Selasa, 23 Disember 2014

Ku Menanti Kamu - Bab 2

Bab 2

SMK Sentosa, Sandakan Sabah. Kelas 3 Angel.
Penilaian Menengah Rendah atau PMR telah berlalu dan kini cuti semester hujung tahun akan bermula beberapa hari sahaja lagi.  Alhamdulillah, Suhana dapat menempuhi dugaan sepanjang tahun dan peperiksaan dengan baik.  Walaupun sejak pertengkaran dengan Rashdan menimbulkan gosip kurang enak, Suhana seboleh-bolehnya mengelak dari bertembung dengan Rashdan.   Takut dia dikata cuba menarik perhatian Rashdan.  Dia langsung tidak berminat untuk bercinta, apa lagi mencintai Rashdan.  Entah dari mana Lufiya mendapat gosip sebegitu.  Dia tahulah Rashdan itu ramai peminat.  Kerana tidak ada mangsa lain, dia menjadi mangsa gosip Lufiya.  Dia menjadi gusar menjelang PMR kerana gosip percintaannya dengan Rashdan yang baginya tidak masuk akal.  Hakikatnya tiada kena mengena langsung dengan dirinya.  Suhana mengeluh dalam hati.
“Suhana!”  panggil guru Bahasa Malaysia Cikgu Hairil mengejutkan Suhana.  Hari ini hari Khamis.  Pelajar tidak belajar hanya datang ke sekolah untuk mencatat kehadiran dan tugasan akhir tahun seperti biasa mendapat arahan dari pihak pengurusan sekolah untuk membersihkan kelas sebelum cuti persekolahan bermula.
“Hadir!” Suhana berdiri.  Dia yang khayal tiba-tiba terkejut namanya di sebut lagi.
“Suhana!” ulang Hairil memanggil nama Suhana.
“Ya Cikgu,”  jawab Suhana.
“Suhana!” Hairil mengulangi nama Suhana semula. Entah mengapa cikgu itu mengulangi namanya.  Meresahkan hati Suhana seketika.
“Kenapa cikgu?”  Suhana merasa hairan kerana dia tidak memberi perhatian pada pengumuman Cikgu Hairil tadi.
“Mari ke depan sini, Suhana.”  Hairil memanggil.
Suhana bergerak ke arah meja cikgu Hairil.  Hairil memandangnya sambil memberi senyuman.
“Awak ni tak dengar ke saya panggil berulang kali atau buat-buat tak dengar?  Sudah.  Saya tak mahu bersyarah pada awak lagi. Penat saya.  Sama ada awak setuju atau tak setuju untuk mengikuti kem ini, cikgu cuma nak maklumkan senarai pelajar Kem Waja Diri peringkat negeri. Awak terpilih,” tegas Hairil menyerahkan kad nama Suhana Binti Adam,  Suhana diam melihatnya, sedang menjeruk rasa di depan meja guru tersebut.
“Tak minatlah nak ikut cikgu,” ujar Suhana menolak.
“Saya tak mahu terima bantahan.  Hanya pelajar yang terpilih sahaja dapat mengikuti kem ini.  Pilihan ini bukan cikgu yang buat.  Kalau awak tak mahu awak kena bayar ganti rugi,” balas Hairil.
“Tapi cikgu...”  Suhana mahu membantah pantas terganggu.
“Tak ada tapi-tapi lagi Suhana.  Ini muktamad!”  potong Hairil pantas.
“Cikgu!” Najib mencelah tiba-tiba.
“Ada apa Najib?” perhatian Hairil teralih kearah ketua kelas 3 Angel.
“Kalau Suhana tak mahu, saya nak cikgu,” ujar Najib sengaja menyakat Suhana.
“Ye, cikgu kami yang lain nak.  Lagipun percuma, siapa yang tak mahu?” tambah Syukur Ali sengaja menghangatkan suasana.  Rancangan mereka ingin membalas perbuatan Suhana untuk kali terakhir.  Mereka tidak pasti adakah mereka akan sekelas di tingkatan 4 atau tidak.
“Untuk pengetahuan semua, pemilihan pelajar untuk kem ini bukan pihak sekolah yang buat, sebaliknya pemilihan dilakukan di peringkat Kementerian Pendidikan Negeri.  Cikgu cuma urusetia sekolah sahaja dan kebetulan kelas Tiga Angel adalah kelas cikgu.  Jadi bagi memudahkan semua urusan mereka meminta cikgu memaklumkan pelajar yang terlibat dalam kem ini,” ulas Hairil panjang.
“Siapa yang terpilih tu cikgu?” ujar Badar.
“Mereka yang terpilih ini adalah pemilihan dari tapisan yang ketat.  Bukan mudah menjadi yang terpilih.  Harap semuanya dapat menerima keputusan ini.  Sebuah sekolah diwakili oleh dua orang pelajar sahaja.  Seorang pelajar perempuan dan seorang lagi pelajar lelaki,”  terang Hairil lagi.
“Maknanya kami tidak berpeluang lagi,” tanya  Minah dalam nada kecewa.
“Betul tu  Minah, jadi sepatutnya Suhana menghargai peluang yang diberi.  Cikgu pula baru tahu pelajar yang terlibat adalah dari kelas 3 Angel sahaja,”  jawab Hairil membuat suasana kelas riuh seketika berteka teki siapa selain Suhana yang akan terpilih ke kem tersebut.
“Saya tak minatlah cikgu,”  balas Suhana. “Nama awak kat kad tu tak dapat di ubah Suhana.  Ia tertera nama awak, cuba awak tengok. Sabtu ini awak kena mendaftar.  Tidak dapat tidak.  Harap awak faham,”  tegas Hairil.
“Bila cikgu? Sabtu ni?” tanya Suhana terkejut.
“Awak tak ambil perhatian pengumuman saya di awal tadi Suhana.  Kalau awak nak tanggung kerugiaan boleh.  Apa lagi yang tak kena dengan awak ni?”  tanya Hairil tegas.
“Tak ada apa lagi cikgu, kalau macam tu saya terpaksa setuju,” jawab Suhana terpaksa bersetuju dan resah.  Cuma memikirkan perlu membayar semula kos tersebut merencatkan mindanya untuk menyangkal terus kata-kata cikgu Hairil.
“Begitu lebih baik.  Sudah. Pergi duduk!”  arah Hairil.
Wajah Suhana masam mencuka kembali ke tempat duduknya.  Keresahan datang semula.  Walaupun terdengar sindiran Lufiya berbaur cemburu dah di beri percuma pun tak mahu, menyakitkan hatinya mendengar kata-kata itu.  Mereka tidak faham, dia ada tugas di Rumah Amal-Inn.  Mereka tidak tahu hidup sebagai sebatang kara tanpa sesiapa.  Adakah mereka peduli jika dia tidak makan?  Adakah mereka merasa susah senangnya?  Tidak, kerana mereka dilahirkan cukup semua, tidak seperti dirinya, segala-galanya perlu berdikari.  Dia perlu menguruskan adik-adik di Rumah Amal-Inn selain dirinya.
“Tahniah...” ucapan Jasidah itu dibiarkan berlalu oleh Suhana.
“Seronoknya kau dapat ke kem tu.  Tentu akan dapat ramai kenalan dari sekolah lain nanti,”  balas Zareen teruja dan cemburu sedikit dengan kelebihan yang berpihak kepada Suhana.  Dia ingin sangat mengikuti kem tersebut tetapi peluang dan nasib tidak menyebelahinya.
“Aku malas nak ikutlah Zareen,  Aku tak gemar benda-benda begini.  Kalau boleh kita tukar...” suasana kelas gamat seketika sehingga perkataan ’tukar’ Suhana tidak didengari oleh Zareen.  Dia tertanya-tanya mengapa seisi kelas gamat bagaikan ada artis di hadapan kelas.  Suhana mendongak melihat meja cikgu Hairil.  Tiada apa yang menarik perhatiannya selain berdirinya Rashdan berhadapan cikgu Hairil di situ.
Dia melihat ke kiri dan ke kanan kelas, semua rakan sekelasnya berbisik.  Seperti ada sesuatu yang tidak kena.  Takkanlah dalam ramai-ramai manusia tingkatan tiga dalam SMK Sentosa ni mamat ’perfect’ tu yang pergi.  Alamak!  Terpaksa menghadap muka mamat ni pula selama tiga hari. Ingatkan bolehlah mengelak dari bertembung rupanya hadap juga wajah Rashdan yang perasan bagus itu.  Eee... bencinya!
“Tahniah kepada yang terpilih. Kepada para pelajar yang lain mula kemas bilik darjah dan selamat bercuti!” ucap Hairil sebelum berlalu keluar meninggalkan bilik darjah.
Fauziah ketawa lepas tiba-tiba.
“Apa yang kelakar?”  dengus Suhana terasa di sindir.  Menyampah.  Sumpah seranah dalam hati Suhana atas Rashdan itu hanya bergema di dalam.
“Aku rasa geli hati, sebelum ni kau mati-mati mengelak dari Rashdan, kerana gosip bahawa kau ada perasaan kepada dia.  Sekarang ni macam takdir pula.  Dalam ramai-ramai pelajar tingkatan tiga dari kelas Angel hingga ke kelas Gagak, kenapa kau dan Rashdan yang terpilih ye?”  tanya Fauziah seperti memerli namun niatnya cuma berseloroh dengan Suhana.
“Ye, betul tu kata kau, Zie.  Macam ada jodoh antara mereka pula kan...”  Minah menyokong.
Jasidah berkata. ”Seronok!”  ulas Jasidah gelak.
“Oi... kau orang ni mengata aku depan-depan.  Sedap je mulut kau orang bercakap ye.  Tak toleh kiri kanan,” ujar Suhana.  Keresahannya yang terhenti sebentar tadi bertambah-tambah.
“Aik, terasa ke?” usik Zareen.  Mereka gelakkan Suhana ramai-ramai.
Fauziah menyambung.
“Jaga-jaga Suhana, jangan benci sangat.  Nanti jatuh hati.  Kau sendiri yang susah.  Tidur malam terbayang-bayang, mandi tak basah... makan tak kenyang.”
Minah tersenyum sambil menyokong.  “Ye, marah-marah sayang gitu!”
Suhana mengerutkan muka. “Banyak cantik kau punya teori Minah!” 
Mereka bersorak meraih ketewasan Suhana dalam usikan mereka.
Tanpa dirancang, Suhana terlihat pandangan Rashdan yang dihalakan ke arahnya.  Rashdan memandangnya, Syukur Ali dan Najib sedang bergelak sakan ramai-ramai di meja sebelah sana.  Geram pulak Suhana melihat tingkah mereka itu.  Geram.

*****

Sampai di Rumah Amal-Inn, Suhana menguruskan diri sendiri.  Rutin hariannya diteruskan tanpa ada jurang perbezaan yang ketara.  Selepas membantu kakak Wardini memasak di dapur dan menyapu ruang tamu mengemas mana yang patut, Suhana masuk ke dalam bilik.  Rancangannya adalah untuk berkurung dan merenung setiap kesilapan dan kesalahan yang pernah terjadi sepanjang menjadi pelajar di tingkatan 3 SMK Sentosa.  Paling mengesan dalam jiwanya saat ini adalah renungan Rashdan bila mengetahui mereka sama-sama terpilih untuk mengikuti kem waja diri. 
Suhana menghela nafas, cuti akan bermula minggu depan, masing-masing sudah pulang dan bersiap-siap menikmati cuti selepas menduduki PMR dia haruslah menikmati cuti yang panjang.  Dia sendirian nanti, bagaimana untuk berdepan dengan Rashdan? Suhana teringat usikan rakan-rakannya.
Saat ini yang menganggu fikirannya adalah pakaian dan alat keperluan semasa Kem itu nanti.  Senarai barang keperluan yang diberikan oleh cikgu Hairil segera di cari dalam beg sekolahnya yang usang.  Beg jenama Puma itu adalah pemberian pihak NGO yang sering menderma kepada anak-anak di Rumah Amal-Inn.  Beg itu sudah menemaninya selama 3 tahun.  Suhana merenung beg Puma tersebut.  Dia menghela nafas.  Kembali melihat senarai semak tersebut lagi.
Beg yang perlu di bawa ke Kem Waja Diri pun belum ada,  segera dia bangun dari katil double decker yang didudukinya mahu mencari Kak Wardini. Dalam sebilik ini ada terdapat 8 buah katil double decker dan dia berkongsi bilik dengan 15 orang anak-anak yatim yang lain di sini.  Hidup di sini segalanya perlu dikongsi.  Belum pun Suhana sempat membuka pintu, pintu bilik di buka dari luar.
“Suhana, kenapa tak makan sama dengan yang lain?” soal Wardini di muka pintu.
“Kejap lagilah kak, biar adik-adik habis makan dulu, akak dah makan?” balas Suhana.
“Belum.”
“Kita makan sama-sama, kejap lagi ye kak ada Suhana nak buat ni,”
“Apa yang Suhana buat?  Senarai apa yang Suhana pegang tu?” ujar Wardini terlihat kertas di pegang Suhana.
“Ini yang Suhana nak bincang dengan akak,” terang Suhana.
“Pasal apa tu?” balas Wardini membawa Suhana duduk di katil.
Suhana menyerahkan kertas itu.
“Bila Suhana nak mendaftar?” Wardini membaca kertas senarai itu dengan teliti.
“Lusa. Petang Sabtu, ikutkan hati Suhana tak nak ikut,”
“Kenapa?”
“Suhana kasihan pada adik-adik, dan pada akak terpaksa seorang layan mereka,”
“Suhana kena pergi, ini untuk kebaikan Suhana  juga,”
“Suhana tak ada beg, tak ada track suit, tak ada baju kurung yang sesuai semua dah lusuh kak, malu pada kawan-kawan tengok nanti,” ujar Suhana berterus terang.
“Oh sebab itukah Suhana tak mahu ikut kem ni?”
Suhana mengangguk.
“Mari ke bilik akak kita tengok apa yang ada dalam senarai Suhana ni,” ajak Wardini berlalu ke bilik sebelah.
“Suhana seorang saja ke yang pergi kem tu?”
Sebaik sampai di bilik kak Wardini membuka almari pakaiannya.
“Ramai yang terpilih setiap sekolah ada wakil kak,”
“Kira begitu bertuahlah Suhana terpilih,” Wardini senyum memberi kata-kata semangat.  Dia faham Suhana bukan seorang yang gemar bersosial.  Masanya banyak dihabiskan membantunya di Rumah Amal-Inn.  Mungkin juga kerana faktor kewangan.  Kasihan juga hatinya pada Suhana.
“Bertuah agaknya kak Wardini!” balas Suhana.
Wardini menilik baju kurung dalam almari.
“Nak berapa helai kena bawa ke kem nanti?”
“Sepasang je kak Wardini, untuk hari terakhir,”
“Suhana pilihlah yang mana berkenan, kebetulan bentuk badan dan ketinggian kita pun hampir serupa cuma pinggang akak lebih besar dari Suhana ni,” tunjuk Wardini.
“Betul ni kak?  Sayang akak sebab bagi pinjam sepasang baju kurung akak,”
“Suhana kan minat warna biru awan, kebetulan ada warna baju kurung akak begitu, hah yang tu ambillah cuba pakai muat atau tidak ukuran badannya,” ujar Wardini memerhati Suhana mencari dalam almari baju kurung yang dikatakan oleh Wardini itu.
“Cantiknya baju ni kak!” puji Suhana.  Mata tidak lepas pandang menilik baju kurung biru awan cair itu bermotifkan flora.  Benar-benar memikat hatinya.
“Pinjamlah tak apa, bantu membantu dan bekerjasama tu kan baik dan dapat pahala.  Jangan lupa amalkan,”  pesan Wardini.
Suhana rasa terharu.
“Terima kasih kak sebab beri pinjam baju ni,”  balas Suhana hampir menitiskan airmata.
“Apa lagi dalam senarai ni yang Suhana perlukan?” soal Wardini.
Wardini merasa kasihan dan sayu dengan Suhana.  Suhana bukan seorang yang suka meminta, malah suka memberi.  Apa salahnya dia menggembirakan Suhana kerana Suhana banyak membantunya di Rumah Amal-Inn.  Suhana sanggup berlapar hanya kerana memikirkan Kem Waja Diri tersebut.  Patutlah hari ini Suhana rajin semacam saja menguruskan rumah dan memasak, rupanya ini ceritanya.  Begitulah Suhana, dia apabila menghadapi masalah akan melepaskan perasaan dengan membuat pelbagai kerja sehingga penat dan terus tidur tanpa makan.
Suhana teragak-agak mahu memberitahu, jika tidak beritahu dia akan tidak mempunyai barang-barang yang lengkap untuk ke Kem Waja Diri.
“Suhana kena bawa track suit 3 pasang dan beg pakaian,” ulang Suhana.
“Kat atas almari tu ada beg, ambil dan bawa.  Track suit Suhana cukup?” arahan Wardini dipatuhi Suhana, dia mengambil beg tersebut.
“Track suit Suhana cukup, cuma nak tambah manalah tahu hujan,”
“Ye tak ye juga, pinjam akak punya je harap muat saiznya pada Suhana,” Wardini mengeluarkan track suit dari laci almari dan menghulurkan kepada Suhana.  Suhana menyambutnya dalam kesayuan.  Hatinya terhiris dan terasa sendu kerana kebaikan Wardini yang dapat membantunya.  Sebenarnya bukan dia tidak suka mengikuti Kem Waja Diri tersebut tetapi dia tidak mempunyai barang-barang untuk ke kem dengan lengkap dan terpaksa pinjam meminjam begini membuatnya sedih dengan nasib dirinya.  Orang lain takkan mengerti kerana mereka tidak mengalami situasi kekurangan yang dialaminya.
Sepanjang hidupnya dia tidak mahu menyusahkan orang lain.  Jika boleh dielakkan dia cuba mengelak sebaik mungkin.  Namun kali ini benar-benar tersepit oleh keadaan.
“Dahlah jangan sedih, kemaskan mana keperluan Suhana.  Siap sedia awal nanti tak kelam kabut.  Marilah kita makan dulu,” ajak Wardini.
“Terima kasih kak Wardini,”
“Sama-sama kasih!”
Wardini tersenyum.

Tiada ulasan: