Selasa, 14 Julai 2015

Si Pemburu Hangat - Bab 4

Bab 4


“TAK nak turun?  Tadi menjerit bagai nak pecah dah gegendang telinga saya ni,”  ucap Emran sebaik membuka pintu kereta Chevrolet Camaro di halaman sebuah rumah banglo mewah bertingkat dan berblok-blok.  Banglo warna putih tersergam indah.  Mewah dengan hiasan dan taman yang indah.  Mata Areej terpesona dengan taman luar yang rapi dan diurus dengan baik itu.  Kebetulan waktu pagi bunga-bunga di taman itu sedang mekar menerima simbahan cahaya matahari.  Areej terpaku pada bunga raya warna merah jambu.
Areej terkedu.  Sudahnya dia tuang kelas pagi ini gara-gara Emran.  Tindakan gila Emran sukar diramal dan diduga oleh akal ceteknya.  Lelaki itu suka berbuat sesuka hatinya.  Sebelum ini kejar dia seperti bayang-bayang, kirimkan bunga dan coklat bagi tujuan memikat hatinya.  Lepas itu, selepas tidak bersua enam minggu muncul pula dengan satu perubahan iaitu paksaan.  Hati sabarlah dikau.  Ingatkan semuanya dah tamat rupanya tidak.
Emran senyum matanya terpesona dengan pakaian baju kurung Areej memang sesuai untuk diperkenalkan kepada kedua orang tuanya pagi isnin begini, harap-harap abahnya belum bertolak ke pejabat lagi.  Kerana baju kurung dia terikat hati dan perasaan dengan Areej.  Ramai pelajar berbaju kurung entah mengapa hatinya cuma terikat kepada Areej yang berbaju kurung itu.
“Awak bawa saya ke mana ni?”  soal Areej curiga.  Dibuatnya Emran memperlakukannya dengan tidak senonoh atau membunuhnya kerana sering menolak perasaan Emran dia tak mampu ke mana-mana kerana segalanya di sini diselenggara secara automatik.  Pintu pagar pun automatik apa lagi jika dia sedang merancang hendak melompat keluar, segalanya dikawal rapi di dalam banglo ini.  Idea gila bila dia sedang buntu.
“Awak tak usah takut saya tak makan awak punya, saya makan nasi.  Saya bawa awak makan kat sini, confirm kenyang perut bukan sakit perut,”  gertak Emran gelak-gelak nakal.
Sudahlah sepanjang jalan ke sini dia protes tak mahu bersuara pada Emran.
Emran mengusik memahami gelombang perasaan gadis itu sambil menanti Areej keluar dari keretanya yang sudah siap sedia dibukakan pintunya sejak sampai tadi.  Layanannya tetap bersopan.  Jenuh juga dia menunggu reaksi Areej.  Areej seperti sedang memikirkan sesuatu.
Gadis itu langsung terpana dan terdiam seketika tanpa tindakan spontan.  Wajahnya menggambarkan kekalutan.
“Janganlah takut ini rumah umi dan abah saya, mereka ada kat dalam,”  bisik Emran hampir di telinganya.  Areej menjeling kerana spontan terkejut dengan tindakan Emran itu.
“Apa?!” itu jeritan Areej sebaik keluar dari kereta.
“Eh!  Apa jerit-jerit ni, mari kita masuk buat macam rumah sendiri,”  pelawa Emran meninggalkan Areej terpinga-pinga meneliti sekeliling tanpa suara dan tindakan.
Emran!  Eee… geramnya bertimpa-timpa dengan sikap Emran itu.  Sesuka hati emak bapak dia usung dia ke sana sini.  Paksa memaksa pula tu.  Sudahnya dia tak berdaya menolak.  Aura Emran terlalu menggerunkan atau kerana hatinya sudah terpaut sayang.  Sudahlah tadi Nora dan Sarah melihat adegan yang tak patut, entah apakah yang sedang difikirkan oleh kedua sahabatnya itu dia tak pasti.
“Tak nak masuk ke?” jerit Emran sengaja berbuat demikian.
Badan Areej terhenjut sedikit.  Dia menjeling lagi.  Lelaki ini sesuka hati memaksanya ikut kemahuannya saja. 
Jelingan maut!
Namun jelingan itu kelihatan manja pada sorotan pandangan mata Emran.  Emran memberi senyuman lembut seperti di dewan dahulu.  Senyuman manis kali kedua selepas pertama lalu.
Di hitung!
Areej terpana seketika.  Senyuman buaya!  Gerutu hatinya.  Adakah patut bawanya ke sini awal pagi.  Areej akhirnya melangkah satu-satu dan perlahan mengekori langkah Emran.  Pintu rumah terbuka lebar dan seorang wanita berusia sedang tersenyum manis menyapa mesra mereka.
“Umi apa khabar?”  ucap Emran.  Wanita itu berpenampilan biasa-biasa sahaja.
Umi dialah, apa nak buat ni?  Ingatkan orang gaji rumah ini.  Malu aku.
“Nak datang tak cakap pada Umi, siap bawa tetamu cantik lagi, masuklah bawa tetamu ayu Emran tu,” mesra Zahira mempelawa masuk.  Nampak kecantikan Zahira walaupun sudah berusia dalam pakaian baju kurung Raub yang elegan dan elit itu.  Maka benarlah lagi satu cerita Fisah tentang siapa Emran.  Kehidupan serba serbi sempurna dan mewah Emran.
“Umi, kenalkan ini Areej… ini umi Saya, Zahira.”  ujar Emran tersengih memperkenalkannya.  Reaksi gembira dan wajah Emran menarik perhatian Areej.  Lelaki ini manja dengan Uminya.
Ku hempuk kang kepala dia ni biar pecah.  Sesuka hati dia aje mainkan aku.
“Apa khabar makcik?”  kelat tekaknya menyebut perkataan makcik itu seperti nampak kekampungan sangat gelagatnya.  Patutnya aunty ke, datin ke… ini makcik?!  Biar betul kepala ko Areej?  Haish!!! Kau ni Areej potong saham sendirilah.  Dibuatnya status Umi Emran ini adalah Datin tak kau haru?
Zahira cuma tersenyum melihat kekalutan gadis itu sambil menyambut huluran salam Areej.
“Umi sihat, panggil umi saja, marilah masuk,”   Zahira mempelawa seperti orang beradat.  Senyumannya tak lekang di bibir.  Nampak keikhlasannya zahir dari hati.  Boleh pula dia baca hati orang tua tu.  Tapi bukankah selalunya orang-orang kaya ni sombong.  Itu telahan kau sendirilah Areej, ini nasib baik kau bertemu dengan orang yang baik budi pekerti, kalau dapat kenal orang yang macam begitu tak kau haru…
Areej garu tudung.
Emran menjeling perbuatan gadis itu berasa lucu.  Perlakuan Areej benar-benar nampak comel ketika ini.  Baru kau tahu langit tu tinggi ke tidak, cabar lagi aku ini.  Kau belum tahu siapa aku.  Pantang dicabar.
“Areej, marilah duduk kita minum sekali, abah Emran akan turun sekejap lagi,” matanya tak lepas memandang perabot mewah dan hiasan dalaman yang cantik.  Walaupun cat dinding warna putih tapi menyejukkan hatinya saat ini dengan memandang hiasan dinding rumah banglo tersebut.  Sebaik sahaja melihat kereta Emran dia sudah mengetahui Emran adalah orang berada diperkuatkan lagi dengan info Fisah.  Tetapi bukan kemewahan yang dipinta tapi cinta dan kejujuran.  Cukuplah derita dia dibenci dan dianiaya.
Seketika…
Abah Emran menuruni tangga yang boleh kelihatan dari ruang makan.  Mata Areej tak melepaskan lenggok gaya seorang lelaki korporat, yang tak lekang tersenyum manis.  Dua-dua orang tua Emran memiliki pesona yang memikat.  Kenapa anaknya tak bersopan seperti mereka ini?
“Oh, kita ada tamu ayu rupanya, tak beritahu abah pun Emran bawa seorang tetamu ayu?” usik Esmail sebaik mengambil tempat duduk di meja makan.
Areej terkedu.  Dapat pujian lagi.
“Ya abah, kenalkan namanya Areej,”
“Sudahlah ayu sedap pula namanya,”
Areej cuma tersenyum mendengar usikan abah Emran itu.  Terasa senyumannya melekat di pipi.  Hai pipi kenapa kau tegang saat ini, malu berbakul-bakul rasanya.
Emran tersenyum manis duduk bersetentang dengan Areej.
“Apa khabar pakcik?” ucap Areej.  Kau buat lagi… entah-entah gelarannya Dato’?  Isk… aku tak kenal mana dengan Emran ni.  Aku pun tak suka ambil tahu pasal dia ni.  Tak pernah aku berminat dengan lelaki luar planet.  Agak-agak dari planet Pluto ada tak?
“Baik Areej, pakcik panggil Areej ye, Areej pun boleh panggil abah macam Emran, jemput minum dulu…”  pelawa Esmail.  Matanya tak lepas meneliti gadis pertama yang dibawa Emran bertemu mereka.  Dapat dilihat dari mata kasarnya betapa Emran sedang dilamun cinta kali ini sedangkan gadis ini seperti kalut semacam.  Dia cuma tersenyum mentafsir luaran yang terpamer antara kedua orang muda di hadapannya ini.  Nampak jelas gelagat anak bungsunya seperti dirinya dulu itu yang buat dia tersenyum sejak terpandang gadis itu dari atas tangga.
Memerhati gelagat anak terunanya teringat zaman silamnya bersama isterinya.  Esmail senyum lagi.  Dia dulu suka sangat memaksa Zahira.  Jika tidak dipaksa belum tentu Zahira mahu menikahinya.  Oh kenangan manis zaman silamnya terimbau dengan gelagat anak terunanya ini.
Mana tumpah kuah kalau tak ke nasi.  Gadis bernama Areej ini pun elok saja penampilannya.  Harap-harap dari keturunan baik-baik juga.
“Boleh abah…”  Areej mengangguk.  Lidahnya tiba-tiba kelu.  Senyum saja abah Emran itu.  Tak pernah dia rasa serabut seperti ketika ini.  Hidangan di depan cuma dijamah dengan pandangan seketika.  Rasa segannya bertimpa-timpa.  Pemikirannya yang kolot tentang orang kaya biasanya berlagak tapi keluarga Emran hidup serba sederhana walaupun jelas kemewahan yang dimiliki.  Pertuturan, gerak laku mencerminkan keluarga ini tidak tergolong lupa daratan. 
Mahukah dirinya menerima Emran jika begini keadaannya namun hatinya tidak terpaut lagi pada Emran.  Kalau berlagak senanglah dia nak bertindak dengan Emran tapi mereka kelihatan melayan tetamu baik dan sopan.  Bingung seketika bila sering membaca cerita keluarga kaya ni tak reti nak hormat orang tapi ini ternyata di depan matanya bertentangan situasi.  Cuma Emran sahaja yang berperangai tak senonoh.  Suka memaksa. Tapi dia suka… eh?! Iye ke?  Termalu sendiri.
Mereka menjamah sarapan tanpa bualan.  Tertib dan bersopan lagi tambah segan Areej.  Ada bagusnya tiada perbualan.  Areej terasa kaku cuma mampu memerhati dan mengikut situasi, sedikit-sedikit menyuap makanan ke dalam mulutnya.  Suasana terlalu senyap tanpa soalan atau perbualan dari umi dan abah Emran.
Sebenarnya tanpa Areej sedari tiga orang tersebut sedang menganalisinya dengan segala persepsi.  Emran dari segi perasaannya.  Berasa seronok melihat kalutnya seorang Areej. Dia suka kerana Areej ada di depannya.  Dapat dia melepaskan rindu enam minggu tak bertemu.  Kesenyapan berakhir dan mereka berkalih ke ruang tamu.
“Areej asal dari mana?”
Areej sengih.  Nak cakap apa ni, suasana terasa kekok kerana sesuatu yang baru baginya.  Dia menjeling geram Emran, membawanya ke rumah orang tua lelaki itu tanpa ada apa-apa persediaan, jujur sajalah pada hatimu Areej…
“Tenom,”  ringkas.
Akhirnya Emran berjaya dengan misinya.  Banyak tentang Areej diketahuinya melalui perbualan umi dan abahnya pagi ini.  Bagus juga idea spontannya memperkenalkan Areej hari ini, susah sangat nak berkenalan.  Biar orang tua uruskan.  Dia cuma menjana maklumat sahih saja. Dia yakin Areej tidak menipu tentang latar belakangnya.
Puan Zahira senyum manis, Areej terpana melihat senyuman umi itu rupanya diwarisi oleh Emran. Senyuman Emran adalah hasil genetik ibunya.  Dia suka melihat senyuman Umi.  Senyuman itu menenangkan hati yang gundah.  Tapi!... senyuman Emran pula bahaya!  Senyuman penggoda.  Sesi soal jawab tentu akan bermula.  Dia perlu persiapan rapi dengan jawapan peluru berpandu kepada kedua orang tua Emran tu.
“Abah tak kerja hari ini?” soal Areej bersoal balas.  Tidak mahu mengisi suasana dengan kesunyian.
Esmail memandang Areej.  Kemudian mencapai dan membuka lembaran akhbar.
Tersenyum.
“Sekejap lagi, Areej pula buat apa sekarang?”
“Masih belajar,” jawapan Areej ringkas.
Pelik tapi benar.  Suara Areej yang begitu buat hati Emran cair terus.  Benar-benar anak yang patuh dan baik gadis bernama Areej.  Sedap pula dengar gadis itu panggil abahnya dengan panggilan yang diguna adik beradiknya selalu.  Emran senyum kembang hati melihat penerimaan yang baik dari orang tuanya.  Berbunga setaman.
“Areej ramai adik beradik?”  soal Zahira pula.
Soalan itu buat Areej serba salah. Sebenarnya dia kurang minat dan tidak mesra pada mereka yang mahu mengenali identitinya.  Dia langsung tak suka.  Tapi satu sikapnya walaupun tidak suka bersoal jawab tetapi dia tetap akan menjawab dan menghormati orang itu seperti orang tua Emran dan tidak pada Emran.
“Tak.  Areej anak tunggal,”  kekok rasanya diri diselidik sebegitu rupa di depan Emran.  Emran pula sedap aje ambil kesempatan.
“Oh anak tunggal rupanya, anak umi ada 6 orang.  Emran ni anak bungsu lelaki,” ujar Zahira.
“Emran tak pernah cerita,” beritahu Areej.
“Areej tak tanya,” balas Emran.
Areej menjeling.  Siapa nak tahu pasal kau!
“Sedap umi masak,”  puji Areej.
“Umi tak ada orang gaji, umi urusnya sendiri.  Lagipun abah Emran ni cerewet pasal masakan,”
“Bila masa saya tak makan masakan awak?” Esmail bersuara lembut.  Pertanyaan itu menyentap ingatan Areej.  Suara setegas itu pernah didengarinya.  Tiba-tiba dia rindukan ayahnya. 
“Kenapa Areej?” soal Zahira lembut menyedari perubahan airmuka Areej.
Saat itu Areej sangat terharu dengan kelembutan dan keprihatinan umi Emran itu.  Terfikir Areej, apa kes awal pagi sudah datang bertandang ke rumah orang tua ini.  Benar-benar tindakan Emran tidak pernah dibuat orang.
“Areej minta maaf, Areej serba salah umi, datang ke sini mengejut begini, seawal pagi,”
“Tak ada awalnya Areej, senang hati abah terima tetamu,”  balas Esmail
Untungnya Emran mendapat kedua orang tua yang prihatin.  Tidak seperti dirinya.
“Apa nak disalahkan, tetamu yang datang adalah rezeki, pagi begini umi dapat rezeki tetamu cukup buat umi bersyukur dengan kedatangan Areej, Alhamdulillah!” ucap Zahira menyejukkan rasa bersalah di sanubarinya.
“Alhamdulillah,” sambung Areej melihat betapa positifnya penerimaan kedua orang tua Emran itu tentang kedatangannya pagi ini.
“Emran akan bertunang tak lama lagi, jemput datang majlis tu nanti ya,” ujar  Zahira diakhir perbualan.  Sebelum berpisah umi memeluk mesra dan Areej berasa amat selamat dalam dakapan wanita itu walaupun hatinya terluka dengan kenyataannya sebentar tadi.
Areej tidak terkata.  Mata terpana ke arah Emran sebaik duduk di kerusi penumpang.  Kenapa hatinya berasa terluka?
“Dah nak bertunang yang awak nak usung saya ke sana ke mari buat apa?” terjah Areej sebaik mereka bergerak pulang.
Emran ketap bibir, dia sendiri tak faham maksud uminya mengkhabarkan berita itu pada Areej.  
 “Belum tunang lagi, baru nak bertunang,” balas Emran bersahaja.
“Awak ni betul ke tidak?”
“Awak tu marah-marah saya kenapa?  Tuan badan sendiri tak tahu, umi yang kata macam tu,”
“Awak sengaja sakitkan hati saya kan?”  tanpa sedar Areej sedang masuk ke perangkap perasaan.
“Siapa yang sakit hati sekarang ni?” balas Emran.
“Tak faham betullah dengan orang lelaki zaman sekarang, mata keranjang,”
“Keranjang yang ada mata bukan saya,” Emran masih berseloroh.  Hatinya berbunga-bunga melihat kemarahan Areej itu tandanya ada sesuatu yang baik.  Areej ada satu perasaan padanya.
“Saya tak suka orang berbohong!”  ujar Areej keluar menghentak pintu kereta.  Terkedu Emran dengan tindakan kasar Areej itu.  Iya, memang benar gadis tidak suka dibohongi.

Tiada ulasan: