Bab 4
SELAMAT Datang Kem Tentera Darat,
Batalion Keenam, Batu 7, Taman Fajar, Sandakan Sabah. Seronok hati Suhana melihat pintu gerbang
kawasan kem tentera di depan mata.
Terserlah senyuman di bibirnya tanpa sedar diperhatikan oleh Rashdan
disebalik tempat duduk. Kebetulan mereka
satu bas. Suhana tidak menyedari
kehadiran Rashdan di dalam bas itu kerana keasyikan tersendiri. Bas berhenti.
Kelihatan jalan basah selepas hujan yang turun sebelum ketibaan mereka.
Mereka
berlumba-lumba turun dari bas dan mendapat kejutan mendadak dari fasilitator
apabila di minta untuk terus membuat larian tanpa diketahui penghujungnya. Dalam keadaan begitu, Suhana tidak dapat
berhubung dengan Kasma. Mereka terpisah
serta merta. Dia meneruskan larian
mengikut peserta lain yang mendahuluinya.
Mereka datang dalam keadaan sehelai sepinggang. Barang-barang yang lain berada di dalam
khemah. Mereka hanya diminta membawa sekeping kad pengenalan tanpa beg duit di
dalam poket seluar.
Di sepanjang
meneruskan lariannya, Suhana melihat jauh ke hadapan. Dia sesekali berjalan, menghela nafas. Sudah jauh agaknya lima kilometer mereka
berlari namun dia belum melihat tujuan larian ini dibuat dan apakah aktiviti
seterusnya. Dia sememangnya seorang
atlit lumba lari ketika di sekolah rendah namun sejak kecederaan lalu dia
menjauhi dari melakukan aktiviti sukan.
Dia lebih banyak mengelak dari membuat latihan sukan. Dia melilau mencari wajah Kasma. Lain yang dicari lain pula yang muncul.
Rashdan sedang
memintasnya laju tanpa memandangnya yang sedang tercungap-cungap meneruskan
larian. Menyapanya pun tidak, apalagi
melemparkan senyuman. Mungkin Rashdan
tidak perasan akan dirinya. Boleh jadi
juga Rashdan tidak kisah siapa dirinya jika teringat insiden sebelum PMR lalu.
Akhirnya Suhana
mengalah. Dia terasa ingin duduk. Dengan pantas seorang fasilitator iaitu abang
askar datang tanpa tahu dari mana munculnya menasihatikannya. Tidak boleh duduk dalam keadaan baru lepas
membuat larian. Dia di minta meneruskan
larian dengan berjalan kaki hingga sampai ke tempat penamat. Dia menurut dalam keadaan lemah dan longlai.
“Cepat! Cepat! Tidak berapa jauh lagi tu. Teruskan larian!” teriak abang-abang askar merangkap
fasilitator-fasilitator yang sedang berkawal di sepanjang jalan.
Suhana tidak
mampu berpaling melihat gerangan fasilitator tersebut. Dari jauh Suhana melihat mereka yang lain
sedang membuat aktiviti menaiki jambatan gantung. Dia sudah jauh ketinggalan. Belum pun Suhana naik jambatan, lututnya
bergegar. Dia terasa mahu pitam. Suhana tunduk memegang lututnya. Menahan rasa sambil nafasnya turun naik.
“Awak boleh?” sapa
abang tentera bernama Osman.
“Saya sedang
cuba menangani rasa gayat abang Osman,” beritahu Suhana. Tubuhnya sudah menggigil secara mengejut
tiba-tiba dia rasa dia tak mampu meneruskan aktiviti lasak tersebut.
“Jatuh ke bawah
juga!” ujar Osman berseloroh.
“Itu saya tahu
abang Osman. Saya sedang cuba ni.” Suhana memejamkan mata menahan nafas.
“Sejak bila awak
gayat ni?” soal Osman ingin tahu sejarah gayat Suhana.
“Sejak dari
kecil!” seingat Suhana, ketika itu dia sedang bermain panjat pokok, seketika
sebaik naik ke atas dia terjun ke bawah kerana pandangannya berpinar melihat ke
bawah. Sejak dari itu dia tidak
dibenarkan naik ke tempat tinggi oleh pengurus Rumah Amal-Inn.
“Tak ada
apa-apa, caranya mudah sahaja, awak jangan pandang ke bawah. Jangan tunduk.”
“Saya...”
“Siapa nama
awak”
“Suhana Adam!”
“Suhana, kalau
awak tak cuba sampai bila-bila, awak takkan tahu awak takut atau tidak tempat
tinggi.”
“Saya memang
takut tempat tinggi,” ujar Suhana yakin.
“Susah awak
nanti sebab selepas jambatan gantung ini, awak kena melalui banyak rintangan
yang memerlukan awak memanjat dan berada di tempat tinggi, di hadapan awak
sekarang terdapat pelbagai aktiviti sukar. Jambatan gantung ini cuma salah
satunya. Rakan awak yang awal dah
habiskan rintangan ini dan awak yang masih terkial-kial!” komen Osman sambil
mengira masa sedang berjalan.
“Iye ke bang?”
Suhana terkejut. Dia tidak menyangka
masa menjadi taruhan dalam aktiviti lasak begini. Osman tertawa senang dia cuba menggertak
Suhana. Dia melihat Suhana seorang gadis
yang lurus dan berterus terang. Tidak
seperti adik-adik peserta yang lain yang dikenalinya dalam kem waja diri
sebelum-sebelum ini. Mereka pandai putar
belit sedangkan Suhana nampak bendulnya.
“Sudah
bersedia?” soal Osman.
Suhana tersenyum
sambil mengangguk.
“Saya cuba!” Suhana menoleh ke belakang, dan melihat
mereka yang lain sedang menantinya membuat gerakan. Tak terlintas pun di benaknya kata-kata Osman
sebentar tadi. Dengan semangat waja yang
tinggi dan keupayaan yang tinggal sedikit akibat penat membuat larian sejauh
sepuluh kilometer, dia berusaha memanjat tangga jambatan gantung tersebut
dengan perlahan dan hati-hati.
“Ingat Suhana,
jalan terus jangan pandang bawah!” pesan Osman.
Suhana memulakan
langkah dengan anggukan. Dia cuba untuk
tidak memandang ke bawah. Hatinya dan
nafasnya sedang seiringan. Peluh yang
menitik dari dahi dibiarkan. Jambatan
yang dilaluinya tiba-tiba bergoyang dia melihat peserta di depannya yang sudah
tiba di hujung jambatan. Sekarang dia
berada di tengah-tengah jambatan, dia terhenti melangkah tanpa sengaja melihat
ke bawah. Lututnya sudah mula bergegar,
ketakutan mula menguasai dirinya.
“Jalan terus
jangan pandang ke bawah!” teriak Osman
tegas memberi semangat.
“Suhana!” panggil
Osman lagi.
Panggilan Osman
mengejutkan Suhana sehingga dia hampir hilang keseimbangan di atas jambatan
yang hanya boleh dilalui dengan sebelah kaki.
Jika jatuh ke bawah dia akan terkena lumpur dan perlu diulang semula
sehingga dia berjaya melakukannya.
“Bergerak
pantas, masih ramai lagi peserta lain nak lalui jambatan di belakang awak. Jalan terus jangan pandang ke bawah!” nasihat
Osman.
Suhana cuba
mengubah posisi dengan berpatah balik ke punca asal. Dia takut yang amat sangat dengan ketinggian
jambatan tersebut. Dengan tidak sengaja
kakinya bergesel dan membuatnya terduduk di atas jambatan tersebut. Segera tangannya berpaut. Dalam posisi duduk dan kaki terjuntai ke
bawah di tambah tubuhnya mengigil, dia berusaha untuk bangun.
“Suhana, awak
tak apa-apa?” tanya Osman dari seberang jauh sedangkan Suhana berada di
tengah-tengah jambatan tanpa perasaan yang stabil.
Suhana hanya
mampu mengangguk. Lidahnya
terkunci. Nafasnya tersekat. Semua itu hanya bayangan perasaannya. Bisik hati Suhana. Suhana sedaya berdiri
tegak dan mendepangkan tangannya untuk seimbangkan tubuhnya dari jatuh. Dia menarik nafas dan memejam mata, berdoa
dalam hati agar dia mampu mengatasi rasa gayatnya dari terjatuh, kaki kanannya
melangkah ke depan dan dia berusaha untuk menggerakkan kaki kirinya.
“Suhana! Awak boleh buat, jalan terus, depakan tangan
awak untuk seimbangkan badan. Ambil
langkah pertama awak. Awak kena
berhati-hati.” Suhana dikejutkan dengan
suara di belakangnya. Suara itu milik Rashdan.
Sejak bila Rashdan berada di belakangnya tidak dia sedari. Begitu hampir bisikan itu ditelinganya tanpa
dapat memandang muka Rashdan, membuatnya menggenggam jari jemarinya ketat. Bagaimana jika mereka jatuh bersama. Dia terasa juga mereka yang malu nanti.
“Awak...” soal Suhana, suaranya tersekat-sekat. Banyak persoalan muncul di benak Suhana. Dia merasa kehadiran Rashdan di situ adalah
untuk membalas perbuatannya.
“Jangan banyak
soal Suhana, ikut arahan saya. Saya tak
bermaksud apa-apa. Saya cuma mahu tolong
awak dari jatuh. Saya cuma mahu awak
tidak mencemarkan nama baik sekolah kita.”
balas Rashdan sinis. Tubuh Suhana
tertolak ke depan. Dengan rasa sebal,
dan tanpa disedari atas dorongan rasa marah terhadap Rashdan, Suhana mampu
melalui jambatan tersebut.
“Saya tahulah
apa saya nak buat,” balas Suhana sambil bergerak ke depan.
Rashdan
diam. Suhana turun ke tanah. Mereka berhadapan kini. Rashdan memberi arahan supaya dia meneruskan
aktiviti merempuh halangan yang seterusnya, membuat Suhana tidak senang dengan
cara Rashdan menyuruhnya.
“Saya dah
selesaikan semua aktiviti tadi. Abang
Osman minta saya temankan awak sehingga awak habis buat. Tidak ada yang berkecuali. Keseluruhan rintangan dan halangan ini hanya
dua puluh minit sahaja. Kalau awak
lambat dan lembab begini, jawabnya berjam-jam le kita kat,” tanpa ditanya
Rashdan menerangkan duduk perkara sebenarnya kepada Suhana. Suhana mengerutkan dahi.
Patutlah baju
Rashdan kotor penuh tanah bukan lumpur, apa agaknya yang mengotorkan baju
Rashdan. Belum dapat diteka oleh Suhana
apa halangan dan rintangan di depannya.
Lajunya Rashdan. Dia membuang
masa sepuluh minit di atas jambatan.
“Suhana, awak
dengar tak kata saya. Mejar tidak akan
benarkan kita makan tengahari jika semua peserta tidak lulus rintangan dan
halangan ini. Awak mengerti?” Suhana mengangguk. Dia tidak mahu menyusahkan rakan-rakan yang
lain. Menghela nafas. Janganlah kerana dirinya semua peserta dapat
susah. Dia sudah berubah dia bukan seperti dulu lagi.
“Awak panjat
tali ni!” arah Rashdan mendesak bunyinya.
“Saya kena
panjat tali jaring ni?” tanya Suhana balik.
“Ya. Di awal ini
rintangan memang mencabar dan memerlukan keupayaan kekuatan mental awak. Semuanya tempat tinggi. Awak gayat kan?”
Suhana cuba
berpaling melihat Rashdan sambil memaut jaring bertali itu.
“Saya cuba!”
kata Suhana cuba memejam mata dan membayangkan dirinya sebagai spiderman yang
memanjat dinding. Dia menghela nafas
berat.
“Latihan ini memerlukan
keseimbangan pautan tangan dan gerakan kaki.
Terlepas sebelah tangan kekuatan tangan sebelah diperlukan. Sampai di atas nanti awak turun di sebelah
sana. Saya tunggu awak di atas.” Rashdan memanjat jaring tali dengan pantas
dan berada di atas. Kecekapan Rashdan
memanjat mengagumi Suhana.
“Cepat! Saya
tahu awak boleh buat,” gesa Rashdan dari atas.
Mata Suhana
terbuka luas, cepatnya Rashdan bertindak.
Dia mendongak ke atas. Tinggi
lagi. Suhana bergerak sambil mendongak. Bila agaknya nak habis merempuh halangan
ini. Sebaik dia hampir di atas, Rashdan
menariknya pantas.
“Eh. Awak buat apa ni?” soal Suhana dalam
kekalutan.
“Tolong
awak. Kalau tunggu awak... lagi tak
selesai,” jawab Rashdan.
“Biarlah lambat
asalkan saya buat sendiri...” balas Suhana
“Oh, sampai hati
awak biarkan rakan lain kebulur?” tempelak Rashdan.
Suhana naik
radang dengan tuduhan tidak berasas itu.
Tapi ada benarnya, kerana dia lambat menyelesaikan rintangan menyebabkan
semua peserta tidak boleh makan.
“Eh, awak ke
yang ada masalah atau saya ni?” soal Suhana meradang.
“Saya rasa awak
mampu terjun ke bawah ni?” balas Rashdan tidak mempedulikan kemarahan Suhana,
tidak pasal-pasal nanti menyusahkan dirinya sama.
“Yelah...yelah
saya cuba laju!” rungut Suhana terus terjun tanpa memikirkan keselamatan
dirinya lagi. Suhana memandang rakan
peserta lain yang menyainginya dengan mudah.
Dia menghela nafas berat dengan situasi yang sedang dihadapinya kini. Dia menyakinkan dirinya mampu mengatasi rasa
gayatnya itu. Dia sedaya upaya untuk
melakukan segala aktiviti merempuh halangan ini sehingga tamat. Dia berdoa agar mampu sampai ke garis
penamat.
Suhana berlari
sekuat hati, menuju halangan seterusnya.
Dia melihat Rashdan sedang menunggu di depan tembok setinggi dua belas
kaki itu untuk memberi bantuan kepada peserta lain yang mendahuluinya. Suhana berhenti dan mendongak ke atas.
“Awak ni
terhegih-hegih” kata Rashdan pedas.
“Apa lagi...
awak tak puas hati pada saya?” Suhana
geram mendengar kata-kata Rashdan itu.
Dia tidak ada masa untuk bergaduh dengan Rashdan. Tidak nampakkah Rashdan, dia sibuk sekarang
ini? Ditambah lagi dengan rasa gayatnya.
“Cepatlah lompat
atas tapak tanganku. Lepas itu awak cuba
lepasi tembok dua belas kaki ini sehingga di atas. Cepat dan pantas. Saya akan membantu awak sebagaimana yang
diarahkan!” peluh dingin yang membasahi
dirinya dibiarkan sahaja. Rasa hangat
yang membahang ditepisnya walaupun kuat mempengaruhi emosinya.
“Okey!” singkat jawapan Suhana. Suhana menarik nafas dalam kemudian meloncat
ke atas tembok dan belum pun badannya melepasi separuh dari tembok itu dia
tergantung, cuba berpaut dari terjatuh ke bawah.
“Tolong saya
Rashdan!” pinta Suhana cemas.
“Cepat, pijak
bahu saya...” pantas Rashdan menghulurkan bahunya.
Ketinggian
Rashdan menyelamatkan dirinya dari jatuh.
Dengan bersusah payah Suhana meloloskan dirinya dari tembok dua belas
kaki itu. Sebaik kakinya mencecah tanah
dia terkejut dengan kehadiran Rashdan di sisinya yang terjun mengejut.
“Awak buat saya
terperanjat,” bentak Suhana mengurut
dadanya agar hilang rasa terkejutnya.
“Awak kena
bersiap sedia setiap masa. Ada banyak
lagi kejutan selepas ini...” usik Rashdan.
Namun itu
sekejap cuma. Dia sedang melihat tembok
halangan di depannya yang hanya enam kaki tinggi. Dia berpaling melihat Rashdan. Rashdan sedang melihatnya. Senyum.
“Bagaimana awak
lakukan?” soal Suhana yang masih tercungap.
“Tenangkan diri
awak dulu...” balas Rashdan.
“Ya, saya
gayat. Kerana itu saya tidak yakin mampu
buat semua ini Rashdan,” terang Suhana tanpa dipinta.
“Jangan kata
macam tu, saya yakin awak boleh buat.
Sehingga kini awak sudah berjaya, tentu yang ada dihadapan ini lebih
mudah. Macam mana?” Rashdan menenangkan Suhana.
“Kena memanjat
lagi?” kelu Suhana.
“Awak nampak
mereka yang lain sedang buat apa?” soal Rashdan.
“Saya tak nampak
Kasma!” beritahu Suhana.
“Siapa Kasma?”
soal Rashdan.
“Rakan khemah
saya,” jawab Suhana.
“Oh, mungkin dia
dah mendahului awak di hadapan,” ujar Rashdan.
“Nampaknya
begitulah,” balas Suhana.
“Awak dah
bersedia?” soal Rashdan.
“Ya!” Suhana mengiyakan mengangguk yakinkan
dirinya.
“Macam tu
lah. Semangat sikit.” Rashdan memberi semangat keyakinan.
Suhana melepasi
ketinggian tembok 6 kaki kerana ketinggiannya dalam 5 kaki 3 inci. Dia mencapai puncak tembok dan berusaha tanpa
bantuan Rashdan. Rashdan telah hilang di
sebalik tembok meninggalkannya berusaha sendiri. Suhana meneruskan larian. Dia melihat rakan-rakan lain sedang merentasi
kawasan air dengan memijak tiang-tiang kecil yang mempunyai ruang amat
terhad. Silap pijak alamatnya jatuh ke
bawah. Macam bermain teng-teng atau
engkeh-engkeh pulak.
Suhana tahu
rintangan ini bertujuan untuk kemahiran mengelak periuk api. Salah pijak meletup periuk api. Tapi di sini salah pijak tiang-tiang kecil
tersebut tenggelam dalam air, dia akan jatuh dan basah. Sehingga saat ini dia sudah berjaya mengatasi
rasa gayatnya sedikit dan kini halangan ini tidak menggentarkan dirinya. Matanya melilau mencari kelibat Rashdan. Pandangannya bertembung dengan Rashdan di
tepi tebing kanan kawasan rintangan.
Suhana terus
melakukan merempuh halangan tersebut walaupun Rashdan sedang mengejarnya dari
belakang bagi memberi saingan agar dia mengerti pentingnya kepantasan untuk
rintangan kali ini. Salah pijak tapi
cepat mengelak akan menyebabkan diri terselamat dari terjatuh ke dalam
air. Selesai merempuh halangan keempat
Suhana meneruskan halangan kelima.
Suhana menunggu
giliran untuk meneruskan rintangan mengharungi air dengan tali, maknanya dia
perlu berayun dan bergantung di tali yang disediakan untuk sampai ke
seberang. Rashdan di sebelah kanannya
sudah bersedia untuk melakukan sekali lagi rintangan dengan memberi isyarat
agar dia melakukannya serentak. Suhana
mengangguk.
Sampai di
seberang, Rashdan menghampirinya.
“The last and final. Akhirnya...”
ucap Rashdan tersenyum.
“Tak sangka saya
dapat merempuh halangan sukar ini sehingga kini.” Suhana senyum. Rashdan terkesima melihat wajah ceria Suhana
yang pertama kali dilihatnya. Suhana
yang jarang tersenyum itu kini boleh senyum padanya. Manis sekali senyumannnya.
“Ye. Saya pun tak sangka awak mampu atasi rasa
gayat awak. Itu yang penting,” balas
Rashdan.
“Apa nama
halangan akhir ini?” soal Suhana ingin
tahu. Dia sekadar memberi kerjasama
bersama Rashdan.
“Saya tak pasti,
ada juga saya tanya abang askar tu. Dia
cuma kata merempuh kawat berduri. Harap
awak tak tersangkut... caranya memang kita nampak mudah bagi peserta lain tapi
sebenarnya kalau buat seragam gerakan baru jadi. Awak akan tersangkut di dawai tu jika tidak
seragam gerakan anggota tubuh yang lain...”
“Oh, macam mana
nak elak dari tersangkut kawat berduri tu?”
“Masa awak
mula-mula merangkak pastikan badan awak betul-betul rapat dengan tanah dan awak
cuba lihat peserta di depan tu buat macam mana, apa yang awak nampak?” tunjuk Rashdan.
“Saya nampak dia
orang buat bukan mudah. Tak ada benda
tajam ke atas tanah tu nanti luka pula, ”
ujar Suhana.
“Setakat ini
belum ada pula yang cedera. Saya rasa
pihak tentera dah sendiakan semuanya ini agar memudahkan peserta. Awak tengok peserta lelaki buat, pantas dan
mudah. Bandingkan dengan peserta
perempuan?” suruh Rashdan.
“Memang jauh
perbezaannya...” jawab Suhana.
“Awak sudah
bersedia?” soal Rashdan.
“Eh, awak belum
beritahu saya lagi macam mana nak buat supaya pantas dan tidak tersangkut?”
“Gerakkan lengan
kanan dulu guna kekuatan siku, kemudian lengan kiri diikuti dengan gerakan kaki
menolak badan ke depan. Macam kita
berkawad juga cuma ini kita merangkak.”
“Saya masih tak
dapat tangkap maksud awak tu.”
“Okey begini,
awak buat perlahan-lahan, ikut yang saya beritahu. Selagi awak tak buat selagi itu awak tak
faham.”
“Baiklah saya
buat.”
“Cepat! Siapa
yang lambat bas tidak tunggu kamu semua.
Makanan tengahari tak ada!” laungan ugutan seorang abang askar itu
mengecutkan perut Suhana. Dia belum
bermula sudah di gertak. Rashdan hanya
tersengih melihat gelagat gelabah Suhana itu.
Tak sangka Suhana boleh berkerjasama dengannya di sini. Mana perginya baran Suhana? Suhana banyak berubah sejak bertengkar
dengannya dulu. Apa yang terjadi kepada
Suhana sebenarnya?
Suhana merayap
dan merangkak, sambil membayangkan latihan sebegini jika dilakukan dengan
membawa senjata. Senjata pula bukannya
ringan. Begitu bertenaga para askar dan
kesukaran merempuh halangan berjaya juga dibuat Suhana. Suhana akhirnya sampai ke akhir kawat
berduri. Dia berdiri dan mendapati
bajunya dipenuhi tanah.
“Tahniah!” ucap
Rashdan.
Suhana terpinga.
“Saya seronok
dapat membantu awak. Tak sangka awak
berjaya merempuh halangan ini.”
“Saya pun
seronok, rasanya saya mahu ulang balik, tapi betis saya dah naik lenguh. Saya penat teramat sangat,” ujar Suhana baru
menyedari dia kepenatan yang amat sangat.
Sehingga nafasnya turun naik dan tercungap-cungap.
“Terima kasih
atas dorongan dan sokongan yang awak berikan Rashdan,” sambung Suhana.
“Jom, kita ikut
yang lain berbaris,” ajak Rashdan untuk mereka berlalu naik bas.
“Awak agak
berapa lama masa saya ambil untuk tamat tadi?”
soal Suhana.
“Tadi awak mula
dalam 11.30 pagi, sekarang ni dah jam 12.15 minit, awak ambil masa 45 minit,”
ujar Rashdan melihat jam tangannya.
“Saya habiskan
masa di jambatan dan tembok serta kawasan yang melibatkan ketinggian kerana
rasa gayat,” rungut Suhana bibirnya dijuihkan.
“Oh ya macam
mana rasa gayat awak tu?” soal Rashdan
ingin tahu.
“Ada lagi, tak
mungkin hilang sekejap begitu. Hanya
kekuatan mental yang membuat saya dapat atasi halangan tadi.” Suhana bersyukur
dia dapat menamatkan aktiviti merempuh halangan hari ini.
“Nasib baik awak
boleh selesai. Jika tidak lambatlah kita
nak makan tengahari.”
“Saya pun tak
mahu jadi penghalang kepada rakan yang lain.”
“Selagi saya
ada, saya akan tolong awak.”
“Terima kasih
atas pertolongan awak sejak pagi tadi.”
“Tak apa,
bukannya susah pun.”
“Bukan macam tu,
pada awak memang tak susah, pada saya yang ada masalah gayat ni, awak tak tahu
apa perasaan saya ketika di tempat tinggi.”
“Apa perasaan
awak?” soal Rashdan ingin tahu.
“Saya rasa nyawa
saya dah melayang!”
“Sampai macam tu
sekali?” Rashdan merenung Suhana.
Suhana
mengangguk. Dia merasa pipinya merona
merah bila mendapat renungan Rashdan.
“Kerana awak ada
ketika saya memerlukan, saya ucapkan terima kasih dan maaf,” ucap Suhana.
“Kenapa pula nak
minta maaf ni?” soal Rashdan.
“Maaf sebab
pernah gelar awak pengecut dulu. Rupanya
saya yang pengecut, pengecut tempat tinggi.
Tak sangka awak sanggup tolong orang macam saya,” tersedu sedikit Suhana
menahan sebak. Rupanya dia boleh meminta
maaf.
“Jangan menangis
Suhana... Saya tak tahu nanti nak buat apa,” halang Rashdan bimbang tak tahu
apa nak di buatnya.
“Opss...
maaf. Tak sengaja. Terlebih pula.” Suhana tersengih. Dia berlalu, malu yang amat sebelum menghilang
ke dalam perut bas. Dia meninggalkan
Rashdan sendirian membiarkan perasaan malunya hilang dulu barulah dia ada
keberanian untuk bersemuka dengan Rashdan semula.