Selasa, 25 November 2014

Si Pemburu Hangat! - Bab 1

Bab 1

AREEJ berdiri serta-merta rasa geram mencengkam jiwa.  Tanpa segaris warna di wajahnya, masam sahaja.  Dia berasa dirinya dipermainkan oleh Emran.  Dia pandang Emran dengan tajam, wajah lelaki itu tidak mencerminkan apa-apa, yang sedang tersengih di depannya.  Emran adalah lelaki yang dikenali hanya melalui pertembungan di kampus dan teman orientasi mengenali lelaki itu dan sekarang Emran ada bersama dalam hari terakhir Minggu Destini Siswi (MDS). 
Gambaran yang tepat untuk menilai lelaki seperti Emran ialah tidak tahu malu.  Lengkap segala pakej yang memualkan tekaknya dan menyempitkan pembuluh darahnya sehingga dia rasa bagai nak cekik mamat sewel ini.  Daripada melayan lelaki seperti Emran lebih baik dia beredar segera dari sini.
“Areej, dia bukan pelajar dalam bidang kita,” 
Suara rakan sekuliahnya menerjah telinga Areej.  Nasib agak baik MDS baru saja berakhir petang Jumaat ini.
“Bagaimana dia boleh terlibat dalam aktiviti kita hari ini?” 
Wajah Areej garang mencuka.
Emran tersengih angkat kening seperti mencabar api amarah Areej.  Mahu sahaja dilempangnya wajah itu.
Saling pandang memandang antara semua pelajar yang ada di situ.  Ada yang angkat bahu, angkat kening, kerut muka, mencebik dan bermacam-macam bagai reaksi dengan mimik muka yang tersendiri.  Suara-suara sumbang juga kedengaran menyindir apabila mendengar soalan lantang Areej.
“Areej aku rasa dia kejar kau,” Nora bersuara perlahan di telinga kanannya.
“Ha-ah, sejak hari kita melapor diri lagi aku perasan,” Sarah berdiri di sebelah kirinya.
Rimas pula Areej diperlakukan begitu oleh kedua sahabatnya yang baru menjalin tali silaturrahim sepanjang MDS berlangsung.
“Siapa dia ni?”  kembali Areej menyoal Sarah bila menyedari dirinya jadi perhatian.
Kedua sahabatnya itu angkat bahu tanda tak tahu.
Emran cuma memerhati gelagat gadis bernama Areej itu.  Dia sedar dirinya sedang diperkatakan. Tapi apakan daya dia tidak boleh melawan rasa hatinya yang sejak akhir-akhir ini kurang mendengar nasihat.  Dia sendiri serba tidak kena.
“Sudahlah aku rasa aku tak minat nak teruskan aktiviti kita hari ini,” Areej bergerak menggamit pergi Nora dan Sarah bersama keluar dari dewan.
Emran yang sejak dari tadi diam membisu mula melangkah ke hadapan Areej.  Debaran mula terasa dalam dada yang menyesak pada Areej.  Apa kena pula Mamat sewel ini sesuka hati sedap mak bapa dia masuk tanpa izin ke sini.
“Eh! Tunggu laaa, dulu…” tangkas pula jari-jemari Emran menangkap lengan baju kurung Areej.  Gadis berbaju kurung biru muda awan sedondon warna tudungnya itu benar-benar menawan sukmanya.
Areej terkejut bukan kepalang, berani sungguh lelaki yang tidak tahu asal usul ini menyentuhnya.
How dare you!”  Areej membutangkan mata, marah Emran.  Debaran dadanya kencang tak menentu.  Kenapa jantungnya seolah-olah lari dari landasannya.
Emran yang terkejut dengan tindakan drastik dan jeritan Areej itu, segera melepaskan genggaman tangannya di hujung lengan baju kurung Areej.  Sampai macam itu sekali reaksi gadis ini belum ada apa-apa pun bagai nak pecah gegendang telinganya oleh jeritan lantang Areej.  Drama mereka menjadi tontonan bercupak mata.  Malu ditolak tepi.
“Garang gila, lebih dari singa,” Emran senyum bersama kening terangkat.  Dia tak gentar, pengalamannya dengan ramai gadis tidak menggugatnya kini.  Sikap dan cara Areej itu seperti malu-malu kucing tapi mahu begitulah apa yang difahaminya sebagai seorang lelaki dewasa.  Setiap gadis begitulah sikap mulanya, jual mahal kononnya, hakikatnya jiwa menggeletek mahu.  Dia pasti Areej sebaik sahaja tahu siapa dirinya sebenar tentu terlenggok dan tersenyum meleret menerimanya tanpa tarik tali begini.  Huh!  Dasar perempuan semuanya materialistik, sama saja.
“Jom pergi, tak payah layan orang sewel,”  Sarah pantas memotong cakap.
“Betul kata kau orang sewel yang tak reti bahasa,” Areej kecilkan mata, sinis sindirannya.
Merah wajah Emran dimalukan begitu.
Siapa yang tak garang kalau lelaki seperti Emran wujud seperti bayang-bayang.  Mengikut ke mana saja kaki Areej melangkah sama ada di dalam kawasan kampus atau di luar kampus, ada saja wajah lelaki itu, jika dilihat lelaki itu bukan seorang pelajar.  Di Kantin, di Perpustakaan, malah dalam Dewan Kuliah pun muncul juga wajah tak malu itu.  Mungkin orang-perseorangan yang berurusan di Universiti tempat mereka belajar ini.  Tentunya orang yang ada berurusan dengan tender, sebutharga memang ramai kelihatan jika dia ke menara Pentadbiran Universiti kerana kaunter Hal Ehwal Pelajar melalui tingkat yang sama menguruskan perolehan Universiti.
“Agaknya baru keluar dari tanjung rambutan, jom!”  tercetus tawa perlahan Areej.
Pantas mengaja keduanya berlalu.  Dia bukan bermaksud mahu mentertawakan Emran tapi dia mahu memberi sedikit pengajaran kepada lelaki seperti Emran yang tidak mengenal putus asa itu.  Baginya cinta belum masanya lagi, dia ada tanggungjawab besar yang perlu dipikul.
Salah orang kau pilih!  Berdetik hati Areej sambil menjeling tajam dan berlalu pergi.
Emran tidak pernah berjumpa gadis secelupar seperti Areej apa lagi dengan sinisnya Areej mentertawakan dirinya di hadapan khalayak ramai, kewibawaannya tercabar.
“Tidak semudah itu!”  tegas dan dengan pantas Emran mengheret Areej keluar dari dewan, Nora dan Sarah terlopong.  Areej tidak sempat berbuat apa-apa bila melihat mata tajam bak helang Emran memberi amaran kepada kedua sahabatnya.  Areej terkedu.
Areej mengetap bibir.  Kenapa lelaki ini tidak tahu malu, sesuka hati bertindak seperti mereka sudah kenal lama dan tidak gentar dengan perbuatannya memalukan lelaki itu.
“Eh tolong sikit!” 
“Banyak pun boleh,”
Areej nak main tarik tali, dia akan simpul tali tersebut supaya terikat rapi.
“Saya tak kenal awak,” Areej terus berpusing, ingin segera pergi dari situ tetapi lengan baju kurung birunya dipaut oleh Emran pantas.
“Sebab awak dah kata begitu bolehlah kita berkenalan, kenapa cepat sangat nak lari dari saya, kita belum habis berkenalan lagi…” Emran meleret senyum senget.
“Siapa yang nak berkenalan dengan awak, perasan!”  selamba Areej menjawab, sengaja mahu mengenakan Emran.  Tanya lagi soalan pintar tahap satu tu.  Lelaki ini betul-betul sewel.
Emran ketawa kuat mendengar ayat Areej yang lurus bendul itu.  Pertama kali seorang gadis menolak perkenalan dirinya.  Menarik dan manis itulah yang memikat hatinya tentang Areej.  Emran sendiri tidak mengerti hatinya, sebelum ini minat yang sofistikated, elegan, elit dan seangkatannya.  Namun mengapa Areej juga yang dikejarnya ke sana ke mari.  Sudah  seminggu begini sejak dia terpandang Areej di hentian bas Ekspress, apa istimewanya gadis itu dia tidak dapat menjawabnya,  tetapi debaran dalam dadanya sering mengundang tindakan luar dugaan kepada dirinya sendiri.  Mungkinkah juga kerana faktor penolakan Areej sejak dari awal.  Fikirannya kurang menerima setiap tindakannya kini.   Tapi dia tetap buat juga.
“Awak nak apa sebenarnya?”
Jika boleh dia tidak mahu kelihatan berbual dengan lelaki ini.  Nanti jadi satu isu pula.
Senyum Emran semakin lebar sambil mengenyit sebelah mata. 
Memang gatal dan penggoda.
“Awak rasa apa yang saya mahu pada awak?” 
Emran angkat kening sambil tersenyum-senyum.  Soalan yang senang dia jangka dari Areej.  Sering terjadi dia tidak mengerti mengapa dia perlu terdesak begini, sedangkan tiada yang memaksanya dalam soal jodoh.  Kesannya dia memaksa Areej.  Hakikatnya ramai gadis bersedia jika dia katakan ya.  Atau inikah pilihan hatinya bila melihat gadis ayu berbaju kurung biru laut dan bertudung yang kelihatan anggun ini sekali lagi.
“Entah tak tahu.  Saya tak kenal awak pun.  Kalau dah terlebih-lebih begini.  Awak jangan salahkan saya jika bertindak di luar kewarasan fikiran,”  tajam kata-kata Areej buat Emran terdiam.  Memikirkan maksud kata-kata itu sebenarnya.  Dalam hati Emran menanam tekad, dia harus ajar Areej sehingga gadis itu sedar yang dirinya tidak punya apa-apa istimewa padanya.
Emran tahu Areej tidak seberani itu.  Emran merenung tajam wajah gadis itu.
Debaran kencang datang semula dan jantung Areej berlari keluar dari landasannya.  Apa ni, kenapa, apa yang tak kena?
“Okey kita bermula semula… saya Emran, selamat berkenalan!” 
Areej tidak membalas.  Dia sibuk dengan fikirannya.  Dia tidak memahami kenapa dengan hatinya sendiri.  Areej akhirnya mengangkat jari menunjuk ke arah genggaman tangan Emran di hujung lengan baju kurungnya.
“Tak koyak pun,” selamba badak Emran berkata.
Emran melepaskan cengkaman.  Tanpa amaran dia mengenyitkan mata mengusik lagi Areej yang sentiasa serius itu.  Dengan segaris senyuman menggoda.  Mencairkan setiap mata gadis yang melihat.  Lelaki sekacak Emran apakah yang dimahukannya dari Areej?

Areej terkejut kerana tidak menyangka Emran akan tersenyum begitu walaupun telah dilayan dengan buruk.  Areej diam mematung.  Oh!  Dengupan jantungnya tiba-tiba saja lari dari landasannya, kenapa ni?  Mengapa tiba-tiba perisai hatinya seakan-akan tergugat.  Ilmu apakah yang sedang diguna Emran ke atas dirinya?

Tiada ulasan: