Selasa, 30 Julai 2013

Sambungan Malam Lailatul Qadar

Assalammualaikum w.b.t.
 
Antara Dalil yang menceritakan Lailatul Qadar
 
Lailatul Qadar atau Malam al-Qadar telah diketahui umum sebagai malam yang amat istimewa buat seluruh umat Islam. Ia berdasarkan ayat al-Quran dari surah al-Qadr .

Firman Allah SWT :
 
Ertinya : "Malam Al-Qadar lebih baik dari seribu bulan"  (Al-Qadr : 2) .

Di Malam ini jugalah Nabi SAW bersungguh-sungguh beribadat melebihi malam-malam Ramadhan yang lain.  Disebutkan di dalam sebuah hadith :-

Ertinya : Adalah Nabi SAW, beribadat dengan (lebih) bersungguh dan kuat di sepuluh malam terakhir Ramdhan, tidak sebagaimana baginda di malam-malam yang lain" ( Riwayat Muslim, no 1175 )

Sebuah lagi hadis menyebut :
انه كان يعتكف فيها ويتحرى ليلة القدر خلالها

Ertinya : "Adalah Nabi SAW beriktikaf padanya dan berusaha mencari malam al-qadar darinya (malam-malam ramadhan)" ( Riwayat al-Bukhari & Muslim)

أن النبي صلى الله عليه وسلم كان إذا دخل العشر أحيا الليل وأيقظ أهله وشد مئزره

Ertinya : " Apabila telah masuk 10 terakhir bulan Ramadhan, maka Nabi menghidupkan malam, mengejutkan isterinya dan mengetatkan kainnya (tidak menyetubuhi isterinya kerana amat sibuk dengan ibadat yang khusus)" ( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)


Waktunya
 
Para ulama antaranya Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi menyebut bahawa tarikh malam lailatul qadar sengaja di sembunyikan oleh Allah SWT agar umat manusia berusaha bersungguh-sungguh bagi mencarinya, bagaimanapun ada disebutkan terdapat tanda-tanda akan kemunculan malam yang terhebat ini.

Iaitu seperti hari esoknya yang tidak terlampau panas dan tidak pula sejuk, matahari pula tidak memancarkan sinarannya dan pelbagai lagi. Ia semuanya berasal dari hadith-hadith yang sohih.

Jawabnya, tanda-tanda ini hanyalah contoh yang berlaku di zaman Nabi SAW dan tidak lebih dari itu.

Menurut pandangan yang paling kuat di kalangan para ulama, ianya berlaku pada sepuluh malam yang terakhir, iaitu pada malam-malam ganjil.

Hadith Nabi menyebut:-
التمسوها في العشر الأواخر من رمضان

Ertinya : " Carilah ia (malam al-qadar) di sepuluh malam terakhir dari bulan ramadhan" (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Tarikhnya Berubah atau Tetap Setiap Tahun
 
Sebahagian ulama mengatakannya bersifat tetap pada setiap tahun iaitu pada malam 27 Ramadhan, manakala majoriti ulama termasuk Imam An-Nawawi As-Syafie pula berpendapat ianya bertukar-tukar pada setiap tahun dan tidak kekal pada satu tarikh (Al-Majmu' 6/450).

Selain dari itu, berdasarkan dalil hadith al-Bukhari, kemungkinan terbesar adalah jatuh pada tujuh malam terakhir iaitu samada 25, 27 atau 29 Ramadhan berdasarkan sabdaan Nabi SAW:-

أرى رؤياكم قد تواطأت في السبع الأواخر،
 
 فمن كان متحريها فليتحرها في السبع الأواخر

Ertinya : Aku lihat mimpi kamu (sahabat) telah menepati di tujuh malam terakhir, sesiapa yang mencarinya, maka carilah ia di tujuh malam terakhir" ( Riwayat al-Bukhari , no 1911 & Muslim)

Dari tiga tarikh harapan itu, tarikh 27 Ramdhan adalah yang paling diharapkan oleh kebanyakan umat Islam (terutamany di negara Arab) dan ia juga dipegang oleh kebanyakan Sahabat Nabi SAW serta ulama silam, sehinggakan seorang sahabat bernama Ubay Bin Ka'ab ra bersumpah ia adalah malam ke dua puluh tujuh (di zamannya secara khasnya kerana beliau telah melihat tandanya dan yakin tarikh itu tidak berubah pada tahun-tahun berikutnya) dan zaman lain umumnya, sebagaimana dalil hadith yang menyebut:-
 
ليلة القدر ليلة سبع وعشرين


Ertinya : "Malam al-Qadar dalah malam ke dua puluh tujuh" (Riwayat Ahmad, Abu Daud, no 1386 )

Doa Terpenting Semasa Lailatul Qadar
Allah s.w.t pernah menegur manusia yang lupa doa untuk akhirat mereka di masa puncak kemakbulan doa. Anataranya seperti hari Arafah, sebagaimana dinyatakan dalam firmanNya :
 
فَمِنَ النَّاسِ مَن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا وَمَا لَهُ فِي الآخِرَةِ مِنْ خَلاَقٍ
 
Ertinya : Maka di antara manusia ada orang yang berdoa: "Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia", dan tiadalah baginya bahagian (yang menyenangkan) di akhirat ( Al-Baqarah : 200 )

Jelas dalam ayat ini Allah s.w.t menegur manusia yang lupakan kebaikan akhiratnya.

Lalu Allah s.w.t mewartakan bentuk doa yang sepatutnya, iaitu yang merangkumi kebaikan dunia dan akhirat..dan dilebihkan 'portion' atau bahagian akhirat apabila di tambah "selamatkan dari api neraka". Beerti doa untuk bahagian akhirat perlu lebih dari dunia.
Lihat doa yang diingini Allah s.w.t :-

وِمِنْهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Ertinya : "Dan di antara mereka ada orang yang berdoa: ""Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka" ( Al-Baqarah : 201 )

Di malam-malam akhir ramadhan ini target utama kita adalah mendapatkan keampunan Allah s.w.t. Inilah yang disebut dalam jawapan nabi s.a.w. kepada Aisyah r.a :-

وقالت عائشة ـ رضي الله عنها ـ : يا رسول الله إن وافقت ليلة القدر، فما أقول؟
 
 قال: قولي: اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني

Ertinya : "Berkatalah Aisyah , Wahai Rasulullah, jika aku berkesempatan bertemu Malam Al-Qadar, apakah yang perlu aku katakan (doa) ? Bersabda Nabi : " Sebutlah doa " Ya Allah sesungguhnya dikaulah maha pengampun , dan amat suka memberi ampun, maka berikanlah daku keampunan"

Kata sesetengah ulama, Lailatulqadar berlaku pada satu malam tertentu seperti malam 21 dan 23 Ramadan. Ini menurut Imam Syafie r.a dan sesetengah ulama kerana ada hadis Bukhari dan Muslim yang menceritakan Lailatulqadar berlaku pada malam tersebut sehingga Rasulullah saw sujud dan dahinya yang mulia masih berlumuran tanah pada malam itu. Ada sesetengah ulama, tidak menentukannya secara pasti dan ada juga ulama terutama dari kalangan para zuhad dan sebagainya mengira dengan hari permulaan puasa.

Menurut Imam  sekiranya permulaan puasa jatuh pada hari :
  • Ahad atau Rabu = Lailatulqadar ialah pada hari yang ke-29.
  • Jumaat atau Selasa Lailatulqadar ialah pada hari yang ke-27.
  • Khamis = Lailatulqadar ialah pada hari yang ke-25 Ramadan.
  • Sabtu = Lailatulqadar ialah pada hari yang ke-23.
  • Isnin = Lailatulqadar ialah pada hari yang ke-21.
 
Antara Amalan-Amalan Mulia Untuk Mendapatkan Keberkatan Lailatul Qadar :
 
1)    Qiamulail
2)    Zikirullah
3)    Berdoa
4)    Membaca Al-Quran
5)    Bermunajat
6)    Dan banyak lagi amalan yang diredhai ALLAH
 

Isnin, 29 Julai 2013

10 Hari Malam Lailatul Qadar

Assalammualaikum w.b.t.

Alhamdulillah, Syukur kita kepada ALLAH S.W.T kerana masih memberi kehidupan dan nyawa kepada kita semua untuk terus melakukan AMAL MAKRUF NAHI MUNGKAR… Di kesempatan Ramadhan yang penuh keberkatan inilah kita perlu memperbanyakkan pahala dan menghapuskan dosa-dosa yang lalu dengan memohon taubat… Dengan 10 malam Ramadhan terakhir ini, ALLAH telah menjanjikan Pembebasan dari Api Neraka kepada kita dan malam yang lebih baik dari 1000 Bulan iaitu Malam Lailatul Qadar.

“Carilah dengan segala upayamu malam Lailatul – Qadar pada malam-malam yang ganjil daripada 10 akhir dalam Ramadan.”              
-Hadis riwayat Iman Bukhari r.a.-

Lailatul Qadar

'Lailatul Qadar (Bahasa Arab: لیلة القدر‎) adalah satu malam yang khusus terjadi di bulan Ramadhan. Ayat al-Qur'an diturunkan pada malam ini. Malam ini disebut di dalam al-Qur'an dalam surah Al-Qadr, dan ia lebih baik daripada seribu bulan.

Saat pasti berlangsungnya malam ini tidak diketahui namun menurut beberapa hadis, malam ini jatuh pada 10 malam terakhir pada bulan Ramadhan, iaitu pada salah satu malam ganjil yakni malam ke-21, 23, 25, 27 atau ke-29, ini adalah pandanagn jumhur ulama' dan umat Islam. 

Malah ada sebahagian kecil ulama yang menganggap ia berlaku pada malam genap seperti malam ke 22, 24, 26, 28 atau 30 Ramadhan. Ada juga sebahagian ulama berpendapat ia adalah tetap, iaitu pada malam ke 27. Walau bagaimanapun, antara hikmah malam ini dirahsiakan agar umat Islam rajin beribadat di sepanjang malam khususnya di sepuluh malam yang terakhir. 

Majoriti Muslim biasanya berusaha agar tidak mensia-sia malam ini. Mereka akan tekun dan menjaga diri agar berjaga pada malam-malam terakhir Ramadan sambil beribadah sepanjang malam. Yang pasti, Lailatul Qadar atau Malam al-Qadar ialah satu malam dalam bulan Ramadhan yang lebih baik daripada 1,000 bulan. 

Sesiapa yang beramal pada malam tersebut sama seperti beramal selama 1,000 bulan, iaitu bersamaan 83 tahun 4 bulan, jika mendapatnya selama 10 tahun bersamaan beribadat lebih 833 tahun, jika mendapatnya selama 20 tahun bersamaan lebih 1,666 tahun, jika mendapatnya selama 30 tahun mendapatnya bersamaan 2,500 tahun, berbahagialah orang yang tidak pernah meninggalkan solat Isyak berjamaah dan solat Tarawih kerana orang yang solat Isyak berjamaah dan solat Tarawih termasuk dari kalangan orang mendapat Lailatul Qadar, dan Rasulullah S.A.W. mengatakan sesiapa yang tidak mendapatnya dia adalah tergolong daripada orang yang amat rugi.

 
Sejarah ringkas Malam al-Qadar

Apabila sahabat-sahabat RasulullahS.A.W. mengkagumi ibadah seorang umat Bani Israil yang beribadah selama 1,000 bulan, dengan beribadah pada malam hari dan berjihad pada siangnya, lalu ALLAH ‘Azza wa Jalla menurunkan surah al-Qadar yang menyatakan malam al-Qadar baik daripada 1,000 bulan. Ia adalah rahmat dan kurniaan Allah Ta’ala kepada Umat Nabi Muhammad S.A.W.

Bilakah Malam LAILATUL QADAR

1. Lailatul Qadar satu malam dalam bulan Ramadhan yang tidak diketahui dengan tepat tarikhnya. Ia lebih diharapkan untuk mendapatkannya pada 10 malam yang terakhir Ramadhan, terutama malam-malam yang ganjil daripada 10 hari terakhir Ramadhan tersebut. Waktunya dikira apabila masuk waktu Maghrib sehingga terbit fajar. Seluruh ulama sepakat bahawa al-Quran diturunkan pada malam al-Qadar, sebahagian ulama berpendapat malam al-Quran diturunkan itu berlaku pada 17 Ramadhan, Syaikh Shafiyyurrahman al-Mubarakfury dalam kitab Sirah Nabawiyyah mengatakan al-Quran diturunkan pada malam ke 21 Ramadhan.

2. Satu kaedah mengetahuinya, kata Imam Ghazali, kebiasaannya, jika awal Ramadhan jatuh pada hari Ahad dan Rabu maka Lailatul Qadar malam ke 29, jika hari Isnin maka Lailatul Qadar malam ke 21, dan jika hari Jumaat dan Selasa, maka Lailatul Qadar malam ke 27, jika hari Khamis maka Lailatul Qadar malam ke 25, jika hari Sabtu maka Lailatul Qadar malam ke 23. Tetapi kaedah ini bukanlah sesuatu yang muktamad, mungkin ia bertepatan dengannya dan mungkin juga tidak, mungkin juga ia berlaku pada malam yang genap, kerana bagi negara kita ia malam yang genap tetapi bagi negara yang puasa lewat atau awal satu hari, ia adalah malam yang ganjil, jadi carilah dengan tekun pada 10 malam yang terakhir tesebut.

 
Siapakah yang mendapat Lailatul Qadar

1. Orang yang pasti mendapat sebahagian Lailatul Qadar ialah orang yang solat Fardhu Maghrib dan Isyak secara berjamaah sepanjang bulan Ramadhan, dan dia tidur dengan azam yang kuat untuk solat Subuh berjemaah. Sabda Rasulullah S.A.W “Sesiapa yang sholat ‘Isya` berjemaah, maka seolah-olah dia telah berqiyamulail separuh malam; Dan sesiapa yang sholat Subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah bersolat sepanjang malam.” (Hadis Sahih Riwayat Imam Tarmizi, Ibnu Majah dan Nasai)

2. Solat tarawih adalah termasuk solat malam kerana ia dilakukan selepas solat Isyak, orang yang solat tarawih dikira solat sunat pada malam Lailatul Qadar, oleh itu tambahkanlah lagi bilangan rakaatnya pada 10 malam terakhir Ramadhan.

 
Apakah Doa dan amalan Lailatul Qadar

1. Bagi orang yang mendapat Lailatu Qadar ucapkanlah:

اَللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ كَرِيْمٌ، تُحِبُّ الْعَفْوَ، وَاعْفُ عَنّى وَعَنْ وَالِدَىَّ

“Ya Allah, sesungguhnya Engkau adalah Maha Pemberi Kemaafan (Maha Pengampun), Suka memberi kemaafan (keampunan), maka maafkanlah (ampunkanlah) aku dan kedua ibu bapaku.”

2. Banyakkan solat, membaca al-Quran, doa dan zikir. Berdoalah juga dengan lain-lain doa dalam bahasa kita untuk lain-lain kebaikan dunia dan akhirat, janganlah berdoa sesuatu yang buruk.

3. Bacalah walaupun 1 ayat al-Quran sebelum tidur, kerana jika kebetulan dengan malam Qadar pahalanya lebih baik daripada sekali khatam al-Quran pada malam-malam lain. (sebaik-baiknya bacalah 10 kali Surah Al-Ikhlas, iaitu Qul Huwallahu Ahad)

4. Bagi perempuan yang haidh atau nifas, ucapkan zikir-zikir di bawah

سُبْحَانَ اللهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، وَلا إِلَهَ إلا اللهُ، وَاللهُ أَكْبَرُ


Cuaca pada malam Lailatul Qadar

1. Cuaca malam Lailatul Qadar sangat tenang dan tenteram, malaikat turun berduyun-duyun sehingga melebih jumlah batu-batu kerikil di muka bumi ini, mereka memberi salam dan aminkan doa mereka yang sedang beribadah, samada solat, berdoa atau berzikir (perempuan yang sedang uzur, haidh atau nifas, juga boleh berdoa dan berzikir walaupun tidak boleh solat).

2. Diriwayatkan dalam satu hadis Imam al-Bukhari, pernah berlaku malam Qadar pada malam yang hujan. Oleh itu jangan abaikan malam yang hujan kerana menyangka ia bukan malam Qadar. Hujan adalah rahmat dari Allah Ta’ala.

 
Cerita ganjil yang berlaku pada malam Lailatul Qadar

Terdapat berbagai cerita mengenai tanda-tanda malam Lailatul Qadar iaitu dapat disaksikan kejadian yang ganjil-ganjil seperti air membeku, air berhenti mengalir, pohon kayu tunduk rukuk dan sujud ke bumi dan sebagainya. Sebenarnya, semuanya ini adalah cerita yang tidak dapat disahihkan kebenarannya, ia tidak disebut dalam al-Quran dan Al-Hadis, jadi ia bukan menjadi pertanda ia malam Lailatul Qadar menurut ilmu agama, ia adalah pengalaman rohani orang-orang yang tertentu sahaja. Lailatul Qadar tetap berlaku tanpa tanda-tanda tersebut dan kelebihan yang dijanjikan oleh Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang ini tetap diperolehi oleh orang-orang yang beramal dengan amalan-amalan kebajikan pada malam tersebut.