PERKARA BERTENTANGAN DENGAN AJARAN
ISLAM DALAM MAJLIS KENDURI KAHWIN
Dari semasa ke semasa saya juga
diminta terlibat apabila saudara mara mengadakan majlis kenduri kahwin.
Kini saya merasakan begitu ngeri sekali apabila melihat betapa umat
Islam hari ini telah lari jauh dari ajaran Islam dalam menjalankan
majlis kenduri kahwin.
Kali ini saya ingin membincangkan perihal majlis perkahwinan ini di kalangan umat Islam di Malaysia.
Perkara 1:
Adakah hantaran belanja termasuk di dalam ajaran Islam?
Setelah merujuk dalil berkenaan
perkara ini, sememangnya hantaran belanja tidak termasuk dalam ajaran
Islam. Islam hanya meminta seorang lelaki yang ingin mengahwini seorang
perempuan untuk membayar maskahwin sahaja. Maskahwin ini boleh terdiri
dari emas, duit, besi atau sekadar bacaan dari Al Quran.
Maskahwin adalah pemberian yang wajib
diberi oleh suami kepada isterinya dengan sebab perkahwinan. Firman
Allah s.w.t. yang bermaksud :
” Berikanlah kepada orang-orang perempuan itu maskahwin mereka “. ( Surah An-Nisaa’ – Ayat 4 )
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
“Carilah untuk dijadikan maskahwin walaupun sebentuk cincin yang diperbuat daripada besi .” ( Riwayat Bukhari )
Dari hadith di atas nyatalah bahawa
maskahwin boleh dijadikan daripada apa sahaja asalkan benda itu berguna
dan berfaedah sama ada berupa wang, barang atau sesuatu yang bermanfaat
sebagaimana diberitakan Rasulullah s.a.w. pernah mengahwinkan seorang
lelaki yang tiada memiliki sesuatu pun untuk dijadikannya maskahwin lalu
Rasulullah s.a.w. bertanya kepada lelaki itu, adakah pada engkau (hafaz
) sedikit daripada ayat Al-Qur’an, lelaki itu menyahut bahawa ia
mengingati beberapa surah kemudian Rasulullah s.a.w. pun mengahwinkan
lelaki itu dengan bermaskahwinkan surah yang diajarkan kepada perempuan
yang bakal menjadi isterinya.
Maskahwin itu tidak dihadkan oleh
syarak banyak atau sedikit, jadi untuk menentukan banyak atau sedikitnya
itu terpulanglah kepada dua pihak di atas persetujuannya dan
berdasarkan taraf atau darjat pengantin tersebut dan hukum syarak tidak
menggalakkan maskahwin yang terlalu tinggi yang menyebabkan kesukaran
bagi pihak lelaki.
Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
” Sebaik-baik maskahwin ialah yang lebih rendah “. ( Riwayat Abu Daud )
Dan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
” Sesungguhnya yang besar berkat nikah ialah yang sederhana belanjanya “. ( Riwayat Ahmad )
Mas kahwin ini yang bakal diterima
oleh bakal isteri menurut ulamak tidak boleh diambil oleh ibu bapa
wanita atau oleh bakal suaminya. Maskahwin ini tidak boleh digunakan
untuk majlis jamuan makan kenduri kahwin.
Hantaran belanja yang kini mencecah
belasan ribu RM adalah tambahan adat Melayu yang bukan untuk memudahkan
proses berkahwin tetapi sebenarnya adalah untuk menyusahkan orang yang
ingin berkahwin.
Perkara 2:
Adakah bersanding dan berinai merupakan ajaran Islam?
Setelah dikaji dari sumber yang sahih
dari hadis dan sunnah, sememangnya adat ini juga tidak bersumber dari
ajaran Islam. Ia lebih bersumberkan ajaran dari agama Hindu. Malahan
adat tepung tawar yang berasal dari ajaran Hindu masih lagi dikekalkan
pada hari ini.
Apa yang saya lihat dari majlis
bersanding dan berinai ini lebih kepada pembaziran dan sesungguhnya
didalam Al Quran dikatakan orang yang membazir Tuhan mengatakan mereka
itu adalah kawan-kawan syaitan.
Disini kita faham, membazir itu sangat
dibenci Tuhan, sehingga Tuhan kata “Siapa yang membazir itu adalah
kawan syaitan”. Mari kita belajar apa itu membazir? Erti membazir itu
ialah menggunakan nikmat Tuhan, bukan kerana Tuhan. Menggunakan nikmat
dari Tuhan iaitu wang ringgit untuk disedekahkan kepada anak yatim bukan
membazir kerana ia dilakukan kerana Allah.
Menyewa dan memasang peralatan pelamin
lengkap dengan pelbagai lampunya bukan dapat RM400. Sudah pastinya ini
adalah satu pembaziran.
Perkara 3:
Wajarkah menyediakan tepak sirih dan sirih junjung?
Pada zaman dahulu rombongan pengantin
lelaki membawa tepak sirih dan sirih junjung adalah bertujuan semoga
semua ahli rombongan dan pihak tuan rumah dapat bersama-sama makan
sireh, maklumlah majoriti orang zaman dahulu memang makan sireh. Apa
perlunya pada zaman sekarang, beli sireh, upahkan orang menyusunnya,
usung ke hulu dan ke hilir sebagai tontonan dan akhirnya ke tong sampah!
Adalah jauh lebih baik bawa pizza barang 5 keping yang bersaiz besar
untuk sama-sama makan iaitu ahli rombongan pengantin lelaki dan pihak
tuan rumah. Kalau tak nak makan, tak payahlah bawa pizza.
Sirih junjung sah barang membazir dan menyusahkan sahaja.
Perkara 4:
Apakah sebenarnya tujuan pengantin perempuan bermake up di majlis persandingan ini?
Antara jawapannya mungkin ialah:
1. Supaya aku kelihatan cantik menarik
2. Supaya orang ramai memuji aku bahawa sesungguhnya aku memanglah cantik
3. Agar aku dapat menarik perhatian orang ramai dengan kecantikan aku
4. Mungkin untuk menutup kecacatan di muka saya seperti jerawat dan jeragat
5. Engkau ingat aku ni tak cantik ke?
6. Supaya orang tertawan dengan aku melalui kecantikan wajah aku ni.
Apa yang jelas dari bermake up adalah
satu dosa sebagaimana artikel Tabarruj di
http://emjayjb.multiply.com/journal/item/54 dan melakukan sesuatu untuk
mendapat pujian adalah riak. Semua perkara ini adalah perbuatan mungkar
yang membawa dosa dan musibah dari Allah. Takutilah azab Allah dan
sesungguhnya azab Allah itu perit.
Membuat sesuatu perkara semata-mata untuk mendapat dosa dan azab adalah sesuatu kezaliman dan ke****han.
Tambahan pada 23 Ogos: Saya ada satu
tambahan cerita sebagai iktibar. Ayu seorang anak yang baik dan
kelihatan baik. Ayu menjaga auratnya serta bercampur dengan kaum lelaki
secara sopan. Ayu belajar di sekolah aliran agama hingga tingkatan 5.
Sambung pelajaran di luar negara dan berjaya mendapat pekerjaan yang
baik. Ayu cukup menjaga sentuhan yang tidak perlu sehingga mengelakkan
dari bersalam dengan pakcik sebelah suami adek beradek ibu ayahnya.
Namun apa yang sangat saya kesalkan ialah demi untuk kelihatan cantik
anggun bergaya dengan berbagai solekan make up terkini, sewaktu berinai
dan bersanding, seorang jurusolek khas dari kaum lelaki mengandamkan
Ayu. Juru andam lelaki inilah yang menghiaskan Ayu. Waktu ini agaknya
bersentuhan dengan kaum lelaki sudah berubah hukum dari haram kepada
sunat agaknya!! Begitulah seperti diajarkan oleh arwah guru, satu dosa
akan menggamit dosa-dosa yang lain.
Perkara 5:
Apakah tujuan membuat majlis kenduri kahwin ini?
Berdasarkan Islam, sepatutnya majlis perkahwinan ini dilakukan bertujuan:
Mengadakan majlis walimah untuk
pernikahan sepasang pengantin merupakan anjuran dan sunnah Rasulullah
SAW kerana dengan adanya majlis walimah, sesuatu perkahwinan itu boleh
diumumkan kepada khalayak, demikian juga para tetamu undangan boleh
menghadirinya sambil bersilaturrahim dan mendoakan kebahagiaan pasangan
pengantin. Ia juga sebagai satu tanda kesyukuran kepada Allah SWT kerana
diberikan rahmatnya iaitu seorang menantu dan tanda kesyukuran ini
ialah dengan menjamu tetamu makan terutama sekali yang miskin.
Islam mengajarkan umatnya untuk
mendahulukan orang fakir miskin sebagaimana mafhum hadis berikut. Hal
ini dijelaskan Rasulullah dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan
Bukhari bermaksud: “Sejelik-jelik makanan ialah makanan dari majlis
kenduri kahwin yang hanya dijemput orang kaya, orang fakir dan miskin
tidak diundang untuk makan bersama.”
Namun kini manusia melakukan majlis kenduri kahwin ini dengan pelbagai tujuan antaranya:
1. Memberitahu masyarakat bahawa aku mampu membuat majlis kenduri dengan penuh kemewahan dengan belanja melebihi RM20,000.00
2. Aku ini orang berduit. Lihatlah majlis kenduri kahwin ini.
3. Orang yang lebih miskin dari aku
pun berani belanja lebih RM20,000.00 untuk majlis kenduri kahwin. Tak
kan aku dengan gaji lebih besar dari dia tak sanggup belanja lebih
RM20,000.00 untuk kenduri kahwin!!!
4. Majlis mewah seperti ini barulah sesuai dengan status saya sebagai orang berduit di kawasan perumahan ini.
5. Anak aku bukan janda atau minah kilang, kenalah buat majlis yang grand habis.
6. Biarlah orang asyik bercerita tentang kehebatan majlis kenduri saya ini. Barulah seronok.
7. Kalau aku keluar belanja
RM20,000.00 tetapi dapat sumbangan RM25,000.00 bolehlah dapat keuntungan
dari majlis kenduri kahwin ini.
Perkara 6
Mengapa hantaran belanja perlu dibayar dengan bayaran yang tinggi?
Bayaran hantaran belanja yang tinggi
tidak pernah disarankan oleh Islam. Sebagaimana telah saya jelaskan
dalam perkara 1 di atas, Islam menggalakkan mahar yang rendah semoga
memudahkan proses perkahwinan.
Antara tujuan mengenakan bayaran hantaran belanja yang tinggi mungkin ialah:
1. Menilai status keluarga dan
pekerjaan anak dara yang ingin dikahwini. Lagi tinggi status keluarga,
lagi mahal hantaran belanja. Kalau anak dara yang ingin dikahwini ini
sekadar minah kilang, murahlah sikit hantaran belanja. Kalau ada degree
apatah lagi kalau berjawatan tinggi seperti doktor atau jurutera atau
pensyarah, kenalah letak hantaran belanja yang tinggi. Kalau artis
kenalah lagi tinggi.
2. Boleh bermegah dengan masyarakat sekeliling. Maklumlah kalau hantaran belanja sekadar RM5000.00, macam mana nak bermegah.
3. Lagi tinggi hantaran belanja, lagi mewah majlis kenduri boleh diadakan. Baru ada kelas!!
4. Boleh beli set bilik tidur yang ada kelas. Nanti kalau orang masuk bilik pengantin, taklah malu atau koman sangat.
5. Aku sudah membelanjakan sekian
banyak duit untuk membesarkan dan mendidik anak perempuan aku. Siapa nak
kahwin dengannya kenalah sanggup keluar duit yang tinggi. Nak beli
lembu seekor pun sudah lebih dari RM2000 ini kan pula anak aku!
Sebenarnya dengan meletakkan hantaran
belanja yang tinggi, inilah dia tujuan sebenarnya yang tidak disedari
atau dengan disedari:
1. Agar orang Melayu Islam semakin sukar dan melewatkan untuk berkahwin secara sah.
2. Menggalakkan maksiat, maklumlah nak kahwin tak mampu
3. Melatih calon menantu satu latihan yang amat penting iaitu BERHUTANG UNTUK KAHWIN.
4. Agar anak lelaki lupa tanggung
jawab kepada ibu bapanya yang telah membesarkan dan mendidik untuk
sekian lama. Tiba-tiba bila baru dapat degree nak kahwin, nak beri duit
kepada ibu bapa sudah tiada lagi maklumlah kena menabung untuk membayar
kos berkahwin yang gila habis. Bukan cukup RM15,000.00 untuk kahwin.
Itu belum masuk lagi duit ansuran kereta, sewa rumah dan potongan PTPTN.
5. Agar belajar untuk AMBIL RASUAH DAN AMBIL KOMISYEN di tempat kerja agar memudahkan urusan untuk berkahwin
6. Mendidik anak Melayu dengan budaya BIAR PAPA ASAL BERGAYA
7. Agar selepas kahwin pasangan ini
hidup melarat maklumlah hutang keliling pinggang. Bolehlah kelak selalu
berperang suami isteri bila dah bengang.
Perkara 7
Bagaimana untuk mempastikan hari kenduri kahwin cuaca adalah baik tanpa hujan.
Bila kos makanan tetamu sahaja sudah
mencecah lebih daripada RM15,000.00, tuan rumah mulalah naik risau kelak
kalau waktu majlis kenduri kahwin hujan ribut dari pagi sampai petang,
orang ramai tak datang, macam mana dengan makanan yang berlebihan dan
paling penting tentunya duit sumbangan pun tak masuk, rugi besarlah.
Bagi mempastikan hari kenduri kahwin tidak mengalami hujan ribut maka:
1. Pergi berurusan dengan bomoh atau dukun yang boleh menahan hujan.
2. Mengamalkan pelbagai petua orang
Melayu seperti membuang pakaian dalam pengantin ke atas bumbung,
meletakkan payung secara terbalik lalu meletakkan air ke dalam payung
terbalik tersebut
3. Berbagai amalan karut marut lain
Mudahnya orang Melayu untuk sesat.
Allah berikan rahmat dengan diberiNya menantu dibalas pula oleh manusia
dengan melakukan pekerjaan syirik. Memanggil bomoh tolak hujan adalah
sesat dan mengamalkan pelbagai petua seperti di atas juga adalah sesat.
Baru-baru ini saya menghadiri majlis
kenduri kahwin saudara saya. Pada pukul 11.45, semua keluarga, saudara
mara, penanggah dan tuan rumah makan maklumlah tetamu dijangka akan
datang pada pukul 12.00 tgh sebagaimana tertera dalam kada jemputan.
Saya turut makan bersebelahan tuan rumah. Cuaca ketika itu memang terang
benderang. Tuan rumah dalam keseronokan dapat menantu berkata “bagus
betullah petua dari kak chik pakai payung diterbalikkan, cuaca hari ini
cukup cantik”.
Astagfirullah… saya berkata-kata dalam
hati. Nak dihujah, keadaan tidak sesuai. Saya berkata-kata di dalam
hati “kalau macam ini sunnatullahnya tak lama lagi memang hujan nak
turun di majlis ini”. Perbuatan tuan rumah ini bagi kata bidalan
diberikan susu dibalas tuba.
Dengan kuasa Allah, mulai pukul 1.00
tengahari gerimis halus sudah mula turun. Kira-kira pukul 1.45 tgh hujan
lebat turun sehingga pukul 2.30 ptg. Dalam hati saya berkata “Inilah
satu pengajaran yang sangat baik kepada orang yang mensyirikkan Allah.
Percaya benar payung terbalik ada kuasa untuk mengelakkan hujan turun.
Sama sebiji macam orang kafir berharap kepada patung yang dibuat
daripada batu, Astagfirullah…”.
Secara mudahnya tetapi sukar untuk
dilaksanakan ialah untuk Allah memberikan rahmatNya dengan tidak
mengirimkan hujan pada hari kenduri kahwin ialah dengan pelbanyakkanlah
solat sunat terutama sekali solat malam. Mintalah kepada Allah secara
terus, insya Allah majlis tersebut tidak turun hujan.
Perkara 8
Majlis kenduri kahwin adalah majlis untuk berbuat maksiat, Astagfirullah…
Majlis kenduri kahwin adalah majlis
memberi makan kepada orang miskin dan tetamu lain sebagai tanda
kesyukuran kepada Allah. Kalau tak mampu buat kenduri besar, buatlah
sekadar saranan Islam iaitu sekadar sembelih seekor kambing. Jemputlah
orang yang perlu sahaja seperti jiran terdekat dan saudara mara
terdekat. Inilah latihan yang baik dari Islam sebagaimana majlis aqiqah
apabila dapat anak.
Kini dalam majlis kesyukuran majlis kenduri kahwin sudah menjadi pesta maksiat dan antaranya ialah seperti berikut:
1. Membayar wang yang banyak kepada
DJ, PA system, sistem karaoke, kugiran dan penyanyi. Ini namanya
mengeluarkan duit untuk membeli dosa. Sila baca artikel berkaitan muzik
bertajuk Hukum bermain muzik dan nyanyian menurut Islam di
http://emjayjb.multiply.com/journal/item/40. Membazir sudah satu dosa.
Bermain muzik dan nyanyian apatah lagi nyanyian oleh orang perempuan
adalah juga dosa. Tak takut sungguh manusia dengan dosa.
2. Bergilir-gilir anak dara belajar
buat dosa iaitu menyanyi secara karaoke. Inilah platform yang amat
cantik untuk menjadi penyanyi macam Siti Nurhaliza, tok guru buat dosa
dengan menyanyi.
3. Orang lelaki pula seronok mendengar
nyanyian secara karaoke oleh anak dara. Redha dengan perbuatan ini
adalah dosa dan kelak di akhirat Allah tuang besi cair ke telinga.
4. Inilah masa bagi anak dara menayang
body dengan pasang badan agar dapat menarik perhatian lelaki dan lebih
baik lagi kalau dapat boyfriend. Mereka pakai pakaian yang ketat, tidak
menutup aurat, bermake up, berminyak wangi dengan lengang lengguk badan
dan punggung untuk mendapatkan perhatian. Astagfirullah….
5. Bagi wanita yang sudah berkahwin,
ada yang menjadikan majlis ini untuk menunjukkan bahawa badannya masih
cantik walaupun sudah ada anak dengan memakai pakaian pelbagai fesyen
yang jauh dari kehendak Islam.
6. Menjadikan majlis kenduri kahwin
sebagai majlis pesta fesyen pakaian. Ada yang terbelah mendedah peha,
ada yang low cut mendedahkan buah dada yang membulat dan sebagainya.
7. Pesta bagi wanita menunjukkan
kekayaan dengan memakai pelbagai barang kemas yang mahal-mahal untuk
menjadi kayu pengukur kemewahan masing-masing. Allah membenarkan barang
kemas tetapi bukan untuk tontonan semua orang!!!! Ada wanita yang
sanggup meminjam barang kemas untuk hadir ke majlis kenduri kahwin keran
takut dimalukan.
8. Kalau dikampung dimana masak
memasak diadakan secara gotong royong, inilah satu pesta yang amat
seronok iaitu PESTA KATA MENGATA DAN MENGUMPAT terutama sekali
dikalangan orang perempuan, Astagfirullah….
9. Tidak cukup dengan muzik dan
nyanyian, diadakan pula majlis tari menari joget lambak. Yang muda dan
yang tua tak sedar diri berjoget antara lelaki dan wanita,
Astagfirullah….
10. Disetengah tempat, majlis kenduri
kahwin adalah majlis mengajar kanak-kanak lelaki untuk merokok kerana
tuan rumah memang menyediakan banyak rokok secara percuma untuk semua
penanggah. Hisaplah seberapa banyak yang diingini asalkan sanggup
menjadi penanggah.
Saya mengalu-alukan pandangan balas lain dari pembaca agar isu ini dapat ditangani dengan sewajarnya berlandaskan Islam.
Islam menyarankan majlis kenduri
kahwin tetapi realitinya majlis kenduri kahwin kini menjadi satu majlis
yang mengundang pelbagai dosa, bagaimanalah Allah nak memberikan
rahmatNya kepada pengantin yang baru berkahwin ini.
Sekian wassalam wallahualam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan