Rabu, 31 Disember 2014

Ku Menanti Kamu - Bab 4

Bab 4


SELAMAT Datang Kem Tentera Darat, Batalion Keenam, Batu 7, Taman Fajar, Sandakan Sabah.  Seronok hati Suhana melihat pintu gerbang kawasan kem tentera di depan mata.  Terserlah senyuman di bibirnya tanpa sedar diperhatikan oleh Rashdan disebalik tempat duduk.  Kebetulan mereka satu bas.  Suhana tidak menyedari kehadiran Rashdan di dalam bas itu kerana keasyikan tersendiri.  Bas berhenti.  Kelihatan jalan basah selepas hujan yang turun sebelum ketibaan mereka.

Mereka berlumba-lumba turun dari bas dan mendapat kejutan mendadak dari fasilitator apabila di minta untuk terus membuat larian tanpa diketahui penghujungnya.  Dalam keadaan begitu, Suhana tidak dapat berhubung dengan Kasma.  Mereka terpisah serta merta.  Dia meneruskan larian mengikut peserta lain yang mendahuluinya.  Mereka datang dalam keadaan sehelai sepinggang.  Barang-barang yang lain berada di dalam khemah. Mereka hanya diminta membawa sekeping kad pengenalan tanpa beg duit di dalam poket seluar. 

Di sepanjang meneruskan lariannya, Suhana melihat jauh ke hadapan.  Dia sesekali berjalan, menghela nafas.  Sudah jauh agaknya lima kilometer mereka berlari namun dia belum melihat tujuan larian ini dibuat dan apakah aktiviti seterusnya.  Dia sememangnya seorang atlit lumba lari ketika di sekolah rendah namun sejak kecederaan lalu dia menjauhi dari melakukan aktiviti sukan.  Dia lebih banyak mengelak dari membuat latihan sukan.  Dia melilau mencari wajah Kasma.  Lain yang dicari lain pula yang muncul. 

Rashdan sedang memintasnya laju tanpa memandangnya yang sedang tercungap-cungap meneruskan larian.  Menyapanya pun tidak, apalagi melemparkan senyuman.  Mungkin Rashdan tidak perasan akan dirinya.  Boleh jadi juga Rashdan tidak kisah siapa dirinya jika teringat insiden sebelum PMR lalu.

Akhirnya Suhana mengalah.  Dia terasa ingin duduk.  Dengan pantas seorang fasilitator iaitu abang askar datang tanpa tahu dari mana munculnya menasihatikannya.  Tidak boleh duduk dalam keadaan baru lepas membuat larian.  Dia di minta meneruskan larian dengan berjalan kaki hingga sampai ke tempat penamat.  Dia menurut dalam keadaan lemah dan longlai.

“Cepat!  Cepat! Tidak berapa jauh lagi tu.  Teruskan larian!”  teriak abang-abang askar merangkap fasilitator-fasilitator yang sedang berkawal di sepanjang jalan.

Suhana tidak mampu berpaling melihat gerangan fasilitator tersebut.  Dari jauh Suhana melihat mereka yang lain sedang membuat aktiviti menaiki jambatan gantung.   Dia sudah jauh ketinggalan.  Belum pun Suhana naik jambatan, lututnya bergegar.  Dia terasa mahu pitam.  Suhana tunduk memegang lututnya.  Menahan rasa sambil nafasnya turun naik.

“Awak boleh?” sapa abang tentera bernama Osman.

“Saya sedang cuba menangani rasa gayat abang Osman,” beritahu Suhana.  Tubuhnya sudah menggigil secara mengejut tiba-tiba dia rasa dia tak mampu meneruskan aktiviti lasak tersebut.

“Jatuh ke bawah juga!” ujar Osman berseloroh.

“Itu saya tahu abang Osman.  Saya sedang cuba ni.”  Suhana memejamkan mata menahan nafas.

“Sejak bila awak gayat ni?” soal Osman ingin tahu sejarah gayat Suhana.

“Sejak dari kecil!” seingat Suhana, ketika itu dia sedang bermain panjat pokok, seketika sebaik naik ke atas dia terjun ke bawah kerana pandangannya berpinar melihat ke bawah.  Sejak dari itu dia tidak dibenarkan naik ke tempat tinggi oleh pengurus Rumah Amal-Inn.

“Tak ada apa-apa, caranya mudah sahaja, awak jangan pandang ke bawah.  Jangan tunduk.”

“Saya...”

“Siapa nama awak”

“Suhana Adam!”

“Suhana, kalau awak tak cuba sampai bila-bila, awak takkan tahu awak takut atau tidak tempat tinggi.”

“Saya memang takut tempat tinggi,” ujar Suhana yakin.

“Susah awak nanti sebab selepas jambatan gantung ini, awak kena melalui banyak rintangan yang memerlukan awak memanjat dan berada di tempat tinggi, di hadapan awak sekarang terdapat pelbagai aktiviti sukar. Jambatan gantung ini cuma salah satunya.  Rakan awak yang awal dah habiskan rintangan ini dan awak yang masih terkial-kial!” komen Osman sambil mengira masa sedang berjalan.

“Iye ke bang?” Suhana terkejut.  Dia tidak menyangka masa menjadi taruhan dalam aktiviti lasak begini.  Osman tertawa senang dia cuba menggertak Suhana.  Dia melihat Suhana seorang gadis yang lurus dan berterus terang.  Tidak seperti adik-adik peserta yang lain yang dikenalinya dalam kem waja diri sebelum-sebelum ini.  Mereka pandai putar belit sedangkan Suhana nampak bendulnya. 

“Sudah bersedia?”  soal Osman.

Suhana tersenyum sambil mengangguk.

“Saya cuba!”  Suhana menoleh ke belakang, dan melihat mereka yang lain sedang menantinya membuat gerakan.  Tak terlintas pun di benaknya kata-kata Osman sebentar tadi.  Dengan semangat waja yang tinggi dan keupayaan yang tinggal sedikit akibat penat membuat larian sejauh sepuluh kilometer, dia berusaha memanjat tangga jambatan gantung tersebut dengan perlahan dan hati-hati.

“Ingat Suhana, jalan terus jangan pandang bawah!” pesan Osman.

Suhana memulakan langkah dengan anggukan.  Dia cuba untuk tidak memandang ke bawah.  Hatinya dan nafasnya sedang seiringan.  Peluh yang menitik dari dahi dibiarkan.  Jambatan yang dilaluinya tiba-tiba bergoyang dia melihat peserta di depannya yang sudah tiba di hujung jambatan.  Sekarang dia berada di tengah-tengah jambatan, dia terhenti melangkah tanpa sengaja melihat ke bawah.  Lututnya sudah mula bergegar, ketakutan mula menguasai dirinya.

“Jalan terus jangan pandang ke bawah!”  teriak Osman tegas memberi semangat.

“Suhana!” panggil Osman lagi.

Panggilan Osman mengejutkan Suhana sehingga dia hampir hilang keseimbangan di atas jambatan yang hanya boleh dilalui dengan sebelah kaki.  Jika jatuh ke bawah dia akan terkena lumpur dan perlu diulang semula sehingga dia berjaya melakukannya.

“Bergerak pantas, masih ramai lagi peserta lain nak lalui jambatan di belakang awak.  Jalan terus jangan pandang ke bawah!” nasihat Osman.

Suhana cuba mengubah posisi dengan berpatah balik ke punca asal.  Dia takut yang amat sangat dengan ketinggian jambatan tersebut.  Dengan tidak sengaja kakinya bergesel dan membuatnya terduduk di atas jambatan tersebut.  Segera tangannya berpaut.  Dalam posisi duduk dan kaki terjuntai ke bawah di tambah tubuhnya mengigil, dia berusaha untuk bangun.

“Suhana, awak tak apa-apa?” tanya Osman dari seberang jauh sedangkan Suhana berada di tengah-tengah jambatan tanpa perasaan yang stabil.

Suhana hanya mampu mengangguk.  Lidahnya terkunci.  Nafasnya tersekat.  Semua itu hanya bayangan perasaannya.  Bisik hati Suhana. Suhana sedaya berdiri tegak dan mendepangkan tangannya untuk seimbangkan tubuhnya dari jatuh.  Dia menarik nafas dan memejam mata, berdoa dalam hati agar dia mampu mengatasi rasa gayatnya dari terjatuh, kaki kanannya melangkah ke depan dan dia berusaha untuk menggerakkan kaki kirinya.

“Suhana!  Awak boleh buat, jalan terus, depakan tangan awak untuk seimbangkan badan.  Ambil langkah pertama awak.  Awak kena berhati-hati.”  Suhana dikejutkan dengan suara di belakangnya. Suara itu milik Rashdan.  Sejak bila Rashdan berada di belakangnya tidak dia sedari.  Begitu hampir bisikan itu ditelinganya tanpa dapat memandang muka Rashdan, membuatnya menggenggam jari jemarinya ketat.  Bagaimana jika mereka jatuh bersama.  Dia terasa juga mereka yang malu nanti.

“Awak...”  soal Suhana, suaranya tersekat-sekat.  Banyak persoalan muncul di benak Suhana.  Dia merasa kehadiran Rashdan di situ adalah untuk membalas perbuatannya.

“Jangan banyak soal Suhana, ikut arahan saya.  Saya tak bermaksud apa-apa.  Saya cuma mahu tolong awak dari jatuh.  Saya cuma mahu awak tidak mencemarkan nama baik sekolah kita.”  balas Rashdan sinis.  Tubuh Suhana tertolak ke depan.  Dengan rasa sebal, dan tanpa disedari atas dorongan rasa marah terhadap Rashdan, Suhana mampu melalui jambatan tersebut.

“Saya tahulah apa saya nak buat,” balas Suhana sambil bergerak ke depan.

Rashdan diam.  Suhana turun ke tanah.  Mereka berhadapan kini.  Rashdan memberi arahan supaya dia meneruskan aktiviti merempuh halangan yang seterusnya, membuat Suhana tidak senang dengan cara Rashdan menyuruhnya.

“Saya dah selesaikan semua aktiviti tadi.  Abang Osman minta saya temankan awak sehingga awak habis buat.  Tidak ada yang berkecuali.  Keseluruhan rintangan dan halangan ini hanya dua puluh minit sahaja.  Kalau awak lambat dan lembab begini, jawabnya berjam-jam le kita kat,” tanpa ditanya Rashdan menerangkan duduk perkara sebenarnya kepada Suhana.  Suhana mengerutkan dahi.

Patutlah baju Rashdan kotor penuh tanah bukan lumpur, apa agaknya yang mengotorkan baju Rashdan.  Belum dapat diteka oleh Suhana apa halangan dan rintangan di depannya.  Lajunya Rashdan.  Dia membuang masa sepuluh minit di atas jambatan.

“Suhana, awak dengar tak kata saya.  Mejar tidak akan benarkan kita makan tengahari jika semua peserta tidak lulus rintangan dan halangan ini.  Awak mengerti?”  Suhana mengangguk.  Dia tidak mahu menyusahkan rakan-rakan yang lain.  Menghela nafas.  Janganlah kerana dirinya semua peserta dapat susah. Dia sudah berubah dia bukan seperti dulu lagi.

“Awak panjat tali ni!” arah Rashdan mendesak bunyinya.

“Saya kena panjat tali jaring ni?” tanya Suhana balik.

“Ya. Di awal ini rintangan memang mencabar dan memerlukan keupayaan kekuatan mental awak.  Semuanya tempat tinggi.  Awak gayat kan?”

Suhana cuba berpaling melihat Rashdan sambil memaut jaring bertali itu.

“Saya cuba!” kata Suhana cuba memejam mata dan membayangkan dirinya sebagai spiderman yang memanjat dinding.  Dia menghela nafas berat.

“Latihan ini memerlukan keseimbangan pautan tangan dan gerakan kaki.  Terlepas sebelah tangan kekuatan tangan sebelah diperlukan.  Sampai di atas nanti awak turun di sebelah sana.  Saya tunggu awak di atas.”  Rashdan memanjat jaring tali dengan pantas dan berada di atas.  Kecekapan Rashdan memanjat mengagumi Suhana.

“Cepat! Saya tahu awak boleh buat,” gesa Rashdan dari atas.

Mata Suhana terbuka luas, cepatnya Rashdan bertindak.  Dia mendongak ke atas.  Tinggi lagi.  Suhana bergerak sambil mendongak.  Bila agaknya nak habis merempuh halangan ini.  Sebaik dia hampir di atas, Rashdan menariknya pantas.

“Eh.  Awak buat apa ni?” soal Suhana dalam kekalutan.

“Tolong awak.  Kalau tunggu awak... lagi tak selesai,” jawab Rashdan.

“Biarlah lambat asalkan saya buat sendiri...” balas Suhana

“Oh, sampai hati awak biarkan rakan lain kebulur?” tempelak Rashdan.

Suhana naik radang dengan tuduhan tidak berasas itu.  Tapi ada benarnya, kerana dia lambat menyelesaikan rintangan menyebabkan semua peserta tidak boleh makan.

“Eh, awak ke yang ada masalah atau saya ni?” soal Suhana meradang.

“Saya rasa awak mampu terjun ke bawah ni?” balas Rashdan tidak mempedulikan kemarahan Suhana, tidak pasal-pasal nanti menyusahkan dirinya sama.

“Yelah...yelah saya cuba laju!” rungut Suhana terus terjun tanpa memikirkan keselamatan dirinya lagi.  Suhana memandang rakan peserta lain yang menyainginya dengan mudah.   Dia menghela nafas berat dengan situasi yang sedang dihadapinya kini.  Dia menyakinkan dirinya mampu mengatasi rasa gayatnya itu.  Dia sedaya upaya untuk melakukan segala aktiviti merempuh halangan ini sehingga tamat.  Dia berdoa agar mampu sampai ke garis penamat.

Suhana berlari sekuat hati, menuju halangan seterusnya.  Dia melihat Rashdan sedang menunggu di depan tembok setinggi dua belas kaki itu untuk memberi bantuan kepada peserta lain yang mendahuluinya.   Suhana berhenti dan mendongak ke atas.

“Awak ni terhegih-hegih” kata Rashdan pedas.

“Apa lagi... awak tak puas hati pada saya?”  Suhana geram mendengar kata-kata Rashdan itu.  Dia tidak ada masa untuk bergaduh dengan Rashdan.  Tidak nampakkah Rashdan, dia sibuk sekarang ini?  Ditambah lagi dengan rasa gayatnya.

“Cepatlah lompat atas tapak tanganku.  Lepas itu awak cuba lepasi tembok dua belas kaki ini sehingga di atas.  Cepat dan pantas.  Saya akan membantu awak sebagaimana yang diarahkan!”  peluh dingin yang membasahi dirinya dibiarkan sahaja.  Rasa hangat yang membahang ditepisnya walaupun kuat mempengaruhi emosinya.

“Okey!”  singkat jawapan Suhana.  Suhana menarik nafas dalam kemudian meloncat ke atas tembok dan belum pun badannya melepasi separuh dari tembok itu dia tergantung, cuba berpaut dari terjatuh ke bawah.

“Tolong saya Rashdan!” pinta Suhana cemas.

“Cepat, pijak bahu saya...” pantas Rashdan menghulurkan bahunya.

Ketinggian Rashdan menyelamatkan dirinya dari jatuh.  Dengan bersusah payah Suhana meloloskan dirinya dari tembok dua belas kaki itu.  Sebaik kakinya mencecah tanah dia terkejut dengan kehadiran Rashdan di sisinya yang terjun mengejut. 

“Awak buat saya terperanjat,”  bentak Suhana mengurut dadanya agar hilang rasa terkejutnya.

“Awak kena bersiap sedia setiap masa.  Ada banyak lagi kejutan selepas ini...” usik Rashdan.

Namun itu sekejap cuma.  Dia sedang melihat tembok halangan di depannya yang hanya enam kaki tinggi.  Dia berpaling melihat Rashdan.  Rashdan sedang melihatnya.  Senyum.

“Bagaimana awak lakukan?” soal Suhana yang masih tercungap.

“Tenangkan diri awak dulu...” balas Rashdan.

“Ya, saya gayat.  Kerana itu saya tidak yakin mampu buat semua ini Rashdan,” terang Suhana tanpa dipinta.

“Jangan kata macam tu, saya yakin awak boleh buat.  Sehingga kini awak sudah berjaya, tentu yang ada dihadapan ini lebih mudah.  Macam mana?”  Rashdan menenangkan Suhana.

“Kena memanjat lagi?” kelu Suhana.

“Awak nampak mereka yang lain sedang buat apa?” soal Rashdan.

“Saya tak nampak Kasma!” beritahu Suhana.

“Siapa Kasma?” soal Rashdan.

“Rakan khemah saya,” jawab Suhana.

“Oh, mungkin dia dah mendahului awak di hadapan,” ujar Rashdan.

“Nampaknya begitulah,” balas Suhana.

“Awak dah bersedia?” soal Rashdan.

“Ya!”  Suhana mengiyakan mengangguk yakinkan dirinya.

“Macam tu lah.  Semangat sikit.”  Rashdan memberi semangat keyakinan.

Suhana melepasi ketinggian tembok 6 kaki kerana ketinggiannya dalam 5 kaki 3 inci.  Dia mencapai puncak tembok dan berusaha tanpa bantuan Rashdan.  Rashdan telah hilang di sebalik tembok meninggalkannya berusaha sendiri.  Suhana meneruskan larian.  Dia melihat rakan-rakan lain sedang merentasi kawasan air dengan memijak tiang-tiang kecil yang mempunyai ruang amat terhad.  Silap pijak alamatnya jatuh ke bawah.  Macam bermain teng-teng atau engkeh-engkeh pulak.

Suhana tahu rintangan ini bertujuan untuk kemahiran mengelak periuk api.  Salah pijak meletup periuk api.  Tapi di sini salah pijak tiang-tiang kecil tersebut tenggelam dalam air, dia akan jatuh dan basah.  Sehingga saat ini dia sudah berjaya mengatasi rasa gayatnya sedikit dan kini halangan ini tidak menggentarkan dirinya.  Matanya melilau mencari kelibat Rashdan.  Pandangannya bertembung dengan Rashdan di tepi tebing kanan kawasan rintangan.

Suhana terus melakukan merempuh halangan tersebut walaupun Rashdan sedang mengejarnya dari belakang bagi memberi saingan agar dia mengerti pentingnya kepantasan untuk rintangan kali ini.  Salah pijak tapi cepat mengelak akan menyebabkan diri terselamat dari terjatuh ke dalam air.  Selesai merempuh halangan keempat Suhana meneruskan halangan kelima.

Suhana menunggu giliran untuk meneruskan rintangan mengharungi air dengan tali, maknanya dia perlu berayun dan bergantung di tali yang disediakan untuk sampai ke seberang.  Rashdan di sebelah kanannya sudah bersedia untuk melakukan sekali lagi rintangan dengan memberi isyarat agar dia melakukannya serentak.  Suhana mengangguk.

Sampai di seberang, Rashdan menghampirinya.

The last and final.  Akhirnya...”  ucap Rashdan tersenyum.

“Tak sangka saya dapat merempuh halangan sukar ini sehingga kini.”  Suhana senyum.  Rashdan terkesima melihat wajah ceria Suhana yang pertama kali dilihatnya.  Suhana yang jarang tersenyum itu kini boleh senyum padanya.  Manis sekali senyumannnya.

“Ye.  Saya pun tak sangka awak mampu atasi rasa gayat awak.  Itu yang penting,” balas Rashdan.

“Apa nama halangan akhir ini?”  soal Suhana ingin tahu.  Dia sekadar memberi kerjasama bersama Rashdan.

“Saya tak pasti, ada juga saya tanya abang askar tu.  Dia cuma kata merempuh kawat berduri.  Harap awak tak tersangkut... caranya memang kita nampak mudah bagi peserta lain tapi sebenarnya kalau buat seragam gerakan baru jadi.  Awak akan tersangkut di dawai tu jika tidak seragam gerakan anggota tubuh yang lain...”

“Oh, macam mana nak elak dari tersangkut kawat berduri tu?”

“Masa awak mula-mula merangkak pastikan badan awak betul-betul rapat dengan tanah dan awak cuba lihat peserta di depan tu buat macam mana, apa yang awak nampak?”  tunjuk Rashdan.

“Saya nampak dia orang buat bukan mudah.  Tak ada benda tajam ke atas tanah tu nanti luka pula, ”  ujar Suhana.

“Setakat ini belum ada pula yang cedera.  Saya rasa pihak tentera dah sendiakan semuanya ini agar memudahkan peserta.  Awak tengok peserta lelaki buat, pantas dan mudah.  Bandingkan dengan peserta perempuan?” suruh Rashdan.

“Memang jauh perbezaannya...”  jawab Suhana.

“Awak sudah bersedia?”  soal Rashdan.

“Eh, awak belum beritahu saya lagi macam mana nak buat supaya pantas dan tidak tersangkut?”

“Gerakkan lengan kanan dulu guna kekuatan siku, kemudian lengan kiri diikuti dengan gerakan kaki menolak badan ke depan.  Macam kita berkawad juga cuma ini kita merangkak.”

“Saya masih tak dapat tangkap maksud awak tu.”

“Okey begini, awak buat perlahan-lahan, ikut yang saya beritahu.  Selagi awak tak buat selagi itu awak tak faham.”

“Baiklah saya buat.”

“Cepat! Siapa yang lambat bas tidak tunggu kamu semua.  Makanan tengahari tak ada!” laungan ugutan seorang abang askar itu mengecutkan perut Suhana.  Dia belum bermula sudah di gertak.  Rashdan hanya tersengih melihat gelagat gelabah Suhana itu.  Tak sangka Suhana boleh berkerjasama dengannya di sini.  Mana perginya baran Suhana?  Suhana banyak berubah sejak bertengkar dengannya dulu.  Apa yang terjadi kepada Suhana sebenarnya?

Suhana merayap dan merangkak, sambil membayangkan latihan sebegini jika dilakukan dengan membawa senjata.  Senjata pula bukannya ringan.  Begitu bertenaga para askar dan kesukaran merempuh halangan berjaya juga dibuat Suhana.  Suhana akhirnya sampai ke akhir kawat berduri.  Dia berdiri dan mendapati bajunya dipenuhi tanah.

“Tahniah!” ucap Rashdan.

Suhana terpinga.

“Saya seronok dapat membantu awak.  Tak sangka awak berjaya merempuh halangan ini.”

“Saya pun seronok, rasanya saya mahu ulang balik, tapi betis saya dah naik lenguh.  Saya penat teramat sangat,” ujar Suhana baru menyedari dia kepenatan yang amat sangat.  Sehingga nafasnya turun naik dan tercungap-cungap.

“Terima kasih atas dorongan dan sokongan yang awak berikan Rashdan,” sambung Suhana.

“Jom, kita ikut yang lain berbaris,” ajak Rashdan untuk mereka berlalu naik bas.

“Awak agak berapa lama masa saya ambil untuk tamat tadi?”  soal Suhana.

“Tadi awak mula dalam 11.30 pagi, sekarang ni dah jam 12.15 minit, awak ambil masa 45 minit,” ujar Rashdan melihat jam tangannya.

“Saya habiskan masa di jambatan dan tembok serta kawasan yang melibatkan ketinggian kerana rasa gayat,” rungut Suhana bibirnya dijuihkan.

“Oh ya macam mana rasa gayat awak tu?”  soal Rashdan ingin tahu.

“Ada lagi, tak mungkin hilang sekejap begitu.  Hanya kekuatan mental yang membuat saya dapat atasi halangan tadi.” Suhana bersyukur dia dapat menamatkan aktiviti merempuh halangan hari ini.

“Nasib baik awak boleh selesai.  Jika tidak lambatlah kita nak makan tengahari.”

“Saya pun tak mahu jadi penghalang kepada rakan yang lain.”

“Selagi saya ada, saya akan tolong awak.” 

“Terima kasih atas pertolongan awak sejak pagi tadi.”

“Tak apa, bukannya susah pun.”

“Bukan macam tu, pada awak memang tak susah, pada saya yang ada masalah gayat ni, awak tak tahu apa perasaan saya ketika di tempat tinggi.”

“Apa perasaan awak?” soal Rashdan ingin tahu.

“Saya rasa nyawa saya dah melayang!”

“Sampai macam tu sekali?”  Rashdan merenung Suhana.

Suhana mengangguk.  Dia merasa pipinya merona merah bila mendapat renungan Rashdan.

“Kerana awak ada ketika saya memerlukan, saya ucapkan terima kasih dan maaf,” ucap Suhana.

“Kenapa pula nak minta maaf ni?”  soal Rashdan.

“Maaf sebab pernah gelar awak pengecut dulu.  Rupanya saya yang pengecut, pengecut tempat tinggi.  Tak sangka awak sanggup tolong orang macam saya,” tersedu sedikit Suhana menahan sebak.  Rupanya dia boleh meminta maaf.

“Jangan menangis Suhana... Saya tak tahu nanti nak buat apa,” halang Rashdan bimbang tak tahu apa nak di buatnya.

“Opss... maaf.  Tak sengaja.  Terlebih pula.”  Suhana tersengih.  Dia berlalu, malu yang amat sebelum menghilang ke dalam perut bas.  Dia meninggalkan Rashdan sendirian membiarkan perasaan malunya hilang dulu barulah dia ada keberanian untuk bersemuka dengan Rashdan semula.

Tiada ulasan: