Bab 5
Hari Pertama Kem Waja Diri.
Waktu : Petang
Selesai sudah program merempuh
halangan pagi tadi, para peserta diminta berkumpul dalam kumpulan untuk latihan
sukan pada waktu petang. Jenis sukan
yang terlibat iaitu bola sepak untuk pelajar lelaki dan bola tampar bagi
pelajar perempuan. Petang ini mereka
diberi peluang untuk menentukan strategi permainan dan latihan. Suhana menarik nafas, dia masih rasa lenguh
seluruh badan.
Dia tersenyum
pada ahli kumpulannya yang masih samar-samar perkenalan antara mereka kecuali
Rashdan. Bagaimana dia boleh tidak sedar
dia satu kumpulan dengan Rashdan sejak semalam.
Memang memenatkan program pagi tadi.
Belum pun penat hilang, mereka perlu membuat latihan sukan petang
ini.
Suhana dapat
bayangkan kesukaran seorang askar dalam menjalani latihan. Ini baru sebahagian kecil latihan yang
dilalui oleh mereka. Bayangkan jika
mereka adalah askar sebenar, bagaimana agaknya dirinya dapat melepasi segala bentuk
halangan dan rintangan aktiviti lasak tadi.
Sudah tentu jawabnya dia menolak untuk menjadi askar. Walaupun kerjaya tersebut mulia tetapi dia
tahu dirinya tidak berkemampuan. Dia
yakin tentang itu.
“Jadi, biar saya
kenalkan diri saya Norhaidi. Saya rasa
kita perlu kenalkan diri untuk memudahkan interaksi antara satu sama lain.”
Norhaidi memperkenalkan diri.
“Saya Rashdan,” sambung
Rashdan memperkenalkan diri sama.
Masing-masing memperkenalkan diri, Suhana juga tidak terkecuali. Dia sudah mengenali ahli kumpulannya iaitu
Damya, Azdweera, Yasmin, Edward, Chin Mei Ling, Rashdan, Norhaidi dan dirinya. Melihat cara mereka, masing-masing ada potensi
untuknya tidak turun padang bermain sukan.
Ada peluang melepaskan diri.
“Sebagai ketua
kumpulan ini....” sambung Norhaidi.
“Awak jangan la
nak perasan pula jadi ketua,” usik Edward tersenyum-senyum.
“Ya la, bila
masa kita orang lantik awak jadi ketua ni...” sampuk Yasmin.
“Sudah...
Sudah... hal kecil tu pun nak bertekak.
Norhaidi, maaf ya. Kau orang ni
berilah Norhaidi tu peluang nak jadi ketua, kau orang semua ni nak jadi ketua
tak ada hal... saya sokong je,” ucap Suhana berseloroh, seronok mengenakan
Norhaidi balik.
“Aik? Nampaknya awak ada penyokong tegarlah
Norhaidi, awak layaklah jadi ketua.” Rashdan tersengih sambil mengusik mereka
yang lain.
Hati Suhana
berdetak mendengar usikan Rashdan itu.
Dia tidak suka dengan tingkah Rashdan yang melebih itu. Selain rasa malu yang menebal pada Rashdan
dia juga seboleh-bolehnya mengelak dari terus bersama Rashdan. Namun apa boleh buat bila mereka ditakdirkan
bersama dalam satu kumpulan. Memang
pelik apabila menyedari mereka dalam satu kumpulan. Jika dia tahu dari awal lagi dia meminta
untuk masuk ke kumpulan lain.
“Eh, engkau
ni...” balas Norhaidi perlahan menggantung ayatnya.
“Awak Rashdan,
jangan nak memandai pulak,” balas Suhana perlahan. Bukan dia nak menunjukkan protes sekadar
mengajuk dan mengusik yang lain agar dapat menghangatkan suasana antara
mereka. Dengan begitu hubungan antara
ahli kumpulan menjadi lebih mesra tanpa rasa segan dan malu.
“Alamak dia dah
merajuk ler...” usik Azdweera menyakat.
“Sudah, saya
malaslah nak layan kau orang semua. Kau
orang mainlah sama-sama. Saya tak mahu,”
bangkang Suhana.
“Ala... saya
faham sangat maksud awak tu berkata begitu...” ujar Damya tersenyum.
“Apa yang awak
faham sangat Damya?” ujar Suhana.
“Awak mengelak
dari nak sertai sukan dan latihan kan?
Betul cakap saya ni kan?” soal Damya sambil tersenyum-senyum.
“Awak saja aje
kan serkap jarang!” ujar Suhana berusaha
menafikan niatnya begitu.
Rashdan melihat
Suhana. Gadis itu sejak kali terakhir
masuk ke bilik cikgu Paul banyak berubah, malah dia tidak silap memandang pada
hari yang sama Suhana menemui guru kaunseling, selepas dari itu Suhana terus
berubah menjadi seorang yang ‘baik’.
Selama ini gadis itu berperangai ‘jahat’? Tidak pada dia, cuma Suhana sering
memberontak apabila jiwanya kacau itu yang Rashdan dapat tafsirkan.
Suhana terasa
dirinya di perhatikan, dia berpaling melihat sebentar rakan sekumpulannya,
matanya bertembung dengan renungan redup Rashdan. Ada apa?
Detik hatinya. Rasa menyerbu dan
kurang enak di perutnya terasa. Dia
malu.
Rashdan yang
tersedar dari perbuatannya segera tersenyum.
Namun dia merasa kekok sebenarnya berbuat begitu kepada Suhana. Sudah tiga tahun gadis itu dikenalinya tetapi
kenapa rasa hatinya seperti baru seharian mereka berkenalan secara dekat. Suhana bukan seperti yang disangka, dia
seorang gadis baik. Banyak yang tidak
diketahuinya tentang pemilik nama Suhana Adam.
“Suhana,
janganlah macam ni...” Halang Chin Mei
Ling, menarik semula Suhana duduk.
Suhana mengetap bibir, hatinya resah dan berdebar-debar melihat
Rashdan. Kenapa? Dia cuba menepis perasaan itu jauh-jauh.
“Yelah,
Suhana... Kita orang main-main jer lah.
Jomlah teruskan perbincangan,”
pujuk Yasmin mewakili semua.
“Maaf
Semua. Saya setuju Norhaidi jadi ketua!”
beritahu Damya secara mendadak.
Sokongannya memihak kepada Norhaidi sebagai ketua kumpulan mereka. Sepatutnya semalam lagi mereka telah
bincangkan tetapi memandangkan mereka penat sangat baru kini mereka dapat
melantik yang benar-benar mahu menjadi ketua kumpulan. Tak sangka Damya memihak kepada Suhana.
Semua mata
tertumpu kepada Damya sekarang. Serentak
ketawa meledak.
Selesai
perbincangan, semua bersetuju tanpa bantahan Norhaidi menjadi ketua kumpulan
secara sebulat suara, lagipun ketokohannya terserlah dari segi perwatakan dan
percakapan. Selepas itu anggota lelaki
sudah berlari ke padang bola sepak dan meninggalkan gadis-gadis di tepi
gelanggang bola tampar.
“Kau orang
kan... sengaja nak kenakan saya...” pukul Damya mesra di bahu Chin Mei Ling
yang duduk berdekatan dengannya.
“Saya rasa
kelakar juga...” balas Suhana sebaik habis sisa tawanya.
“Saya ingat awak
mahu buat gempak tadi Damya!” tutur Yasmin teruja.
“Saya pun rasa
apa yang awak nak sambung bila awak sebut ayat maaf semua... Saya calonkan diri
saya jadi ketua?” usik Chin Mei Ling. Suasana menjadi gamat dengan tawa mereka
meledak kembali dengar usikan Chin Mei Ling.
“Ha-ah, apa
agaknya terjadi bila awak kata macam tu tadi?” sokong Suhana.
“Tentu kau orang
gelakkan saya sampai pecah perut macam sekarang!” ucap Damya.
“Tak adalah
sampai macam tu...” sambung Yasmin.
“Ketawa sampai
pecah perut dan keluar airmata mungkin tidak, ketawa sampai berguling guling tu
mungkin, ya!” Chin Mei Ling masih mengusik.
“Tengok tu, Chin
Mei Ling masih tak habis-habis nak mengusik saya dari tadi!” ucap Damya seperti
merajuk nadanya. Semasa perbincangan
tadi pun dia digelakkan oleh mereka ramai-ramai tentulah dia terasa. Kasihan Damya
“Dah... dah lah
tu Chin Mei Ling, Yasmin,” tegah Suhana menghalang kononnya.
“Dah, jangan tak
gelak... gelak...” sambung Suhana memeriahkan suasana dengan usikan lagi. Mereka meneruskan ketawa.
“Hantulah kau
orang! Sudahlah... jomlah kita latihan!”
ajak Damya sama-sama ketawa.
“Baik cik Damya,
kami menurut perintah!” balas Chin Mei
Ling, Yasmin dan Suhana serentak mengiyakan.
Kasihan pula lama-lama mengusik Damya sehingga dia tersipu malu dan pipi
jadi merah jambu. Suhana berpaling ke
padang bola sebelum meneruskan langkah mengikut rakan sekumpulannya itu. Rashdan sedang memandang ke arah mereka. Entah mengapa seperti ada magnet antara
mereka, saling berpandangan. Rashdan
tersenyum, Suhana membalasnya. Petang
semakin menghilang. Senyuman mereka
menghiasi dada senja. Masing-masing
teruja dengan perasaan baru yang sedang berputik di sanubari masing-masing
tanpa mereka sendiri sedari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan