Rabu, 27 Mei 2015

BERAT BADAN BERTAMBAH?



KURANG TIDUR TAMBAHKAN BERAT BADAN

Percayakah jika dikatakan bahawa jika kita kurang tidur, kita sebenarnya mendedahkan diri kita ke arah pertambahan berat badan dan bukan sebaliknya seperti yang didakwa oleh kebanyakan orang?  Kenyataan ini bukanlah rekaan semata-mata malah merupakan kajian terperinci yang dilakukan oleh sekumpulan penyelidik Amerika Syarikat.

Sekumpulan penyelidik Amerika Syarikat cuba mencabar tanggapan yang menyatakan tidur yang kurang menyebabkan individu mudah kurus apabila mendakwa amalan itu sebaliknya boleh menambah berat badan seseorang.

Sejak bertahun lamanya, pakar berat badan menekankan kepentingan mengambil makanan berkalori rendah dan senaman yang secukupnya.  Namun, kajian terbaru Universiti Chicago menunjukkan faktor ketiga bagi mengawal berat badan – mendapat tidur yang secukupnya pada waktu malam.

Malah, dua kajian yang disiarkan semalam mendapati, sukarelawan yang terbabit dalam penyelidikan dengan tidak mendapat tidur mencukupi, mempunyai sejenis hormone yang kadarnya tinggi dan mencetuskan rasa lapar.

Mereka juga dikesan mempunyai sejenis hormone pada paras rendah yang menyebabkan seseorang itu berasa kenyang.

“Sehubungan itu, kami mengesyorkan mana-mana program pengurangan berat badan turut memasukkan faktor mendapat tidur yang secukupnya sebagai salah satu tips berguna,” kata pakar tidur university berkenaan, Dr. Esra Tasali, yang turut terbabit menghasilkan kajian itu.

Satu kajian membabitkan 18,000 dewasa yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kajian Obesiti Amerika Utara mendapati mereka yang menikmati tidur kurang empat jam semalam, adalah 73% lebih mudah untuk obese atau gemuk berbanding mereka yang tidur 7-9 jam lamanya.

Kajian terbaru yang dikeluarkan semalam turut menemui hasil hampir sama apabila membabitkan penyelidikan ke atas 1,024 sukarelawan.  Daripada jumlah itu, 14.90% responden tidur hanya 5 jam mencatatkan hormone ghrelin yang meningkat selera makan.

Mereka yang kurang tidur turut mencatat penurunan hormon leptin yang menyebabkan seseorang itu berasa  kenyang.  Dalam kajian itu, penyelidik mendapati tahap optimum tidur bagi tujuan mengawal berat badan adalah purata 7.7 jam.

“Tindakan mengurangkan waktu tidur hanya membuatkan selera makan meningkat dan makan berlebihan.”


Tiada ulasan: