Ahad, 19 Julai 2015

Si Pemburu Hangat - Bab 9

Bab 9


MASUK ke Dewan Kuliah, langkah diatur ke arah tempat duduk Nora dan Sarah.  Mereka bertiga tetap bersama.  Areej melemparkan senyum cuba mengawal darah gemuruhnya agar tidak nampak keterlaluan di mata kedua sahabatnya.  Sangat-sangat berharap mereka tak jadi detektif tak bertauliah pagi ini.  Ia cuma tinggal harapan.  Areej baru melabuhkan punggung diantara keduanya sudah disembur.
“Kau ke mana menghilang, tuang kelas pertama lagi pagi ini?”  Nora menembak sesuka hati.  Dia menarik Areej duduk di tengah-tengah.  Punggung Areej terhentak.
“Errr… Nora!” marah Areej dengan tindakan Nora yang tak terduganya itu.
Sebenarnya Areej rimas dengan situasi seperti ini, soalan-soalan mereka jika boleh tak mahu didengarinya pagi ini.  Sudahlah jiwanya tidak tenang dengan sikap Emran yang makin menjadi-jadi.  Dua sahabatnya ini pula begini.
Sarah pula cuma memandang perubahan Areej hari ini.  Tentu ada sesuatu yang tak kena pada Areej sehingga gadis itu lambat masuk kuliah atau…
“Pengintip tak berbayarlah awak ni Nora,”  Areej menyembunyikan kegugupannya.
“Okey! Apa yang rahsia sangat tu?”  Nora berkata tanpa belas.
“Aku bukannya nak berahsia sangat tapi kau tu macam aku tak kenal,”  Areej geram.  Nora tahu mencungkil rahsianya sahaja.
Sarah pula masih melihat dan menilai sambil mempamerkan senyum mendengar kata-kata Areej kepada Nora.
“Emran muncul semula kan?”  teka Sarah.
“Pandai kau Sarah!” ucap Areej menahan geram.
Semua perihalnya nak tahu.
“Betul ke?”  nada Nora berubah teruja sebaik mendengar nama Emran disebut-sebut Sarah.
Areej menahan nafas.  Sesuatu berkaitan Emran buat keduanya kelihatan teruja.
“Bertuah kau Areej, kalau aku dah tentu aku tak fikir-fikir lagi… setuju ajelah apa lagi nak jual mahal,”  ucap Nora tanpa peduli perasaan Areej.
“Emran muncul lagi?” suara Sarah tak percaya, namun mahukan kepastian Areej.
Areej mengangguk.
“Aku suka juga kalau kau bersama Emran,”  akui Nora.
Tak ada orang tanya pun pendapat kau Nora.
Geram Areej dibuatnya.
“Oh! Patut wajah kau keruh sedikit pagi ini, ini dah tentu dia paksa kau lagi kan?”  Sarah menepuk paha Areej.
Kali ini Areej terdiam.  Dia memintal hujung tudung bawal birunya.
Ketara sangatkah wajahnya yang resah dan gelisah?  Sudahlah jiwanya terseksa dan tertekan dengan kehidupan susah yang dilalui.   Lepas tu, Emran pula muncul sesuka hati tanpa diundang.  Mahu aku ikut cakap dia.  Sewel punya lelaki.  Tidak bolehkah dia biarkan aku sendiri.
“Kuliah pagi tadi macam mana?”  Areej bersuara mengubah topik tentang Emran.  Takut hatinya tergugat, mulutnya akan berterus terang jika terus-terusan Nora dan Sarah menjadi detektif tak bertauliah begini.
“Ada nota nanti buat salinan untuk kau,”  balas Sarah memahami keresahan Areej, membalas agar mampu meredakan gelora hati Areej.  Mereka rapat bersama kerana berasal dari golongan yang susah.
Hati masing-masing mengakui dan memahami mereka perlu berusaha agar berjaya mengubah kehidupan masa depan.
“Aku tak suka dengan gangguan Emran,” Areej meluah rasa yang dialaminya.
“Susah juga nak fahamkan… orang dah fanatik pada kau, aku harap kau bersabar.  Jangan bertindak kasar sangat, risau nanti tindakbalas dia.  Macam-macam kes hari ini, gerun dengan pelbagai tindakan manusia yang di luar batas pemikiran.” Sarah buat reaksi yang sukar nak ucap.
“Aku nak tahu sangat apa yang dia nampak pada kau?”  Mulut Nora terjuih sikit.
Areej angkat bahu sambil menjawab. 
“Aku pun tak tahu…”  Mereka gelak serentak.
“Petang ni kita tak ada kelas,” beritahu Sarah.
“Okey, any plan?” ujar Areej.
“Jom kita pergi pekan, nak?”  Nora teruja.
“Idea bagus!”  Sarah bersinar matanya.
“Ada lain lagi, selain itu?”  pinta Areej berharap ada lagi rancangan selain ke pekan.  Poketnya kering ketika ini, nak keluar jalan-jalan pun kena bayar tambang bas.  Tak mungkin dia mahu membazirkan wang yang ada.  Dia kena berjimat.
“Nak kerja tak?  Aku ada dapat offer, kerja part time,”  Nora menayangkan borang dari buku tulisnya.
“Mana kau dapat borang tu?”  teruja pula Areej.
Bersinar matanya.  Tiba-tiba idea datang agar dia tidak ikat perut sentiasa.
“Nak kerja?”  tanya Nora.
“Naklah, Sarah?”  soal Areej berpaling melihat Sarah.
Sarah mengangguk dan tersenyum bersetuju.
“Set!!!” ujar Areej tak sabar nak mula bekerja.  Semangatnya yang sedikit keruh awal tadi kini tiba-tiba menjulang tinggi.
“Kerja kosong kat mana?”  soal Sarah.
“Mc Donald dekat stesen Shell,” beritahu Nora
“Kerja apa?” tanya Areej.
“Kaunter, macam-macam lagi… ” sambung Nora.
Areej sudah berkira-kira.  Jika dia bekerja secara sambilan sudah tentu sedikit sebanyak dapat menampung kos kehidupannya di kampus.  Dia memerlukan wang tunai untuk membeli keperluan hariannya.  Walaupun dia mendapat bantuan kewangan tetapi cuma cukup untuk membayar yuran pengajiannya.  Belum termasuk makan pakainya sepanjang bergelar pelajar.  Areej memanjat syukur sangat ada jalan keluar dari kemelut kesempitan hidupnya.
“Nanti aku maklumkan Khalida,”  ujar Nora memaklumkan kedua sahabatnya.
“Khalida kerja sana ke?”  Sarah ingin tahu.
“Ya, restoran tu tak jauh dari sini, ada van sewa ambil dan hantar,” terang Nora tanpa dipinta.
“Nak le, bukan senang nak dapat kerja sambilan…” Areej tidak mahu terlepas peluang baik untuk mencari pendapatan tambahan.
“Kalau kau terima Emran, taklah kita melarat.  Boleh juga kami tumpang sekaki…”  usik Sarah penuh makna berbisik di telinga Areej.
“Takkan tak nak kongsi dengan aku?”  ujar Nora perasan Sarah mengusik Areej.
“Pantang aku!  Entah apa angin Sarah, merapu!  Cadangan gila, tak mungkin tak mungkin…”  ujar Areej geleng-geleng kepala.
“Rugi.  Kalau kau tak nak aku nak… cuma sayangnya bukan aku yang digila-gilakannya,”  angan Sarah.
Areej tarik muka.
Nora dah dapat meneka maksud Sarah.
“Aku setuju cakap Sarah, sebelum orang pergunakan kita, kita pergunakan dulu.  Aku tak nampak cara itu salah, lagi pun dia sendiri yang menghantar dirinya…” panjang pula persetujuan Nora.
“Kita tak tahu niat dia,” Areej mahu menamatkan perbualan tentang Emran.
“Bukan perguna… tak sedap ayat tu.  Pertolongan!  Hah… orang hulur pertolongan sambut sajalah.”
Nora ketawa sambut kata-kata Sarah.
“Merepeklah kau orang ni,” 
Balas Areej mencerlung matanya.  Dia faham benar maksud mereka.
Protes.
“Aku harap kita dapat kerja, aku perlukan duit, tengok kasut aku dah koyak,”
Ucap Areej bukan memohon simpati cuma memberitahu.
“Aku ingat aku sorang saja yang kasut koyak, kau pun sama?”  ucap Nora.
“Eh, aku pun…” akui Sarah.
Mereka saling berpandangan.
“Apasal semua sama?”  soal Areej.
“Hujan buat kasut rosak dan gam kasut tak lekat, faham-fahamlah kasut murah,” balas Nora.
“Nampaknya muktamad, kita perlukan kerja kerana kasut kita perlu pengganti,”  kata-kata Sarah itu buat mereka ketawa lagi.  Sarah memang seorang yang mampu mencipta suasana ceria.
Itu sahaja yang boleh menceriakan hati mereka.  Walaupun susah ada perkara yang memberi kegembiraan kepada mereka.  Tak perlu menyusahkan orang lain, mereka perlu belajar berdikari.  Mereka perlu berani menongkah arus dan terus berusaha sendiri.

Tiada ulasan: