Khamis, 16 Julai 2015

Si Pemburu Hangat - Bab 6

Bab 6


SEMUA  yang berlaku bukan kemahuan Emran, namun semuanya adalah ketentuan.  Hatinya kini milik Areej.  Dia tidak mampu berbuat apa-apa.  Dia tidak mampu walaupun untuk menidakkan perasaannya kepada Areej.  Namun begitu kenapa dia sentiasa rasa sedih dan kecewa. 
Areej menolak dirinya mentah-mentah.  Sehingga hari ini dia dilayan seperti tidak penting oleh Areej.  Segala tindak tanduknya, kata-katanya tidak mendapat persetujuan gadis itu.  Mungkin ini semua balasan kerana dia sering mempermainkan hati gadis-gadis sebelum mengenali Areej.  Semua itu bukan salahnya seratus peratus tetapi akibatnya dia menerima balasan begini.  Ditolak. Ditolak. Ditolak oleh Areej tanpa pertimbangan.  Sampai bila?
            Seminggu dia berkurung di kondonya.  Dia cuma memberitahu Yunus dia mahu merehatkan minda.  Tidak menjenguk Areej.  Tidak ke pejabat.  Selepas insiden dia meninggalkan Areej begitu saja.  Hatinya tidak gembira, dirinya lagi menderita.  Bukan dia tiada maklumat lengkap tentang Areej, semuanya ada dalam genggaman tapi dia tak mampu berbuat luar batasan.  Dia masih menghormati prinsip Areej.  Gadis itu istimewa sikap dan prinsipnya.
            Selepas bertapa tujuh hari, hidupnya kosong bila hatinya sudah tidak terisi.  Dia nanar dengan rindu.  Dia panasaran mahu melihat dan berbual dengan Areej.  Namun Areej tidak  melayannya seperti orang yang dilamun cinta.  Mungkin inilah namanya cinta bertepuk sebelah tangan.  Mungkin Areej marah kerana gurauan umi, bahawa dia akan bertunang.  Areej anggap itu serius.  Boleh jadi umi serius.  Pening!
            Wake-up Emran!
            Sedarlah.
            Bangunlah dari angan-angan yang panjang.
      Emran bersiap ala kadar.  Niat hatinya ingin menjenguk umi dan abah di rumah.  Dia bukan seorang yang suka memaksa, apa lagi bila gadis itu gadis yang dicintainya.  Entah mengapa hari-hari yang dilaluinya hambar belaka.  Dia mahu segera bersua muka dengan Areej, senyumannya lebar membayangkan pertemuan mereka sebentar lagi.
Sebentar saja Emran sudah tercengat di asrama Areej.  Tanpa banyak soal Areej setuju mengikutnya keluar makan.  Pelik tapi benar kali ini sikap Areej berlembut sedikit dengannya sejak insiden lalu.
Kalaulah makanan yang terhidang boleh terus kenyang.  Perut Areej yang sememangnya lapar tidak sabar untuk menelan hidangan di depannya sebab semua masakan itu adalah makanan kegemarannya.
            Dia suka sekali hidangan nasi ayam penyek yang didatangkan dengan segelas jus tembikai.  Kehidupannya yang serba kekurangan membuatnya lupa seketika dengan siapa yang ada bersamanya.  Mereka bersarapan di Restoran Getaran Jiwa Alamesra.
            “Kenapa tenung saja, makanlah!”  Emran bersuara.
            Areej seperti biasa, berasa segan dengan layanan dan kehidupan sempurna Emran dibandingkan dirinya.
            “Kenapa?”  Emran melihat mata Areej berkaca.
            “Apa yang penting sangat, awal pagi awak dah datang jemput saya?”
“Saya rindu awak, awak?”  Emran memegang garfu mahu menyuap bihun tapi berhenti di pertengahan.
“Awak memang takkan jawab soalan saya kan?”  wajah Areej berubah dengan jawapan balas Emran.  Lelaki ini masih terus terang soal perasaan dengannya.
“Saya rindu awak, sebab itu saya datang,”  
Emran meletakkan garfu ke pinggan  tidak jadi makan.  Mata Emran tidak lepas dari meratah seluruh wajah Areej yang begitu asyik menyoalnya.
“Awak tak ada kerja lain ke?” Oh! Areej rasa macam nak cekik Emran.  Bercakap ikut suka hati dia saja, Areej jadi tambah segan.  Emran, tolonglah jangan kata macam tu, kata-kata godaan begitu.  TUHAN, tolong kuatkan hatiku untuk tidak tewas pada perlakuan Emran ini.
Melihat wajah Areej sudah berubah, Emran berasa kasihan.  Waktu menjamu selera mereka terbantut oleh kerana kata-katanya, Areej langsung belum menyentuh hidangan di depan yang mulai sejuk.
Silap haribulan Areej akan cabut begitu saja jika dia silap perhitungan.  Gadis itu tidak seperti gadis-gadis lain yang dikenalinya.
“Areej!” ucap Emran tanpa sedar menyentuh jari-jemari Areej bagi tujuan untuk memujuk.
“Emran!!!” kuat jeritan Areej kerana terkejut bercampur geram.  Dia rasa macam nak koyak Emran seperti kertas.  Sudahlah tujuh hari tak nampak muka, pagi-pagi lagi sudah tercengat di blok asramanya.
“Awak tahu pegang-pegang ni haram kan?”  wajah Areej seperti udang yang masak warna merah.  Marah betul Areej tatkala melihat muka Emran yang seperti orang bingung.
“Kalau yang itu haram, apa kata kita halalkan saja,”  Emran sambut kemarahan Areej dengan maksud tersirat, tak gentar senyum aje.
“Kahwin dengan saya, Areej…” sambung Emran tanpa hirau kemarahan Areej saat menuturkan lamaran kali pertamanya kepada seorang gadis, Emran rasa bahagia ada di mana-mana.  Hakikatnya bersama Maizurah tidak pernah dia utarakan tentang lamaran.  Sentiasa dalam kawalan perasaan.  Entah mengapa dengan Areej perasaannya sukar dibendung.
“Kahwin dengan saya semua yang haram tu akan menjadi halal…”  tersentak Areej mendengar lamaran saat hati pun suka sama, tapi tahukah Emran kisahnya?
Areej pantas geleng kepala.  Tak percaya seberani ini Emran melamarnya kali ketiga mereka keluar berdua.  Tidak terlalu pantas ke?  Mungkin usia Emran membuatnya terdesak?  Mereka belum pun kenal hati budi.  Marah Areej lenyap ekoran tergamam dengan lamaran Emran.  Rasa jantungnya sudah jatuh mencecah lantai.  Kalaulah dia mampu memadamkan rasa cinta di dada Emran, alangkah mudahnya hidup ini.  Namun usahkan menghapuskan rasa itu di dada Emran dirinya sendiri pun sudah semakin rapuh.
Areej berdiri.
“Aku lebih rela menerima lamaran seorang pengemis dari orang seperti kau,”  tanpa berfikir panjang Areej menempelak.  Dia tidak berfikir jauh, akibat kata-katanya itu akan memakan tuan.  Prinsipnya tetap dipertahan.  Prinsipnya takkan berubah jika dia berani memberi keputusan untuk menjauhkan diri daripada Emran dia percaya suatu hari nanti dia tentu akan berjaya walau tanpa cinta.
Emran memerhati gerak laku Areej yang mengetap bibir itu.
“Jamahlah dulu makanan itu nanti sejuk dah tak sedap,” Emran tukar situasi seperti dia tidak mendengar apa-apa dari ucapan Areej sekejap ini.  Dia kecewa lamaran pertamanya ditolak mentah-mentah oleh Areej.  Ah! Bila Areej setuju?  Dia sering menerima penolakan dari Areej. 
“Jangan kerana lamaran saya, awak kelaparan.  Makan dulu lepas tu saya hantar awak ke kampus,”  pujuk Emran.
“Saya nak ke kampus sekarang!” desak Areej tegas.
“Jangan seksa saya Areej, tak baik biarkan hidangan tak tersentuh.  Sekurang-kurangnya walaupun awak tolak lamaran saya, makan dulu jangan biar perut kosong nanti masuk angin,”  panjang pula pujukan Emran.  Dia perlu belajar mengalah.  Sudahlah dia yang kecewa.  Kena pujuk pula Areej.
Areej menarik nafas, menahan rasa yang mula berubah bila melihat pujukan Emran.  Ah! Lelaki ini tidak mudah mengalah.  Hatinya mudah tersentuh dan kasihan.  Itulah kelemahan Areej.  Dia tidak boleh jika orang sudah bercakap lembut-lembut.
Selesai bersarapan pagi, Emran terus menghantarnya ke kampus.  Emran hanya diam, menahan rasa kecewa yang mengasak dalam hati.  Silapnya mereka baru dipertemukan.  Gadis seperti Areej tidak mudah terpikat dengan kebendaan dan kemewahan.  Semua kemahuan Areej adalah berlawanan dengan gadis-gadis yang sering dilayaninya sebelum ini. 
Sanggup pula nak terima lamaran pengemis?  Areej… Areej… sampai macam tu sekali awak tolak saya.
Areej pula hanya duduk memandang ke depan sambil berpeluk tubuh.  Dia cuba bersahaja.  Namun gelora gemuruh hatinya sedaya upaya ditahan.
“Kenapa tak mahu kahwin dengan saya Areej?”  soalan yang tidak mahu ditanya dari Emran muncul juga akhirnya.  Setelah masing-masing diam agak lama.  Dia mahu memancing Areej untuk berbual.  Taklah sunyi sepi sepanjang perjalanan.
“Kenapa awak masih mahu menyoal.  Apa yang awak tak puas hati,”  balas Areej bernada sinis.  Susahnya menahan gelora asmara di dada sendiri.  Takkan sekali-kali dia memberi isyarat lampu hijau kepada Emran.  Semoga Emran tidak menyedari hatinya tersentuh saat ini.
Emran kembali normal.  Baginya Areej belum matang dalam soal hati dan perasaan.  Usia Areej pun muda remaja.  Dia senyum.  Terkesan sesuatu pada nada intonasi Areej jauh sekali bezanya dari tadi.  Tadi bicara Areej dalam kemarahan. 
Kini ada perubahan, bicara Areej dalam pertimbangan membuat dengup jantungnya boleh bertukar rentak serta-merta.  Asalkan dapat dengar suara Areej dia sudah cukup bahagia.
“Banyak sangatkah kekurangan saya?”
“Siapa cakap soal kurang?”
“Awak tolak lamaran saya macam tu saja tanpa beri alasan yang jelas,”
“Saya yang nak tolak, suka hati saya lah,” balas Areej tanpa perasaan.
“Areej, lelaki mana yang puas hati jika lamarannya ditolak tanpa penjelasan?”
“Saya tak mahu dengar apa-apa pasal tu lagi,”  Areej menghentikan topik tentang ajakan kahwin Emran.
“Sampai macam ni sekali awak tolak saya, memang banyak sangat kekurangan saya?”
Dapat membawa Areej keluar sudah satu kejayaan besar bagi Emran.  Nasibnya baik gadis itu dalam terpaksa mahu juga mengikut kemahuannya.
Soalan yang dilontarkan oleh Emran itu buatkan Areej sentap.  Mata Areej bagaikan tidak pandai untuk berkedip.  Badan Areej seram sejuk menahan rasa bersalah di dada.
“Tengok awak diam macam ni, buat saya tak keruan,  maafkan ketelanjuran saya sepanjang kita kenal,”  ucap Emran sebelum mereka berpisah.

Hati Areej luruh mendengar suara lirih Emran.

Tiada ulasan: