Selasa, 6 Januari 2015

Si Pemburu Hangat! - Bab 3

Bab 3

AREEJ  merenung imej pantulan dirinya di cermin solek.  Tanpa solekan, tanpa celak, tanpa bulu mata palsu, tanpa secalit lipstik boleh dikatakan wajahnya bersih selama ini tanpa mekap.  Wajah inikah yang nampak berseri di mata Emran.  Dengan kulit putih halus seperti kulit bayi, bulu mata yang lentik dan panjang, bibir yang merah delima, hidung mancung bak seludang serta pipinya yang kemerah-merahan.  Pakej lengkap tapi tak secantik gadis-gadis dalam majalah.  Namun semua orang kata manisnya tetap ada.  Hairan bin ajaib.  Itulah yang terdetik di hatinya. 
Dia tidak seperti gadis-gadis lain yang cukup pandai bergaya kasual, elegan, moden dan berhias semahu-mahunya.  Namun inilah anugerah terindah yang jarang sekali ada pada orang lain tetapi dia tetap bersyukur dan tidak pernah riak.  Wajahnya yang bersih licin tanpa sebarang jerawat, malah dia tak perlu menggunakan pelbagai jenama sebagai pencuci muka.  Mungkin kerana faktor kehidupan susah dia menjadi seorang yang sangat tidak cerewet dan serba-serbi ringkas. 
Wajahnya hanya dicuci dengan sabun mandi.  Tubuh badannya diurus dengan penampilan gadis kampung bertutup litup.  Dia sendiri lebih gemar berbaju kurung dari berseluar.  Memang prinsip dirinya segala kurniaan baik ini digunakan untuk kebaikan diri bukan semata-mata untuk memuaskan nafsu ingin bergaya dan mengejar kemewahan semata-mata.
Menyentuh soal Emran, sudah tidak kelihatan kelibat lelaki itu mengejarnya.  Tetapi setiap hari jumaat akan ada sejambak bunga dan sebungkus coklat dihantar kepadanya berserta kata-kata romantik dengan nama pengirim Double E.  Perkara itu masih berlarutan, mungkin bukan dari Emran.  Mungkin dari orang lain.  Jika Emran sudah tentu lelaki itu yang meletakkan namanya sebagai pengirim.  Emran lelaki yang suka berterus terang.  Mungkin kini Emran benar-benar malu dengan insiden di dewan hari itu.  Namun mengapa hatinya sentiasa melilau mencari kelibat Emran di mana-mana.  Adakah ini yang dinamakan rindu?  Oh hati sedarkah engkau perbuatanmu ini mengundang bahana.  Bayang-bayang yang mengekorinya telah tiada itu dirindui pula, gila ke apa perasaan ini?  Bila saja dia mengaitkan bunga dan coklat itu dari Emran, serta-merta perasaannya berubah menjadi kasih, sayang dan rindu?  Gila!
Pakaian baju kurung yang tergantung di almari dibelek satu persatu.  Sebanyak tujuh pasang semuanya dan bukan baru, tapi telah lama.  Semua baju tersebut telah selesai digosok halus.  Dia sangat menjaga kebersihan dan cermat dalam memastikan bajunya agar tidak ikat perut.  Hendak selalu jenguk emak pun dia tak mampu.  Dia ke sini atas tiket biasiswa.  Dia perlu mengekalkan mata himpunan tiga point ke atas agar biasiswanya tidak menjadi pinjaman.  Itu syarat yang telah tertulis dengan jelas dalam perjanjian biasiswa.  Jadi tidak mungkin dia melihat perkara lain.  Kejayaannya adalah masa depannya.
Baju kurung kuning berbunga kecil itu dipilih dan disarung di badan.  Selesai memadankan dengan tudung bawal kuning cair.  Kemas dan selesa dipakai.  Dia tersenyum melihat tubuh tinggi lampainya ala model itu.  Sekali hayun langkah beribu mata memandang,  namun dia tidak pernah berasa hebat, riak jauh sekali dengan ketinggian dan kecantikan yang dimilikinya itu, dia sentiasa bersyukur dengan kurniaan ini.  Dia bergegas keluar dari asrama.  Sekejap lagi bas Universiti akan sampai, sudah pasti Nora dan Sarah sedang menunggunya di dalam bas.  Oleh kerana lewat beberapa minit turun dari bilik sedangkan rakan sebiliknya iaiu Qistina sudah keluar, dia terpaksa menggunakan jalan pintas pagi ini.  Pelajar asrama jarang melaluinya kecuali terlewat.  Harap-harap dia sempat mengejar bas di stesen yang sudah tiba.
Tatkala dia sedang melalui lorong antara bangunan asrama, tiba-tiba…
Tubuhnya ditarik ke dinding celah bangunan, berpeluh-peluh dia, apalagi tubuhnya terkejut dengan insiden spontan itu.  Terasa nyawanya akan dicabut bila-bila masa.  Belum sempat dia menjerit pantas tangan gagah yang memakai sarung tangan peninju yang diperbuat dari kulit warna hitam putih menekup mulutnya.  Dia buka mata yang terpejam.  Terkejut bukan kepalang dengan tindakan penyerangnya.
Bulat mata Areej memandang penyerangnya.  Tidak jadi dia menjerit.
Badannya sakit terhentak ke dinding bangunan.  Silapnya, kawasan itu jarang dilalui pelajar asrama.  Kerana lewat dia bergegas turun tadi, sengaja mengambil jalan pintas itu, kalaulah dia tahu lebih baik dia terlepas bas dari mengalami situasi begini.
Bulat mata Areej memandang penyerangnya.
Areej menarik nafas panjang-panjang dan berdoa dalam hati agar Emran tidak berbuat sesuatu yang tidak baik.  Inilah yang dikhuatiri dan ditakutinya benar-benar berlaku.  Selepas enam minggu peristiwa di dalam dewan yang lepas ingatkan Emran senyap sudah tidak berminat padanya lagi.
“Apa awak mahu?”  suara Areej disebalik tangan gagah itu tidak jelas namun Areej jelas takut.  Wajah Emran terlalu hampir dengan wajahnya sehingga nafas desaan Emran kedengaran kuat dan terhembus di pipinya.  Areej tertunduk kerana malu.  Tidak mampu melawan dan membiarkan saja mata Emran menjamah kegebuan wajahnya.  Dadanya berdebar hebat.  Debaran jantungnya seperti biasa berlari keluar dari landasannya.  Dia sebenarnya rindu dengan Emran sama.  Gilakah dirinya. Dia benar-benar dilanda rindu.  Baru kenal terus ada rasa rindu.  Perasaan bersalah ke ini?  Atau ini yang dinamakan rindu?
“Awak!”  mata Emran mengatakan begitu tanpa bersuara.  Merenung dan melepaskan rindu selepas enam minggu tidak bersua muka.  Benar-benar menguji perasaan sabarnya.  Emran menjadi nanar bila Areej menolak pelawaan dan perkenalan awalnya.  Dia terasa dirinya ditolak mentah-mentah.  Kebetulan dia terpaksa berada di Kuala Lumpur selama enam minggu untuk menyelesaikan projek Syarikatnya.  Rindu yang tertahan selama ini perlu dilepaskan pagi ini.  Pemilik wajah yang dirindui sedang ditatapi di hadapannya kini.
Areej angkat kepala.
Emran melepaskan tekupan tangannya di mulut Areej dan memberi isyarat agar gadis itu tidak menjerit. Mereka perlu berbual.  Dia bukan sengaja menarik Areej tapi itu saja caranya agar Areej memberinya perhatian untuk berbual.  Cara baik gadis itu tidak mahu.
“Awak dah gila ke?!” tinggi nada suara Areej keluar.
Emran memberi isyarat agar merendahkan suara.
Mata Areej tajam seperti helang mahu menerkam mangsanya.
“Saya rindu awak!” wajah Emran dengan tenang.
Geram dalam hati cuba ditenangkan.
“Awak tak rindu saya?”  soal Emran bersahaja.
Tenang Areej, jangan mudah mengelabah.
Do we know each other?”  Areej cuba berlagak tenang sedang hatinya sudah seperti dilanda ribut taufan.
Seperti yang lalu Emran gelak kuat, seolah-olah Areej buat lawak spontan yang kelakar gila.  Dia sudah lupa keadaan sekeliling.
“Areej… Areej… awak ingat bila saya tak datang cari, awak akan terlepas begitu saja,”  Emran geleng kepala.  Sambil kedua tangannya masih menekap di dinding bangunan dan Areej terkurung ditengah-tengah.  Tidak semudah itu gadisku.
“Orang yang saya ingat siang malam, tak mungkin saya lupakan semudah itu.  Dan…”  Emran dekatkan wajahnya ke wajah Areej membuatkan gadis itu berpaling ke kiri melarikan bibirnya dari dinikmati Emran.
Nafasnya cuba ditahan kerana dia tergoda dengan haruman yang dipakai Emran saat ini.  Haruman itu menyenangkannya dan dia pasti tergoda dengan tektik Emran.  Kata hatinya… pelik!
“Awak nak buat apa ni?” jerit Areej.  Gerakan tangannya pantas menolak tubuh Emran menjauhinya.
“Dan… tak mungkin saya tak kenal,” sambung Emran sambil menahan pada tangan yang menolak tubuhnya itu.  Tidak menghiraukan jeritan Areej. 
“Jeritlah lagi, senang kita nak selesaikan sebab ada saksi…”  ugut Emran sambil memegang kedua tangan Areej.  Ikutkan hati memang dia mahu menculik Areej namun dia sedar dia belum berbuat apa-apa untuk menambat hati Areej.  Mintalah agar dia sentiasa dalam waras dan tidak bertindak di luar kawalan.
Areej terasa lidahnya kelu dan dadanya menjadi sempit.  Mindanya tiba-tiba tumpul.  Tindakan Emran sebentar tadi benar-benar di luar batasan.  Dia meronta-ronta mohon dilepaskan.
“Awak tak patut buat saya begini…” mendatar keluhan suara Areej keluar.  Dia tidak ingin menjerit dan dia faham sendiri dia yang akan malu jika Emran bertindak lebih dari itu.
“Saya tanya soalan mudah saja tadi, awak tak jawab soalan saya lagi…”
Areej menggeleng.
“Saya sudah lewat untuk ke kelas,” Areej masih menahan rasa geram memohon simpati agar Emran melepaskannya.
Emran sedut nafas dalam-dalam.  Kelembutan suara Areej itu benar-benar menggodanya dan meruntuhkan keegoannya.  Areej satu-satunya gadis yang sangat susah dilupakannya.  Satu-satunya gadis yang tidak menerima huluran perkenalannya. Satu-satunya gadis yang hanya mampu dia pandang dan sukarnya mereka berkongsi rasa dan perasaan kerana gadis itu setiap kali akan menolak dirinya.  Penolakannya itu dapat dirasai oleh Emran di segenap nadinya tanpa perlu dia suarakan hasratnya.  Sungguh! Dia sudah tidak berpuas hati.  Jika gadis lain sudah lama menjadi teman wanitanya walaupun cuma kali pertama berkenalan.
Ketika dia sedang berangan untuk memiliki hati gadis itu, Areej terang-terangan memalukan dirinya dan menolak perkenalannya.  Dia diberitahu bahawa Areej tidak akan bercinta selagi belum berjaya dengan ijazahnya.  Tidak disangka pula pagi ini dia ditemukan dengan gadis ini walaupun niat asalnya cuma mahu melihat rupa paras gadis itu untuk melepaskan rindu.
Kata orang dapat nampak bumbung bangunan pun jadilah.  Enam minggu tidak bersua sudah tentu rindu membuak-buak di dada.  Pagi ini dia baru saja balik dari gym.  Tinju dan senaman tidak dapat dipisahkan dari dirinya.
“Pergilah!  Kelas awak lebih penting dari saya,” nada rajuk keluar dari mulut Emran sambil berdiri berpeluk tubuh.  Tangannya melepaskan pegangan kedua tangan Areej.
Kenapa awak kata dalam nada macam tu?  Jiwa Areej tersentuh.  Dalam ramai-ramai lelaki Emran adalah satu-satunya lelaki yangn paling sukar difahamkan.  Lelaki ini sangat penuh muslihat mengapa selepas enam minggu baru muncul kembali.  Adakah sebenarnya Emran punya perancangan lain.  Tapi mengapa persoalan itu wujud dalam benaknya jika antara mereka tiada ikatan hati dan perasaan.
“Tolong jangan ganggu saya lagi!” pinta Areej dalam nada tegas tapi takut-takut.  Pagi ini dia hampir-hampir tewas melepaskan rindu yang bersarang dalam jiwa.  Nasib baik lagi sempat berfikir waras.  Dia takut dirinya terikat.  Dia takut dirinya dikata tak sedar diri bila bergandingan dengan Emran.  Lelaki kacak itu punya segalanya.  Masa enam minggu berlalu cukup untuk dia mengumpul maklumat tentang Emran dari teman-teman yang mengenali lelaki itu.
“Saya rindukan awak sangat, jarak enam minggu bukan tempoh yang singkat untuk saya menahan diri,  seandainya awak mengerti perasaan saya…”  senafas Emran bersuara walaupun dia tahu Areej bukan mahu mendengarnya.
“Mahukah awak beri masa pada saya hari ni, kita menghabiskan masa bersama.  Tidak lebih dari itu saya janji!”  Emran benar-benar panasaran.  Dia mahu mengenali gadis ini lebih dalam lagi.  Ah! Angaunya dirinya?  Secara terus terang dia mengajak Areej keluar, walaupun hatinya tahu Areej tetap menolak.
Terlalu berterus terang lelaki ini tentang perasaannya.  Areej malu mengakui.  Namun dia takut Emran mempermainkan perasaannya seperti gadis-gadis sebelum ini yang menjadi teman wanita Emran.
Emran rindu sangat-sangat.  Rindu tentang segalanya tentang Areej.  Dia sendiri jadi nanar dengan perasaannya.  Dia cuma mampu melepaskan rindu pada gambar Areej yang diabadikannya dalam telepon tanpa disedari gadis itu dia ada menyimpannya.  Lenggok gayanya, senyumannya, jelingan matanya segala-galanya tentang Areej. Emran sendiri bingung dengan kehendak hatinya.  Teka-teki apakah ini.  Selama ini begitu mudah dia melepaskan semua gadis tanpa rasa ragu-ragu.  Baginya gadis-gadis ini seperti biskut, sekejap ada sekejap tak ada pun dah puas menikmati.  Takkan berpatah balik.  Cuma dengan Areej dia belum dapat tundukkan lagi.  Belum dapat-dapat lagi hati gadis itu supaya mengikut rentaknya.  Hati Areej seperti batu!
Kalau tak dipecahkan ruyung-lapisan kulit batang pokok palma yang kuat dan keras, mana nak dapat sagunya.  Maksudnya tidak akan tercapai sesuatu maksud jika tidak mahu berusaha.
“Maaf, saya kurang setuju.  Tolong jangan ganggu saya.  Dah lambat ni, saya perlu masuk kelas,”  Areej kerling jam di tangan kiri.   Masa menunjukkan dia akan tuang lagi satu kelas pagi ini.
“Awak tak rindu pada saya ke?” soalan bertukar rentak dari Emran.  Mengulang soalan awalnya.
Areej menahan nafas.  Persoalan itu wujud kembali.   Menggoyahkan hatinya sendiri.
“Tak,” ringkas jawapan Areej cuba berselindung.  Dia rindu sebenarnya tetapi masih mahu menafikan keinginannya sendiri.  Dia mahu menahan gelora perasaan itu.
“Awak terima tak bunga dan coklat saya?”
Bulat mata Areej mendengar jawapan yang selama ini dicarinya.  Memang benarlah bunga dan coklat tu dari Emran. 
“Awak suka?”  Emran hairan, Areej diam tanpa jawapan.
Areej menahan dengup jantungnya, yang selama ini difikirkannya rupanya benar belaka.  Rindunya bersatu dalam kasih dan sayang terhadap insan yang sedang berdiri di depannya kini.  Dia tidak mahu Emran tahu rahsia hatinya.  Emran tentu pakar dalam mengenal reaksi dan gelagat gadis kerana pengalamannya sebelum ini.  Tidak mustahil Emran mengetahui rahsia hatinya, jika Emran tahu ia sangat berbahaya kerana Emran boleh bertindak sesuka hati.  Itu yang dia tahu dari Fisah, bekas teman wanita Emran dulu.  Emran bukan seorang yang mudah berputus asa malah lelaki itu jika mahukan sesuatu selagi tidak dapat selagi itu diusahakannya, bila sudah dapat dilepaskan seperti tiada membawa makna apa-apa padanya.  Itu gambaran Fisah kepadanya.  Mahukah dirinya diperlakukan sewenang-wenangnya begitu, sedangkan perjalanan hidupnya masih jauh dengan kejayaan, impian dan cita-citanya belum tertunai.  Dia tidak mahu masa meninggalkannya kerana leka akibat terluka.
“Habis tu, awak tak nak jawab semua soalan saya.  Awak nak protes dengan diam begini?”  Emran cuba berlembut.
Cara bagaimana lagi untuknya lakukan jika pelbagai usaha dibuat memang tidak jalan dengan pemilik nama Areej ini.  Ketika ini masih terus terusan menolak juga.
“Bila awak lapang?” tanya Emran.
Areej diam, cuba memikir untuk melepaskan diri.  Apa dia perlu cakap supaya Emran percaya.
“Saya tahu awak lapang petang ni, kelas awak dibatalkan.  Saya sanggup tunggu awak, saya nak ajak awak keluar supaya kita boleh berkenalan lebih lanjut tentang diri masing-masing,”  Emran bersuara membuat pelawaan sebelum Areej membuka mulut untuk lepaskan diri dari jerat Emran.  Sudah tentu Emran tahu tentang jadual kelasnya dari Fisah kerana mereka sama aliran.
Areej menggeleng.  Keluar dengan dia ni?  Baik lagi menghabiskan masa dengan Nora dan Sarah dari melayan lelaki seperti gila talak ini.  Terjebak dengan Emran dikhuatirinya akan berkemungkinan membuka jalan ke arah lupa daratan dan noda dosa daki dunia.  Dia akan rasa seronok dilayan seperti puteri raja.  Emran bukan jenis lelaki kelas bawahan, malah Emran memiliki kehidupan yang hebat cukup segalanya, menerajui dunia korporat dan menjadi individu penting dalam Syarikatnya tentu dia tidak mahu menjalani kehidupan melarat seperti Areej yang sentiasa berjaga-jaga ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang dan berpuasa menahan nafsu makan kerana ingin berjaya dalam pelajarannya.   Sanggupkah Emran jika dimintanya untuk melepaskan kehidupan hebatnya dan jawatan kelas atasannya hanya kerana permintaan Areej.  Mereka dua individu yang dipisahkan oleh jurang yang amat ketara.  Seperti pipit tak mungkin terbang bersama enggang, atau antara batu dan permata.  Mahukah Emran?
Emran menarik nafas.  Aura Areej sangat kuat, berbeza sekali dengan gadis-gadis lain yang pernah dia kenali dia bukanlah terlalu kebal untuk bertahan.  Keengganan Areej buatkan Emran rasa sering tercabar, tercalar dan dicabar.  Spontan tangannya bergerak pantas menolak Areej yang sedang bergerak meninggalkannya dan menghampiri keretanya,  masuk ke kereta Chevrolet Camaro Coupe 2LS berwarna bright yellow sebelum akalnya sempat berfungsi ke jalan yang benar.  Areej dipaksa duduk dan pintu kereta automatik terkunci.
“Emran!!!”  jerit Areej dari dalam kereta.  Jeritan kuat itu tidak tembus tingkap kereta.  Dia tidak bersedia dengan tindakan Emran yang agak pantas itu. 
“Awak nak ikut saya atau terus ke Jabatan Agama?  Pilih, ikut saya keluar makan atau nak nikah terus?”
Emran berbisik perlahan sebaik masuk ke dalam keretanya, sengaja gunakan tektik mengugut.  Dia sudah dapat menghidu perasaan Areej terhadapnya tapi dia belum yakin. 
“Gila!  Macam semudah itu...”  wajah Emran sudah terlalu hampir ke wajah Areej.  Areej paling wajah ke sisi apabila nafas Emran terasa panas menampar wajahnya untuk kali kedua.  Dia takut dirinya akan tertewas akhirnya.  Saat itulah dia ternampak Nora dan Sarah di bangku stesen bas merenung tajam tak berkelip ke arahnya.  Mereka cuma nampak adegan seperti Emran menciuminya.  Merah padam pipi Areej.  Mata kawan-kawannya itu tajam tak berkelip.  Dia menggeleng pantas memberi isyarat yang membawa maksud tak ada apa-apa yang berlaku.  Entah mereka faham atau tidak isyarat yang diberikannya.
Tanpa berlengah, Areej menolak tubuh Emran sekuat tenaga dan menjerit sekuat hati biar bingit telinga Emran oleh jeritannya kerana dia sedar dia sudah terkunci rapat dalam kereta Emran dan tak mampu berbuat apa-apa.  Dia juga yakin Emran tak berani mengapa-apakannya.

Emran yang terkejut dengan situasi spontan dirinya sendiri itu terus menjarakkan diri dan mula menghidupkan injin kereta.  Pantas pedal minyak ditekan.  Kereta laju melalui Nora dan Sarah yang tercengang menonton drama sebabak pagi ini.  Hatinya benar-benar panas dan dia makin tekad.  Taufan atau kilat, gempa bumi atau tsunami, Areej harus disambar cepat.  Hujan ribut tidak akan dihiraukan, biar mereka berbasahan sesama sendiri.

Tiada ulasan: