Selasa, 30 Disember 2014

Ku Menanti Kamu - Bab 3

Bab 3

Tempat                        : SMK Bistari, Sandakan. Kem Waja Diri.
Masa                            : 3 hari
Hari Dafar                   : Sabtu
Tempat berkumpul      : Dewan SMK Bestari

KERTAS atucara dipegang Suhana dibelek lagi.  Petang Sabtu, Suhana tiba di perkarangan SMK Bistari yang di pilih sebagai tempat kem waja diri diadakan.  Pendaftaran kem waja diri berjalan lancar. 
Selepas mendaftar Suhana berkenalan dengan seorang teman satu khemah bernama Kasma dari SMK Merpati, sebuah peralatan khemah, sehelai tuala, selimut dan sebuku sabun jenama GIV bersaiz kecil untuk kegunaan masing-masing.   Kasma adalah nama teman satu khemah Suhana, mereka sudah berkenalan dan sedang membina khemah di kawasan padang sekolah di mana semua peserta sedang sibuk membina khemah masing-masing.
Suhana melemparkan beg galasnya di atas alas khemah yang belum berdiri.
“Kass, apa acara malam ini?” soal Suhana membuka bicara.
“Kalau aku tak silap, petang ni selepas selesai pendaftaran, semua peserta diarahkan agar siap mendirikan khemah masing masing.  Malam nanti kita perlu ada di dewan. Hana rasa abang-abang askar tu garang tak?”
“Hana tak tahulah Kass, kita belum kenal mereka.  Askar biasanya garang le,”  jawab Suhana.
“Eee... takutnya,”  seram Kasma menunjukkan reaksinya.
“Cepatlah tolong aku dulu, tolong pegang kat penjuru sana, kita siapkan khemah ni dulu.  Nanti tak pasal-pasal kena herdik oleh abang askar tu,” pinta Suhana.
“Baiklah.  Lagi cepat kita siap boleh kita berehat.  Dah la cuaca panas terik petang ni.  Lagi dahaga dibuatnya,”  rungut Kasma.
“Sudahlah jangan asyik merungut,” balas Suhana mahu cepat menyiapkan khemah.
Mereka berkerjasama membina khemah tersebut sehingga selesai.  Seketika mereka asyik meneruskan kerja tanpa sedar masa pantas berlalu.
“Alhamdulillah siap akhirnya,”  ujar Suhana.
“Jom mari kita mandi dulu, lagipun malam ni kita ada perjumpaan di dewan.”
“Pakaian formal ke?”
“Tadi abang askar tu kata kita ada kerja amali nanti, dia beritahu minta semua pelajar mengenakan seluar panjang dan berbaju T-shirt sahaja.  Sesiapa yang engkar dalam tiga hari kem ni akan didenda, bolehlah kita tengok orang kena denda...”
Ucap Suhana tersenyum.
“Ok.  Jom mandi!”  ajak Kasma bersemangat.
Selesai mandi mereka berjalan kaki menuju ke dewan untuk makan malam.  Selepas makan malam semua peserta diminta menunggu di dalam dewan tersebut ada sedikit taklimat tentang tentatif acara mereka selama 3 hari berada di dalam kem waja diri ini, peserta juga dimaklumkan segala perkara hendaklah dibuat sendiri.  Bermaksud layan diri.  Tiada layanan istimewa.  Fasilitator yang terdiri dari abang-abang askar tersebut memberitahu peserta supaya membayangkan mereka sedang menjalani latihan ketenteraan.  Walaupun singkat tetapi merasai apa yang dilalui oleh seorang askar di dalam keadaan darurat atau latihan amalinya.
Kemudian para peserta dibahagikan kepada kumpulan masing-masing.  Seawal selepas subuh esok latihan akan bermula.  Para peserta dibahagikan kepada tujuh kumpulan, sebuah kumpulan seramai 8 orang.  Masing-masing berpasangan.  Empat perempuan empat lelaki.   Mereka semua seramai 56 orang pelajar dari 28 buah Sekolah yang terpilih.  Amaran penting adalah sesiapa yang engkar akan di denda cara tentera sama ada tekan tubi seratus kali, lari 100 pusingan dan banyak lagi jenis denda yang berat-berat.
“Kass, kita masuk berlainan kumpulan pula.”  Suhana beriringan dengan Kasma menuju ke khemah untuk berehat, masing-masing sudah penat.  Hatinya berdoa semoga dia tidak satu kumpulan dengan Rashdan.  Secara semulajadi dia sudah mula ada perasaan malu, apa lagi dengan apa yang pernah berlaku antara dirinya dengan Rashdan.  Jika sebelum ini dia kurang berfikir tetapi sejak memiliki perasaan malu dia sering mahu mengelak daripada Rashdan.  Melihat hanya Rashdan sahaja yang dikenalinya di sini membuatnya terasa dekat tetapi dia cuba menjauhkan diri.  Dia menjadi malu dengan Rashdan.
“Ya.  Kass ingat Hana sama kumpulan,”  balas Kasma 
“Begitu juga aku.  Rupanya kita terpisah juga akhirnya,” kata Suhana.
“Nampaknya kita akan bersaing,”  jawab Kasma.
“Ya. Nampaknya begitulah,” balas Suhana.
“Eh, Kass nak tanya Hana sesuatu ni.  Harap Hana tak kisah,” ujar Kasma berbaur curiga soalannya itu ditujukan.
“Apa dia?” soal Suhana tanpa syak apa-apa.
“Tadi ada pelajar lelaki yang sejak dari mula atur cara asyik menoleh ke arah Hana.  Hana tak perasan ke atau Hana buat tak peduli,”  pertanyaan Kasma membuat Suhana membisu seribu bahasa. 
Lantas Suhana mempercepatkan langkah menuju ke khemah.   Mereka sedang berjalan kaki dari dewan sekolah menuju ke khemah masing-masing.  Dia dan Kasma jalan secara melangkah lambat-lambat berdua sambil berbual secara rancak, segan didengari oleh orang lain yang tidak dikenali.
“La... laju la pula.  Maafkan Kass jika Kass salah tanya.  Tunggulah dulu janganlah laju sangat,”  pinta Kasma.  Mereka tiba di khemah dan masuk silih berganti disebabkan pintu khemah sempit yang dibuat daripada zip.  Ruangan khemah hanya muat untuk dua orang tidur.
“Hana penat nak tidur esok kena bangun awal subuh.”
Cepat sungguh Suhana menarik selimut dan berbaring mahu tidur.
“Kalau iya pun sabar-sabar la dulu.  Kita jalan balik ke khemah beramai-ramai tadi tu kan seronok.  Sekarang Hana mahu tidur cepat pula.  Kita berbual-bual dulu...” tegah Kasma.
“Hana tak mahu tahu siapa pelajar lelaki itu kalau itu Kass nak tahu.  Hana malas nak ambil tahu.”  Suhana berkata sebaik sahaja mereka baring bersama.
Pertama kali dalam hidupnya dia tidur diatas tanah beralaskan lantai khemah.  Selama ini walaupun dia seorang anak yatim piatu, hidupnya masih berbumbungkan Rumah Amal-Inn.  Terasa jarak perbezaan perasaannya ketika ini, Suhana cuba menyerap agar ada perubahan dalam dirinya.  Dia sedang berusaha menyesuaikan dirinya dengan perubahan yang mendadak dengan sikapnya yang sudah tidak degil namun mengapa ada rasa malu yang menebal melihat wajah Rashdan.  Apakah perasaan yang sedang dialaminya kini?  Dia juga sedang cuba sedaya upaya membina satu pertalian pesahabatan dengan Kasma di dalam kem waja diri ini.
Kasma diam membisu seperti kepekatan malam tanpa bicara antara mereka.

*****

Subuh pertama. 
Mereka dikejutkan oleh peserta kem sebagaimana yang ditugaskan malam tadi semasa pembahagian kumpulan di dalam dewan untuk bangun solat subuh.  Caranya cukup istimewa dengan memukul bekas tin susu.  Tidak hairanlah kenapa semalam dia melihat segelintir peserta menyediakan tin sebagaimana yang telah dibincangkan di dalam dewan.  Semasa solat subuh banyak yang mereka pelajari tentang tazkirah, solat berjemaah, nilai kerjasama sesama mereka.  Itu yang dapat dipelajari oleh Suhana kali ini.  Rasa dirinya sangat kerdil kerana kekurangan ilmu.  Namun dia bersyukur dia masih ada Rumah Amal-Inn.
Pagi ini Rashdan di minta membentangkan tazkirah tentang solat berjemaah.  Suhana yang berada di belakang saf untuk wanita hanya diam membisu dan mendengar tazkirah itu.  Tazkirah tentang hubungan antara TUHAN dengan manusia.
Sebenarnya fadhilat solat berjemaah adalah bertali arus, sambung menyambung, mengembang dan membesar. Orang yang bersolat jemaah bukan sahaja mendapat setakat 27 darjat, malah dia akan mendapat banyak fadhilat dan keuntungan sampingan lain lagi semasa dia berulang alik ke masjid dan semasa dia berada dalam masjid.
Begitu besar kelebihan solat berjemaah.  Suhana bersyukur dengan maklumat yang dikongsi bersama itu dari salah seorang peserta kem.  Rasanya dia mengenali suara itu tetapi oleh sebab masih mengantuk dia hanya menadah telinga dan mendengar.  Nama kem waja diri ini nampak jelas dan terang bila ia menjadikan agenda selama 3 hari ini dengan mempelajari hubungan antara TUHAN dan manusia, manusia dan manusia dan selepas ini mereka akan belajar hubungan manusia dengan alam benda.  Pentingnya hubungan dengan TUHAN untuk kelangsungan rohani manusia itu sendiri.
Usai bersolat seterusnya mereka membuat senaman tentera, kecerahan matahari belum menampakkan sinarnya, suasana dalam keadaan suram, sejuk dan berembun.  Kesejukan awal pagi tidak terasa kerana latihan bermula dengan latihan kawad diikuti dengan larian secara bulatan mengelilingi padang sebanyak 10 kali.  Mereka telah dimaklumkan sejak awal, latihan dan kerja kumpulan banyak menggunakan track suit dan t-shirt bersesuaian.
“Pastikan semua tahu bagaimana cara menyusun barisan hormat untuk majlis perasmian penutupan kem waja diri peringkat Negeri ini nanti.  Saya masih boleh berkompromi kerana kesalahan-kesalahan yang dibuat pada hari pertama adalah kerana para peserta belum berkemahiran, tetapi saya berharap pada pagi hari ketiga nanti semua akan dapat menerima dan membuat kawad yang serentak.  Saya tahu masa yang diberikan amat singkat.  Inilah kepentingan persefahaman dan kerjasama.  Melalui kawad para peserta belajar tentang disiplin.  Saya harap peserta boleh?” laung Mejar Ibrahim.
“Peserta boleh! Mohon di ulang!” ujarnya lagi.
Para peserta bersuara. “Boleh...” mendatar bunyinya tak bersemangat.
“Macam ini? semula!” tegas Ibrahim.
“Boleh!”  peserta membalas dalam nada tidak seiring pula.
“Tak serentak!” teriak Ibrahim kelihatan sungguh tidak puas hati.
“Boleh!” ulang laungan peserta sekalian kali ini dengan kuat dan serentak.
“Bagus! Pastikan begini yang akan kamu buat setiap kali di minta!” tegas Ibrahim.
“Ok.  Selepas mandi dan bersarapan, kita akan menjalani latihan rintangan dan halangan di dalam kem tentera di batu tujuh.  Masih berpakaian seperti sekarang.  Saya mahu semua ‘sharp on time’ di sini jam lapan pagi. Saya berikan satu jam sahaja untuk bersiap. Boleh?”  sambung Ibrahim.
“Boleh!” laungan peserta dengan penuh semangat.  Ibrahim tersenyum peserta kem berjaya menguasai laungan keramat dengan penuh semangat.
“Bersurai!”  arah Ibrahim.  Para peserta kelihatan berlumba-lumba. Apa yang boleh dirumuskan latihan kawad ini memang menyeronokkan Suhana.  Cara menyusun barisan.  Cara menghentakkan kaki dalam kawad dan barisan, cara bergerak dalam barisan.  Kawad berirama ke depan dan ke belakang.  Keseragaman dan kefahaman individu yang serentak memikat hati Suhana.
“Kau nampak seronok?” soal Kasma.
Mereka sedang berlumba untuk mandi dan sarapan pagi.
“Kau nak mandi dulu atau sarapan?” soal Suhana sebagai jawapan.
“Kita ambil gelas, pakaian dan tuala, selepas sarapan kita mandi.  Lagipun aku tengok yang lain sibuk nak mandi dulu.  Elok kita mandi selepas mereka yang lain sudah selesai mandi,” cadang Kasma.
“Aku pun fikir macam tu juga,” balas Suhana.
“Lagipun sekarang sudah 7.05 minit pagi.  Kita kena cepat.  Nanti kena denda ketuk ketampi sepuluh kali, malu dibuatnya,”  sambung Suhana.
“Jom.  Aku rasa sarapan dah sedia tu,” ajak Kasma mengatur langkah menuju ke dewan.
Mereka tiba di dewan, mengambil tempat dan mendapati sarapan pagi adalah mee goreng dan roti bakar.  Selesai sarapan mereka mandi.  Kemudian berbaris menunggu bas untuk membawa mereka ke batu tujuh sebagaimana yang dimaklumkan semalam dalam program awal. Sambil menunggu peserta lain sampai mereka berbual. 
“Kasma, kau kelas mana?”
“Kelas D. Kau?”
“Kelas A, A untuk Angel.”
“Wow, kau hebat ye, sebab apa kau terpilih mengikuti kem ini?  Setahu aku kem ini adalah untuk pelajar yang bermasalah, apa masalah kau?”
Ye ke untuk pelajar bermasalah?  Jadi kenapa Rashdan terpilih?
“Kau tidak kenal aku Kasma.  Aku pelajar banyak masalah terutama dengan disiplin.  Kau sebut apa sahaja, aku dah rasai semua jenis disiplin di sekolah.  Tapi tak tepatlah kata kau tu, takkan untuk orang macam kita jer?”
“Ah... takkanlah.   Aku tengok kau ok apa.”
“Jangan tengok luaran saja.  Kau pula macam mana boleh terpilih?  Kau percaya pemilihan kita ini di buat oleh peringkat kementerian?”
“Tak adalah.  Aku terpilih sebab aku ni pemalu, Suhana.  Aku tak reti bergaul dengan rakan-rakan sedarjah.  Tahap pemalu aku dah peringkat dasyat dah ni.  Sampai nak minta buat ‘public speakings’ pun aku lari ke tandas, terkelu.  Memalukan kalau aku ingat insiden lepas.”
“Aik?  Dua kali lima pula kita ni ye.  Tapi secara jujur aku tengok kau taklah pemalu sangat.  Cuma kau ni terlebih segan dan kurang berani, kau seorang yang peramah.  Tapi ada baiknya juga kita terpilih boleh kita kenal antara satu sama lain dan kita sedar diri,” ujar Suhana tersenyum.  Dia mula menyedari tidak semua orang sempurna.  Dia boleh menerima hubungan manusia dengan manusia.
“Aku difahamkan memang kita terpilih dari Kementerian, macam tahu-tahu saja kita bermasalah sampai kita terpilih,” ujar Kasma.
“Ha-ah.”  Mereka tertawa senang bersama mengakui diri masing-masing.
Bas yang membawa mereka pun tiba dan masing-masing beratur dan menaiki bas dengan tertib dan pantas, sebagaimana kemahuan Mejar Ibrahim.  Pesanan   Ibrahim lakukan kerja atau perbuatan dengan pantas, teratur, dan kemas.

Tiada ulasan: