Khamis, 16 Julai 2015

Si Pemburu Hangat - Bab 6

Bab 6


SEMUA  yang berlaku bukan kemahuan Emran, namun semuanya adalah ketentuan.  Hatinya kini milik Areej.  Dia tidak mampu berbuat apa-apa.  Dia tidak mampu walaupun untuk menidakkan perasaannya kepada Areej.  Namun begitu kenapa dia sentiasa rasa sedih dan kecewa. 
Areej menolak dirinya mentah-mentah.  Sehingga hari ini dia dilayan seperti tidak penting oleh Areej.  Segala tindak tanduknya, kata-katanya tidak mendapat persetujuan gadis itu.  Mungkin ini semua balasan kerana dia sering mempermainkan hati gadis-gadis sebelum mengenali Areej.  Semua itu bukan salahnya seratus peratus tetapi akibatnya dia menerima balasan begini.  Ditolak. Ditolak. Ditolak oleh Areej tanpa pertimbangan.  Sampai bila?
            Seminggu dia berkurung di kondonya.  Dia cuma memberitahu Yunus dia mahu merehatkan minda.  Tidak menjenguk Areej.  Tidak ke pejabat.  Selepas insiden dia meninggalkan Areej begitu saja.  Hatinya tidak gembira, dirinya lagi menderita.  Bukan dia tiada maklumat lengkap tentang Areej, semuanya ada dalam genggaman tapi dia tak mampu berbuat luar batasan.  Dia masih menghormati prinsip Areej.  Gadis itu istimewa sikap dan prinsipnya.
            Selepas bertapa tujuh hari, hidupnya kosong bila hatinya sudah tidak terisi.  Dia nanar dengan rindu.  Dia panasaran mahu melihat dan berbual dengan Areej.  Namun Areej tidak  melayannya seperti orang yang dilamun cinta.  Mungkin inilah namanya cinta bertepuk sebelah tangan.  Mungkin Areej marah kerana gurauan umi, bahawa dia akan bertunang.  Areej anggap itu serius.  Boleh jadi umi serius.  Pening!
            Wake-up Emran!
            Sedarlah.
            Bangunlah dari angan-angan yang panjang.
      Emran bersiap ala kadar.  Niat hatinya ingin menjenguk umi dan abah di rumah.  Dia bukan seorang yang suka memaksa, apa lagi bila gadis itu gadis yang dicintainya.  Entah mengapa hari-hari yang dilaluinya hambar belaka.  Dia mahu segera bersua muka dengan Areej, senyumannya lebar membayangkan pertemuan mereka sebentar lagi.
Sebentar saja Emran sudah tercengat di asrama Areej.  Tanpa banyak soal Areej setuju mengikutnya keluar makan.  Pelik tapi benar kali ini sikap Areej berlembut sedikit dengannya sejak insiden lalu.
Kalaulah makanan yang terhidang boleh terus kenyang.  Perut Areej yang sememangnya lapar tidak sabar untuk menelan hidangan di depannya sebab semua masakan itu adalah makanan kegemarannya.
            Dia suka sekali hidangan nasi ayam penyek yang didatangkan dengan segelas jus tembikai.  Kehidupannya yang serba kekurangan membuatnya lupa seketika dengan siapa yang ada bersamanya.  Mereka bersarapan di Restoran Getaran Jiwa Alamesra.
            “Kenapa tenung saja, makanlah!”  Emran bersuara.
            Areej seperti biasa, berasa segan dengan layanan dan kehidupan sempurna Emran dibandingkan dirinya.
            “Kenapa?”  Emran melihat mata Areej berkaca.
            “Apa yang penting sangat, awal pagi awak dah datang jemput saya?”
“Saya rindu awak, awak?”  Emran memegang garfu mahu menyuap bihun tapi berhenti di pertengahan.
“Awak memang takkan jawab soalan saya kan?”  wajah Areej berubah dengan jawapan balas Emran.  Lelaki ini masih terus terang soal perasaan dengannya.
“Saya rindu awak, sebab itu saya datang,”  
Emran meletakkan garfu ke pinggan  tidak jadi makan.  Mata Emran tidak lepas dari meratah seluruh wajah Areej yang begitu asyik menyoalnya.
“Awak tak ada kerja lain ke?” Oh! Areej rasa macam nak cekik Emran.  Bercakap ikut suka hati dia saja, Areej jadi tambah segan.  Emran, tolonglah jangan kata macam tu, kata-kata godaan begitu.  TUHAN, tolong kuatkan hatiku untuk tidak tewas pada perlakuan Emran ini.
Melihat wajah Areej sudah berubah, Emran berasa kasihan.  Waktu menjamu selera mereka terbantut oleh kerana kata-katanya, Areej langsung belum menyentuh hidangan di depan yang mulai sejuk.
Silap haribulan Areej akan cabut begitu saja jika dia silap perhitungan.  Gadis itu tidak seperti gadis-gadis lain yang dikenalinya.
“Areej!” ucap Emran tanpa sedar menyentuh jari-jemari Areej bagi tujuan untuk memujuk.
“Emran!!!” kuat jeritan Areej kerana terkejut bercampur geram.  Dia rasa macam nak koyak Emran seperti kertas.  Sudahlah tujuh hari tak nampak muka, pagi-pagi lagi sudah tercengat di blok asramanya.
“Awak tahu pegang-pegang ni haram kan?”  wajah Areej seperti udang yang masak warna merah.  Marah betul Areej tatkala melihat muka Emran yang seperti orang bingung.
“Kalau yang itu haram, apa kata kita halalkan saja,”  Emran sambut kemarahan Areej dengan maksud tersirat, tak gentar senyum aje.
“Kahwin dengan saya, Areej…” sambung Emran tanpa hirau kemarahan Areej saat menuturkan lamaran kali pertamanya kepada seorang gadis, Emran rasa bahagia ada di mana-mana.  Hakikatnya bersama Maizurah tidak pernah dia utarakan tentang lamaran.  Sentiasa dalam kawalan perasaan.  Entah mengapa dengan Areej perasaannya sukar dibendung.
“Kahwin dengan saya semua yang haram tu akan menjadi halal…”  tersentak Areej mendengar lamaran saat hati pun suka sama, tapi tahukah Emran kisahnya?
Areej pantas geleng kepala.  Tak percaya seberani ini Emran melamarnya kali ketiga mereka keluar berdua.  Tidak terlalu pantas ke?  Mungkin usia Emran membuatnya terdesak?  Mereka belum pun kenal hati budi.  Marah Areej lenyap ekoran tergamam dengan lamaran Emran.  Rasa jantungnya sudah jatuh mencecah lantai.  Kalaulah dia mampu memadamkan rasa cinta di dada Emran, alangkah mudahnya hidup ini.  Namun usahkan menghapuskan rasa itu di dada Emran dirinya sendiri pun sudah semakin rapuh.
Areej berdiri.
“Aku lebih rela menerima lamaran seorang pengemis dari orang seperti kau,”  tanpa berfikir panjang Areej menempelak.  Dia tidak berfikir jauh, akibat kata-katanya itu akan memakan tuan.  Prinsipnya tetap dipertahan.  Prinsipnya takkan berubah jika dia berani memberi keputusan untuk menjauhkan diri daripada Emran dia percaya suatu hari nanti dia tentu akan berjaya walau tanpa cinta.
Emran memerhati gerak laku Areej yang mengetap bibir itu.
“Jamahlah dulu makanan itu nanti sejuk dah tak sedap,” Emran tukar situasi seperti dia tidak mendengar apa-apa dari ucapan Areej sekejap ini.  Dia kecewa lamaran pertamanya ditolak mentah-mentah oleh Areej.  Ah! Bila Areej setuju?  Dia sering menerima penolakan dari Areej. 
“Jangan kerana lamaran saya, awak kelaparan.  Makan dulu lepas tu saya hantar awak ke kampus,”  pujuk Emran.
“Saya nak ke kampus sekarang!” desak Areej tegas.
“Jangan seksa saya Areej, tak baik biarkan hidangan tak tersentuh.  Sekurang-kurangnya walaupun awak tolak lamaran saya, makan dulu jangan biar perut kosong nanti masuk angin,”  panjang pula pujukan Emran.  Dia perlu belajar mengalah.  Sudahlah dia yang kecewa.  Kena pujuk pula Areej.
Areej menarik nafas, menahan rasa yang mula berubah bila melihat pujukan Emran.  Ah! Lelaki ini tidak mudah mengalah.  Hatinya mudah tersentuh dan kasihan.  Itulah kelemahan Areej.  Dia tidak boleh jika orang sudah bercakap lembut-lembut.
Selesai bersarapan pagi, Emran terus menghantarnya ke kampus.  Emran hanya diam, menahan rasa kecewa yang mengasak dalam hati.  Silapnya mereka baru dipertemukan.  Gadis seperti Areej tidak mudah terpikat dengan kebendaan dan kemewahan.  Semua kemahuan Areej adalah berlawanan dengan gadis-gadis yang sering dilayaninya sebelum ini. 
Sanggup pula nak terima lamaran pengemis?  Areej… Areej… sampai macam tu sekali awak tolak saya.
Areej pula hanya duduk memandang ke depan sambil berpeluk tubuh.  Dia cuba bersahaja.  Namun gelora gemuruh hatinya sedaya upaya ditahan.
“Kenapa tak mahu kahwin dengan saya Areej?”  soalan yang tidak mahu ditanya dari Emran muncul juga akhirnya.  Setelah masing-masing diam agak lama.  Dia mahu memancing Areej untuk berbual.  Taklah sunyi sepi sepanjang perjalanan.
“Kenapa awak masih mahu menyoal.  Apa yang awak tak puas hati,”  balas Areej bernada sinis.  Susahnya menahan gelora asmara di dada sendiri.  Takkan sekali-kali dia memberi isyarat lampu hijau kepada Emran.  Semoga Emran tidak menyedari hatinya tersentuh saat ini.
Emran kembali normal.  Baginya Areej belum matang dalam soal hati dan perasaan.  Usia Areej pun muda remaja.  Dia senyum.  Terkesan sesuatu pada nada intonasi Areej jauh sekali bezanya dari tadi.  Tadi bicara Areej dalam kemarahan. 
Kini ada perubahan, bicara Areej dalam pertimbangan membuat dengup jantungnya boleh bertukar rentak serta-merta.  Asalkan dapat dengar suara Areej dia sudah cukup bahagia.
“Banyak sangatkah kekurangan saya?”
“Siapa cakap soal kurang?”
“Awak tolak lamaran saya macam tu saja tanpa beri alasan yang jelas,”
“Saya yang nak tolak, suka hati saya lah,” balas Areej tanpa perasaan.
“Areej, lelaki mana yang puas hati jika lamarannya ditolak tanpa penjelasan?”
“Saya tak mahu dengar apa-apa pasal tu lagi,”  Areej menghentikan topik tentang ajakan kahwin Emran.
“Sampai macam ni sekali awak tolak saya, memang banyak sangat kekurangan saya?”
Dapat membawa Areej keluar sudah satu kejayaan besar bagi Emran.  Nasibnya baik gadis itu dalam terpaksa mahu juga mengikut kemahuannya.
Soalan yang dilontarkan oleh Emran itu buatkan Areej sentap.  Mata Areej bagaikan tidak pandai untuk berkedip.  Badan Areej seram sejuk menahan rasa bersalah di dada.
“Tengok awak diam macam ni, buat saya tak keruan,  maafkan ketelanjuran saya sepanjang kita kenal,”  ucap Emran sebelum mereka berpisah.

Hati Areej luruh mendengar suara lirih Emran.

Rabu, 15 Julai 2015

Si Pemburu Hangat - Bab 5

Bab 5


BERKENALAN dengan kedua orang tua Emran tidaklah susah sangat.  Sebagaimana matanya menjamah sikap keduanya. Mereka senang dengan kehadirannya sebagai tetamu pagi itu.  Tidak sombong dan mudah mesra, layanan kepada tetamu juga kelas pertama, cuma anak bungsu mereka yang mahu berumah tangga tak reti bahasa itu cerewet dan sukar difahami kemahuannya.  Itu analisis yang dibuat oleh Areej.
“Emran akan bertunang tak lama lagi, jemput datang majlis tu nanti ya,”  tapi kata akhir umi Emran itu menyentap ketenangan hatinya.  Dan kerana khabar itu dia buat pertama kalinya melanggar prinsip mengambil tahu tentang Emran.  Jika dia tiada perasaan kenapa dia nak marah-marah pada Emran.  Kenapa hatinya rasa terluka.
Sedang Areej duduk bermonolog sendiri dalam hati, Nora dan Sarah muncul terpacak di depannya dengan senyuman curiga.  Mata mencerlung usah dikira.  Aduhai… kalau hari-hari inspektor tak bertauliah ini pandang begini, mahu dapat sakit mata tanpa jangkitan.  Dia tahu mereka muncul mahu menyelidik cerita pagi kelmarin.  Sudahlah dia tuang kelas seharian, petang pula dihantar oleh Emran sampai kampus.  Siapa yang tak teruja nak tahu?  Tentulah kedua sahabatnya itu teruja menggunung.
Pucuk dicita, ulam mendatang.  Benar seperti maksudnya yang diperolehi lebih daripada yang dikehendaki.
“Areej…” panggilan Sarah bernada minta penjelasan.
“Hah!” terkejut.  Areej hampir terlompat bangun mendengar suara Sarah bertanya nada begitu.  Apa ni?  Tiba-tiba mesra semacam? 
“Errrkkk…”  Nora pula ketawa berdekah-dekah melihat reaksi terkejut Areej.
Sarah senyum meleret.  Lucu melihat Areej yang serba tidak kena.  Mereka tidak tahu di belakang mereka berdiri Emran dengan senyuman meleret dan bukannya kerana panggilan Sarah tadi tapi oleh lambaian Emran.  Alahai… Mamat sewel ni muncul lagi seperti bayang-bayang.  Kalut seketika Areej dibuatnya!
“Sayang…”  meleret senyuman Emran mengejutkan kedua sahabatnya.  Sampai terlompat.
Areej gelak sakan dengan aksi keduanya itu.  Sudahnya terlupa isu tentang Emran akan bertunang.
Emran cuma menatap gadis idamannya gelak, damai sungguh rasa kalbunya bila mendengar gelak gadis itu.  Ini pertama kali dia mendengar gelak Areej.
“Awak nak apa?”  soal Areej selepas menekup mulutnya sendiri untuk berhenti ketawa.  Bunyi ayat pun macam dah tak betul keluar dari mulutnya.
“Berjumpa awak, rindu.  Nak bawa awak keluar sarapan.”  Emran senyum nipis.  Nora dan Sarah membisu seribu bahasa tanpa mengerti kekalutan Areej.
“Saya baru makan,” Areej telan liur.  Dia baru menolak ajakan Emran, siaplah kali ini apa pula lelaki ini akan buat.  Tak agak-agak nak panggil sayang.  Karang apa yang difikir oleh kedua orang sahabatnya yang belum sempat mendapat penjelasan sejak kelmarin.  Mamat sewel ini memang dari Pluto agaknya tak reti bahasa tempatan.
“Maaf ya saya nak culik Areej sekejap,” Emran memberi isyarat agar mengikutnya.  Seperti selalu Areej takut dengan perlakuan luar batas Emran, terpaksa mengikut langkah lelaki itu.  Rela dalam paksa ajelah.
Takkan membiarkan dirinya diheret sesuka hati di depan orang lain.  Dia juga yang malu nanti bila mengenang tindakan Emran hari-hari lalu.
“Nanti dulu!”  halang Nora.
Pergerakan kaki Areej terhenti.  Badannya terhenjut sedikit.  Matanya terbeliak, buat sakit jiwa pula jeritan Nora itu.
Sarah di sisi sengih macam kerang busuk.
Sebabnya Areej sudah terperangkap di tengah-tengah.
Haish!  Mereka berdua ini buat terkejut saja.
“Ye tuan puteri berdua nak apa?”  Areej geram dalam suara tertahan.  Geram dengan dua orang rakannya dan tingkah Emran yang seperti tidak sabar itu.  Bukan aku yang patut buat soalan itu, Emran sepatutnya… kenapa aku ambil alih pula peranannya dalam cerita ni.
Areej benar-benar gelabah.  Nak buat apa ni?  Dia buat perbuatan yang tidak dilakukannya, memintal hujung tudung bawalnya.
“Awak berdua boleh bersama Areej selepas kami pulang nanti, saya nak cepat!”  tegas Emran bersuara.  Nada paksaan terkesan oleh Areej.
Areej memandang silih berganti antara Emran dan kedua sahabatnya.
“Takkan nak ajak dia seorang saja,”  Sarah bersuara.
Areej sudah mengetap bibir.
“Boleh kalau awak berdua berminat nak ikut, silakan…”  pelawa Emran.  Tersenyum manis.
Pasti tergoda hati Nora dan Sarah melihat senyuman buaya itu.
Pantas pula Nora menggeleng.
Emran tidak menunggu lama terus berlalu.
“Gatalnya mulut!”  Areej geram, kelam kabut meninggalkan keduanya tercengang.
“Jangan lupa cerita pada kami,”  ingat Sarah kenyit mata nakal.
“Kami sedia menunggu,”  gamit Nora sebelum Areej tergesa-gesa menyaingi langkah Emran.  Dia cuma mampu mengangguk.  Rela dalam terpaksa sungguh dibuatnya.
Penampilan Emran yang baru selesai dari gym itu membuat Areej tanda tanya.  Badan tegap, dada ketak-ketak lelaki itu kerana kesan banyak bersenam selalu, angkat benda berat di gym tu sampai tak puas-puas lagi ke.
Oh Areej... aku rindu kamu!  Baru semalam kita berjumpa, kenapa rasa rindu berlumba-lumba di dalam dadanya.  Semalaman dia terganggu tidak dapat tidur asyik terkenang wajah gadis itu.  Akhirnya masa dihabiskan semalam di dalam gym.
Areej telan liur, gementar hatinya bila renungan Emran tidak berkutik memanah matanya tembus ke jantungnya.  Sejak mereka duduk di restoran mewah hotel itu belum memesan apa-apa.
            Emran yang baru perasan perbuatannya berdehem.  Mengawal situasi.  Kehadiran Areej yang cukup indah buat keresahannya hilang.
            “Mmm... nak makan apa?” Emran memulakan bicara sambil menarik keluar sarung tangan peninju.
            “Apa-apa saja,” balas Areej.  Dia hilang selera sejak tadi kerana waktu paginya terganggu dengan kehadiran Emran hari ini.
            “Makan aku boleh?” seloroh Emran dan tertawa.
            Areej bungkam.
            “Makan awak... tak kenyang!” balas Areej bersahaja.  Tidak mahu dibuai perasaan gemuruhnya.  Kali ini dia tidak mahu tewas, dia perlu mengikut arus yang dicipta oleh Emran.
            Geramnya bertimpa-timpa.
            Emran senyum.
            “Awak tak rindu saya?” Emran terus terang sambil tersenyum.  Lelaki ini seorang yang tak tahu malu.  Seraut wajah Areej yang ayu itu Emran teliti satu persatu.  Dari mata yang mempunyai bulu yang panjang melentik dengan seulas bibir merah tersangatlah sesuai dengan wajah Areej yang bujur sirih itu.  Pipinya seperti pipi bayi kemerah-merahan menonjol tulang pipi apabila dia tersenyum matanya mencerminkan kejujuran, sebentar tadi dia melihat tawa Areej membuat jantungnya sentiasa berlari laju sehingga saat ini bila mengenangkan detik gembira itu.  Dia menjadi teruja dengan tawa Areej namun sayangnya kasihnya sudah berputik cuma tidak mampu berkembang mekar kerana halangan dari sikap Areej sendiri.
            Tanpa sedar Emran menggenggam penumbuk.  Mengapa dia perlu tewas dengan gadis bernama Areej.  Dan mengapa cintanya mudah sungguh ditolak oleh gadis itu walaupun kesungguhan telah diperlihatkannya.
            Areej yang sudah mula gelisah.  Mendengar soalan Emran buatkan dia jadi sesak nafas seperti orang yang timbul dari air hampir lemas yang baru mendapat udara.  Jika dibiarkan soalan Emran sudah tentu suasana akan dikuasai Emran.
            “Bukankah awak tak lama lagi akan bertunang?” Areej pecahkan kebuntuan.
            Emran terangkat kening.  Dia tertawa perlahan.  Gadis ini seorang yang lurus cakapnya tak pernah berbelit malah selalu terkena batang hidung Emran.  Lain yang disoalnya lain pula soalan Areej.  Diluar jangkaan sungguh.
            “Pada pendapat awak?” cukup mudah Emran menyimpul soalan Areej tanpa berfikir walau sesaat.
            Areej memberi jawapan dengan angkat bahu.   Sebenarnya dia bukan peduli pun apa jawapan Emran.  Sarapan belum dipesan, dia ni buat aku kelaparan pagi begini agaknya.  Sudahlah tadi aku tak sempat menjamah makanan dia dah heret aku ke sini.  Mengelak dengan mengaku sudah bersarapan pun tak berjaya.
            “Saya faham Areej lapar, kita pesan makan dulu?  Kita bincang soal ini kemudian,”  nada Emran seperti tidak berpuas hati.
            Eh, dia ni memandai suka hati dia je macam aku bersetuju.  Rungut Areej dalam hati.  Namun dia cuma diam dan membuat pesanan sebaik pelayan datang selepas digamit Emran.
            Sepanjang menikmati hidangan mereka tidak langsung berbual.  Areej tahu Emran terdidik dengan baik oleh kedua orang tuanya cara dan adab makan di depan hidangan kerana begitulah situasinya ketika kali pertama dia bersarapan bersama kedua orang tua Emran.
            “Hari ini awak keluar dengan saya!” ayat perintah sebaik selesai menjamah sarapan.
            “Keluar atau tidak bukan persoalannya,”  Areej berani bertegas.
            “Saya nak awak keluar dengan saya hari ini,” ulang Emran seolah-olah tidak mendengar kata-kata dari Areej.
            “Emran! Saya tak berminat.”  Areej tolak pelawaan Emran kembali.  Terang lagi bersuluh.
            “Saya ajak awak keluar jalan-jalan, kita ...”
            “Dating bukan boleh menjamin sesuatu yang mutlak,”  Areej sekali lagi menolak perhubungan dengan Emran.  Maksudnya jelas, jangan paksa aku ikut kemahuan kau.  Jika Emran faham.
            “Jelas, saya tahu saya ajak awak dating.  Kenapa awak tak mahu terima pelawaan saya?”  soalan balas bertubi-tubi dari Emran.  Dia takkan mengalah. 
            “Kan saya dah jawab dating bukan boleh menjamin sesuatu yang mutlak,”  tegas Areej.
            “Itu pada pendapat awak, pada pendapat saya tidak begitu,”  Emran mempamer wajah tegang.
            “Saya tak tanya pun pendapat awak,”  selamba badak jawapan Areej.
            “Tak susah sangat pun nak setuju.  Apa yang susah sangat nak setuju?”
            “Awak nak saya cakap juga ke?”  Areej angkat kening.
            “Apa dia?”  Emran menunggu balas angkat kening sama.
            “Dating tu haram!”   turun kening.  Kerut kening pula sama-sama.
            Tidak mahu Areej terkesan kekecewaannya, Emran diam sepanjang jalan menuju ke Universiti Areej.  Mengapa Areej tidak mahu memberinya peluang untuk berkenal-kenalan.
            “Kalau susah sangat, saya terus masuk meminang!”  tutur Emran sebaik sahaja Areej turun dari keretanya.
            Areej serba salah, nak tergelak Emran melihat gelagatnya.  Tahu pula kau takut, baru gertak sikit-sikit.
       Tanpa berkata apa-apa lagi, Emran terus menekan pedal keretanya meluncur pergi.  Meninggalkan Areej tercengat berdiri di situ sebaik pintu kereta tertutup.
       Beginikah nanti perangai Emran, sudah dapat apa yang dimahu, akan ditinggalkan di tepi jalan.  Begitulah perasaan Areej ketika ini.  Dia berlalu ke kelasnya sambil melangkah satu-satu.  Fikirannya penuh dengan ayat akhir Emran. Kalau susah sangat, saya terus masuk meminang! Resah seketika hatinya mengenang kisah lalu.  Apa sewel punya Emran!