Bab 8
TIBA di tempat letak kereta Emran sengaja tidak keluar menunggu
dalam kereta, cuma mahu melihat kelibat tubuh Areej sedang berada. Cara begitu
untuk melepaskan rindu tersepitnya. Entah
mengapa sekarang semuanya terasa indah.Dalam debar dan gemuruh dia beranikan diri mengambil risiko
dan tindakan dengan pendirian untuk mencuba nasib memikat Areej. Entah apalah
yang istimewa sangat pasal Areej. Patut
akal warasnya perlu diikut tapi tak tahu kenapa saat ini hati dan akalnya
bersatu bila menyentuh perihal Areej.
Hati dan perasaannya tenang-tenang saja sebab dapat melihat Areej
walaupun dari jauh. Hati dan akalnya
bersatu terang-terang mahukan Areej.
Menentang segala rutin hariannya.
Kata orang
kalau hati bahagia, kita akan sentiasa ceria.
Begitu juga sebaliknya. Cuma
sekarang dia tak kata hatinya bahagia tapi dia perlukan Areej untuk ceriakan
hari-harinya agar lebih indah.
Senyum dalam
hati, dia melihat Areej sedang turun dari tangga asrama bersama seorang pelajar
perempuan, tidak pula kelihatan dua orang rakan yang sering bersama Areej. Entah siapa nama keduanya dia tak ambil tahu
sebelum ini. Mungkin keduanya boleh
dijadikan senjata dalam melembutkan hati Areej.
Akalnya bekerja lebih kali ini.
Berbunga seketika hati Emran dengan idea baru itu. Bas seperti biasa sedang menunggu di perhentian.
Areej
melangkah dengan laju. Dia tidak mahu
pagi ini terlewat ke kuliah. Namun
begitu serta-merta langkahnya terhenti.
Terasa nyawanya hampir melayang wajahnya pucat tanpa darah. Dia hanya berdiri kaku di hentian bas tanpa
mampu bergerak ke mana-mana, matanya tertumpu pada susuk tubuh di satu arah
hadapannya. Tatkala melihat wajah Emran
yang keluar dari dalam kereta di belakang bas tersebut, wajah Areej yang
terkejut tadi serta-merta diserbu darah merah.
Dia pantas bergerak dan terjah masuk ke dalam perut bas. Dia masih tidak bersedia untuk berdepan
dengan Emran. Rindu yang dirasainya
seminggu ini terasa terlerai sebaik melihat wajah Emran.
Namun begitu, baru saja selangkah kakinya diangkat, Emran
berdiri di depannya menghalang niat awalnya.
Areej tidak berani mendongak hanya tunduk di situ. Liurnya terasa tersekat di kerongkong dan
dadanya berdebar kencang. Dia akui, dia merindui
Emran, dia mengakui isi hatinya milik Emran.
Oh sukarnya berlagak seperti tiada apa-apa yang dirasainya. Seminggu tanpa kelibat dan gangguan Emran
buatnya jadi nanar juga.
“Buat apa kat sini pagi buta?” soal Areej beranikan diri
mendongak memandang Emran. Emran senyum
dengan penuh menggoda, satu kebiasaan yang sering Emran buat bila berjumpa
Areej.
Tenang Areej jangan nampak gelabah. Bisik hatinya sendiri.
“Awak sedang halang langkah saya!” ujar Areej lagaknya setenang mungkin sedang
hatinya sudah seperti larian ERL.
Emran geleng kepala.
“Saya ingat awak takkan peduli dan bersuara bila kita
bersua,” Emran memberi isyarat masuk ke
dalam keretanya dengan cara ugutan seperti biasa membuatkan Areej serba
salah. Dia berundur selangkah ke
belakang. Emran menahan tawa melihat
reaksi Areej tersebut.
“Takkan mahu larikan diri pula,” Emran mendekatkan diri sebaik tawanya
terlerai.
Emran seberani itu.
Dia tak mahu disentuh oleh lelaki yang bukan muhrimnya. Sudah beberapa kali Emran cuba menyentuhnya
memang dia tak rela walaupun cuma baju kurungnya tapi lama-lama ia akan jadi
satu kebiasaan pada Emran. Jika boleh
dia mahu elakkan.
“Awak enggan, saya tak teragak-agak tarik awak masuk kereta!”
Emran mahu menarik Areej.
Bulat mata Areej mendengar ayat berlagak Emran. Jika boleh dia mahu menjauhkan diri dari
lelaki itu.
“Pakaian awak hari ini buat saya tertawan,” Emran menilik Areej. Baju kurung biru itu lagi, manis dan
ayu. Buat jiwanya tak keruan. Tidur malamnya tentu tak lena.
Areej telan liur.
“Mmm… manis sekali!” puji Emran lagi. Dia sedut nafas dalam-dalam. Areej satu-satunya gadis yang sangat susah
untuk difahami. Satu-satunya perempuan
yang buat jantungnya kembali lari laju-laju.
Selaju air terjun Niagara.
Pujian itu buat Areej tersenyum.
Manis sekali!
Itulah senyuman pertama Areej pada Emran.
Emran terpana seketika.
“Ikut saya!” Emran
mengarah sambil gerakkan tangannya.
Areej mengelak dari disentuh.
Bas sudah mula bergerak.
“Tak nak, awak buat saya terlepas bas lagi,” rungut Areej.
“Saya hantar awak ke kampus.
Teman saya sarapan pagi ini,” ajak Emran penuh yakin.
“Saya tak berminat,”
Areej berterus terang mempamerkan keberanian.
Bulat mata Emran.
Pergerakannya terus terhenti.
Wajah kalut Areej dipandang tajam penuh rindu kasih dan sayang. Betul ke apa yang Areej cakap atau Areej
sebenarnya mahu mengelak darinya. Sudah
berani sekarang Areej menentang kata-katanya.
“Saya tak nak buang masa, saya ke sini untuk belajar bukan
untuk kenal orang macam awak!” ucap Areej tegas tapi takut-takut. Dalam ramai-ramai lelaki yang dia kenal Emran
adalah satu-satunya lelaki yang buatnya takut, dia tak pernah takut pada lelaki
selama ini. Atau takut hatinya telah
dicuri Emran.
Emran terpana seketika mendengar jawapan kasar Areej. Dalam lembut dan ayu Areej ada tegasnya. Kemahuan dan niat Areej adalah jelas. Dia tak nafikan.
“Luangkan sedikit masa dengan saya, tak lebih dari itu,”
Emran memandang lembut. Sungguh! Dia
rindu sangat-sangat rindu segalanya tentang Areej.
Sudah angaukah Emran? Tak mungkin! Dia bukan mahukannya begitu. Lelaki baginya cuma mahu menghalangi langkah
kejayaannya yang sedang diusahakannya tapi Emran masih tidak berputus asa.
Dia ke sini mahu cipta cita-cita bukan kejar cinta.
“Maaf Emran saya dah tak boleh terus layan awak. Tolong jangan ganggu saya lagi. Dah lambat, saya nak masuk kuliah ni,” Areej
kerling jam tangan kanan. Tinggal lagi
10 minit untuk dia masuk kuliah pertama.
Bas kedua sedang menunggu, baru sahaja berhenti.
Mata Emran terpana pada jam yang sedang dipakai oleh
Areej. Jam tangan itu bertali lusuh.
Tali warna coklat yang sudah terkopek.
Dalam sepantas cahaya Emran sedar Areej bukan menolak dirinya kerana tak
suka tetapi kerana mereka tak setaraf.
Melihat perlakuan Areej yang malu-malu sembunyikan jam tangannnya. Hati Emran terdetik.
“Saya hantar!” Emran
bagaikan baru tersedar. Menilik Areej
atas bawah. Kekalutan Areej disebabkan
kasutnya yang nampak lusuh, baju kurung biru yang dah lama. Kehidupan mereka jauh berbeza. Walaupun kata-kata Areej kasar tapi Emran
mula memahaminya. Areej gadis susah dan
dirinya seperti orang jahat mula muncul dan masuk dalam harapan dan impian
gadis itu. Membuat kehidupan gadis itu
huru-hara dengan luahan perasaannya.
Dia tidak mahu Emran terus menerus memberi harapan cinta saja
tidak cukup untuk membantu kehidupan alam sebenar. Tidak mustahil Emran malu bergandingan
dengannya, gadis miskin yang tak sedar diuntung. Ia sangat tidak menyenangkan hati Areej
kerana Emran berasal dan dibesarkan dari golongan yang hidup sempurna. Sebab itulah dia tak minat menjadi gadis
materialistik. Itu bukan dia.
Dia malu dengan latar belakang dirinya sendiri.
Dia mahu membina empayar kejayaannya sendiri.
“Habis tu, awak nak saya buat macam mana?” Emran cuba berlembut. Buatlah apa cara sekalipun Areej tidak akan
pandang.
Areej diam mencari kata.
Dia sendiri tak sanggup menyakiti Emran.
Dia tidak dididik begitu. Apa dia
perlu cakap supaya Emran pergi cepat dari situ.
“Jangan datang cari saya lagi,” Areej melangkah pantas menghampiri bas di
belakang kereta Emran.
“Itu saya tak boleh janji.
Ini soal hati,” laung Emran dari
arah belakangnya.
“Itu hati awak bukan hati saya,” Areej berhenti dan berpaling.
“Tolonglah faham Areej, saya minta kita jadi kawan dulu
boleh?” Emran mendekati Areej. Areej betul-betul berdiri dekat kereta Emran.
Areej menggeleng.
Berkawan dengan Emran? Baik lagi
dia berkawan dengan Nora dan Sarah dari melayan Emran. Tak ada faedahnya dia berkawan dengan
Emran. Berkawan dengan lelaki? Jauh menyimpang. Terjebak dengan Emran akan berkemungkinan dia
lupa dan alpa pada pelajaran. Seronok
hidup mewah, mudah mendapat apa yang dikehendaki sedangkan pendiriannya bukan
begitu.
Keengganan Areej buatkan Emran semakin rasa tercabar dan
dicabar. Spontan dia sambar lengan Areej
yang berlapik baju kurung gadis itu.
“Emran!!!” Areej
terjerit kuat. Dia langsung tidak
bersedia dengan tindakan Emran yang agak keterlaluan itu.
“Awak nak jalan atau nak saya dukung? Masuk!”
Emran berbisik perlahan, sengaja mengugut.
Melihat wajah dan nada tegas suara Emran buatkan Areej
tiba-tiba kecut perut. Macam mula-mula
dulu. Gadis baik sepertinya orang akan
pandang serong jika membuat perlakuan tak senonoh di tempat awam. Lagipun ini kawasan Universiti, kawasan
ilmiah. Dia terpaksa mengikut kata Emran
jika tak mahu malu dan gosip akan bertebaran nanti.
Saat itu dia rasa nak cekik-cekik Emran. Hatinya benar-benar jadi panas. Dia perlu mengalah lagi. Sangkanya dengan ketiadaan Emran selama ini
akan benar-benar melegakan hariannya.
Rupanya tindak tanduk Emran sukar dijangka. Dirinya benar-benar terperangkap.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan