Khamis, 1 Ogos 2019

Peluk Anak untuk Tenteramkannya

MEMELUK ANAK ADALAH SUNNAH RASULULLAH

Agama kita juga amat menganjurkannya.
Bahkan contoh daripada kehidupan Rasulullah dan interaksinya bersama kanak-kanak amat banyak untuk diteladani oleh ibu bapa.
Dalam sebuah hadis sahih riwayat Abu Hurairah dinyatakan bahawa:
 “Sesungguhnya al-Aqra’ bin Habis pernah melihat Nabi memeluk anak (Hassan). Lalu al-Aqra’ berkata: ‘Sesungguhnya aku mempunyai 10 anak, namun aku tidak pernah memeluk seorang pun daripada mereka. Kemudian Rasulullah bersabda: ‘Sesungguhnya sesiapa yang tidak menyayangi, nescaya dia tidak akan disayangi’.” 
[Riwayat Bukhari]
Banyak pelajaran yang boleh kita ambil daripada hadis diatas.
Pertama sekali, kita lihat bagaimana Rasulullah, walaupun dengan martabatnya yang tinggi sebagai rasul, ketua negara, panglima perang, imam masjid dan selaku manusia yang paling bertakwa kepada Allah, tetap lemah lembut dan menzahirkan kasih sayangnya kepada anak-anak.
Kemudian lihat bagaimana Rasulullah menzahirkan kasih sayangnya. Baginda tidak segan untuk memeluk anak – anak kecil bahkan Baginda menegur Sahabat tersebut yang menyatakan bahawa beliau tidak pernah memeluk anak walaupun seorang pun daripada mereka.
Rasulullah juga pernah menegur seorang lelaki Badwi yang menyatakan bahawa dia tidak mencium anak-anak lelaki.
Seorang Badwi datang kepada Nabi dan berkata, “Kamu mencium anak-anak lelaki! Kami tidak mencium mereka.” Kemudian Baginda berkata, “Aku tidak boleh meletakkan kasih sayang dalam hatimu selepas Allah mengambilnya.” [Riwayat Bukhari]
Dalam beberapa hadis lain, kita dapat lihat bahawa Rasulullah pernah mendukung anak kecil ketika solat dan memendekkan solatnya ketika mendengar anak kecil menangis.
Rasulullah juga sering menegur (bertegur mesra, bukan teguran akibat melakukan kesalahan) anak-anak kecil yang sedang bermain di jalanan dan berdoa kepada anak-anak.

PENUTUP: PELUKLAH ANAK KITA, MASIH BELUM TERLAMBAT

Sebenarnya banyak lagi kisah daripada perjalanan hidup Rasulullah sebagai panduan kepada kita untuk menyayangi dan menzahirkan kasih sayang kepada anak-anak melalui tindakan seperti doa, pelukan dan berlemah lembut terhadap mereka.
Peluklah dan doakan anak-anak sebagai satu usaha untuk menuruti sunnah Rasulullah dan sebagai salah satu cara untuk kita menunjukkan kasih sayang kepada anak-anak.
Jangan malu untuk sering mencium dan memeluk anak – anak kerana mereka adalah antara anugerah Allah paling berharga buat ibu bapa.
Moga Allah memberikan kita petunjuk dalam mendidik anak-anak dan memberikan kita kekuatan untuk membangunkan mereka sebagai pewaris generasi harapan. InsyaaAllah.

Tiada ulasan: