Selasa, 16 Disember 2014

Ku Menanti Kamu - Bab 1

Bab 1

Masa lalu.

KEMBALI ke zaman silam, beberapa belas tahun yang lalu.
“Zareen!”  jeritan seseorang mengejutkan Rashdan.  Dia segera berpaling melihat dua orang rakan sekelasnya yang sedang bertengkar.  Malah cuba mengamati suara siapakah yang berteriak lantang tadi.  Dia yang tekun mengulangkaji mata pelajaran matematik benar-benar terganggu oleh pertengkaran mereka. Lantas keningnya bertaut, suara itu milik Suhana, pertengkaran itu menarik perhatian dan rasa ingin tahu rakan sekelas apa lagi Rashdan yang begitu khusyuk mengulang kaji.         
“Bagi aku!” tarik-menarik buku berlaku antara Suhana dengan Zareen.
“Tak nak, aku yang dapat dulu!” bantah Zareen.  Namun sepantas itu juga panahan mata Rashdan menujah wajah Suhana.  Dia amat terganggu dengan tingkah mereka berdua itu.  Dia sedang mengawal api kemarahan kerana terganggu oleh pertengkaran mereka berdua berebut majalah sekolah itu.  Serta merta Suhana terhenti tingkah bila menyedari mereka di perhatikan oleh Rashdan dengan tajam.
“Zareen! Suhana! Boleh tak jangan buat bising?”  lantang kata-kata Rashdan keluar dari mulut.  Dadanya berombak.  Dia masih berdiri di tempatnya.
“Suka hati aku nak buat bising, yang kau sibuk kenapa?”  bentak Zareen.
“Iya, yang kau cuak tu kenapa?  Macam bagus sangat,” tempelak Suhana.  Rashdan bengang.
“Sedar-sedarlah sikit, PMR dah nak dekat, kau orang asyik nak main tak fikirkan perasaan orang lain,” balas Rashdan tidak mengalah.
“Memang kita orang ni dah sedar diri, sejak dari dulu lagi.  Aku tahulah kau tu pelajar terbilang, tapi cukup-cukuplah nak menunjuk,” tempelak Suhana tidak peduli pada gangguan yang mereka buat.
“Aku pun bukannya minat sangat nak tahu pasal kau, tak usahlah kau nak tunjuk kau yang terbaik Rashdan...” ejek Zareen tertawa. 
Pertengkaran mulut antara mereka menjadi tontonan seisi kelas sekarang. 
“Tak guna!” Rashdan menghempas buku dan berdiri menghampiri mereka.  Dia rasa maruahnya dikoyak rabak sesuka hati.
“Eh, perempuan! Kau cakap biar beradap sikit. Sedap-sedap mengata aku bukan-bukan.  Kau orang yang buat hal aku kau orang kutuk,”  herdik Rashdan menghampiri mereka.
“Suhana, suara aku tak sedap ke?” soal Zareen kepada Suhana sengaja mempermainkan Rashdan.  Kata-kata Zareen semakin membuat Rashdan membara.  Zareen sengaja mengapi-apikan suasana.  Rashdan semakin marah.  Entah mengapa dia marah sangat kali ini.  Dia sendiri tidak dapat mengawal api kemarahannya ini.
Suhana ketawa mengekek tidak ambil pusing wajah Rashdan yang sudah merah padam.
Rakan sekelas yang lain tidak mahu masuk campur kerana mereka kenal siapa Suhana.  Pelajar bermasalah, sering masuk bilik guru disiplin.  Nama saja perempuan tetapi perangai mengalahkan lelaki.  
Semua tidak mempedulikan jika ada pertelingkahan melibatkan Suhana.  Bagi mereka Suhana pelajar bermasalah dan tidak berdisiplin.  Mereka sudah cuak dengan sikap Suhana begitu, nama baik kelas mereka tercemar kerana Suhana.
“Aku rasa suara kita sedap, tak macam orang tu asyik memekak macam katak memanggil hujan.  Merayu-rayu.  Tapi tidak dilayan,” sindiran Suhana disambut baik oleh Zareen dengan sengihan memanjang memerli ke arah Rashdan yang sedang berdiri di depan mereka.
“Kau cakap biar baik Suhana!  Nak kena penumbuk aku agaknya kau ni?” Rashdan menunjukkan genggaman tangannya ke muka Suhana.  Dia sudah hilang kesabaran.  Pelajar dalam kelas hanya melihat kerana terkejut dengan aksi geram Rashdan tersebut.  Pelajar yang tidak pernah kelihatan marah itu tiba-tiba naik angin pagi ini akibat gangguan Suhana dan Zareen.   Ada yang menggeleng ada yang riuh.  Mungkin juga Rashdan tertekan dengan PMR yang semakin dekat.  Mereka semua tertekan dengan peperiksaan PMR yang semakin hampir. Apa lagi Rashdan yang menjadi harapan kepada Sekolah.  Mana tidak tertekan.
“Tumbuk!” gertak Suhana pertama kali.
“Tumbuk!” ulang Suhana kali kedua mengapi-apikan perasaan Rashdan.
“Tumbuk! Itu pun kalau kau berani,”  acah Suhana mengasak Rashdan dengan gertakan kali ketiga.  Zareen sedaya menahan aksi Suhana yang menyorong muka ke arah penumbuk Rashdan.  Keadaan menjadi semakin tegang.  Masing-masing mahu memuaskan rasa amarah.  Suasana kelas tiba-tiba hening.  Menyaksikan mereka bertengkar tanpa kata. 
“Sudah! Sudah!” dengan pantas kehadiran Syukur Ali meleraikan pertengkaran mulut yang semakin hangat dan mendapat perhatian seisi kelas.
“Tahu takut,” cebik Suhana senyum sinis.
“Nanti kau, aku dapat kau.  Siap!” Rashdan memberi amaran dengan menunjuk ke arah wajah Suhana sebelum berlalu.
“Pengecut!”  balas Suhana lantang.  Baru saja lengannya diletak terus hanyunan penumbuk sulung Rashdan diangkat serta merta, hampir mengena di pipi Suhana.  Tiba-tiba kelas menjadi riuh.  Semua mata tertumpu pada mereka.
Suhana bersedia menerima tumbukan padu dari Rashdan itu dengan tidak berkutik langsung.  Matanya mencerlung tajam merenung Rashdan.  Di saat itu Najib datang menjernihkan suasana, sebagai ketua kelas dia bertanggungjawab untuk memastikan kelas tidak hingar bingar.  Dia menarik Rashdan pergi dari situ.
“Kelas! Tidak ada apa-apa yang berlaku.  Aku mohon kerjasama semua, jika tidak kita semua akan dapat susah nanti,”  ujar Najib di depan kelas.  Dia berlalu mendapatkan Rashdan dan Syukur Ali yang duduk di meja belajar masing-masing.  Bisik-bisik masih kedengaran dari arah meja Suhana dan Zareen.  Mereka kelihatan tidak berpuas hati.
“Tak ada guna kau bergaduh dengan Suhana,”  nasihat Najib.
“Ya, betul tu. Kau pun tahu dia tu pelajar penuh masalah dengan disiplin,” tambah Syukur Ali cuba menenangkan Rashdan dari kekalutan yang melanda rakannya itu.
“Aku geram sungguh dengan Suhana tu, macam dia hebat sangat.  Setakat sering masuk menghadap cikgu disiplin kita tu kira hebat sangat ke?”  kata Rashdan melampiaskan amarah.
”Jangan ikutkan sangat Suhana tu. Sudahlah, aku tahu kau tertekan dengan peperiksaan PMR tak lama lagi,” ujar Najib.
“Eeee... aku geram betullah.” Rashdan tidak berpuas hati mengepal penumbuknya.
“Sudahlah tu, nanti kau pecah rekod baik kau sendiri.  Rekod bersih kau tu dah tak bersih sebab masuk bilik guru disiplin satu kali kerana Suhana.  Kau sanggup ke?”  balas Syukur Ali pula mengingatkan Rashdan.  Dia berusaha menyedarkan Rashdan bahawa kesilapan sekali membuat keseluruhan imejnya akan punah.  Selama mereka 3 tahun di Sekolah ini mereka tidak pernah memiliki rekod dengan guru disiplin kecuali hal-hal yang ada kaitan dengan cikgu itu sahaja, secara peribadi mereka tiada masalah disiplin.  Takkan kerana Suhana, Rashdan sanggup mencemarkan imej baiknya itu.  Dia tidak mahu Rashdan tersilap langkah hanya kerana marah yang membuak-buak kepada Suhana.  Akibatnya Rashdan sendiri yang akan rugi jika bertindak melulu.
“Aku rasa rugi jika kau terlibat ke arah itu Rashdan.  Aku harap kau fikir sebaik-baiknya.  Tak perlulah kau cari siapa yang salah siapa yang betul.  Nanti satu kelas dapat masalah,”  nasihat Najib pula.
Rashdan menunduk, menggenggam penumbuknya menahan geram.  Seinci saja lagi sudah tentu wajah Suhana lebam disinggahi penumbuknya sebentar tadi.  Baru puas hatinya.  Nasihat rakan-rakannya belum memasuki fikiran sepenuhnya.  Dia masih melayan rasa amarah terhadap Suhana.  Gadis itu pelik dari semua rakan sekelas yang lain.  Kenapa ya?
Najib menepuk bahu Rashdan perlahan.
“Aku harap kau bertenang.”
Rashdan menghela nafas.  Tidak sepatutnya dia melayan hasutan perasaannya.
“Betul tu, kita tumpukan pada ulangkaji,”  sokong Syukur Ali.
Rashdan memandang kedua rakan baiknya.
Dia tersenyum.  “Terima kasih.”

***

“Macam dia baik sangat!” bentak Zareen geram selepas terlibat insiden gaduh dengan Rashdan. 
Suhana diam sambil menekur di tempat duduknya, Zareen di tepi dibiar berbicara sendirian.  Hatinya masih geram.  Dia hampir-hampir terkena tumbukan Rashdan.  Kalau lebam wajahnya macam mana nak jawab dengan pertanyaan adik-adik di Rumah Amal-Inn.  Tidak diduga Rashdan boleh bertindak begitu kerana marah.  Selama ini dia mengagumi sikap Rashdan yang sentiasa sabar dan tenang, entah mengapa terjadinya pertengkaran tersebut.  Dia seboleh-boleh mahu mengurangkan masalah dengan tidak terlibat perkara sebegini dari menghadap Cikgu Doremon tu.   Gelaran kepada cikgu disiplin yang bernama Paul.
“Suhana, Cikgu Paul panggil!”  panggilan Fauziah menyedarkan Suhana.
Suhana merenung kosong ke arah Fauziah yang berdiri di depannya, memohon penjelasan tujuan dia dipanggil lagi kali ini entah yang ke berapa kali. Minah dan Jasidah melihat Suhana tanpa bersuara.  Rakan sekumpulannya walau apapun yang berlaku mereka tetap sahabat sampai bila-bila.
“Aku harap kau tenang,”  kata Zareen.  Dia menyangka ada kaitan dengan kes tadi.  Dia juga kecut jika cikgu Paul mengamuk.  Cikgu yang mendapat gelaran Doremon tu kalau mengamuk habis punah segala keberanian pelajar.  Cikgu yang bertubuh kecil bulat dan rendah itu memang garang dan menakutkan setiap pelajar.  Entah mengapa semua takut bila berdepan dengan cikgu Paul yang mendapat jolokan Doremon oleh para pelajar itu.  Sehingga hari ini gelaran itu menjadi ikutan setiap pelajar.
“Aku tak rasa gelabah cuma geram,” kasar kata-kata Suhana.  Dia geram pada Zareen.  Kerana Zareen dia terpaksa menghadap guru disiplin tu lagi.
“Suhana, maafkan aku,” pinta Zareen.  “Aku tak sengaja.  Kalaulah aku mengalah tadi, perkara ini tak jadi begini,” pujuk Zareen. Sangkaan mereka kerana kes gaduh tadi dia dipanggil.  Hati Suhana berdebar dan dan menentu.
“Sudahlah...” pantas Suhana menghentikan perbualan.  Dia berlalu menuju bilik disiplin.  Adakah mungkin Rashdan mengadu kepada Cikgu Paul.   Mungkin Rashdan sakit hati dilabel sebagai pengecut olehnya tadi.  Dia berlalu dari kelas semua mata pelajar sekelasnya tertumpu padanya, dia peduli apa kata mereka, itu tidak penting baginya.  Mereka sememangnya maklum jika cikgu Paul memanggil Suhana sudah tentu kerana masalah disiplin lagi.  Apa yang penting adalah kenapa Cikgu Paul memanggilnya untuk sekali ini?  Masalah dengan Rashdan yang baru itu ke atau masalah lain yang masih belum selesai?

***

Suhana sedang berjalan kaki kembali ke dalam kelas.  Dia menerima dengan hati luka keputusan yang dibuat oleh Cikgu Paul berkenaan disiplin dirinya.  Kata-kata cikgu itu tadi masih terngiang.
“Suhana, awak tahu kenapa saya panggil awak kali ini?”
Suhana menggeleng.
“Awak terlalu banyak masalah disiplin.  Ini adalah amaran terakhir.” 
Suhana menerima huluran kertas putih dari cikgu itu, surat amaran terakhir.
“Saya tahu awak bukan orang senang Suhana, saya tahu awak anak yatim piatu.  Tetapi jika berterusan sikap awak begini, tidak akan membantu awak di masa hadapan.   Kes awak yang lepas masih belum selesai.  Awak kena pastikan awak tidak menerima aduan disiplin baru.  Ada dinyatakan dalam surat amaran terakhir ini, sekiranya awak melakukan kesalahan disiplin sekali lagi awak akan digantung dari persekolahan serta merta.  Saya mahu awak faham dan berubah.  Berubahlah demi kebaikan masa depan awak,” begitu lembut cikgu Paul memberi nasihat seperti seorang ayah menasihati seorang anak. 
Dia tidak pernah merasai kasih sayang dan ikatan kekeluargaan, kerana itu dia memberontak.  Dia tidak mengerti erti kasih sayang dan keluarga yang dia ada hanyalah erti Sahabat.  Kerana sahabat dia sanggup berbuat apa saja termasuk menanggung kesalahan disiplin mereka.  Dia takut kehilangan kasih sayang mereka.  Salahkah dia?  Tidak fahamkah cikgu-cikgu di sini kenapa dia begini?  Dia seorang anak yatim piatu yang diabaikan oleh keluarga yang masih ada pertalian kekeluargaan, tidak ada yang sanggup menyara dan membesarkannya selepas kematian kedua orang tuanya.  Ya, anak yatim piatu sepertinya.  Mereka lebih sanggup menyerahkannya ke Rumah Amal-Inn. 
“Saya...”  Suhana tak mampu meneruskan kata, dia sebak kerana soal anak yatim piatu yang disebutkan oleh cikgu Paul sebentar tadi.
“Macam biasa, awak kena berjumpa cikgu kaunseling sekarang.  Cikgu Qeena,”  arah Paul tegas.
“Baik cikgu,”  jawab Suhana dalam nada lemah kali ini.  Apa yang perlu di jawabnya kepada pengurus Rumah Amal-Inn tentang surat amaran kali ini?  Dia perlu melakukan sesuatu perubahan.  Dia perlu berubah.  Dengan langkah longlai Suhana menuju ke arah bilik kaunseling.  Sepanjang menuju bilik kaunseling dia berfikir, sejak dari tingkatan satu sehingga sekarang dia berada di tingkatan tiga dia mencatat rekod paling teruk tentang disiplin.  Ini kali pertama dia mendapat surat amaran terakhir.  Dia resah dan gelisah memikirkan nasib dirinya di Rumah Amal-Inn.
“Selamat pagi cikgu!”  ketukan di pintu bilik menyedarkan Cikgu Qeena.
“Hah!  Suhana, masuk...” pelawa ramah cikgu wanita yang berumur 50 tahun itu.
Suhana melangkah masuk.  Tanpa berlengah Cikgu Qeena membuka bicara.  Sudah kerap kali Qeena bersemuka dan memberi kaunseling kepada Suhana, tidak pernah menampakkan hasil yang baik malah tahun ini rekod Suhana lebih buruk dari yang dia sangka.  Setiap kali melihat wajah Suhana, Qeena teringat sesuatu di masa zaman persekolahannya.  Dia mahu membantu Suhana, dia memahami keinginan Suhana,  masa yang tepat belum tiba untuk Suhana.  Harap hari ini Suhana memberi sesuatu yang baru untuknya.  Dia juga dulu seperti Suhana tetapi hatinya berubah kerana inginkan kejayaan.
“Apa tujuan awak jumpa saya?”  soalan biasa diutarakan oleh Qeena sebagai pembuka kata.
“Diarahkan oleh cikgu Paul,” jawab Suhana selamba.
“Jadi sebab diarahkan oleh cikgu Paul, awak datang jumpa saya.  Awak terpaksa atau rela jumpa saya?”  dengan lemah lembut Qeena cuba menguasai emosi Suhana.
“Saya mahu berjumpa cikgu,” luah Suhana berani.
“Untuk?” balas Qeena.
“Berkongsi rahsia,”  balas Suhana. 
Hatinya sayu untuk terus-menerus mengenangkan nasibnya kini.
“Ceritakan lebih lanjut agar saya faham, Suhana.  Apa keinginan awak hari ini?” ujar Qeena sebaik terdengar perkataan rahsia dari Suhana.  Gadis itu jarang mahu berkongsi cerita bila masuk ke bilik ini.
“Saya mempunyai rekod yang buruk tentang disiplin cikgu,  saya mahu berubah dan tidak mahu bersikap menjengkelkan semua pihak lagi.  Saya baru menerima surat amaran terakhir dari pihak Sekolah.  Saya mahu cikgu bimbinglah saya ke arah kebaikan.  Saya perlukan sokongan cikgu masa ini.” Suhana meraih simpati.
Jarang sekali pelajar seteruk Suhana mahu mengakui kesilapan dan mahu berubah.  Qeena menarik nafas lega dengan permintaan Suhana itu.  Berita baru ini perlu dikongsi bersama Cikgu Paul.  Normal jika mereka ini memberontak di depannya.  Keadaan menjadi hening.  Hanya suara Qeena yang kedengaran.
“Saya faham masalah awak sejak awak datang jumpa saya pada pertama kali, saya tidak melihat awak mempunyai masalah yang berat.  Cuma awak kena berubah sikap.  Awak kena terbuka dan menerima orang lain di sekeliling awak, dunia awak luas Suhana.   Perjalanan awak masih jauh.  Dunia luar sana belum awak terokai lagi, cabaran dan dugaan sepanjang hidup ini.  Jangan sia-siakan masa depan awak kerana kedegilan awak sekarang.  Awak kena banyak belajar untuk bersabar.  Kebanyakan kes awak yang saya terima, masalah disiplin awak ni berpunca dari kemarahan awak sendiri bukan orang lain.  Awak kena belajar berkerjasama.  Tidak semua orang boleh menerima cara awak.  Mungkin ada awak baik tapi tidak pada orang lain.  Cikgu faham remaja seperti awak mahukan kebebasan tetapi belum masanya lagi.  Umur awak terlalu mentah untuk dibiarkan membuat keputusan sendiri. Umur 15 tahun seperti ini hendaklah memikirkan soal belajar, tidak masalah lain.  Mendengar nasihat orang yang lebih berpengalaman juga perlu,”  nasihat Qeena.
Suhana tunduk membisu.
“Cikgu... saya minta maaf menyebabkan masa cikgu terbuang.  Malah menyusahkan cikgu selama ini dengan masalah disiplin saya,” luah Suhana akhirnya bersuara memecah keheningan bersama airmata membasahi pipi.
“Dah sememangnya tugas saya.  Untuk mendidik anak bangsa agar menjadi insan berguna.  Saya harap awak berubah Suhana.”  Qeena berdiri menepuk bahu Suhana, memberi sokongan.
“Saya cuba cikgu.  Saya memang mahu berubah.  Saya tidak mahu menjalani hidup begini lagi cikgu,”  ujar Suhana tersedu sedan.
“Awak janji Suhana.”  Qeena memegang bahu Suhana.
“Terima kasih cikgu, saya janji.”  Suhana mengelap airmatanya.
Suhana kembali ke kelasnya semula bersama seribu azam baru.  Dia perlu berubah.

***

“Apa cerita bilik Doraemon?”  pertanyaan Zareen mengundang amarah Suhana tiba-tiba. 
“Eh, kau ni ikut suka saja gelar cikgu Paul tu Doraemon.  Cuba hormat sedikit pada cikgu kita tu.  Tak berkat ilmu yang dituntut nanti,” tempelak Suhana mengundang pandangan rakan sekelas.
Zareen merasa malu.
“Aik, aku tanya aje, janganlah marah.  Bukankah gelaran Doraemon kau yang bagi dulu,”  tempelak Zareen memulang paku buah keras.  Zareen merasa dikhianati.
“Oh, kalau aku yang labelkan kau pun nak ikut aje la.  Tak perlu fikir buruk baiknya, begitu?  kalau aku terjun lombong  kau pun ikut sama juga?”  marah Suhana membara terus-menerus.
“Tak adalah sampai macam tu.  Janganlah kau marah-marah pada aku pula.  Kau masih tak puas hati pada Rashdan, pasal tadi?  Tapi marah-marah terus dengan aku,”  ujar Zareen kecut sedikit melihat Suhana berang.
Rakan sekelas yang lain berpaling tidak mahu ambil peduli masalah Suhana.  Mereka sudah maklum cara dan sikap Suhana yang kasar itu.
“Aku tak mahu lagi bersikap begini Zareen.  Yang sudah tu sudahlah.  Aku tak mahu bertengkar dengan kau pasal cikgu Paul, pasal buku, pasal sesiapa atau pasal apa sekali pun.  Aku dah naik bosan ke bilik guru disiplin tu tau tak,”  nada suara Suhana berubah lembut dan rendah, sayu hampir tidak kedengaran.
“Eh, kau jangan marah aku.  Aku tanya ajelah tadi tu,”  balas Zareen terasa sangat cuma apabila Suhana beremosi seperti itu, dia tahu Suhana tidak akan berpanjangan marah.  Emosi Suhana mudah naik mudah surut, sememangnya kerana itu dia tetap kasih Suhana sebagai sahabat.
“Kenapa ni?” pertanyaan Fauziah membuat Zareen mengetap bibir dan Suhana terdiam.
         “Tak ada apa-apalah.  Aku ke tandas dulu.”  Suhana berlalu meninggalkan rakan sekelasnya itu. Dalam hati Suhana telah tertanam azam baru untuk berubah.  Dia tidak sanggup terus-menerus menjadi ‘favourite’ bilik cikgu Paul.

PESANAN : boleh baca DI SINI
 

Tiada ulasan: