperti hujung minggu, anda boleh melakukan aktiviti rekreasi yang melibatkan anak-anak seperti memancing diluar kota. Jika tidak, cukuplah sekadar aktiviti di rumah seperti berkebun dan memasak.

 6. JADIKAN MENONTON TV SEBAGAI AKTIVITI BERSAMA
Tetap masa khusus untuk menonton TV beramai-ramai, seperti hujung minggu dan awal malam, apabila tiada kerja lain yang perlu dibuat.

Ibu bapa boleh mengulas dengan anak-anak mengenai rancangan yang telah mereka tonton, supaya keadaan tidak terlalu pasif dan kita boleh terlibat dengan kehidupan anak-anak.

Ia juga memboleh kita mengawal rancangan yang bersesuaian dan menukar channel jika kita merasakan anak kita tidak harus menonton rancangan itu.

Ahad, 4 Ogos 2019

BANTU SIAPKAN KERJA SEKOLAH ANAK

1. SEDIAKAN SATU RUANG ATAU BILIK KHUSUS YANG TENANG UNTUK ANAK-ANAK MEMBUAT KERJA SEKOLAH.
membuat kerja sekolahGangguan luar seperti komputer, televisyen, telefon pintar dan tablet hendaklah dijauhkan dan diharamkan semasa waktu membuat kerja sekolah.

Menyediakan semua kelengkapan persekolahan berdekatan tempat duduk akan mengurangkan anak kita dari kerap bangun dari tempat duduk dan mendapat gangguan ditempat lain.

2. CARI MASA YANG PALING IDEAL UNTUK ANAK ANDA MEMBUAT KERJA SEKOLAH.
Masa yang ideal untuk membuat kerja rumah boleh berbeza antara keluarga kita dan keluarga orang lain.

Sesetengah kanak-kanak masih berada dalam mode belajar walaupun baru sahaja pulang dari sekolah, menjadikan waktu itu adalah waktu yang paling ideal untuk mereka membuat kerja sekolah.

Sesetengah kanak-kanak lain pula mungkin memerlukan masa untuk melepaskan stress dan kepenatan mereka sebelum boleh untuk mula membuat kerja sekolah.

Benarkan anak kita untuk menentukan waktu untuk membuat kerja rumah selepas waktu persekolahan mungkin boleh membantu mengurangkan rasa rimas dan membolehkan mereka menyediakan diri mereka dengan mode belajar.

3. BANTU ANAK ANDA DENGAN MEMBINA PELAN TINDAKAN
Anak-anak kecil anda mungkin merasa cemuh dengan tugasan yang mereka perlu siapkan.

Dengan menyediakan jadual ataupun checklist tugasan mengikut tahap kesukaran atau masa yang diperlukan untuk menyiapkan tugasan, boleh membantu anak anda untuk fokus dan mengendalikan beban tugas dengan lebih baik.

4. BANTU MEREKA UNTUK FOKUS
Halang gangguan yang datang dari kerja sekolah itu sendiri seperti terlalu banyak perenggan dan perkataan, serta soalan yang lain dalam kertas soalan yang sama.

Gunakan kertas kosong untuk menutup bahagian yang mengganggu itu supaya anak dapat fokus terhadap soalan yang mereka sedang selesaikan.

Anda juga boleh gunakan pembaris untuk diletakkan dibawah setiap baris ayat yang sedang dibaca dan anak perlu menggerakkan pembaris ke setiap perenggan baru untuk membantu mengekalkan fokusnya.

5. BANGUN DAN JAUHKAN DIRI DARI ANAK BEBERAPA MINIT.
membuat kerja sekolahBila anak kita sudah mula untuk menyiapkan kerja rumah, tinggalkan ruang itu dan biarkan dia menyiapkan kerjanya selama beberapa minit.

Bantu anak kita untuk meneruskan kerjanya dengan memberitahunya bahawa kita akan kembali dalam masa 5 minit untuk memantau perkembangannya dan membantu jika ada sebarang persoalan.

Ini kerana, jika anak terasa terganggu dengan kehadiran kita, ia akan membuatkan anak semakin sukar untuk fokus.

6. AMBIL NAFAS DALAM-DALAM
Kadangkala, proses menyiapkan kerja rumah memang menggeramkan ibu bapa dengan pelbagai karenah anak-anak sehingga hilang rasa sabar.

Anak-anak juga mungkin hilang fokus dan motivasi.

Jika anda merasakan rasa sabar semakin memudar, beralih dari kawasan itu sehingga kita kembali tenang. Juga berikan anak anda rehat selama beberapa minit (sebaik-baiknya 15 minit untuk setiap satu jam) supaya mereka boleh refresh kembali.

7. BERIKAN PUJIAN
Berilah pujian kepada setiap pencapaian dan usaha yang anak anda lakukan dalam menyiapkan kerja sekolahnya, terutamanya jika kerja sekolah itu agak mencabar.

Jika perlu memberi teguran, berilah kritikan secara membina. Memarahi anak kerana tidak dapat mencapai standart yang ditetapkan hanya membuatkan mereka lebih kurang produktif.

Sebaliknya, tanyakan diri kita sendiri apa yang boleh dilakukan untuk membantu mereka mencapai standard yang disasarkan.

Sabtu, 3 Ogos 2019

TIPS MENANGANI MASALAH ANAK BERBOHONG

1 MENDENGAR

Mendengar dan memahami apa sebenarnya di sebalik ‘ketidak-jujuran’ itu. Membaca riak wajah, memahami apa yang mereka lalui seharian atau mungkin ada hajat yang tidak dipenuhi. Take time and listen.

2 MENILAI BERDASARKAN TAHAP PERKEMBANGAN

Bila ingin menyalahkan/menghukum mereka, jangan lupa mereka sebenarnya masih kecil. Nilai mereka berdasarkan berapa usia kematangan mereka. Jangan pukul rata, padahal usia yang berbeza mencerminkan tahap perkembangan peribadi yang berbeza.
Anak 3 tahun yang ‘berbohong’ tak sama nilai kesalahannya dengan anak 13 tahun yang berbohong. Tak logik kedua-duanya kena hukuman yang sama. Ingat! Yang salah ialah perbuatan mereka, it’s the behaviour that was wrong, not the person.

3 BINA HUBUNGAN ERAT

Bina hubungan dengan anak anda. Jadikan mereka hormat pada anda sehingga anda menjadi orang ‘terakhir’ yang dia akan tipu dalam dunia ini. Ibu bapa yang jarang di rumah; bila dirumah asyik menghadap telefon; bila diminta tolong bacakan buku, ajar mengaji susah; semua ini antara sikap yang menghakis hormat anak pada ibubapa.

4 BERIKAN CONTOH

Tunjukkan contoh. Jangan menipu, bercakap bohong, jenaka yang melampau tak kira terhadap anak, isteri, suami atau orang lain. Cuba jujur dalam apa jua keadaan.
“Abi tak bagi sebab kakak dah makan banyak aiskrim tadi, nanti gigi rosak, sakit gigi, tak boleh ke sekolah” lebih baik dari ‘makanlah lagi nanti Abi letak kakak dalam peti ais!”

5 MENDIDIK ERTI TANGGUNGJAWAB

Untuk anak yang berusia 7 tahun ke atas, mula didik ‘responsibility’. “Kalau abang buat ini jadi begini, tak buat ini jadi begini”. Bagi mereka faham, apa yang mereka lakukan tak habis disitu sahaja, ada kesan.
Saya ajar anak saya ‘responsibility’ dengan binatang peliharaan. Bila dia tahu tanggungjawab, dia tahu kesan baik buruk perbuatan dia, dia akan nampak value jujur dalam diri.
Kalau tertangkap mereka berbohong, ajar mereka perbaiki sendiri keadaan ‘kalau tak solat, suruh qadha’ solat depan kita, kalau tak jaga adik, potong waktu bermain.

6 MEMBERI HUKUMAN YANG BETUL

Disiplin dengan hukuman. Menghukum mereka kerana ‘berbohong’ boleh mengajar mereka agar tidak mengulang perbuatan. Namun hukuman tidak semestinya fizikal. Boleh jadi tak dapat bintang (system star-chart), kurangkan masa main, duduk sudut bilik (ikut usia – 1 minit untuk satu tahun), jangan bercakap dengannya untuk suatu tempoh, tangguh plan jalan-jalan.

7 BERIKAN SEBAB DIHUKUM

Terangkan kepada mereka mengapa mereka dihukum. Sebelum dan selepas hukuman, brief mereka why do they deserve this. Bagi yang lebih besar, Tanya mereka apa yang mereka dapat bila dihukum.

8 KONSISTEN DAN TEGAS

Be consistent dengan disiplin. Jangan bermusim, memilih, dan tak serius dalam mendisiplinkan anak. Mereka akan dapat mesej bahawa mereka dihukum kerana ‘mood’ mak ayah, bukan kerana kesalahan.

9 HADIAH JIKA JUJUR

Reward kejujuran mereka. Jangan hanya nak menghukum. Bila mereka jujur, iktiraf kejujuran mereka, puji dan bagi hadiah. Tak semestinya fizikal. Extra play time, extra ice-cream semua dikira. Maklumkan mereka reward ini kerana mereka jujur, kalau tak tak akan dapat.

10 DIDIK AKIDAH SEAWAL MUNGKIN

Didik mereka seawal mungkin dengan Aqidah, Allah maha melihat, syurga, neraka, konsep dosa dan pahala. Guna cerita, hadith, movie, nasyid dan sebagainya. Sedikit demi sedikit dan sentiasa relate semula dengan perilaku seharian mereka.
Saya juga masih balajar dan bertatih dalam pengembaraan mendidik anak ini. Setiap anak dan keluarga berbeza. Apa yang kita lalui menjadi manual yang tersendiri dalam mendidik anak. Apa yang saya kongsikan adalah panduan umum, saya alu-alukan para ibubapa yang berpengalaman berkongsi bersama pengalaman masing-masing dalam ruangan komen.
Dari Abdullah bin Mas’ud radhiyallahu ‘anhu, bahwasanya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Sesungguhnya kejujuran itu membawa kepada kebaikan, dan kebaikan menghantarkan ke dalam syurga. Tidaklah seseorang berbuat jujur hingga Allah mencatatnya sebagai orang yang selalu jujur.
Dan berbohong itu membawa kepada kejelekan, dan kejelekan itu menghantarkan ke dalam neraka. Sungguh seseorang terbiasa bohong hingga Allah mencatatnya sebagai seorang pembohong.”
(HR. Bukhari No. 6094, Muslim No. 2607)

Jumaat, 2 Ogos 2019

11 NASIHAT KEPADA IBU YANG SAYANGKAN ANAK (LELAKI) MEREKA


Ibu mana yang tidak sayangkan anak.
Bagi mereka yang pernah bergelar ibu, pasti mereka mengakui bahawa tiada perkataan yang dapat menggambarkan betapa perasaan seorang ibu terhadap anaknya.
Namun kadangkala, perasaan yang terlampau sayang akan membawa kita kearah terlalu memanjakan anak, lantas membuatkan kita membesarkan mereka dalam keadaan yang salah.
Ada beberapa perkara yang perlu kita beri perhatian, dan bertegas dengan hati sendiri dalam membesarkan anak-anak:

1.AJARKAN DIA MENGEKSPRESI PERASAAN.

Anak anda mungkin selalu menangis kerana marah atau ketakutan.
Jelaskan kepadanya bahawa perasaan-perasaan itu adalah satu cetusan dan beritahunya apa yang perlu dibuat. Bincangkan juga mengenai perasaan anda dengannya.
Apabila dia membesar, dia akan tahu perbezaan diantara marah, kekecewaan, kesedihan dan kekeliruan.
Dan dia juga akan tahu bagaimana untuk mengendalikan emosinya, serta ‘melepaskannya’ dengan cara yang betul.

2. AJARKAN DIA MEMBERSIHKAN DIRI SENDIRI, MEMASAK, MEMBASUH BAJU DAN MENGGOSOK BAJUNYA SENDIRI.

Walau apa-apa pun yang akan terjadi pada suatu masa nanti, pada masa itu, pasti dia akan rasa sangat bertuah kerana anda melatih dia supaya berdikari sejak dari waktu kecil lagi.

3. BACAKAN KEPADANYA DAN MEMBACA DENGANNYA.

Benar, kanak-kanak akan menjadi seorang pencinta buku apabila duduk di riba anda, sambil melihat anda membaca.
Beritahunya apakah buku yang anda suka baca dan watak-watak kegemaran anda. Jelaskan kepadanya kenapa pentingnya untuk membaca.
Bacalah buku bersama.
Amalkan membaca Surah Toha ayat 1-8, Surah ar-Rahman ayat 1-4 dan surah al-Insyirah semasa menemani anak melakukan aktiviti ini.
Kemudian berbincanglah dengan dia, merungkai plot dan isi bersama, dan lukis gambar bahagian yang dia paling suka pada cerita tersebut.
Yang paling penting, jelaskan pengajaran berguna yang harus dia teladani.

4. YAKINKAN DIA UNTUK MENCAPAI PERKARA YANG  HEBAT.

Bijak, berani, kuat, berbakat, jujur.
Ceritakan kepadanya tokoh-tokoh yang hebat; penulis, pengembara, saintis, ulamak, pemimpin dan sebagainya.
Ceritakan kepada dia bagaimana mereka ini hidup, apa yang mereka buat dan apa yang mereka telah berjaya capai.
Dan bagaimana kecantikan dalaman didalam diri seseorang adalah jauh lebih penting daripada apa yang ditonjolkan pada luaran.

5. JADI CONTOH KEPADANYA.

Jadilah superhero kepada anak kita, jadilah contoh ikutan.
Perkara ini akan berlaku dengan sendirinya tanpa kita perlu mengeluarkan sepatah ayat pun.
Walau bagaimana pun, anda harus tetap menunjukan kepada anak kecil anda betapa cantik, bijaksana dan jujurnya diri anda.
Bagi mereka, anda adalah manusia paling sempurna, paling ideal..
..dan yang akan menjadi kayu ukur kepada insan-insan lain yang akan datang ke dalam kehidupan mereka.

6. AJARKAN PERILAKU YANG BAIK

Ajarkan anak kita dengan ucapan ‘tolong’ dan terima kasih’.
Ajarkan juga kepadanya agar tidak lokek untuk menawarkan pertolongan, menjadi pemurah dan suka berbuat kebaikan.
InsyaaAllah, perkara ini walaupun kecil, akan memberi sumbangan yang besar kepada dunia.
Pasti ganjaran pahala besar menanti anda.

7. LETAKKAN ALLAH DALAM HATINYA SEBAGAI TEMPAT BERGANTUNG.

Anak-anak kita pasti akan mengalami ketakutan dan kepenatan, kesakitan dan kesedihan, berkali-kali dalam sepanjang kehidupannya.
Adakalanya, disaat dia memerlukan anda, anda tidak mampu untuk berada dekat  disisinya.
Oleh itu tanamkan tempat bergantungan dalam hatinya, iaitu Allah. Tuhan sekalian alam. Ini akan membuatkan hidupnya terus berjalan, walaupun semangatnya telah lemah.
Apabila mereka telah faham ini, mereka tidak akan sesekali rasa kesorangan. Dia ada Allah sebagai tempat bergantung dan meletakkan keyakinan.
Hasbunallah Wa Ni’mal Wakil, Ni’mal Maula Wa Ni’man Nashir
“Cukuplah Allah menjadi Penolong bagi kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung”

8. AJARKAN MEREKA UNTUK BERLEMBUT

Semaikan rasa kasih sayang dan perasaan berlembut mereka dengan kanak-kanak yang lebih kecil, dengan haiwan, dengan bunga, dan dengan perasaan orang lain.
Semaikan perasaan berkasih sayang sesama makhluk. Semoga anak kita dibesarkan dalam perasaan yang penuh kasih dalam dirinya.

9. TUNJUKKAN MINAT KEPADA HOBI MEREKA

Ibu bapa yang baik akan mengambil tahu tentang pasukan bola kegemarannya, belajar lagu kegemarannya. Hadirkan diri anda secara aktif dalam hidupnya.
Bukannya hanya memerhatikan gelagat anak kita dari jauh.
Hati anak akan lebih terkesan apabila dia mengetahui bahawa ibu bapanya menyokong minatnya.

10. BUAT AKTIVITI DILUAR RUMAH BERSAMA

Tutup TV, simpan konsol video game, dan tinggalkan telefon bimbit anda.
Keluarlah bersiar-siar dengan anak anda dan biarkan kemana sahaja dia mahu pergi. Perhatikan reaksi mereka dan berkomunikasilah dengan mereka.
Nikmati saat tersebut.
Pasti anda merasakan kebahagiaan apabila dapat mengisi masa dengan anak dan melihat mereka membesar didepan mata.

11. SENTIASA MENJADI ‘RUMAH’ KEPADANYA.

Semasa anak kecil kita sedang belajar berjalan, secara tak stabil dia hanya akan melangkah pergi beberapa langkah dari anda – dan kemudian dia akan kembali.
Kemudian apabila dia sudah sedikit besar, akan mula berjalan lagi sedikit jauh disekitar rumah, tetapi dia akan sentiasa pulang setiap masa.
Dia akan tertunggu-tunggu senyuman bangga anda bila dia menunjukkan lukisan pertamanya kepada anda.
Apabila dia belajar membaca, dia akan membaca buku yang sama kuat-kuat sebanyak 20 kali. Kerana dia tahu ibunya akan sentiasa mendengarnya bila dia buat begitu.
Bila dia dalam pertandingan, dia akan mencari-cari wajah anda disebalik penonton-penonton yang hadir. Bila dia sakit, dia pasti akan telefon mengadu kepada anda.
Dan walaupun dia telah besar panjang, kuat dan boleh menjaga diri sendiri, dia mungkin masih mahu menangis dipangkuan anda – dia tidak mampu menyorokkan perasaannya daripada anda, ibunya.
Walaupun dia sudah mempunyai rumah, keluarga sendiri dan jawatan, anda adalah sentiasa permaisuri dihatinya.
Padanya, anda adalah segala-galanya.
Semoga kita semua dikurniakan anak yang soleh dan dapat membesarkan mereka dengan penuh kasih sayang dan barakah.
“Jika anak Adam meninggal, maka amalnya terputus kecuali dari tiga perkara, sedekah jariyah (wakaf), ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang berdoa kepadanya.
(Hadis Riwayat Muslim)

Khamis, 1 Ogos 2019

Peluk Anak untuk Tenteramkannya

MEMELUK ANAK ADALAH SUNNAH RASULULLAH

Agama kita juga amat menganjurkannya.
Bahkan contoh daripada kehidupan Rasulullah dan interaksinya bersama kanak-kanak amat banyak untuk diteladani oleh ibu bapa.
Dalam sebuah hadis sahih riwayat Abu Hurairah dinyatakan bahawa:
 “Sesungguhnya al-Aqra’ bin Habis pernah melihat Nabi memeluk anak (Hassan). Lalu al-Aqra’ berkata: ‘Sesungguhnya aku mempunyai 10 anak, namun aku tidak pernah memeluk seorang pun daripada mereka. Kemudian Rasulullah bersabda: ‘Sesungguhnya sesiapa yang tidak menyayangi, nescaya dia tidak akan disayangi’.” 
[Riwayat Bukhari]
Banyak pelajaran yang boleh kita ambil daripada hadis diatas.
Pertama sekali, kita lihat bagaimana Rasulullah, walaupun dengan martabatnya yang tinggi sebagai rasul, ketua negara, panglima perang, imam masjid dan selaku manusia yang paling bertakwa kepada Allah, tetap lemah lembut dan menzahirkan kasih sayangnya kepada anak-anak.
Kemudian lihat bagaimana Rasulullah menzahirkan kasih sayangnya. Baginda tidak segan untuk memeluk anak – anak kecil bahkan Baginda menegur Sahabat tersebut yang menyatakan bahawa beliau tidak pernah memeluk anak walaupun seorang pun daripada mereka.
Rasulullah juga pernah menegur seorang lelaki Badwi yang menyatakan bahawa dia tidak mencium anak-anak lelaki.
Seorang Badwi datang kepada Nabi dan berkata, “Kamu mencium anak-anak lelaki! Kami tidak mencium mereka.” Kemudian Baginda berkata, “Aku tidak boleh meletakkan kasih sayang dalam hatimu selepas Allah mengambilnya.” [Riwayat Bukhari]
Dalam beberapa hadis lain, kita dapat lihat bahawa Rasulullah pernah mendukung anak kecil ketika solat dan memendekkan solatnya ketika mendengar anak kecil menangis.
Rasulullah juga sering menegur (bertegur mesra, bukan teguran akibat melakukan kesalahan) anak-anak kecil yang sedang bermain di jalanan dan berdoa kepada anak-anak.

PENUTUP: PELUKLAH ANAK KITA, MASIH BELUM TERLAMBAT

Sebenarnya banyak lagi kisah daripada perjalanan hidup Rasulullah sebagai panduan kepada kita untuk menyayangi dan menzahirkan kasih sayang kepada anak-anak melalui tindakan seperti doa, pelukan dan berlemah lembut terhadap mereka.
Peluklah dan doakan anak-anak sebagai satu usaha untuk menuruti sunnah Rasulullah dan sebagai salah satu cara untuk kita menunjukkan kasih sayang kepada anak-anak.
Jangan malu untuk sering mencium dan memeluk anak – anak kerana mereka adalah antara anugerah Allah paling berharga buat ibu bapa.
Moga Allah memberikan kita petunjuk dalam mendidik anak-anak dan memberikan kita kekuatan untuk membangunkan mereka sebagai pewaris generasi harapan. InsyaaAllah.