Bab 3
AREEJ merenung
imej pantulan dirinya di cermin solek.
Tanpa solekan, tanpa celak, tanpa bulu mata palsu, tanpa secalit lipstik
boleh dikatakan wajahnya bersih selama ini tanpa mekap. Wajah inikah yang nampak berseri di mata
Emran. Dengan kulit putih halus seperti
kulit bayi, bulu mata yang lentik dan panjang, bibir yang merah delima, hidung
mancung bak seludang serta pipinya yang kemerah-merahan. Pakej lengkap tapi tak secantik gadis-gadis
dalam majalah. Namun semua orang kata
manisnya tetap ada. Hairan bin
ajaib. Itulah yang terdetik di hatinya.
Dia tidak seperti gadis-gadis lain yang cukup pandai
bergaya kasual, elegan, moden dan berhias semahu-mahunya. Namun inilah anugerah terindah yang jarang
sekali ada pada orang lain tetapi dia tetap bersyukur dan tidak pernah
riak. Wajahnya yang bersih licin tanpa
sebarang jerawat, malah dia tak perlu menggunakan pelbagai jenama sebagai
pencuci muka. Mungkin kerana faktor kehidupan
susah dia menjadi seorang yang sangat tidak cerewet dan serba-serbi
ringkas.
Wajahnya hanya dicuci dengan sabun mandi. Tubuh badannya diurus dengan penampilan gadis
kampung bertutup litup. Dia sendiri
lebih gemar berbaju kurung dari berseluar.
Memang prinsip dirinya segala kurniaan baik ini digunakan untuk kebaikan
diri bukan semata-mata untuk memuaskan nafsu ingin bergaya dan mengejar
kemewahan semata-mata.
Menyentuh soal Emran, sudah tidak kelihatan kelibat
lelaki itu mengejarnya. Tetapi setiap
hari jumaat akan ada sejambak bunga dan sebungkus coklat dihantar kepadanya
berserta kata-kata romantik dengan nama pengirim Double E. Perkara itu masih
berlarutan, mungkin bukan dari Emran.
Mungkin dari orang lain. Jika
Emran sudah tentu lelaki itu yang meletakkan namanya sebagai pengirim. Emran lelaki yang suka berterus terang. Mungkin kini Emran benar-benar malu dengan
insiden di dewan hari itu. Namun mengapa
hatinya sentiasa melilau mencari kelibat Emran di mana-mana. Adakah ini yang dinamakan rindu? Oh hati sedarkah engkau perbuatanmu ini
mengundang bahana. Bayang-bayang yang
mengekorinya telah tiada itu dirindui pula, gila ke apa perasaan ini? Bila saja dia mengaitkan bunga dan coklat itu
dari Emran, serta-merta perasaannya berubah menjadi kasih, sayang dan
rindu? Gila!
Pakaian baju kurung yang tergantung di almari dibelek
satu persatu. Sebanyak tujuh pasang
semuanya dan bukan baru, tapi telah lama.
Semua baju tersebut telah selesai digosok halus. Dia sangat menjaga kebersihan dan cermat
dalam memastikan bajunya agar tidak ikat perut.
Hendak selalu jenguk emak pun dia tak mampu. Dia ke sini atas tiket biasiswa. Dia perlu mengekalkan mata himpunan tiga
point ke atas agar biasiswanya tidak menjadi pinjaman. Itu syarat yang telah tertulis dengan jelas
dalam perjanjian biasiswa. Jadi tidak
mungkin dia melihat perkara lain.
Kejayaannya adalah masa depannya.
Baju kurung kuning berbunga kecil itu dipilih dan
disarung di badan. Selesai memadankan
dengan tudung bawal kuning cair. Kemas dan
selesa dipakai. Dia tersenyum melihat
tubuh tinggi lampainya ala model itu.
Sekali hayun langkah beribu mata memandang, namun dia tidak pernah berasa hebat, riak
jauh sekali dengan ketinggian dan kecantikan yang dimilikinya itu, dia sentiasa
bersyukur dengan kurniaan ini. Dia
bergegas keluar dari asrama. Sekejap
lagi bas Universiti akan sampai, sudah pasti Nora dan Sarah sedang menunggunya
di dalam bas. Oleh kerana lewat beberapa
minit turun dari bilik sedangkan rakan sebiliknya iaiu Qistina sudah keluar,
dia terpaksa menggunakan jalan pintas pagi ini.
Pelajar asrama jarang melaluinya kecuali terlewat. Harap-harap dia sempat mengejar bas di stesen
yang sudah tiba.
Tatkala dia sedang melalui lorong antara bangunan asrama,
tiba-tiba…
Tubuhnya ditarik ke dinding celah bangunan,
berpeluh-peluh dia, apalagi tubuhnya terkejut dengan insiden spontan itu. Terasa nyawanya akan dicabut bila-bila
masa. Belum sempat dia menjerit pantas
tangan gagah yang memakai sarung tangan peninju yang diperbuat dari kulit warna
hitam putih menekup mulutnya. Dia buka
mata yang terpejam. Terkejut bukan
kepalang dengan tindakan penyerangnya.
Bulat mata Areej memandang penyerangnya. Tidak jadi dia menjerit.
Badannya sakit terhentak ke dinding bangunan. Silapnya, kawasan itu jarang dilalui pelajar
asrama. Kerana lewat dia bergegas turun
tadi, sengaja mengambil jalan pintas itu, kalaulah dia tahu lebih baik dia
terlepas bas dari mengalami situasi begini.
Bulat mata Areej memandang penyerangnya.
Areej menarik nafas panjang-panjang dan berdoa dalam hati
agar Emran tidak berbuat sesuatu yang tidak baik. Inilah yang dikhuatiri dan ditakutinya
benar-benar berlaku. Selepas enam minggu
peristiwa di dalam dewan yang lepas ingatkan Emran senyap sudah tidak berminat
padanya lagi.
“Apa awak mahu?”
suara Areej disebalik tangan gagah itu tidak jelas namun Areej jelas
takut. Wajah Emran terlalu hampir dengan
wajahnya sehingga nafas desaan Emran kedengaran kuat dan terhembus di
pipinya. Areej tertunduk kerana
malu. Tidak mampu melawan dan membiarkan
saja mata Emran menjamah kegebuan wajahnya.
Dadanya berdebar hebat. Debaran
jantungnya seperti biasa berlari keluar dari landasannya. Dia sebenarnya rindu dengan Emran sama. Gilakah dirinya. Dia benar-benar dilanda
rindu. Baru kenal terus ada rasa
rindu. Perasaan bersalah ke ini? Atau ini yang dinamakan rindu?
“Awak!” mata Emran
mengatakan begitu tanpa bersuara.
Merenung dan melepaskan rindu selepas enam minggu tidak bersua
muka. Benar-benar menguji perasaan
sabarnya. Emran menjadi nanar bila Areej
menolak pelawaan dan perkenalan awalnya.
Dia terasa dirinya ditolak mentah-mentah. Kebetulan dia terpaksa berada di Kuala Lumpur
selama enam minggu untuk menyelesaikan projek Syarikatnya. Rindu yang tertahan selama ini perlu dilepaskan
pagi ini. Pemilik wajah yang dirindui
sedang ditatapi di hadapannya kini.
Areej angkat kepala.
Emran melepaskan tekupan tangannya di mulut Areej dan
memberi isyarat agar gadis itu tidak menjerit. Mereka perlu berbual. Dia bukan sengaja menarik Areej tapi itu saja
caranya agar Areej memberinya perhatian untuk berbual. Cara baik gadis itu tidak mahu.
“Awak dah gila ke?!” tinggi nada suara Areej keluar.
Emran memberi isyarat agar merendahkan suara.
Mata Areej tajam seperti helang mahu menerkam mangsanya.
“Saya rindu awak!” wajah Emran dengan tenang.
Geram dalam hati cuba ditenangkan.
“Awak tak rindu saya?”
soal Emran bersahaja.
Tenang Areej, jangan mudah mengelabah.
“Do we know each
other?” Areej cuba berlagak tenang
sedang hatinya sudah seperti dilanda ribut taufan.
Seperti yang lalu Emran gelak kuat, seolah-olah Areej
buat lawak spontan yang kelakar gila.
Dia sudah lupa keadaan sekeliling.
“Areej… Areej… awak ingat bila saya tak datang cari, awak
akan terlepas begitu saja,” Emran geleng
kepala. Sambil kedua tangannya masih
menekap di dinding bangunan dan Areej terkurung ditengah-tengah. Tidak semudah itu gadisku.
“Orang yang saya ingat siang malam, tak mungkin saya
lupakan semudah itu. Dan…” Emran dekatkan wajahnya ke wajah Areej
membuatkan gadis itu berpaling ke kiri melarikan bibirnya dari dinikmati Emran.
Nafasnya cuba ditahan kerana dia tergoda dengan haruman
yang dipakai Emran saat ini. Haruman itu
menyenangkannya dan dia pasti tergoda dengan tektik Emran. Kata hatinya… pelik!
“Awak nak buat apa ni?” jerit Areej. Gerakan tangannya pantas menolak tubuh Emran
menjauhinya.
“Dan… tak mungkin saya tak kenal,” sambung Emran sambil
menahan pada tangan yang menolak tubuhnya itu.
Tidak menghiraukan jeritan Areej.
“Jeritlah lagi, senang kita nak selesaikan sebab ada
saksi…” ugut Emran sambil memegang kedua
tangan Areej. Ikutkan hati memang dia
mahu menculik Areej namun dia sedar dia belum berbuat apa-apa untuk menambat hati
Areej. Mintalah agar dia sentiasa dalam
waras dan tidak bertindak di luar kawalan.
Areej terasa lidahnya kelu dan dadanya menjadi
sempit. Mindanya tiba-tiba tumpul. Tindakan Emran sebentar tadi benar-benar di
luar batasan. Dia meronta-ronta mohon
dilepaskan.
“Awak tak patut buat saya begini…” mendatar keluhan suara
Areej keluar. Dia tidak ingin menjerit
dan dia faham sendiri dia yang akan malu jika Emran bertindak lebih dari itu.
“Saya tanya soalan mudah saja tadi, awak tak jawab soalan
saya lagi…”
Areej menggeleng.
“Saya sudah lewat untuk ke kelas,” Areej masih menahan
rasa geram memohon simpati agar Emran melepaskannya.
Emran sedut nafas dalam-dalam. Kelembutan suara Areej itu benar-benar
menggodanya dan meruntuhkan keegoannya.
Areej satu-satunya gadis yang sangat susah dilupakannya. Satu-satunya gadis yang tidak menerima
huluran perkenalannya. Satu-satunya gadis yang hanya mampu dia pandang dan
sukarnya mereka berkongsi rasa dan perasaan kerana gadis itu setiap kali akan
menolak dirinya. Penolakannya itu dapat
dirasai oleh Emran di segenap nadinya tanpa perlu dia suarakan hasratnya. Sungguh! Dia sudah tidak berpuas hati. Jika gadis lain sudah lama menjadi teman
wanitanya walaupun cuma kali pertama berkenalan.
Ketika dia sedang berangan untuk memiliki hati gadis itu,
Areej terang-terangan memalukan dirinya dan menolak perkenalannya. Dia diberitahu bahawa Areej tidak akan
bercinta selagi belum berjaya dengan ijazahnya.
Tidak disangka pula pagi ini dia ditemukan dengan gadis ini walaupun
niat asalnya cuma mahu melihat rupa paras gadis itu untuk melepaskan rindu.
Kata orang dapat nampak bumbung bangunan pun
jadilah. Enam minggu tidak bersua sudah
tentu rindu membuak-buak di dada. Pagi
ini dia baru saja balik dari gym. Tinju
dan senaman tidak dapat dipisahkan dari dirinya.
“Pergilah! Kelas
awak lebih penting dari saya,” nada rajuk keluar dari mulut Emran sambil
berdiri berpeluk tubuh. Tangannya
melepaskan pegangan kedua tangan Areej.
Kenapa awak kata dalam nada macam tu? Jiwa Areej tersentuh. Dalam ramai-ramai lelaki Emran adalah
satu-satunya lelaki yangn paling sukar difahamkan. Lelaki ini sangat penuh muslihat mengapa
selepas enam minggu baru muncul kembali.
Adakah sebenarnya Emran punya perancangan lain. Tapi mengapa persoalan itu wujud dalam
benaknya jika antara mereka tiada ikatan hati dan perasaan.
“Tolong jangan ganggu saya lagi!” pinta Areej dalam nada
tegas tapi takut-takut. Pagi ini dia
hampir-hampir tewas melepaskan rindu yang bersarang dalam jiwa. Nasib baik lagi sempat berfikir waras. Dia takut dirinya terikat. Dia takut dirinya dikata tak sedar diri bila
bergandingan dengan Emran. Lelaki kacak
itu punya segalanya. Masa enam minggu
berlalu cukup untuk dia mengumpul maklumat tentang Emran dari teman-teman yang
mengenali lelaki itu.
“Saya rindukan awak sangat, jarak enam minggu bukan
tempoh yang singkat untuk saya menahan diri,
seandainya awak mengerti perasaan saya…”
senafas Emran bersuara walaupun dia tahu Areej bukan mahu mendengarnya.
“Mahukah awak beri masa pada saya hari ni, kita
menghabiskan masa bersama. Tidak lebih
dari itu saya janji!” Emran benar-benar
panasaran. Dia mahu mengenali gadis ini
lebih dalam lagi. Ah! Angaunya
dirinya? Secara terus terang dia
mengajak Areej keluar, walaupun hatinya tahu Areej tetap menolak.
Terlalu berterus terang lelaki ini tentang
perasaannya. Areej malu mengakui. Namun dia takut Emran mempermainkan
perasaannya seperti gadis-gadis sebelum ini yang menjadi teman wanita Emran.
Emran rindu sangat-sangat. Rindu tentang segalanya tentang Areej. Dia sendiri jadi nanar dengan
perasaannya. Dia cuma mampu melepaskan
rindu pada gambar Areej yang diabadikannya dalam telepon tanpa disedari gadis
itu dia ada menyimpannya. Lenggok
gayanya, senyumannya, jelingan matanya segala-galanya tentang Areej. Emran
sendiri bingung dengan kehendak hatinya.
Teka-teki apakah ini. Selama ini
begitu mudah dia melepaskan semua gadis tanpa rasa ragu-ragu. Baginya gadis-gadis ini seperti biskut,
sekejap ada sekejap tak ada pun dah puas menikmati. Takkan berpatah balik. Cuma dengan Areej dia belum dapat tundukkan
lagi. Belum dapat-dapat lagi hati gadis
itu supaya mengikut rentaknya. Hati
Areej seperti batu!
Kalau tak dipecahkan ruyung-lapisan
kulit batang pokok palma yang kuat dan keras, mana
nak dapat sagunya. Maksudnya tidak
akan tercapai sesuatu maksud jika tidak mahu berusaha.
“Maaf, saya kurang setuju. Tolong jangan ganggu saya. Dah lambat ni, saya perlu masuk kelas,” Areej kerling jam di tangan kiri. Masa menunjukkan dia akan tuang lagi satu
kelas pagi ini.
“Awak tak rindu pada saya ke?” soalan bertukar rentak
dari Emran. Mengulang soalan awalnya.
Areej menahan nafas.
Persoalan itu wujud kembali.
Menggoyahkan hatinya sendiri.
“Tak,” ringkas jawapan Areej cuba berselindung. Dia rindu sebenarnya tetapi masih mahu
menafikan keinginannya sendiri. Dia mahu
menahan gelora perasaan itu.
“Awak terima tak bunga dan coklat saya?”
Bulat mata Areej mendengar jawapan yang selama ini
dicarinya. Memang benarlah bunga dan
coklat tu dari Emran.
“Awak suka?” Emran
hairan, Areej diam tanpa jawapan.
Areej menahan dengup jantungnya, yang selama ini
difikirkannya rupanya benar belaka.
Rindunya bersatu dalam kasih dan sayang terhadap insan yang sedang
berdiri di depannya kini. Dia tidak mahu
Emran tahu rahsia hatinya. Emran tentu
pakar dalam mengenal reaksi dan gelagat gadis kerana pengalamannya sebelum
ini. Tidak mustahil Emran mengetahui
rahsia hatinya, jika Emran tahu ia sangat berbahaya kerana Emran boleh
bertindak sesuka hati. Itu yang dia tahu
dari Fisah, bekas teman wanita Emran dulu.
Emran bukan seorang yang mudah berputus asa malah lelaki itu jika
mahukan sesuatu selagi tidak dapat selagi itu diusahakannya, bila sudah dapat
dilepaskan seperti tiada membawa makna apa-apa padanya. Itu gambaran Fisah kepadanya. Mahukah dirinya diperlakukan
sewenang-wenangnya begitu, sedangkan perjalanan hidupnya masih jauh dengan
kejayaan, impian dan cita-citanya belum tertunai. Dia tidak mahu masa meninggalkannya kerana
leka akibat terluka.
“Habis tu, awak tak nak jawab semua soalan saya. Awak nak protes dengan diam begini?” Emran cuba berlembut.
Cara bagaimana lagi untuknya lakukan jika pelbagai usaha
dibuat memang tidak jalan dengan pemilik nama Areej ini. Ketika ini masih terus terusan menolak juga.
“Bila awak lapang?” tanya Emran.
Areej diam, cuba memikir untuk melepaskan diri. Apa dia perlu cakap supaya Emran percaya.
“Saya tahu awak lapang petang ni, kelas awak
dibatalkan. Saya sanggup tunggu awak,
saya nak ajak awak keluar supaya kita boleh berkenalan lebih lanjut tentang
diri masing-masing,” Emran bersuara
membuat pelawaan sebelum Areej membuka mulut untuk lepaskan diri dari jerat
Emran. Sudah tentu Emran tahu tentang
jadual kelasnya dari Fisah kerana mereka sama aliran.
Areej menggeleng.
Keluar dengan dia ni? Baik lagi
menghabiskan masa dengan Nora dan Sarah dari melayan lelaki seperti gila talak
ini. Terjebak dengan Emran dikhuatirinya
akan berkemungkinan membuka jalan ke arah lupa daratan dan noda dosa daki
dunia. Dia akan rasa seronok dilayan seperti
puteri raja. Emran bukan jenis lelaki
kelas bawahan, malah Emran memiliki kehidupan yang hebat cukup segalanya,
menerajui dunia korporat dan menjadi individu penting dalam Syarikatnya tentu
dia tidak mahu menjalani kehidupan melarat seperti Areej yang sentiasa
berjaga-jaga ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang dan berpuasa
menahan nafsu makan kerana ingin berjaya dalam pelajarannya. Sanggupkah Emran jika dimintanya untuk
melepaskan kehidupan hebatnya dan jawatan kelas atasannya hanya kerana
permintaan Areej. Mereka dua individu
yang dipisahkan oleh jurang yang amat ketara.
Seperti pipit tak mungkin terbang bersama enggang, atau antara batu dan
permata. Mahukah Emran?
Emran menarik nafas.
Aura Areej sangat kuat, berbeza sekali dengan gadis-gadis lain yang
pernah dia kenali dia bukanlah terlalu kebal untuk bertahan. Keengganan Areej buatkan Emran rasa sering
tercabar, tercalar dan dicabar. Spontan
tangannya bergerak pantas menolak Areej yang sedang bergerak meninggalkannya
dan menghampiri keretanya, masuk ke
kereta Chevrolet Camaro Coupe 2LS berwarna bright yellow sebelum akalnya sempat berfungsi ke jalan yang
benar. Areej dipaksa duduk dan pintu
kereta automatik terkunci.
“Emran!!!” jerit
Areej dari dalam kereta. Jeritan kuat itu
tidak tembus tingkap kereta. Dia tidak
bersedia dengan tindakan Emran yang agak pantas itu.
“Awak nak ikut saya atau terus ke Jabatan Agama? Pilih, ikut saya keluar makan atau nak nikah
terus?”
Emran berbisik perlahan sebaik masuk ke dalam keretanya,
sengaja gunakan tektik mengugut. Dia
sudah dapat menghidu perasaan Areej terhadapnya tapi dia belum yakin.
“Gila! Macam
semudah itu...” wajah Emran sudah
terlalu hampir ke wajah Areej. Areej
paling wajah ke sisi apabila nafas Emran terasa panas menampar wajahnya untuk
kali kedua. Dia takut dirinya akan
tertewas akhirnya. Saat itulah dia
ternampak Nora dan Sarah di bangku stesen bas merenung tajam tak berkelip ke
arahnya. Mereka cuma nampak adegan
seperti Emran menciuminya. Merah padam
pipi Areej. Mata kawan-kawannya itu
tajam tak berkelip. Dia menggeleng
pantas memberi isyarat yang membawa maksud tak ada apa-apa yang berlaku. Entah mereka faham atau tidak isyarat yang
diberikannya.
Tanpa berlengah, Areej menolak tubuh Emran sekuat tenaga
dan menjerit sekuat hati biar bingit telinga Emran oleh jeritannya kerana dia
sedar dia sudah terkunci rapat dalam kereta Emran dan tak mampu berbuat
apa-apa. Dia juga yakin Emran tak berani
mengapa-apakannya.
Emran yang terkejut dengan situasi spontan dirinya
sendiri itu terus menjarakkan diri dan mula menghidupkan injin kereta. Pantas pedal minyak ditekan. Kereta laju melalui Nora dan Sarah yang
tercengang menonton drama sebabak pagi ini.
Hatinya benar-benar panas dan dia makin tekad. Taufan atau kilat, gempa bumi atau tsunami,
Areej harus disambar cepat. Hujan ribut
tidak akan dihiraukan, biar mereka berbasahan sesama sendiri.