Jumaat, 17 Julai 2015

Si Pemburu Hangat - Bab 7

Bab 7

SEGALANYA punah di awal perkenalan kerana sikap terburu-buru Emran.  Emran kesal jiwanya semakin tidak ceria.  Dia mahu bertemu Areej namun sengaja menguji rasa rindu yang membakar dalam hatinya kini.
Tak tahu kenapa, dengan Areej dia bertukar menjadi lelaki pencinta wanita.  Cukuplah kisah romeonya sebelum ini, dia tidak mahu menjadi mangsa gadis-gadis gedik.    Tengok gambar Areej di telepon pintarnya buat dia rasa satu kepuasan bila dapat mengecapi apa yang dihajati.  Satu saja, dia mahu gembira dan bahagiakan Areej.
Berbeza dengan semua jenis gadis sebelum-sebelum ini, sudah berkali-kali dan macam-macam pengalamannya, dia akui Areej jauh berbeza.  Jika gadis biasa lain sudah lama menjadi teman wanitanya, apa lagi lamarannya sudah tentu diterima bulat-bulat.  Dia pelik kenapa Areej seberani itu menolak lamarannya tanpa pertimbangan wajar.  Gadis memang suka dipujuk rayu Areej pula sebaliknya marah.  Ah! Mungkin marah-marah sayang padanya.  Namun demikian, semakin Areej menolak dirinya semakin tekad pula hatinya yakin Areej akan jadi miliknya.  Itu buatnya keliru.
Kalau dengan temujanji lain, setiap hari dia akan bertukar pasangan.  Itu tiada masalah tapi sejak kenal Areej tabiatnya yang satu itu sudah ditinggalkan.  Bila difikirkan memang satu kegilaan yang taksub.  Obsessive, bukan saja obsessive malah kalau ditanya pada Yunus dan rakan taulan yang mengenalinya, taubat mereka katakan dia gila.   Gila pada gadis berbaju kurung biru itu.
“Double E,” Emran sedang baring terlentang di atas katil.  Tangannya meraba dahi dan juga lehernya sendiri, tidak berasa bahang panas tapi mengapa dia berpeluh.  Mengeluh memanggil nama timangannya semasa di kampus dulu.  Biliknya dingin seperti musim sejuk.  Penghawa dingin dipasang penuh.
“Double E!”  panggil suara itu dengan jelas.
Emran membuka mata dengan luas, rasanya nama itu disebut oleh suara yang lain bukan dari bibirnya.  Jarinya meraba bibir sendiri.
“Hei!  Jauh mengelamun?”  kejut Mirzan atau nama panjangnya Tengku Mirzan panggilan Mirzan.
“Ingat pada siapa tu?” Emran tidak membalas, matanya terkebil-kebil memandang Mirzan.
“Ingat pada siapa tu, sampai aku datang pun kau tak perasan,”  sambung Mirzan mengulangi kata-katanya.
“Eh, Mirzan bila sampai dan apa kau buat dalam bilik beradu aku ni,”  Emran pantas duduk bersila di atas katil.  Kalau dengan Mirzan sudah tentu sebut bahasa istana.  Anak sultan kan…
“Aku buat panggilan ke pejabat kau, dia orang kata kau tak sihat, itu sebab aku singgah ni manalah tahu kau dah pengsan boleh aku terus hantar ke hospital.”  Mirzan duduk tepi katil.
Saat indah yang tak pernah mampu Emran padamkan dari ruang ingatannya.  Kali pertama matanya menatap wajah Areej dengup jantungnya tak keruan tapi dia rasa bahagia sungguh.  Kalau boleh, dia mahu hentikan waktu agar mereka boleh bersua waktu itu dan berkenalan dengan cara yang baik.
“Sudah-sudahlah tu berangan.  Aku yang ada di depan mata kau buat tak layan, yang tak ada tu juga yang kau menungkan, marilah kita keluar.” Mirzan senyum
“Kau datang ni nak apa?”  Emran masih mamai mengemas rambutnya.
“Hah!  Kau tak sedar ke apa yang aku bebel sejak dari tadi?” Mirzan tumbuk mesra bahu Emran.  Nampak sangat Emran tidak ambil perhatian pada perbualan mereka.  Banyak sangat melayang fikiran.
“Kau ni sihat ke tidak?”  Sebenarnya tujuan Mirzan datang kerana mendapat pesan Zahira.
“Kau nampak aku macam tidak sihat ke?”   Soalan bentuk orang mamai lagi.
“Aku nampak kau macam orang tak betul!  Macam orang kata mandi tak basah, tidur tak lena makan tak kenyang.”  Mirzan terus terang.
“Maizurah mana?”  Emran lantas teringat isteri Mirzan itu.
“Mai ada kat rumahlah, mana lagi…”
“Jomlah keluar,”
“Mai tak marah ke kau datang cari aku?”
Mirzan diam.
Sorry, nampak saja muka kau kisah lama buat aku teringat,” ucap Emran tersedar salah cakap.
“Patutnya aku yang cakap sorry.  Aku faham bukan mudah nak lupakan cinta Maizurah, aku benar-benar rasa seperti kawan yang teruk, tapi semua itu sejarah antara kau dan Mai,” telus ucapan Mirzan.
“Kau taklah teruk sangat pun… aku faham, lagi pun aku dah dewasa dan matang.  Benda begitu bukan boleh bawa kebaikan kalau gaduh pun, kebahagiaan ada di mana-mana kan.”  Emran sudah celik dari mamai.
“Aku tabik kau pasal satu ni, kau tak berdendam pada aku.”  Mirzan angkat tangan kanan ke kening tanda hormat.  Gerak laku hormat seorang askar.
“Aku faham mula-mula aje dulu kau mengelak, hari ini aku bersyukur sangat kau tak marah aku.”  Mirzan menolak tubuh Emran meminta lelaki itu bangun.
“Melalutlah kau ni, kau sahabat aku, jodoh rezeki maut bukan urusan aku… semua itu telah ditakdirkan.  Aku sudah terima itu lama dulu lagi dah.  Kalau tak takkan aku terima kau lagi,  aku tak boleh hidup tanpa kau,  takkan kau tak tahu.”  Emran menepis tangan Mirzan yang menolak tubuhnya untuk bangun.
“Terima kasih terima aku lagi sebagai seorang sahabat.  Jomlah teman aku makan!”  Mirzan menarik tangan Emran pula.
“Engkau ni kalau pasal paksa orang nombor satu!”  Emran turun dari katil.
Mirzan sengih pamer barisan gigi cantik berkilat putih berseri.
“Kejap aku mandi dulu, kau tunggu,”  Emran bergerak ke pintu bilik air.
“Masha-ALLAH! Kau tak mandi lagi ke?  Matahari dah setinggi gala.  Sah kau ni angau semula,”  bebel Mirzan masih macam dulu-dulu.  Sikap Emran yang begini pernah berlaku semasa di kampus dulu.  Mungkin? Ah! Tak mungkin?  Tapi… boleh jadi juga, Emran jatuh cinta lagi?
Emran cuma dengar melalui pintu bilik mandinya.
“Aku belum gila le,”  balas Emran disebalik pintu bilik air.
“Aku tak kata kau gila, tapi kenapa dengan kau ni, tak macam minggu lepas aku jumpa?”
“Rahsia!” 
“Rahsia sangatlah konon.  Nanti aku tahu juga tu.  Aku tunggu di ruang tamu.”   Mirzan melangkah meninggalkan bilik Emran.
“Buat macam rumah sendiri,”  jerit Emran.
“Memang pun…” jerit Mirzan sambil gelak-gelak keluar dari bilik Emran.  Kondo dua bilik Emran yang luas itu terletak di One Borneo.  Mirzan bersantai di sofa dan menghidupkan suis TV. 
Seketika kemudian tubuh Emran sudah kembali normal mamainya sudah terkawal dan sedikit demi sedikit hilang.  Selesai berpakaian kemas.  Tetapi entah kenapa dalam keadaan apa pun Areej juga yang mengganggu fikiran.  Dalam perkenalan singkat dan gaya Areej yang simple kusut begitu buat mata Emran kata Areej tetap nampak manis dan comel.  Parah tahap tertinggi dah ni, Emran senyum sendiri.
“Sebenarnya kenapa dengan kau ni?”  soalan Mirzan yang datangnya dari arah sebelah buatkan lamunan Emran terus terhenti.
“Termenung sana termenung sini… mengeluh tak henti-henti.  Macam orang nikah tak jadi,”
“Kau macam tahu-tahu saja?”
“Jadi betullah, nikah tak jadi?”
“Kau percaya pula,”
“Laaa…jadi apa pasal pulak ni?” suka sangat buat ayat gantung, perangai Emran yang gemar menyakat walaupun dalam keadaan macam ni.  Hei… pening dengan orang yang tak pernah bercinta sakan dulu pun begitu juga.
“Hah!!!  Macam mana nak terangkan pada kau, tentang…” tercari-cari ayat Emran menjawab.  Hanya itu yang terlintas di otaknya.  Sebenarnya minda dan hatinya tidak stabil lagi buat masa ini.
“Tentang apa?  Kita ada banyak masa berbual bersama.  Kau kan tak masuk kerja hari ini,” pancing Mirzan.
Emran senyum lebar.  Kalau soal korek rahsia serah saja pada Mirzan.  Laju!
“Aku cuti… sebulan!”  Emran gelak-gelak.
“Ada cerita yang aku tak tahu ke?”  Mirzan angkat kening sambil dekatkan wajah ke arah Emran.
“Apa yang kau nak tahu?  Ada lebih sepuluh perkara rahsia,” pancing Emran pula.  Jarinya membuat rentak atas meja.
“Wow!  Sebegitu banyak, kenapa aku tak perasan ya?”  Entah!  Mirzan pun tak ingat.  Rasa-rasanya Emran cuma main-mainkan dia.
Emran tarik nafas.  Imej Areej mengganggunya.  Dia perlu lupakan Areej seketika untuk menjalani kehidupan normal.  Emran berasa dirinya terlalu mendesak sehingga Areej menolak setiap kali diutarakan apa jua isu.  Memang silap dia, selagi dia tak dapat apa yang dia nak, selagi itulah dia akan minta dan desak persetujuan Areej.  Dia mahukan persetujuan bukannya memaksa ikut katanya.  Dia masih waras.  Tak bolehkah dibezakan oleh Areej maksud dan kemahuannya?
“Betullah tu!” Mirzan senyum lebar menduga dengan cara bersetuju begitu.
“Maksud kau?”  soal Emran takut terlepas kata-kata semasa mengelamun.
“Laaa… kau sendiri kata, masalah tu perlu dilupakan seketika,”
“Oh!  Macam tu ke aku kata tadi?” muka tak ada rasa Emran terpamer.
“Eh!  Engkau ni… kenapa sebenarnya ini?”
“Aku cuma rasa tak sihat,”
“Tak sihat sampai kau bercakap seorang diri,”
“Entahlah…”
“Aku rasa aku faham,”
“Faham apa?”
“Pasal perempuan!”
Emran menahan nafas, Mirzan memang bijak meneka gelora hatinya.
“Aku juga pernah lalui semua itu, boleh aku tahu siapa gadis bertuah itu?” Selepas Maizurah.  Mahu saja ditambah perkataan itu tapi Mirzan tak sampai hati.  Akhirnya Emran mampu melupakan Maizurah.  Bersorak hati Mirzan.  Tak adalah rasa bersalah terus menerus pada Emran kerana Maizurah.
“Mana ada siapa-siapa,” Emran menafikan.
“Aku cukup bahagia jika kau dah jumpa pengganti Maizurah.  Aku selalu doakan agar kau mahu maafkan kami,”  keluar juga perkataan yang menyentuh hati dan perasaan ini.
“Hish!  Kau ni ungkit kisah silam pula… aku masih layan kau macam biasa.  Aku tak pernah simpan dalam hati pasal kau dan Mai.  Cuma Mai tu agaknya masih marahkan aku sebab lewat-lewatkan penyatuan hubungan antara kami.  Mai tu yang kecil hati pada aku, jangan ceritalah pasal kisah lalu buat aku emosional lebih-lebih pula nanti,”  panjang lebar Emran meluahkan pendapatnya.  Sebenarnya terkesan sedikit tetapi kerana hatinya bahagia dengan Areej dia sudah tidak kisah sangat pasal Maizurah dan Mirzan.  Mereka dah sah suami isteri.  Salah siapa selama ini, salahnya sendiri.  Dia yang berputih mata.
“Okeylah, kita cerita hal lain, tapi kan…”
“Ada apa?”
“… tapi kan hati aku tergeletek nak tahu dah berapa lama kau jadi raja termenung?”  Mirzan menanti sambil buat-buat merenung wajah Emran.
Emran tersengih.
“Aku dah agak dah kau tak mungkin nak lepaskan peluang korek rahsia aku kan,  simpan sikit untuk cerita nanti,”  Emran tak mengalah begitu mudah. 
“Macam kau tak biasa,”
“Baiklah,”
“Ini yang aku suka ni,”  ucap Mirzan seperti tak sabar.
“Jangan nak perasan, aku tak nak cerita dulu.  Simpan sikit rahsia dah sah nanti aku ceritalah… sabarlah sikit,”  walhal hampir mulutnya membuka bicara.
“Lagi kau cakap rahsia lagi aku kurang sabar,” Mirzan mengasak.  Dia tahu kelemahan Emran adalah desakan.  Emran walaupun suka mendesak tapi tak suka didesak.  Kalaulah orang tahu rahsia satu itu.
“Dahlah makanlah dulu aku tak jamah apa-apa lagi ni sejak dari pagi,”  pelawa Emran sebaik pesanan makanan mereka tiba.  Emran memberi senyuman tanda terima kasih kepada pelayan yang menghidang makanan atas meja mereka.
“Dah termenung jer kerja kau…” Mirzan kenakan Emran balik.
“Engkau ni… Kalau pasal nak kenakan aku… dah… dah… mari makan!”
Hidangan di depannya dijamah secara bersederhana.  Mereka makan tanpa suara.  Selesai memenuhi kehendak perut Emran rasa segar sikit.
Apa sebenarnya yang sedang berlaku kepada dirinya kini?  Bertemu ‘pasangan hidup’ atau cuma sedikit gangguan perasaan buatnya menjadi angau.  Makan pun tak ada rasa ke anak tekak.  Macam orang kata mandi tak basah, tidur tak lena dan makan pun rasa tak kenyang. Itulah yang dirasakannya kini.
“Oh ye cari aku ni nak apa sebenarnya?”  sebelum terlupa Emran bertanya tujuan kemunculan Mirzan di kondonya.
“Ajak kau keluar teman aku makan pagi ini aje,”  selamba badak Mirzan menjawab.
“Engkau takkan muncul macam tu saja,”  Emran akui sangat gelagat Mirzan.  Faham sangat tentu ada sesuatu hajat muncul depannya hari ini.
“Umi kata kau nak bertunang tak lama lagi,”  buka bicara Mirzan.
“Kau percaya kata Umi?”
“Umi yang cakap macam tu,  kalau orang lain yang cakap aku tak percaya.  Lagipun umi kata kau macam merajuk dengannya pasal hal ini.  Betulkah?”
“Umi yang nak aku bertunang.  Aku tak tanya siapa calon umi tu,”
“Maksud kau, kau tak kenal calon isteri kau lagi?”
“Suatu pagi tu dia ada beritahu aku,”
“Sebab ini ke yang buat kau termenung.  Sampai merajuk tak mahu jenguk dia?”
“Bukanlah.”  Jawapan Emran melegakan Mirzan.
“Umi kau call aku dia minta aku jenguk kau, orang tua tu risau kau tak jawab call dia,”
“Umi aku minta kau selidik begitu?”  serius ni…  Emran tegakkan badan.
Mirzan angkat bahu bersahaja.  Lagaknya begitu kerana dia memang rapat dengan Puan Zahira.
“Umi tu macam tak boleh hubungi aku,” rungut Emran.  Memang Puan Zahira lebihkan Mirzan dari dirinya.
“Itupun kau nak kira, Umi kau dah call berkali-kali kau tak angkat, mana dia tak risau, dia risau dah beberapa hari kau tak call dia.  Manalah tahu ada apa-apa terjadi pada kau,”  ulas Mirzan.
Mendengar ulasan Mirzan, pantas Emran memeriksa telepon mudah alihnya.  Teleponnya dalam keadaan silent mode itu ada sebanyak 20 panggilan tidak dijawab semuanya dari Umi.  Memang dia ada pesan pada Yunus dia tidak mahu diganggu.
“20 missed calls!!!”  mata Emran terbuka luas.
“Tahu pun periksa telepon, dah ada telepon buat apa disorok,”
Emran diam.
“Itu baru sehari, bayangkan kalau dah berhari-hari?”
“Nampaknya aku kena uruskan juga masalah aku ini.  Kalau tak jadi, parah aku ni tak pasal-pasal kau terbabit sama dalam masalah aku,”  bingung seketika Emran.  Apa dah jadi dengan hidupnya akhir-akhir ini.
“Apa-apa pun aku harap kau tak apa-apa.  Jangan ikut perasaan sangat,”
Selesai menjamu selera mereka berpisah, sebelum berpisah Mirzan berpesan.
“Takkan lari gunung dikejar,”  Mirzan hantar pesan siap kenyit mata mengusik.

Emran senyum, mengakui maksud Mirzan itu.  Jika jodoh takkan ke mana.  Betul tau hati!  Hatinya bagai digodek-godek untuk bertemu Areej hari ini.  Rindunya tak bertepi lagi.  Parah juga jatuh cinta lagi!

Tiada ulasan: