Bab 5
BERKENALAN dengan kedua
orang tua Emran tidaklah susah sangat.
Sebagaimana matanya menjamah sikap keduanya. Mereka senang dengan
kehadirannya sebagai tetamu pagi itu.
Tidak sombong dan mudah mesra, layanan kepada tetamu juga kelas pertama,
cuma anak bungsu mereka yang mahu berumah tangga tak reti bahasa itu cerewet
dan sukar difahami kemahuannya. Itu
analisis yang dibuat oleh Areej.
“Emran
akan bertunang tak lama lagi, jemput datang majlis tu nanti ya,” tapi kata akhir umi Emran itu menyentap
ketenangan hatinya. Dan kerana khabar
itu dia buat pertama kalinya melanggar prinsip mengambil tahu tentang
Emran. Jika dia tiada perasaan kenapa
dia nak marah-marah pada Emran. Kenapa
hatinya rasa terluka.
Sedang
Areej duduk bermonolog sendiri dalam hati, Nora dan Sarah muncul terpacak di
depannya dengan senyuman curiga. Mata
mencerlung usah dikira. Aduhai… kalau
hari-hari inspektor tak bertauliah ini pandang begini, mahu dapat sakit mata tanpa
jangkitan. Dia tahu mereka muncul mahu
menyelidik cerita pagi kelmarin.
Sudahlah dia tuang kelas seharian, petang pula dihantar oleh Emran
sampai kampus. Siapa yang tak teruja nak
tahu? Tentulah kedua sahabatnya itu
teruja menggunung.
Pucuk
dicita, ulam mendatang. Benar seperti
maksudnya yang diperolehi lebih daripada yang dikehendaki.
“Areej…”
panggilan Sarah bernada minta penjelasan.
“Hah!”
terkejut. Areej hampir terlompat bangun
mendengar suara Sarah bertanya nada begitu.
Apa ni? Tiba-tiba mesra semacam?
“Errrkkk…” Nora pula ketawa berdekah-dekah melihat
reaksi terkejut Areej.
Sarah
senyum meleret. Lucu melihat Areej yang
serba tidak kena. Mereka tidak tahu di
belakang mereka berdiri Emran dengan senyuman meleret dan bukannya kerana
panggilan Sarah tadi tapi oleh lambaian Emran.
Alahai… Mamat sewel ni muncul lagi seperti bayang-bayang. Kalut seketika Areej dibuatnya!
“Sayang…” meleret senyuman Emran mengejutkan kedua
sahabatnya. Sampai terlompat.
Areej
gelak sakan dengan aksi keduanya itu.
Sudahnya terlupa isu tentang Emran akan bertunang.
Emran
cuma menatap gadis idamannya gelak, damai sungguh rasa kalbunya bila mendengar
gelak gadis itu. Ini pertama kali dia
mendengar gelak Areej.
“Awak
nak apa?” soal Areej selepas menekup
mulutnya sendiri untuk berhenti ketawa.
Bunyi ayat pun macam dah tak betul keluar dari mulutnya.
“Berjumpa
awak, rindu. Nak bawa awak keluar sarapan.” Emran senyum nipis. Nora dan Sarah membisu seribu bahasa tanpa
mengerti kekalutan Areej.
“Saya
baru makan,” Areej telan liur. Dia baru
menolak ajakan Emran, siaplah kali ini apa pula lelaki ini akan buat. Tak agak-agak nak panggil sayang. Karang apa yang difikir oleh kedua orang
sahabatnya yang belum sempat mendapat penjelasan sejak kelmarin. Mamat sewel ini memang dari Pluto agaknya tak
reti bahasa tempatan.
“Maaf
ya saya nak culik Areej sekejap,” Emran memberi isyarat agar mengikutnya. Seperti selalu Areej takut dengan perlakuan
luar batas Emran, terpaksa mengikut langkah lelaki itu. Rela dalam paksa ajelah.
Takkan
membiarkan dirinya diheret sesuka hati di depan orang lain. Dia juga yang malu nanti bila mengenang
tindakan Emran hari-hari lalu.
“Nanti
dulu!” halang Nora.
Pergerakan
kaki Areej terhenti. Badannya terhenjut
sedikit. Matanya terbeliak, buat sakit
jiwa pula jeritan Nora itu.
Sarah
di sisi sengih macam kerang busuk.
Sebabnya
Areej sudah terperangkap di tengah-tengah.
Haish! Mereka berdua ini buat terkejut saja.
“Ye
tuan puteri berdua nak apa?” Areej geram
dalam suara tertahan. Geram dengan dua
orang rakannya dan tingkah Emran yang seperti tidak sabar itu. Bukan aku yang patut buat soalan itu, Emran
sepatutnya… kenapa aku ambil alih pula peranannya dalam cerita ni.
Areej
benar-benar gelabah. Nak buat apa
ni? Dia buat perbuatan yang tidak
dilakukannya, memintal hujung tudung bawalnya.
“Awak
berdua boleh bersama Areej selepas kami pulang nanti, saya nak cepat!” tegas Emran bersuara. Nada paksaan terkesan oleh Areej.
Areej
memandang silih berganti antara Emran dan kedua sahabatnya.
“Takkan
nak ajak dia seorang saja,” Sarah
bersuara.
Areej
sudah mengetap bibir.
“Boleh
kalau awak berdua berminat nak ikut, silakan…”
pelawa Emran. Tersenyum manis.
Pasti
tergoda hati Nora dan Sarah melihat senyuman buaya itu.
Pantas
pula Nora menggeleng.
Emran
tidak menunggu lama terus berlalu.
“Gatalnya
mulut!” Areej geram, kelam kabut
meninggalkan keduanya tercengang.
“Jangan
lupa cerita pada kami,” ingat Sarah
kenyit mata nakal.
“Kami
sedia menunggu,” gamit Nora sebelum
Areej tergesa-gesa menyaingi langkah Emran.
Dia cuma mampu mengangguk. Rela
dalam terpaksa sungguh dibuatnya.
Penampilan Emran
yang baru selesai dari gym itu membuat Areej tanda tanya. Badan tegap, dada ketak-ketak lelaki itu
kerana kesan banyak bersenam selalu, angkat benda berat di gym tu sampai tak
puas-puas lagi ke.
Oh Areej... aku
rindu kamu! Baru semalam kita berjumpa,
kenapa rasa rindu berlumba-lumba di dalam dadanya. Semalaman dia terganggu tidak dapat tidur
asyik terkenang wajah gadis itu.
Akhirnya masa dihabiskan semalam di dalam gym.
Areej telan
liur, gementar hatinya bila renungan Emran tidak berkutik memanah matanya
tembus ke jantungnya. Sejak mereka duduk
di restoran mewah hotel itu belum memesan apa-apa.
Emran
yang baru perasan perbuatannya berdehem.
Mengawal situasi. Kehadiran Areej
yang cukup indah buat keresahannya hilang.
“Mmm...
nak makan apa?” Emran memulakan bicara sambil menarik keluar sarung tangan
peninju.
“Apa-apa
saja,” balas Areej. Dia hilang selera
sejak tadi kerana waktu paginya terganggu dengan kehadiran Emran hari ini.
“Makan
aku boleh?” seloroh Emran dan tertawa.
Areej
bungkam.
“Makan
awak... tak kenyang!” balas Areej bersahaja.
Tidak mahu dibuai perasaan gemuruhnya.
Kali ini dia tidak mahu tewas, dia perlu mengikut arus yang dicipta oleh
Emran.
Geramnya
bertimpa-timpa.
Emran
senyum.
“Awak
tak rindu saya?” Emran terus terang sambil tersenyum. Lelaki ini seorang yang tak tahu malu. Seraut wajah Areej yang ayu itu Emran teliti
satu persatu. Dari mata yang mempunyai
bulu yang panjang melentik dengan seulas bibir merah tersangatlah sesuai dengan
wajah Areej yang bujur sirih itu.
Pipinya seperti pipi bayi kemerah-merahan menonjol tulang pipi apabila
dia tersenyum matanya mencerminkan kejujuran, sebentar tadi dia melihat tawa
Areej membuat jantungnya sentiasa berlari laju sehingga saat ini bila
mengenangkan detik gembira itu. Dia
menjadi teruja dengan tawa Areej namun sayangnya kasihnya sudah berputik cuma
tidak mampu berkembang mekar kerana halangan dari sikap Areej sendiri.
Tanpa
sedar Emran menggenggam penumbuk.
Mengapa dia perlu tewas dengan gadis bernama Areej. Dan mengapa cintanya mudah sungguh ditolak
oleh gadis itu walaupun kesungguhan telah diperlihatkannya.
Areej
yang sudah mula gelisah. Mendengar
soalan Emran buatkan dia jadi sesak nafas seperti orang yang timbul dari air
hampir lemas yang baru mendapat udara.
Jika dibiarkan soalan Emran sudah tentu suasana akan dikuasai Emran.
“Bukankah
awak tak lama lagi akan bertunang?” Areej pecahkan kebuntuan.
Emran
terangkat kening. Dia tertawa
perlahan. Gadis ini seorang yang lurus
cakapnya tak pernah berbelit malah selalu terkena batang hidung Emran. Lain yang disoalnya lain pula soalan
Areej. Diluar jangkaan sungguh.
“Pada
pendapat awak?” cukup mudah Emran menyimpul soalan Areej tanpa berfikir walau
sesaat.
Areej
memberi jawapan dengan angkat bahu.
Sebenarnya dia bukan peduli pun apa jawapan Emran. Sarapan belum dipesan, dia ni buat aku
kelaparan pagi begini agaknya. Sudahlah
tadi aku tak sempat menjamah makanan dia dah heret aku ke sini. Mengelak dengan mengaku sudah bersarapan pun
tak berjaya.
“Saya
faham Areej lapar, kita pesan makan dulu?
Kita bincang soal ini kemudian,” nada Emran seperti tidak berpuas hati.
Eh,
dia ni memandai suka hati dia je macam aku bersetuju. Rungut Areej dalam hati. Namun dia cuma diam dan membuat pesanan
sebaik pelayan datang selepas digamit Emran.
Sepanjang
menikmati hidangan mereka tidak langsung berbual. Areej tahu Emran terdidik dengan baik oleh
kedua orang tuanya cara dan adab makan di depan hidangan kerana begitulah
situasinya ketika kali pertama dia bersarapan bersama kedua orang tua Emran.
“Hari
ini awak keluar dengan saya!” ayat perintah sebaik selesai menjamah sarapan.
“Keluar
atau tidak bukan persoalannya,” Areej
berani bertegas.
“Saya
nak awak keluar dengan saya hari ini,” ulang Emran seolah-olah tidak mendengar
kata-kata dari Areej.
“Emran!
Saya tak berminat.” Areej tolak pelawaan
Emran kembali. Terang lagi bersuluh.
“Saya
ajak awak keluar jalan-jalan, kita ...”
“Dating bukan boleh menjamin sesuatu yang
mutlak,” Areej sekali lagi menolak
perhubungan dengan Emran. Maksudnya
jelas, jangan paksa aku ikut kemahuan kau.
Jika Emran faham.
“Jelas,
saya tahu saya ajak awak dating. Kenapa awak tak mahu terima pelawaan
saya?” soalan balas bertubi-tubi dari
Emran. Dia takkan mengalah.
“Kan
saya dah jawab dating bukan boleh
menjamin sesuatu yang mutlak,” tegas
Areej.
“Itu
pada pendapat awak, pada pendapat saya tidak begitu,” Emran mempamer wajah tegang.
“Saya
tak tanya pun pendapat awak,” selamba
badak jawapan Areej.
“Tak
susah sangat pun nak setuju. Apa yang
susah sangat nak setuju?”
“Awak
nak saya cakap juga ke?” Areej angkat
kening.
“Apa
dia?” Emran menunggu balas angkat kening
sama.
“Dating tu haram!” turun kening.
Kerut kening pula sama-sama.
Tidak
mahu Areej terkesan kekecewaannya, Emran diam sepanjang jalan menuju ke
Universiti Areej. Mengapa Areej tidak
mahu memberinya peluang untuk berkenal-kenalan.
“Kalau
susah sangat, saya terus masuk meminang!” tutur Emran sebaik sahaja Areej turun dari
keretanya.
Areej
serba salah, nak tergelak Emran melihat gelagatnya. Tahu pula kau takut, baru gertak sikit-sikit.
Tanpa
berkata apa-apa lagi, Emran terus menekan pedal keretanya meluncur pergi. Meninggalkan Areej tercengat berdiri di situ
sebaik pintu kereta tertutup.
Beginikah
nanti perangai Emran, sudah dapat apa yang dimahu, akan ditinggalkan di tepi
jalan. Begitulah perasaan Areej ketika
ini. Dia berlalu ke kelasnya sambil
melangkah satu-satu. Fikirannya penuh
dengan ayat akhir Emran. Kalau susah sangat, saya terus masuk meminang! Resah
seketika hatinya mengenang kisah lalu.
Apa sewel punya Emran!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan