Bab 6
|
SEMUA
yang berlaku bukan kemahuan Emran, namun semuanya adalah ketentuan. Hatinya kini milik Areej. Dia tidak mampu berbuat apa-apa. Dia tidak mampu walaupun untuk menidakkan
perasaannya kepada Areej. Namun begitu
kenapa dia sentiasa rasa sedih dan kecewa.
Areej menolak
dirinya mentah-mentah. Sehingga hari ini
dia dilayan seperti tidak penting oleh Areej.
Segala tindak tanduknya, kata-katanya tidak mendapat persetujuan gadis
itu. Mungkin ini semua balasan kerana
dia sering mempermainkan hati gadis-gadis sebelum mengenali Areej. Semua itu bukan salahnya seratus peratus
tetapi akibatnya dia menerima balasan begini.
Ditolak. Ditolak. Ditolak oleh Areej tanpa pertimbangan. Sampai bila?
Seminggu
dia berkurung di kondonya. Dia cuma
memberitahu Yunus dia mahu merehatkan minda.
Tidak menjenguk Areej. Tidak ke
pejabat. Selepas insiden dia
meninggalkan Areej begitu saja. Hatinya
tidak gembira, dirinya lagi menderita.
Bukan dia tiada maklumat lengkap tentang Areej, semuanya ada dalam
genggaman tapi dia tak mampu berbuat luar batasan. Dia masih menghormati prinsip Areej. Gadis itu istimewa sikap dan prinsipnya.
Selepas
bertapa tujuh hari, hidupnya kosong bila hatinya sudah tidak terisi. Dia nanar dengan rindu. Dia panasaran mahu melihat dan berbual dengan
Areej. Namun Areej tidak melayannya seperti orang yang dilamun
cinta. Mungkin inilah namanya cinta
bertepuk sebelah tangan. Mungkin Areej
marah kerana gurauan umi, bahawa dia akan bertunang. Areej anggap itu serius. Boleh jadi umi serius. Pening!
Wake-up Emran!
Sedarlah.
Bangunlah
dari angan-angan yang panjang.
Emran bersiap ala
kadar. Niat hatinya ingin menjenguk umi
dan abah di rumah. Dia bukan seorang yang
suka memaksa, apa lagi bila gadis itu gadis yang dicintainya. Entah mengapa hari-hari yang dilaluinya
hambar belaka. Dia mahu segera bersua
muka dengan Areej, senyumannya lebar membayangkan pertemuan mereka sebentar
lagi.
Sebentar saja Emran sudah tercengat di asrama Areej. Tanpa banyak soal Areej setuju mengikutnya
keluar makan. Pelik tapi benar kali ini
sikap Areej berlembut sedikit dengannya sejak insiden lalu.
Kalaulah makanan yang terhidang boleh terus kenyang. Perut Areej yang sememangnya lapar tidak
sabar untuk menelan hidangan di depannya sebab semua masakan itu adalah makanan
kegemarannya.
Dia suka
sekali hidangan nasi ayam penyek yang didatangkan dengan segelas jus
tembikai. Kehidupannya yang serba
kekurangan membuatnya lupa seketika dengan siapa yang ada bersamanya. Mereka bersarapan di Restoran Getaran Jiwa
Alamesra.
“Kenapa
tenung saja, makanlah!” Emran bersuara.
Areej
seperti biasa, berasa segan dengan layanan dan kehidupan sempurna Emran
dibandingkan dirinya.
“Kenapa?” Emran melihat mata Areej berkaca.
“Apa yang
penting sangat, awal pagi awak dah datang jemput saya?”
“Saya rindu awak, awak?”
Emran memegang garfu mahu menyuap bihun tapi berhenti di pertengahan.
“Awak memang takkan jawab soalan saya kan?” wajah Areej berubah dengan jawapan balas
Emran. Lelaki ini masih terus terang
soal perasaan dengannya.
“Saya rindu awak, sebab itu saya datang,”
Emran meletakkan garfu ke pinggan tidak jadi makan. Mata Emran tidak lepas dari meratah seluruh
wajah Areej yang begitu asyik menyoalnya.
“Awak tak ada kerja lain ke?” Oh! Areej rasa macam nak cekik
Emran. Bercakap ikut suka hati dia saja,
Areej jadi tambah segan. Emran,
tolonglah jangan kata macam tu, kata-kata godaan begitu. TUHAN, tolong kuatkan hatiku untuk tidak
tewas pada perlakuan Emran ini.
Melihat wajah Areej sudah berubah, Emran berasa kasihan. Waktu menjamu selera mereka terbantut oleh
kerana kata-katanya, Areej langsung belum menyentuh hidangan di depan yang
mulai sejuk.
Silap haribulan Areej akan cabut begitu saja jika dia silap
perhitungan. Gadis itu tidak seperti
gadis-gadis lain yang dikenalinya.
“Areej!” ucap Emran tanpa sedar menyentuh jari-jemari Areej
bagi tujuan untuk memujuk.
“Emran!!!” kuat jeritan Areej kerana terkejut bercampur
geram. Dia rasa macam nak koyak Emran
seperti kertas. Sudahlah tujuh hari tak
nampak muka, pagi-pagi lagi sudah tercengat di blok asramanya.
“Awak tahu pegang-pegang ni haram kan?” wajah Areej seperti udang yang masak warna
merah. Marah betul Areej tatkala melihat
muka Emran yang seperti orang bingung.
“Kalau yang itu haram, apa kata kita halalkan saja,” Emran sambut kemarahan Areej dengan maksud
tersirat, tak gentar senyum aje.
“Kahwin dengan saya, Areej…” sambung Emran tanpa hirau
kemarahan Areej saat menuturkan lamaran kali pertamanya kepada seorang gadis,
Emran rasa bahagia ada di mana-mana.
Hakikatnya bersama Maizurah tidak pernah dia utarakan tentang
lamaran. Sentiasa dalam kawalan
perasaan. Entah mengapa dengan Areej
perasaannya sukar dibendung.
“Kahwin dengan saya semua yang haram tu akan menjadi
halal…” tersentak Areej mendengar
lamaran saat hati pun suka sama, tapi tahukah Emran kisahnya?
Areej pantas geleng kepala.
Tak percaya seberani ini Emran melamarnya kali ketiga mereka keluar
berdua. Tidak terlalu pantas ke? Mungkin usia Emran membuatnya terdesak? Mereka belum pun kenal hati budi. Marah Areej lenyap ekoran tergamam dengan
lamaran Emran. Rasa jantungnya sudah
jatuh mencecah lantai. Kalaulah dia
mampu memadamkan rasa cinta di dada Emran, alangkah mudahnya hidup ini. Namun usahkan menghapuskan rasa itu di dada
Emran dirinya sendiri pun sudah semakin rapuh.
Areej berdiri.
“Aku lebih rela menerima lamaran seorang pengemis dari orang
seperti kau,” tanpa berfikir panjang
Areej menempelak. Dia tidak berfikir jauh,
akibat kata-katanya itu akan memakan tuan.
Prinsipnya tetap dipertahan.
Prinsipnya takkan berubah jika dia berani memberi keputusan untuk
menjauhkan diri daripada Emran dia percaya suatu hari nanti dia tentu akan
berjaya walau tanpa cinta.
Emran memerhati gerak laku Areej yang mengetap bibir itu.
“Jamahlah dulu makanan itu nanti sejuk dah tak sedap,” Emran
tukar situasi seperti dia tidak mendengar apa-apa dari ucapan Areej sekejap ini. Dia kecewa lamaran pertamanya ditolak
mentah-mentah oleh Areej. Ah! Bila Areej
setuju? Dia sering menerima penolakan
dari Areej.
“Jangan kerana lamaran saya, awak kelaparan. Makan dulu lepas tu saya hantar awak ke
kampus,” pujuk Emran.
“Saya nak ke kampus sekarang!” desak Areej tegas.
“Jangan seksa saya Areej, tak baik biarkan hidangan tak
tersentuh. Sekurang-kurangnya walaupun
awak tolak lamaran saya, makan dulu jangan biar perut kosong nanti masuk
angin,” panjang pula pujukan Emran. Dia perlu belajar mengalah. Sudahlah dia yang kecewa. Kena pujuk pula Areej.
Areej menarik nafas, menahan rasa yang mula berubah bila
melihat pujukan Emran. Ah! Lelaki ini
tidak mudah mengalah. Hatinya mudah
tersentuh dan kasihan. Itulah kelemahan
Areej. Dia tidak boleh jika orang sudah
bercakap lembut-lembut.
Selesai bersarapan pagi, Emran terus menghantarnya ke
kampus. Emran hanya diam, menahan rasa
kecewa yang mengasak dalam hati.
Silapnya mereka baru dipertemukan.
Gadis seperti Areej tidak mudah terpikat dengan kebendaan dan
kemewahan. Semua kemahuan Areej adalah
berlawanan dengan gadis-gadis yang sering dilayaninya sebelum ini.
Sanggup pula nak terima lamaran pengemis? Areej… Areej… sampai macam tu sekali awak
tolak saya.
Areej pula hanya duduk memandang ke depan sambil berpeluk
tubuh. Dia cuba bersahaja. Namun gelora gemuruh hatinya sedaya upaya
ditahan.
“Kenapa tak mahu kahwin dengan saya Areej?” soalan yang tidak mahu ditanya dari Emran
muncul juga akhirnya. Setelah
masing-masing diam agak lama. Dia mahu
memancing Areej untuk berbual. Taklah
sunyi sepi sepanjang perjalanan.
“Kenapa awak masih mahu menyoal. Apa yang awak tak puas hati,” balas Areej bernada sinis. Susahnya menahan gelora asmara di dada
sendiri. Takkan sekali-kali dia memberi
isyarat lampu hijau kepada Emran. Semoga
Emran tidak menyedari hatinya tersentuh saat ini.
Emran kembali normal.
Baginya Areej belum matang dalam soal hati dan perasaan. Usia Areej pun muda remaja. Dia senyum.
Terkesan sesuatu pada nada intonasi Areej jauh sekali bezanya dari
tadi. Tadi bicara Areej dalam kemarahan.
Kini ada perubahan, bicara Areej dalam pertimbangan membuat
dengup jantungnya boleh bertukar rentak serta-merta. Asalkan dapat dengar suara Areej dia sudah
cukup bahagia.
“Banyak sangatkah kekurangan saya?”
“Siapa cakap soal kurang?”
“Awak tolak lamaran saya macam tu saja tanpa beri alasan yang
jelas,”
“Saya yang nak tolak, suka hati saya lah,” balas Areej tanpa
perasaan.
“Areej, lelaki mana yang puas hati jika lamarannya ditolak
tanpa penjelasan?”
“Saya tak mahu dengar apa-apa pasal tu lagi,” Areej menghentikan topik tentang ajakan
kahwin Emran.
“Sampai macam ni sekali awak tolak saya, memang banyak sangat
kekurangan saya?”
Dapat membawa Areej keluar sudah satu kejayaan besar bagi
Emran. Nasibnya baik gadis itu dalam
terpaksa mahu juga mengikut kemahuannya.
Soalan yang dilontarkan oleh Emran itu buatkan Areej
sentap. Mata Areej bagaikan tidak pandai
untuk berkedip. Badan Areej seram sejuk
menahan rasa bersalah di dada.
“Tengok awak diam macam ni, buat saya tak keruan, maafkan ketelanjuran saya sepanjang kita
kenal,” ucap Emran sebelum mereka
berpisah.
Hati Areej luruh mendengar suara lirih Emran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan