Bab 11
MEMBUKA pintu bilik, Emran memandang seluruh bilik bujangnya,
masih kemas dan bersih seperti mana sebelum dia tinggal di luar. Umi tetap mengekalkan aturan suasananya. Dia rindu bilik bujangnya itu. Dia capai tuala di laci almari, segera rongga
hiduannya diserbu haruman lavender jenama Eva.
Semerbak! Oh dia rindukan wangian
ini. Wangian kesukaan umi. Rasa nikmat rumah berkeluarga segera menerjah
minda. Segera Emran membersihkan diri
dan menunaikan solat asar. Usai
menunaikan kewajipan yang satu dia melencong ke balkoni, menikmati suasana
matahari terbenam. Kalaulah Areej ada
saat ini untuk menikmati bersama, alangkah bahagia hatinya. Kebahagiaan berkeluarga mulai menyucuk
tangkai hatinya.
Alangkah
indahnya jika Areej jadi suri hidupnya.
“Emran,
kalau boleh I nak selalu bersama you,”
Teringat
kenangan kata-kata Maizurah kepadanya suatu waktu dulu. Ikrar dan janji sumpah setia cinta mereka
bersama.
“Mai, miss you so much,” Emran memegang balkoni dan mendongak ke
langit.
Hatinya
sedang berbolak balik menilai kekuatan dan keteguhan hati dan perasaannya
antara Areej dan Maizurah. Apa yang
pasti Maizurah sudah menjadi hak milik mutlak Mirzan. Dia bersalah mengenang Maizurah. Wanita itu isteri orang lain.
Waktu itu
usia mereka masih mentah tapi hatinya sedang menikmati perkongsian rasa cinta
kasih dan sayang alam remaja.
“Janji
dengan I, Mai!” Emran pejam mata,
membayangkan saat lalu dia sedang bersama Maizurah. Kenangan lalu yang sudah hilang di alam
fikirannya kembali setelah hatinya kembali terisi rasa cinta kasih dan sayang
pada Areej. Sebelum ini dia sibuk
menghapuskan segala-galanya tapi kini dia kembali merindu pada seorang gadis
bernama Areej. Dia mengingatkan dirinya
Maizurah adalah sebuah sejarah.
Oh Areej!
Kalaulah semudah itu kau terima aku.
Nama itu sahaja membuat dengupan jantungnya laju. Pada hari pertama dia terserempak dengan
Areej dia sedang dalam perjalanan untuk menghadiri mesyuarat di Kelombong. Kemudian pihak pelanggan membawanya menjamu
selera di Restoran Che Ta’ di Inanam Business Centre (IBC). Lantas tanpa dipinta matanya terarah kepada
seorang gadis berbaju kurung biru sedang turun dari bas Ekspress. Saat itu hati dan fikirannya terjentik. Dia rasa jantungnya berlari dengan
pantas. Segera akal warasnya memberi
tindak balas, dan bibirnya berbicara ‘cantiknya ciptaan ALLAH, Subhanallah!’
“Mai, I dah
jumpa pengganti you,” desis hati
Emran. Mahu sangat dia kongsikan perasaannya
dengan Maizurah. Memberitahu dia tidak
pernah marah dengan tindakan Maizurah meninggalkannya, dia akui itu semua
silapnya menangguh dan terus berdalih untuk mengikat tali perkahwinan walaupun
tiada halangan untuk mereka bersatu.
Mungkinkah masih marah Mai padanya?
Walaupun mereka dekat tapi Mai seakan menjauhinya. Dia mahu bercerita banyak perkara bersama
Maizurah tapi Maizurah tidak seperti dahulu.
Emran meraup
wajahnya agar sedar hati kembali dimiliki.
Pemiliknya belum mahu beri komitmen, tapi itu semua tak mengapa, tahulah
dia bagaimana untuk menambat hati Areej.
Apa yang penting persetujuan abah dan uminya malam ini.
Senyuman di
bibir sudah mampu terukir kini. Emran
tarik nafas. Selepas berakhirnya
hubungan dengan Maizurah dia banyak menghabiskan masanya dengan bertukar-tukar
teman wanita paling lama bertahan sehari.
Kemudian dia bosan dan bertukar lagi.
“Emran!”
panggilan abahnya di muka pintu biliknya.
Emran buka
mata, rupa-rupanya saat itu dia sedang mengelamun di balkoni. Langkah pantas diatur masuk ke dalam.
“Ye
abah!” sahutnya dari balkoni.
“Dah siap
solat… turun! umi dah panggil makan tu,”
hanya suara abahnya terdengar di sebalik pintu.
“Ya
abah. Emran datang kejap lagi,”
“Jangan
lambat sangat, abah dah lapar…”
Emran senyum
sambil angguk kepala tanpa dilihat oleh Encik Esmail.
Emran senyum
lagi. Sewel!
Mereka makan
tanpa suara. Abah dan uminya sejak tadi
sibuk memerhati gelagatnya. Dia pula
penuhkan fikirannya sibuk memikirkan Areej.
Tanpa dia sedar dia makan seperti tidak berselera.
Ah! Areej
buatlah apa pun memang takkan makan saman, perangkap dan jerat Areej tak heran
sangat. Akhirnya dia tewas tanpa sedar
masa berlalu meninggalkannya di belakang.
Dia perlu bijak menyusun strategi rancangan dan tindakan jika tidak
Areej buat tak nampak dirinya. Apa yang
paling membimbangkannya Areej terlepas pada orang lain. Moga dijauhkan…
“Apa yang
difikirkan sangat tu, sampai makan pun tak lalu?” tegur Zahira.
Emran
tersentak tersedar dari lamunan.
“Makan
dulu,” Esmail tahu banyak yang merunsingkan fikiran Emran.
Emran
tersenyum. Malu dan segan tertangkap
oleh kedua-duanya.
Selesai
makan Encik Esmail mengajak Emran duduk di taman bonsai kecil depan rumah
sambil menikmati simbahan cahaya bulan dan tamparan angin malam. Hujan petang tadi membuatkan suasana sejuk
dan nyaman.
“Emran…”
panggil Esmail penuh kasih sayang.
Emran hela
nafas panjang sebelum menyahut. Dia
sudah meneka intonasi abah menunjukkan ada sesuatu yang tak kena.
“Iya abah,”
“Umi Emran
masak tak sedap ke, kenapa Emran kurang selera malam ini?” tutur Esmail lembut.
Emran rasa
nafasnya jadi perlahan. Inilah sikap
abahnya tanpa tegur hal sebenar Emran sudah tahu topik sebenar. Sejak sudah dewasa dan umurnya sudah mencecah
pertengahan 30-an, abah jarang buat teguran cuma menasihati secara tersirat.
“Sebulan
Emran tak balik abah, maafkan Emran sebab tak hantar khabar dan merisaukan
abah,”
“Emran tahu
bukan itu maksud abah, kenapa tak makan sangat tadi, Umi Emran kecewa sangat,”
Benarkah itu
maksud abah? Tidak benar sama
sekali. Abah memang pandai dalam
memanipulasikan topik. Emran masak benar
perangai abah. Bila tak puas hati sikap
anak-anak terhadap umi pasti abah masuk campur.
Dia dah faham benar sikap abah yang satu tu. Tak ada seorang pun yang dibenarkan untuk
mengguris perasaan umi. Dia akur dan
kagum, cinta abah pada umi begitu dalam sekali.
Kalaulah Areej tahu dia juga mencintai gadis itu setulusnya.
“Penat umi
Emran masak,” tegur Encik Esmail lagi.
“Bila Emran
rasa lapar nanti Emran makan. Malam ini
Emran tidur di sini,” ujar Emran.
Dia mahu
sangat abahnya menghentikan teguran yang membuatnya gerun. Sejuk perutnya sejak mendengar intonasi nada
suara abahnya yang tegas itu.
“Bukan
begitu caranya. Masa makan kena makan
dan fikiran kena fokus untuk makan, fikiran jangan terganggu oleh benda-benda
lain. Bila fikiran tak fokus makan pun
tak ada selera. Benda yang senang dibuat
tak selesai semua akan tergendala dan mengganggu orang lain. Bukankah itu tabiat tak elok. Akhirnya akan membawa pelbagai penyakit,”
nasihat panjang Encik Esmail buat jantung Emran bagaikan tercabut. Nafasnya seakan-akan terhenti.
“Maafkan
Emran abah,” ulang Emran spontan.
Badannya tegak memerhati wajah Encik Esmail. Kelembutan wajah abahnya benar-benar
menakutkannya saat ini. Perasaan hormat
itu masih tidak berubah.
“Minta maaf
pada umi,” Esmail tersenyum. Kemudian berlalu masuk ke dalam rumah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan