Selasa, 2 Disember 2014

Si Pemburu Hangat! - Bab 2

Bab 2

NORA dan Sarah diam membisu.  Melepak di bilik Areej sementara Qistina, teman sebilik Areej belum pulang.  Mereka menemani Areej yang sedang geram bercampur marah meluap-luap.  Sejak dari tadi lagi membebel tak henti-henti tentang gangguan Emran selama MDS berlangsung.  Ada-ada saja yang tak kena pada Areej.  Sekejap meremang bulu tengkuk mereka bila mendengar telahan demi telahan tentang Emran oleh Areej.  Mereka tidak salahkan Areej, tetapi peristiwa demi peristiwa yang dialami Areej membuatkan gadis itu berapi.  Akhir sekali meradang, bila Emran muncul demi sebuah perkenalan.
            Areej mengepal penumbuknya.
            Samseng nampak!
            Geram!
            Aku tak suka dipermainkan.  Aku datang sini belajar bukan mencari bakal suami.
            Kata hati Areej berulang-ulang.
            “Kau gila ke apa?”  Nora berdiri dari duduknya kurang senang dengan tingkah Areej.
            “Orang gila aje buat begini Nora, aku masih waras.  Pertimbangan aku masih wajar,”  Areej terus mengepal-ngepal penumbuk tanda geram.
            “Sabarlah… lama-lama dia senyap juga tu.  Kalau kau buat tak layan sudah tentu dia takkan kacau kau lagi,”  tenang Sarah menasihati. 
            “Orang waras tak adanya kacau aku hari-hari.  Macam stalker adalah!”  wajah keruh Areej tidak peduli pada kata-kata Sarah.  Marah di hati ikutkan sangat.
Mana tahan sabar kalau ada ‘pemburu’ hangat lagi kacak seperti Emran.  Perangai pula tak reti bahasa.  Hisss…tak boleh jadi, tak boleh jadi.  Geleng-geleng kepala Areej.
Sarah dan Nora berpandangan.
“Kau ni ke situ pula,”  buatnya betul-betul pengendap!  Sarah seram mendengar ayat stalker yang dituturkan oleh Areej itu.
“Kau orang faham tak ni, orang siuman tak buat benda-benda begini,” 
Areej masih tak puas hati.  Dunia hari ini macam-macam kes berlaku.  Sebut saja semuanya tak diterima oleh akal waras.  Tapi yang tak logik itu juga yang berlaku dekad ini.
“Orang tak siuman dah tentu takkan kenalkan diri pada kau.  Aku rasa Emran tu bukan stalker tapi admirer kau,” 
Sarah senyum mahu meredakan kehangatan bilik itu dari perdebatan tentang kekacauan jiwa yang dibuat oleh Emran terhadap Areej.
Sedetik berlalu.
“Orang yang jatuh cinta atau minat kat kau ni,”  Nora mengakui tanpa memahami maksud kata-kata Sarah.
Sarah kerut dahi, Nora ni faham ke tidak maksud admirer yang disebutnya.
“Apa stalker tu?”  soalan Nora membuat tawa Sarah dan Areej meledak.
Stalker tu maksudnya pengendap atau pengintip ataupun pemburu, tapi aku lebih akui Emran tu admirer.  Jangan kau tak faham maksud admirer pula?”  terang Sarah selepas seketika berhenti ketawa.
Nora angguk. 
Admirer itu maksudnya peminat atau pemuja,”  sambung Sarah.
Jadi sesi mengajar pula bukan sesi menyelesaikan masalah Areej.
Seminit kemudian.
Areej menyambung perbualan yang terhenti.  Selepas memberi peluang kepada Sarah untuk membantu Nora memahami maksud perkataan Bahasa Inggeris itu ke Bahasa Melayu. 
“Adakah orang minat kat aku, yang macam ni…”  Areej menggayakan diri di depan keduanya.  Siap bagi pose dirinya, tangan turun naik menunjukkan penampilan dan tubuh badannya.
Harap keduanya faham.
“Pakaian lusuh kasut lama, harap muka pun tak lawa,”  macam berpantun dua kerat pun ada.
“Orang kalau dah kemaruk, takkan nampak semua kekurangan kau tu,” 
Nora menilik atas bawah tubuh Areej.
“Iya!” sokong Sarah, tanda bersetuju.
“Orang dah minat, layan ajelah.  Tak mungkin ada dalam realiti pun kisah begini.  Siap intai-intai dan kejar kau macam bayang-bayang,”  Nora membuang pandang sekejap ke arah Sarah.
“Kau silap Nora!  Ini realitilah ni,”  Sarah menepuk tangan.
“Malu, malu aku tahu.  Sudahlah tadi bercupak mata siswa siswi menonton drama panas petang-petang begini.  Lepas ni mana aku nak letak muka, aku bukan Fisah!”  Areej pegang kepala bagai nak menjerit.
Bengang mendengar ocehan demi ocehan kenalan barunya ini.  Ocehan bermaksud kata-kata tidak keruan (bukan-bukan), ringkasnya celoteh.
“Patutnya kau bangga Areej, ada yang berkenan pada kau.  Buat macam Fisah tu…”  Sarah mendorong semangat Areej.  Areej yang sering mengelak perkenalan pelajar lelaki.
“Fisah tu gojes!  Femes!”  sengaja Areej mengejek ayat Nora dan Sarah bila merujuk tentang Fisah yang perasan ‘hangat di pasaran’. 
Fisah tu gorgeousFamous! – cantik terkenallah sangat gediknya.
Nora dan Sarah senyum penuh erti.
“Gojeslah sangat… ke senget?”  Nora buat aksi selamba, tangannya diawang-awangan. 
“Kau ni tak baik tau cakap macam tu…”  Sarah menghayun jari telunjuk macam orang lembut ‘mak nyah’ gitu.
Terkekek-kekek keduanya.
Areej memandang mereka tanpa berkedip.
“Tapi kan… Fisah cakap…”  Sarah tersekat-sekat tutur kata.
“Apa dia?”  Nora tolak mesra bahu Sarah, tidak sabar.
“Katanya, Emran tu bekas dia,”  Sarah menekup mulut.
Bekas apa pula… Tupperware?  Ayat itu menyentap hati Areej.
“Aku dengar ayat tu aje.  Lain-lain aku tak tahu,”  Sarah pandang wajah Areej.  Nora tak puas hati dengan kenyataan Sarah. 
“Tak apa.  Tak apa.  Nanti aku selidik pada Khalida,” 
Walaupun Sarah dan Fisah sebilik tapi mereka lebih suka buat hal masing-masing.
“Erm… bukankah kau sebilik dengan Fisah?”  Areej melihat Sarah.  Serentak dua pasang mata memandang Sarah sebaik ayat itu dituturkan oleh Areej.
“Okey-okey.  Nanti aku korek dari Fisah sendiri,”  Sarah akur dengan tangan tanda ok.  Tak pasal-pasal dia kena jadi penyiasat tak berbayar.  Apa-apa saja untuk Areej.
Fisah adalah pelajar baru, tetapi suka bersosial.  Kerana minatnya itu dia pernah berkenalan dengan Emran.  Maklumat itu belum tahu betul atau tidak.  Sarah cuma mendengar dari Fisah yang berlagak bila bicara soal bekas-beas teman lelaki. 
“Yang aku faham… dalam konteks mereka ya, kalau perkataan bekas ni bermaksud pernah jadi teman istimewa Emran kut!”  Nora bangun duduk dari katil Areej.
Sarah sengih.
“Agak-agak kaulah, siapa tinggalkan siapa?” 
Bukan main lagi mereka berbual.
“Aku rasa Emran yang tinggalkan Fisah.  Mana ada lelaki yang tahan dengan sikap Fisah tu.  Tak sedar diri.  Berlagak nak mampus!”  Nora melepaskan geram.
Areej cuma menggeleng mendengar kata-kata mereka.
“Eh!  Kau orang dah kira mengumpat dah tu,”  Areej tidak mahu masuk campur dalam hal-hal tepi kain orang.
“Kau orang tahu maksud mengumpat itu menceritakan hal yang buruk-buruk atau mencela orang lain di belakangnya.  Mengata-ngatai atau memarahi atau mengutuk orang kerana berlaku sesuatu yang tidak baik kepada kita.  Jadi, aku rasa Fisah tak pernah berbuat sesuatu yang tidak baik pada kita kan?  Cuma kita tidak senang sikap gedik dia tu aje?”   Areej menasihati.
Serentak sesaat keduanya diam sesaat.
“Bukankah kita sedang bincang pasal aku kena stalker?”
Areej membawa keduanya ke topik asal semula. 
Dalam waktu yang sama azan asar berkumandang.  Mendengar azan dari masjid universiti membuat perbincangan mereka serta-merta tamat.  Areej diam mendengar kalimat-kalimat tertentu yang dilaungkan untuk memanggil orang bersembahyang atau dipanggil bang. 
Senyap lima minit.
Nora dan Sarah mengambil kesempatan meneliti wajah Areej.  Bila dipandang wajah Areej mereka terkesan rasa gelisah.  Macam kena tiupan angin puting beliung.  Pelbagai wacana ekspresi tergambar di wajah Areej.  Mereka sendiri turut tanda tanya.  Hanya satu yang terlintas di kepala masing-masing. 
Areej takut jatuh cinta!
Biar betul?!

Tiada ulasan: